Pages

Sunday, August 14, 2011

Jimat-cermat, Anarki, dan Mubarak

AHAD,  14  Ogos 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Rusuhan di kota-kota Inggeris tercetus  lebih seminggu.  Liputan media dan komen atau ulasan tentang peristiwa  yang berlaku di United Kingdom itu masih mencurah-curah.  The Guardian, melalui blog berita menyampaikan maklumat rusuhan yang dikemaskinikan setiap minit, demikian juga dengan The Telegraph.  Tatkala rusuhan terus merebak, perkataan anarki memenuhi ulasan dan liputan media, yang pernah dinyatakan dalam beberapa penulisan dalam blog ini sebelum ini.  Di sini, memadai ditambah yang baru, misalnya oleh Maria Margaronis dalam The Nation, "Anarchy in the UK."


Sementara cerdik pandai tidak henti-henti bertanya, mengapa, oh,  mengapa?  Seperti biasa di mana-mana jua, jika berlaku peristiwa buruk seperti ini, dari Tucson ke Utoya ke London dan tempat-tempat lain di United Kingdom, pastinya yang dicari,  siapakah yang wajar dipersalahkan.  Tentang rusuhan yang masih berlaku sekarang, puak kiri dan kanan mencari jawapan yang mudah untuk masalah yang kompleks. Kedua-dua golongan ini mengamkan penjarah.


Rusuhan bandar itu, seperti yang diulas oleh editorial The Guardian, mengejutkan dan memalukan negara itu di tempat sendiri dan di luar negara, antaranya memetik sebuah majalah Jerman yang membandingkan London dengan Mogadishu.  Memang jelas wujud sebab-musabab yang kukuh antara kemiskinan dan perampasan dengan rusuhan yang bermula   di Tottenham, tetapi rusuhan juga merebak ke kawasan makmur, iaitu Beckenham dan Bromley, dan Brent atau Newham yang hampir-hampir tiada golongan miskin.


Meskipun rusuhan yang berlarutan itu dikatakan mencemarkan imej Britain, rusuhan itu juga mendedahkan beberapa kebenaran yang tidak dapat diterima, tulis Hari Kunzru, iaitu kewujudan budaya ketakutan dan ketamakan yang berayau-rayau yang tidak dapat disekat pada semua peringkat.  Juga mendedahkan bahawa masyarakat hidup atas ketamakan dan penjarahan, kata Seumas Milne.  Sementara Peter Oborne mendedahkan kemerosotan moral dalam masyarakat, di semua peringkat, dari atas ke bawah. Atau, perusuh itu dilabelkan apa-apa sahaja, termasuk sebagai penjenayah, tetapi seperti yang ditegaskan oleh Howard Jacobson dalam The Independent, "penjenayah yang kita lahirkan sendiri."   


Pemimpin Parti Buruh, Ed Miliband  melihat rusuhan yang melanda  England dalam konteks yang lebih luas, iaitu mengaitkan dengan skandal  perbelanjaan anggota Parlime, krisis perbankan, dan skandal penggodaman telefon.  "Wujud isu yang meresapi jiwa kita semua, ini bukannya isu sekadar tentang tanggungjawab dan tidak bertanggungjawab yang kita lihat di jalan-jalan Tottenham.  Ini tentang tidak bertanggungjawab, yang boleh kita dapati di mana-mana jua dalam masyarakat kita. 


Dalam begitu banyak komen atau ulasan, namun bagi  Anne Applebaum, penulis pendapat The Washington Post,    kesimpulan tidak dapat dibuat tentang rusuhan di London.  Beliau yang menyorot halaman komen akhbar British, baik tengah-kanan, mahupun tengah-kiri, menegaskan wujud  alasan untuk percanggahan bahawa perusuh sendiri tidak melambaikan isyarat.  Mereka tidak meneriakkan berulang-ulang sesuatu.  Mereka tidak memprotes mana-mana dasar kerajaaan.  Mereka tidak mencari publisiti untuk pandangan mereka.  Mereka bersembunyi daripada kamera dan helah wartawan.

Namun, Anne Applebaum tidak menolak kemungkinan penjelasan lain yang berbaloi untuk dikaji, bahkan jika rusuhan ini tidak berlaku sekalipun.  Dalam hubungan ini, beliau cuba mengaitkan rusuhan dengan  negara kebajikan, pendidikan negara yang lemah, ekonomi yang perlahan yang menyebabkan banyak rakyat menganggur, dan dengan itu, tidak akan diintegrasikan ke dalam arus perdana.  Tambah beliau, skandal yang mencurah-curah baru-baru ini mencemarkan nama baik bank, Parlimen, media, dan polis London, lagi teruk.  Rumus beliau, "berhati-hati tentang  generalisasi politik yang luas dalam kebangkitan rusuhan ini:  Kita tidak tahu, sama ada kita hanya menyaksikan fenomena 'baru,'  yang lebih bergerak atau versi bijak dari segi teknikal daripada yang paling lama."


