Pages

Thursday, July 21, 2011

Laut Gelora Bumi Gersang

KHAMIS,  21 Julai 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH







Majalah Time keluaran 18 Julai, "The Future of Fish:  Can Farming Save the Last Wild Food"  cuba mengingatkan kepupusan stok ikan di laut dan perlu digantikan dengan ikan ternak, seperti yang dibahaskan dalam makalah Bryan Walsh, "The End of the Line."  Sejak manusia bercucuk tanam kira-kira 10,000 tahun dahulu, kebanyakan makanan kita datangnya daripada tangan petani.  Kita menanam buah-buahan, sayur-sayuran, dan biji-bijian untuk menampung keperluan makanan kita dan haiwan ternakan yang kita bergantung pada daging dan hasil  tenusu.  Akan tetapi, ada pengecualian.  Apabila manusia memancing,  kita  masih pergi ke laut untuk mendapatkan ikan dijadikan lauk.  Wujud suasana romantik untuk menangkap ikan yang tidak boleh dipisahkan dengan suasana romantik laut, sebagai cara hidup.  

"Ikan merupakan makanan liar terakhir," Walsh memetik Paul Greenberg, pengarang Four Fish,  salah sebuah buku terbaik tentang keadaan makanan laut.  "Dan hanya baru menyedarinya" - mungkin sudah terlewat.  Walsh memetik laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa 32 peratus stok ikan global dieksploitasi berlebih-lebihan dan sebanyak 90 peratus spesies besar, seperti ikan tuna dan marsuji telah ditangkap dalam setengah abad lalu.  Beliau juga memetik laporan terbaharu oleh International Programme on the State of the Ocean mendapati spesies marin dunia menghadapi ancaman "yang tidak pernah dalam sejarah manusia" - penangkapan ikan  secara berlebih-lebihan adalah sebahagian masalah itu.  

Sementara itu, jelas Walsh, tangkapan seluruh dunia kelihatan mendatar pada kira-kira 80 juta tan setahun sejak pertengahan 1990-an.  Memang banyak ikan, tetapi bahkan jika tahap itu terbukti mapan, masih tidak cukup untuk menampung penggunaan makanan laut global, yang meningkat daripada 10 kg seorang setahun pada 1960-an kepada hampir 17 kg hari ini.  Dengan beratus-ratus orang menyertai kelas menengah di dunia membangun dan ikan semakin dianggap sebagai enak dan bentuk protein untuk kesihatan jantung, trend itu akan meningkat.  Kesimpulan yang pasti: tidak cukup makanan laut di dalam laut.  "Stok makanan laut tidak meningkat," beliau memetik Stephen Hall, Ketua Pengarah WorldFish Center.

Kira-kira sebulan lalu, Fiona Harvey, koresponden alam sekitar The Guardian melaporkan keadaan laut yang memeranjatkan yang mengancam  pemupusan besar-besaran akibat penangkapan ikan secara berlebih-lebihan dan pencemaran. Ikan, yu, paus, dan spesies marin lain adalah di ambang bahaya "yang tidak pernah berlaku sebelum ini" dan peristiwa pemupusan yang menimbulkan bencana angkara kerakusan manusia, dan lenyap pada kadar yang pantas daripada yang seseorang ramalkan.  Memetik daripada penyelidik yang mengkaji lautan dunia, pemupusan besar-besaran spesies akan "tidak dapat dielakkan" jika trend semasa ini berterusan.

Sebagaimana Bryan Walsh, Fiona juga  memetik laporan International Programme on the State of Ocean bahawa penangkapan ikan secara berlebih-lebihan, pencemaran pengaliran baja dari perkebunan, dan pengasidan laut yang diakibatkan oleh peningkatan pengeluaran karbon dioksida yang turut bersatu untuk meletakkan makhluk marin dalam bahaya yang amat sangat.  Panel antarabangsa pakar marin berkta, wujud "risiko tinggi memasuk fasa pemupusan spesies marin yang tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia."  Mereka berkata, cabaran mendepani lautan mewujudkan "keadaan yang bersekutu dengan setiap pemupusan besar spesies sebelum ini dalam sejarah Bumi."


Dari Thailand ke Texas, batu karang bertindak balas terhadap tekanan haba dengan cara memutihkan atau  menanggalkan warna dan memasuki bentuk kelangsungan.  Banyak yang telah pun mati, dan banyak lagi dijangkakan mati pada bulan mendatang. Tulis Justin Gillis  dalam The New York Times pada tahun lalu tentang cuaca panas melampau mengancam  batu karang.  Ramalan komputer tentang suhu air menunjukkan bahawa karang di Carribean mungkin mengalami pemutihan dalam beberapa minggu akan datang.  Di berbelas-belas negara pulau kecil dan beberapa pantai Indonesia dan Filipina, orang ramai  terlalu bergantung pada ikan terumbu untuk makanan.  Apabila batu karang mati, ikan tidak mati dengan segera, tetapi jika polip karang tidak pulih, batu karang akhirnya runtuh, menyebabkan kawasan menangkap ikan kurang produktif."


