Pages

Saturday, August 13, 2011

Perayaan 50 Tahun Tembok Berlin

SABTU,  13 Ogos 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pagi 50 tahun lalu,  penduduk Berlin bangun daripada tidur terdengar bunyi gerudi pneumatik menggali jalan  di hadapan Brandenburg Gate yang terkenal di kota itu. Mereka memerhatikan seolah-olah tidak percaya tatkala pasukan buruh, dikawal oleh tentera Komunis yang bersenjata, membuka gulungan besar kawat berdiri dan memasang kawat itu pada tarmak batu tar dengan pengokot jantan yang sangat besar.  Pagar yang didirikan pada 13 Ogos 1961, lapor Tony Paterson, merupakan permulaan struktur yang terkenal yang bahkan, hari ini, iaitu hampir 22 tahun keruntuhannya, kekal satu simbol yang paling kuat dalam Perang Dingin, iaitu Tembok Berlin. 


Pembinaan yang tiba-tiba dan pantas menyekat  Timur-Barat menyebabkan banyak penduduk Berlin terkejut, termasuk mereka yang terbunuh  ketika mereka cuba memintasi tembok yang sedang dibina itu dan hingga hari ini, lapor Stuart Braun, ahli sejarah masih belum mencapai kesepakatan di manakah batu-bata pertama dipasang.

Pada musim panas 1961, pucuk pimpinan Komunis sangat cemas kerana bukan sahaja bilangan besar doktor, guru, dan jurutera meninggalkan negara itu, tetapi juga kilang-kilang hilang pekerja dan wujud ketakutan bahawa pekerja ladang tidak cukup untuk menuai tanaman.  "Tembok Berlin ialah jawapan pucuk pimpinan terhadap masalah tersebut.  Antara tahun 1961 hingga 1889, konkrit sepanjang 87 batu dan kawat berduri yang dipasang bersama-samanya, dengan 116 menara pengawal yang lengkap dengan senjata dan anjing pengawal mencengah hampir semua emigrasi antara Timur dengan Barat. Mengikut sesetengah anggaran, hingga 1200 orang dibunuh ketika cuba melarikan diri untuk mencari kebebasan di sebelah barat tembok.  Jerman dibahagikan kepada barat kapitalis dan timur Komunis selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua.  Ketika memuncaknya ketegangan antara Amerika Syarikat dengan Kesatuan Soviet, rejim Jerman Timur mula membina tembok sepanjang bandar itu.  

Sempena ulang tahun ke-50 Tembok Berlin, Helen Pidd memberikan garis masanya, bermula 8 Mei 1945, berakhirnya Perang Dunia Kedua dan Tentera Merah menawan Berlin.  Kota terbahagi dua, dengan Kesatuan Soviet di  timur, manakala British, Amerika Syarikat, dan Perancis di barat. Garis masa itu,  berakhir 9 November 1945 apabila tembok itu dirobohkan oleh beribu-ribu penduduk Jerman Timur penuh keriangan, memasuki Berlin Barat.  Dalam makalah yang lain, Helen menulis, 50 tahun Tembok Berlin dengan keluarga berpecah belah dan orang yang dicintai hilang. Setengah abad selepas tembok Jerman yang terkenal itu dibina, dua orang bekas penduduk Berlin Timur mengenang kembali tembok itu mengubah hidup mereka selama-lamanya.




"Pembinaan Tembok Berlin 50 tahun lalu, mesti sentiasa kekal dalam ingatan warganegara hari  ini untuk bangkit demi kebebasan dan demokrasi.  Kata Datuk Bandar, Klaus Wowereit pada hari ini sempena memperingati  ulang tahun yang amat pahit itu. "Melihatkan  Berlin dipisahkan oleh tembok memecahbelahkan negara, di samping memisahkan jalan-jalan di kota, jiran, dan keluarga."  Jerman Canselor Angela Merkel yang membesar di sebalik tembok di bahagian timur Komunis juga hadir ke majlis peringatan itu.


Presiden John F.  Kennedy, ketika berucap penuh retorik  di Berlin Barat pada 26 Jun 1963, berkata, "Ich bin ein Berliner  ("I am a Berliner,"  "Saya orang Berlin").  "Semua, semua manusia merdeka, di mana-mana jua mereka tinggal, ialah warga Berlin.  Dan, oleh itu, sebagai manusia merdeka, saya bangga untuk menyebut 'Saya orang Berlin.'"


Dalam "JFK's Berlin Blunder," George F.  Will, penulis pendapat The Washington Post, mendedahkan bahawa meskipun Tembok Berlin roboh 22 tahun lalu, pembinaan tembok itu mendedahkan beberapa kesilapan yang dilakukan oleh John F.  Kennedy pada tahun itu yang menjadikan beliau paling tidak cekap dalam tahun pertama mana-mana presiden.  Pembinaan tembok itu sentiasa menghantui Kennedy.  Oleh sebab Khrushchev menghangatkan pergolakan terhadap Berlin, Kennedy mengkaji modus melancarkan perang nuklear.  Dalam ucapannya yang disiarkan melalui televisyen ke seluruh negara pada 25 Julai 1961, beliau merujuk 17 kali komitmen Amerika Syarikat terhadap Berlin Barat, meskipun seluruh kota itu di bawah pemerintahan  empat kuasa (Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet, British, dan Perancis).


Perang Dingin berakhir 27 tahun kemudian apabila Tabir Besi tiba-tiba menjadi poros dan Tembok Berlin pecah berderai.  Tulis Will, "berpuluh-puluh juta orang Jerman Timur terlepas daripada tahun-tahun kekejaman itu, dan Barat mungkin terlepas daripada bahaya dan pengorbanan yang sangat besar jika Kennedy tidak terlibat dengan yang lain dalam kegiatan yang cela dalam mencegah keterungkaian Jerman Timur."  


Pada 9 November 1989 berlangsung upacara gilang-gemilang dengan berpuluh-puluh ribu orang, termasuk penentang, pencipta lagu, padera, dan pemimpin politik yang membantu merancang keruntuhan Komunisme di bekas blok timur, meredah kesejukan, gerimis yang tidak henti-henti, untuk memperingati 20 tahun sejak runtuhnya Tembok Berlin dan berakhirnya Perang Dingin. Dengan diketuai oleh Canselor, Angela Merkel, para pemimpin dunia, iaitu Perdana Menteri Britain ketika itu, Gordon Brown, Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, Presiden Rusia, Dmitri Medvedev, termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Rodham Clinton, dan para pemimpin Kesatuan Eropah, berkumpul di negara Jerman itu.






Kira-kira dua tahun kemudian,  upacara memperingati Tembok Berlin berlangsung sekali lagi, tetapi dalam konteks yang berbeza: dahulu memperingati keruntuhan, sekarang memperingati pembinaan.  Hal ini  menandakan bahawa kewujudan tembok itu sentiasa segar dalam memori, lebih-lebih lagi ketika Perang Dingin kedua sedang menghantui semula.  













No comments:

Post a Comment