Yang lebih memburukkan lagi keadaan ialah para pemimpin dan polis tidak bergerak sederap.  Bahkan, ada yang mengaitkan kegagalan polis mengawal rusuhan berpunca daripada rancangan pengecilan saiz pasukan polis yang dilakukan oleh Cameron dalam langkah jimat-cermat yang beliau perkenalkan.  Laporan terbaharu oleh The Guardian berlaku pemberontakan polis terhadap agenda pembaharuan Perdana Menteri David Cameron. Tindakan polis itu merupakan reaksi berang terhadap kritikan cara mereka menangani rusuhan itu, dan mengalihkan kemarahan mereka terhadap Setiausaha Dalam Negeri, Theresa May, selepas beliau mengesyorkan polis supaya mengambil tindakan yang lebih keras.  Berhadapan dengan serangan polis, mendorong David Cameron mengubah nada, iaitu memuji mereka. 


Akibat rusuhan itu, lebih separuh orang awam, seperti yang dilaporkan oleh The Independent, hilang keyakinan terhadap David Cameron. Kajian yang dijalankan oleh ComRes juga mendapati lebih dua pertiga orang awam menentang rancangan beliau untuk memotong bilangan polis sebagai sebahagian pengurangan belanjawan.  Separuh responden yang dikaji kini kurang yakin terhadp kemampuan keselamatan London untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik tahun depan. Melihat rusuhan masih belum dapat dikawal, David Cameron merancang untuk menutup media sosial yang beliau percaya banyak membantu tercetusnya rusuhan.  Rancangan ini menambahkan lagi musuh beliau, iaitu pejuang kebebasan bersuara.


Kini, David Cameron terpaksa menanggung akibat dasar beliau sendiri, iaitu "Kerajaan Kecil" dan "Masyarakat Besar."   Dalam "Cameron's Broken Windows,"   Richard Sennett dan Saskia Sassen menulis bahawa semua mangsa apa yang orang ramai di Britain sebut "potong," iaitu penyahpendanaan kerajaan untuk institusi masyarakat sivil dalam usaha untuk menyeimbangkan belanjawan negara.  Dalam makalah yang diterbitkan dalam The New York Times itu, pasangan suami berkenaan membangkitkan bahawa sebelum rusuhan, kerajaan merancang memotong sebanyak 16,000 orang pegawai polis di seluruh negara.  Di London, jimat-cermat bermakna bahawa akan berlaku pengurangan  kira-kira 19 peratus untuk perbelanjaan pada tahun depan dalam program kerajaan, dan beban itu akan terpaksa dipikul oleh golongan miskin.  


Sennett dan Saskia menegaskan bahawa  perusuh yang muncul di London ialah orang muda daripada pelbagai kaum, meskipun laporan gerombolan yang teguh dan sukar diatasi "remaja kulilt hitam" yang terasing, meskipun wujud dimensi kaum dalam drama ini kerana polis menembak lelaki kulit hitam, Mark Duggan.  "Apabila kekacauan merebak ke Manchester pada hari Selasa, banyak perusuh  kelihatan orang kulit putih. Walau bagaimanapun, Sennett dan Saskia tidak mengambil pendirian Marxis fesyen lama yang mungkin membayangkan bahawa jendela pecah dan rumah terbakar melahirkan reaksi politik yang berang terhadap potongan perbelanjaan kerajaan, tetapi kali ini, penjelasan itu terlalu mudah. 


Dalam mengkritik David Cameron, kedua-dua penulis ini berkata bahawa beliau bagus dari segi menjual idea potongan kos kepada orang ramai, tetapi beliau gagal menyatakan untuk apa dan bagaimana untuk memotong kos itu.  Bagi mereka, langkah jimat-cermat Cameron kini membawa padah:  "Usaha untuk menaikkan fi universiti, untuk merombak Perkhidmatan Kesihatan Negara, untuk mengurangkan bilangan tentera dan polis, bahkan untuk menjual hutan negara, semuanya menimbulkan kesan yang bertentangan dengan apa yang dirancang, dengan kerajaan memagari atau hanya semata-mata meninggalkan rancangannya."  