Lima hari lalu, editorial The New York Times muncul dengan "A Look Into the Ocean's Future" yang memetik laporan terbaharu bahawa lautan perubahan yang tidak dapat kembali kepada sediakala, yang berpotensi membawa malapetaka. Memetik  International Program on the State of the Ocean dan  International Union for Conservation of Nature (IUCN) yang mendapati marin mengalami "kemerosotan adalah kini berlaku pada kadar yang lebih pantas daripada yang diramalkan."  Lautan menjadi hangat dan menjadi lebih berasid kerana lautan menyerap karbon dioksida yang dijanakan oleh manusia dari atmosfera.  


Editorial itu mengingatkan daya pemulihan semula jadi dijadikan tolak ansur secara serius.  Pencemaran, kehilangan habitat dan penangkapan ikan secara berlebih-lebihan mengancam bahaya terhadap  dirinya  sendiri.  Akan tetapi, apabila faktor ini bertemu, boleh merosakkan ekosistem marin.  Keterukan impak manusia diperteguh minggu lalu apabila ahli sains menyimpulkan bahawa tujuah spesies yang penting dari segi komersial, termasuk mersuji, ikan kembung, dan tiga spesies tuna, sama ada terdedah pada pemupusan,  terancam  ataupun terancam secara kritikal, menurut standard IUCN.  Penyelesaian yang mungkin membantu memperlahankan kemorosotan seterusnya, termasuk pengurangan  segera dalam pengeluaran karbon dioksida, sistem kawasan pemulihan marin dan cara untuk melindungi hidupan lautan yang melampaui bidang kuasa negara.   

Coral Reef, Raja Ampat, West Papua, Indonesia
                                                             Sumber:  The Guardian



Untuk beberapa dekad, ahli sains, seperti yang dinyatakan oleh Andrew C.  Revkin, cuaca yang  membawa bencana, termasuk kehangatan, kemarau, dan banjir besar, akan berlaku dengan kekerapan yang semakin meningkat di dunia yang semakin panas dengan meningkatkan penumpuan gas rumah hijau.  "Banyak ahli sains percaya bahawa Afrika Sub-Sahara akan terutamanya mudah terdedah  pada dekad mendatang  terhadap bahaya berkait dengan cuaca, seperti gelombang kehangatan dan banjir kilat.  Akan tetapi, kehangatan global merupakan kesuraman faktor yang meningkatkan risiko di sana.  Kemiskinan yang berpanjangan, ketiadaan tadbir urus, dan kadar tinggi pertumbuhan penduduk meletakkan negara Afrika dengan kapasiti yang kurang untuk mengendalikan terlalu banyak atau terlalu kurang air.
Sebagaimana di laut, di bumi, keadaannya juga serupa, bahkan mungkin lebih teruk, berhadapan dengan kemelut pencemaran, keterhakisan, pemupusan, dan perubahan cuaca yang tidak menentu.  Krisis makanan yang melanda dunia sekarang, antara sebabnya cuaca buruk, seperti banjir  atau  kemarau  yang menjejaskan dan   merosakkan tanaman. 

Laporan Oxfam, seperti yang dipetik oleh Brian Fagan, yang diterbitkan baru-baru ini, meramalkan kos purata tanaman makanan utama akan meningkat antara 120 peratus hingga 180 peratus pada tahun 2030.  Oxfarm mengeluarkan amaran tekanan yang kuat terhadap orang ramai telah pun terpaksa  bersusah payah dengan makanan yang tidak cukup.  Perubahan cuaca, dengan suhunya yang tinggi dan kemarau yang panjang, akan menyebabkan sekurang-kurangnya separuh harga hadapan meningkat, terutamanya kerana kekurangan air yang mendatangkan bencana.  Keadaan ini merupakan benar-benar krisis dari segi suhu yang meningkat, kemarau yang berpanjangan, dan harga makanan yang meningkat dalam menghadapi peningkatan penduduk yang pesat.  Krisis ini melanda kita kerana bekalan air tawar dunia adalah terhad dan selalunya begitu.  Kini, berbilion-bilion orang jika dibandingkan setengah abad lalu bergantung pada "akaun bank" tetap air tawar yang menyusut setiap hari, tanpa bayang-bayang kelegaan.


Sehari lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan secara rasmi krisis makanan di beberapa tempat di Somalia yang kebuluran dan mengulangi gesaan yang terdesak untuk lebih banyak bantuan daripada negara penderma.  "Jika kita tidak bertindak sekarang, kebuluran akan merebak ke semua lapan wilayah Somalia selatan dalam masa dua bulan akibat hasil tanaman yang tidak menjadi dan merebaknya penyakit berjangkit," kata Mark Bowden, Penyelaras Kemanusiaan PBB untuk Somalia, dalam satu kenyataan.  "Kita masih mempunyai semua sumber untuk makanan, air  bersih, tempat perlindungan, dan perkhidmatan kesihatan untuk menyelamat nyawa beratus-ratus rbu orang Somalia yang dalam keadaan terdesak." 