"Pelaksanaan pembaharuan dan kehilangan kesahan," itulah yang cuba ditegaskan oleh Sennett dan Saskia: "Dalam percubaan untuk melaksanakan pembaharuan, kerajaan kelihatan tidak mampu; kerajaan kehilangan kesahan.  Kedua-dua penulis ini memetik budak berusia 16 tahun di Hackney memberitahu The Guardian, "Kami terpaksa melakukan perkara untuk diri kami sendiri" untuk meyakinkan bahawa pihak berkuasa tidak peduli, atau tahu bagaimana untuk melindungi komuniti, seperti dia.  Sennett dan Saskia menamatkan tulisan dengan peringatan tentang bahaya langkah jimat-cermat: "Krisis semasa Britain sepatutnya mendorong kita untuk merenung hakikat bahawa kerajaan kecil boleh sebenarnya meningkatkan ketakutan komunal dan menghapuskan kualiti hidup kita."


Meskipun diakui bahawa rusuhan tersebut bukan berpunca daripada satu faktor, sebaliknya pelbagai faktor, langkah jimat-cermat salah satu daripadanya.  Seperti yang dinyatakan oleh William Lee Adam dalam Time bahawa ahli sains sosial berpendapat adalah terlalu mudah untuk mewujudkan kaitan langsung antara potongan jimat-cermat Britain dengan keganasn gerombolan.  Akan tetapi, kesan potongan berkenaan mungkin mempengaruhi remaja yang duduk-duduk sahaja.  Isunya, menurut ahli sosiologi, bukan bahawa remaja menganggur, tetapi mereka tidak sibuk, dan dengan itu, besar kemungkinan berdiri-diri di tepi jalan dan merayau-rayau di pusat beli-belah, dan terdedah pada kegilaan pemberontakan.


Runtuhnya undang-undang juga mendorong remaja untuk merusuh hingga merebak ke kota-kota lain.  Mereka dikatakan membuat perhitungan rasional untuk "tumpang sekaki," iaitu keluar ke jalan-jalan dan  menjarah kedai-kedai kerana mereka menonton melalui televisyen dan Internet orang lain melakukannya dengan sewenang-wenangnya mengambil atau mengangkut barang.  Dalam bahasa mudah, "tidak makan saman."


Derek Thompson cuba mengaitkan rusuhan di London itu dengan langkah jimat-cermat, dan tegas beliau, London bukannya kota terakhir yang terbakar.  "Untuk tahun lalu," tulis Thompson dalam theatlantic.com, Great Britain memperkenalkan jimat-cermat hingga ke darjah yang menyebabkan sesetengah orang Amerika yang konservatif merah muka.  Tujuan mengecilkan kerajaan adalah mengurangkan hutang.  Akan tetapi, kesannya membunuh ekonomi.  Dengan United Kingdom terhuyung-hayang di tepi lurah kemelesetan yang bahaya, keyakinan pengguna pada tahap rendah dari segi rekod, pengangguran meningkat dan terus meningkat, dan bahkan ahli ekonomi yang paling optimistik meramalkan pertumbuhan satu peratus untuk tahun ini."


Pencurian dan keganasan dan jenayah jalanan dan keruntuhan undang-undang di London, tambah Thompson, memeranjatkan, tetapi tidak unik.  "Di seluruh dunia, beban pengangguran amat dirasai oleh golongan remaja yang selalunya bertindak balas dengan keganasan.  Penangguran yang tinggi ialah faktor berlakunya protes di Sepanyol, Pemberontakan di Timur Tengah dan Afrika Utara."


Beliau juga merujuk kertas penyelidikan Austerity and Anarchy:  Budget Cuts and Social Unrest in Europe, 1919-2009 oleh Jacopo Ponticelli dan Hans-Joachim Voth yang kini mula  dipetik.  Kesimpulan mereka, seperti yang dinyatakan  oleh Thompson, jimat-cermat membiakkan anarki.  Lebih banyak potongan, lebih banyak jenayah.


Walau bagaimanapun, The Economist, "Anarchy in the UK," menolak pandangan rusuhan itu berpunca daripada potongan, sebagaimana yang berlaku 1980-an ketika "potongan Thatcher" bahawa pandangan itu masih merupakan fantasi malas.  Rusuhan ini juga bukannya secara terang-terangan politik dan perkauman, seperti yang berlaku di Britain pada tahun 1980-an, Los Angeles pada 1992 atau Perancis pada 2005.  Makalah itu masih belum dapat mengenal pasti faktor yang menyebabkan tercetus rusuhan, tetapi  menegaskan kesannya cukup dalam:   "Keretakan dalam masyarakat British, ekonomi dan moral, terbuka luas, dan lebih dalam jika dibandingkan dengan dilihat.  Rusuhan itu adalah  buruk kerana  ekonomi Britain  telah pun terketar-ketar.  Rusuhan membawa kemusnahan orang ramai yang rumah dan perniagaan dirosakkan dan dimusnahkan.  Rusuhan mencemarkan imej Britain di seluruh dunia.  Akan tetapi, daripada semua itu, rusuhan secara terdesak mengelirukan pertimbangan sendiri negara ini."


Seperti yang dikatakan dalam "Bunga Melati di Kota London?" Simon Tisdall pernah mengingatkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak supaya meninggalkan  model Hosni Mubarak dalam menangani Perhimpunan Bersih baru-baru ini.  Dalam ulasannya yang diterbitkan dalam The Guardian itu, Tisdall dengan angkuh mendesak ketika Najib datang mencari pelanggan untuk perdagangan United Kingdom, Cameron mempunyai peluang untuk memberitahu Najib bahawa taktik kekerasannya terhadap penunjuk perasaan tidak boleh diterima.


Malangnya, walaupun rusuhan di negaranya sendiri berlanjutan lebih seminggu, Tisdall masih bertindak mendiamkan diri.  Tulisan terakhir beliau dalam akhbar itu pada 8 Ogos lalu, iaitu tatkala rusuhan telah pun tercetus, adalah mengenai kemungkinan Amerika Syarikat tersingkir sebagai pemimpin global.  Setakat ini, beliau belum muncul untuk mengemukakan ulasan tentang peristiwa yang mengaibkan yang berlaku di negaranya sendiri.  Betul-betul beliau hanya "nampak kuman di seberang laut."  


Untuk beliau menasihati Perdana Menteri David Cameron, sebagaimana beliau menasihati Najib, jauh sekali: dwistandard.  Lebih mengaibkan lagi, Mona Eltahawy mendahului Tisdall untuk mengambil langkah itu, "Please Britain, Don't Let Mubarak Inspire Your Response to Unrest."  Mona dengan cara sopan, iaitu tidak secara terang-terangan menuding jari  terus kepada David Cameron, "bukannya rusuhan yang mengingatkan saya tentang pemberontakan Mesir, tetapi sikap memandang hina terhadap hak kebebasan awam yang para pemimpin di kedua-dua negara tunjukkan."






Oh, keanehan dalam keanehan, Mona seakan-akan merungut tentang beberapa rancangan Cameron untuk menyelamatkan negaranya daripada anarki:  "Meriam air? Memanggil tentera?  Menutup atau mengganggu khidmat pesanan telefon bimbing dan rangkaian sosial pada masa kekacauan awam?  Mona mengimbas semula enam bulan selepas diktator di negara saya, Hosni Mubarak, meletakkan jawatan selepas 18 hari pemberontakan popular, Perdana Menteri British, David Cameron, anggota Parlimen, dan perkhidmatan keselamatan, berbincang dengan serius langkah kasar (draconian) dalam respons terhadap hari demi hari rusuhan.


"Lupakan perbandingan karut antara rusuhan itu  dengan revolusi Mesir.  Tulis Mona, "sebaliknya, bandingkan reaksi yang sama para pemimpin yang menyeramkan terhadap apa yang mereka tanggapi sebagai krisis."  Beliau mengingatkan bahawa Cameron mengutuk Mubarak  tanpa berselindung dan secara sah kerana menutup Internet, menggunakan meriam air terhadap penunjuk perasaan.  Hal ini membuat anda tertanya-tanya kalau-kalau Mubarak melakukan kerja sampingan sebagai perunding tentang cara yang paling berkesan untuk mengikis hak kebebasan awam di seluruh dunia ketika beliau menunggu sesi akan datang perbicaraannya kerana membunuh dan rasuah.


Rusuhan di London dan kota-kota lain di negara itu diikuti dengan penuh minat oleh banyak orang.  Mereka mahu mengetahui faktor sebenarnya yang menyebabkan tercetus rusuhan, meskipun setakat ini, kemerosotan moral, skandal demi satu skandal, dan langkah jimat-cermat yang paling jelas.  Oleh sebab rusuhan yang meletakkan United Kingdom bergelut dengan anarki masih berlanjutan, banyak orang ingin mengetahui  bagaimana cara kerajaan David Cameron mengambil tindakan seterus demi  meredakan keadaan.  Namun, yang pasti, semakin lama rusuhan itu, semakin jelas kelihatan bayang-bayang Hosni Mubarak, dan ini tidak memeranjatkan kerana apabila kuasa dan wibawa seseorang itu tercabar, lazimnya dia akan mengambil langkah yang keras. Jika demikian, apakah Simon Tisdall menasihati Perdana Menterinya supaya jangan menerima pakai model Mubarak?














No comments:

Post a Comment