Kebuluran kini berlaku di wilayah Bakool dan Shabelle Rendah di Somalia di tengah-tengah kemarau yang teruk di Afrika timur untuk 60 tahun.  Kemarau di sana meletakkan 11 juta orang yang dianggarkan berhadapan dengan risiko, tetapi Somalia negara paling teruk  kerana negara telah punah-ranah akibat sedekad persengketaan.  Food Security and Nutrition Analysis Unit (FSNAU) memaklumkan krisis ini menunjukkan situasi tidak terjamin makanan yang paling serius di dunia hari ini, dari segi skala dan keterukan.  Beratus-ratus ribu orang terpaksa meninggalkan Somalia akibat kemarau dan persengketaan, dan pelarian hampir mati berpunca daripada faktor yang berkait dengan pemakanan tidak seimbang ketika dalam perjalanan atau sebaik-baik sahaja tidak di kem-kem bantuan.




Keadaan di negara itu, seperti yang dilaporkan oleh The Telegraph  berikutan perisytiharan PBB itu, mula-mula  dilanda peperangan dan kemudian kemarau adalah teruk di beberapa tempat.  Perisytiharan itu akan menjadi yang pertama dalam siri "krisis makanan di Tanduk Afrika, dan kali pertama istilah kebuluran digunakan secara rasmi sejak hampir satu orang Etiopia mati kebuluran pada tahun 1984.  Akan tetapi, Washington, penderma terbesar dunia untuk Somalia hingga tahun 2009, kini disekat daripada membiayai rayuan makanan atas alasan kalau-kalau wang itu "memberikan manfaat kebendaan" kepada pengganas.  


Lebih 11 juta orang  di Somalia, Etiopia, dan Kenya dilaporkan sangat-sangat memerlukan makanan selepas dua tahun kemarau yang membunuh kebanyakan haiwan yang hanya merupakan sumber makanan, kekayaan, dan pendapatan mereka.  Orang Afrika yang kebuluran yang dilupakan meneriak meminta bantuan, tulis Mike Pflanz.  Satu perjalanan yang jauh dari kampung Fini ke Dadaab, kem pelarian Kenya kini memberikan tumpuan kepada percubaan untuk menyelamatkan berjuta-juta orang daripada mati kebuluran di Tanduk Afrika.  


Yang membimbangkan kebuluran di Afrika timur itu boleh mengancam kestabilan serantau.  Negara yang begitu lama sengsara di rantau Afrika itu lama menanggung keadaan kemarau yang teruk lebih setengah abad, dan menghadapi risiko "kebuluran besar-besaran," menurut US Agency for International Development (USAID) yang memberitahu The Huffington Post pada hari Rabu minggu lalu.  Krisis makanan di negara, seperti Etiopia, Kenya, dan Somalia meletakkan berjuta-juta orang pada risiko, dan ancaman terhadap wilayah yang nyahstabil yang  huru-hara  di dunia. USAID maklum tentang keadaan kemarau yang paling teruk dalam masa 60 tahun dan akan membawa kesan yang sangat teruk:  kekurangan makanan dan air di Afrika timur "darurat keselamatan makanan yang paling teruk di dunia hari ini."


Akhbar The Telegraph juga menyediakan kotak fakta tentang kebuluran yang berlaku di Afrika sejak tahun 1984-1985 hingga 2002.  Kemarau, peperangan, pergolakan politik, dan wabak belalang juta membawa krisis makanan ke bahagian-bahagian Afrika.





Pada awal bulan ini, akhbar The Independent telah memberikan liputan tentang kebuluran di rantau itu akibat kemarau yang teruk dan ancaman peperangan: kebuluran kembali.  "Kebuluran tidak  berlaku sekelip mata,"  tegas Paddy Ashdown dalam The Guardian pada hari ini.  "Kebuluran kanak-kanak" Somalia diabaikan, dan  beliau menyalahkan media  yang mementingkan peristiwa sensasi; media tidak menggunakan kuasa dan pengaruh mereka untuk memberitahu cerita tentang berjuta-juta wanita dan kanak-kanak di Somalia, dan sepanjang seluruh Tanduk Afrika yang terpaksa bertungkus-lumus demi kelangsungan dan keperluan yang orang awam British mampu tolong. 


Dari laut  ke bumi, kita kini menyaksikan krisis ekologi yang semakin teruk yang boleh mengorbankan berjuta-juta nyawa manusia.  Namun, seperti yang pernah dibahaskan, para penggubal dasar selalunya menunggu berlakunya krisis sebelum mereka bertindak. Sementara orang ramai pula terus merasa selesa, meskipun krisis itu semakin menghampiri mereka.






  

No comments:

Post a Comment