Pages

Wednesday, July 20, 2011

Bonapartisme Menguasai Dataran Tahrir

RABU,  20 Julai 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH







Minggu lalu hingar-bingar dengan krisis hutang di zon euro yang tanpa kesudahan, skandal penggodaman telefon di Britain seolah-olahnya berakhirnya dunia yang kita kenali,  dan kebuntuan siling hutang Amerika Syarikat. Di tengah-tengah kekalutan tersebut  Pemberontakan Arab kedua yang pada mulanya cukup bertenaga, kemudian kemaraannya menjadi tegun,  turut  mendapat perhatian. 


"Revolusi belum selesai lagi," isytihar Hamadi Redissi dalam The New York Times, enam bulan lalu, beliau mengimbas semula, selepas berminggu-minggu protes, rakyat Tunisia berkumpul di hadapan Kementerian Dalam Negeri untuk menuntut bahawa presiden  mereka yang begitu lama, Zine el-Abidine Ben Ali, meninggalkan negara.  Ben Ali lri ke Arab Saudi pada 14 Januari.  "Akan tetapi, masa depan negara masih tidak pasti."  Selain anggota rejim lama yang dianggap penghalang demokrasi baru, Redissi membangkitkan masalah sosial yang mencetuskan kekacauan semasa terus meracuni proses peralihan.  Pengangguran yang serius dan rendahnya tahap pendidikan boleh melemahkan peralihan demokrasi Tunisia.  Tambah beliau, "sistem persekolahan yang sejak lama menjejaskan daya saing Tunisia dengan mengutamakan kuantiti berbanding dengan kualiti, secara terdesak memerlukan pembaharuan yang mendalam.  Sementara itu, 1.2 juta rakyat Tunisia, iaitu lebih 11 peratus penduduk negara itu, hidup dalam kemiskinan."  Pada 23 Oktober ini, rakyat Tunisia akan memutuskan, sama ada mereka mahu sistem berpresiden ataupun pun berparlimen, dan memiliha kerajaan baru.  Lebih 90 buah parti boleh muncul pada kertas undi, bermakna bahawa dewan perhimpunan kemungkinan sangat berbelah bahagi. Beliau menyudahkan tulisannya dengan membayangkan kemungkinan masa depan Tunisia:  Hanya selepas itu kita tahu, sama ada revolusi Tunisia mewakili kemenangan liberalisme ataupun membuka pintu kepada golongan ekstremis.


Sementara itu,   Mesir dilanda oleh gelombang protes baru berikutan tentera menangguhkan pilihan raya sehingga November ini.  Dataran Tahrir di Kaherah, lapor Jack Shenker, sekali lagi menjadi medan keberangan kerana penunjuk perasaan menuduh pemimpin  de facto,  Fil Marsyal Mohamed Hussein Tantawi, mengkhianati revolusi.  "Persoalan yang paling penting mungkin berapa banyak orang awam menyokong adalah di belakang Tahrir (dan tempat lain, yang lebih kecil, tunjuk perasaan di seluruh negara itu)," hujah  Issandr El Amrani.   "Kehadiran pada hari Jumaat itu mungkin menjadi satu petunjuk itu."  Bagi El Amrani, Mesir mengalami gelombang baru protes kerana ketidakpuasan terhadap langkah kemajuan merebak.  Justeru, apa yang boleh dicapai?

Di Dataran Tahrir, kemarahan tercetus semula, tulis Robert Fisk dalam The Independent.  "Ke mana pergi revolusi yang orang ramai perjuangkan?"  Hosni Mubarak mungkin telah pergi, tetapi orde baru masih terkial-kial.  Rakyat mula jemu dengan Majlis Tertinggi Angkatan Tentera yang menggunakan alat yang sama seperti Mubarak.  Kelebihan revolusi Mesir, seperti yang diperhatikan, tegas beliau, ialah tanpa pemimpin, maka tiada sesiapa yang hendak tangkap.  Akan tetapi, kelemahannya ada juga, oleh sebab tiada pemimpin, tiada sesiapa yang mengambil tanggungjawab revolusi selepas revolusi berakhir.


"Egypt's Revolution is Stuck in a Rut, But We Still Have the Spirit to See it Through," demikian tajuk makalah  Ahdaf Soueif yang menggambarkan revolusi Mesir seakan-akan menempuh jalan buntu kerana kerajaan tentera meletakkan halangan terhadap pembaharuan.  "Anda boleh berkata revolusi kami tegun atau mati.   Atau anda boleh berkata revolusi bukannya peristiwa, tetapi proses, dan bahawa proses memerlukan tolakan," tulis Ahdaf dengan nada yang agak kecewa.  Beliau mengakui kesilapan yang mereka lakukan selepas Hosni Mubarak meletakkan jawatan:  Dengan pengalaman yang lalu, kami meninggalkan jalan-jalan terlalu awal.  Kami adalah pemenang, dan kami tidak dapat apa-apa.  Apabila kami berjaya menyingkirkan Hosni Mubarak dan tentera mengambil alih, kami sepatutnya sepatutnya tinggal di situ dan menuntut bahawa kuasa diberikan kepada kerajaan revolusi.  Akan tetapi, kami tidak menentukan 'kepimpinan' yang boleh bercakap bagi pihak kami kepada tentera, dan kami tiada kerajaan yang bersiap sedia mengambil kuasa.  Akan tetapi, itu juga keindahan revolusi kami; tanpa pemimpin, tulen, akar umbi, revolusi secara aman kami."


Protes  untuk menyelamatkan Pemberontakan Arab, iaitu di seluruh dunia Arab, penunjuk perasaan menunjukkan keberangan terhadap tentangan kepada perubahan yang ditunjukkan oleh kerajaan sementara, di samping rejim lama. Enam bulan selepas Pemberontakan Arab menumbangkan diktator pertama, dataran-dataran utama di Keherah adn Tunis hidup semula dengan protes, gas pemedih mata, dan keberangan.  Tunjuk perasaan itu mengingatkan bahawa berikutan rasa sangat gembira, sedikit kemajuan konkrit ke arah pembaharuan yang dilakukan.  Pilihan raya di Tunisia dan Mesir ditangguh.  Tawaran pembaharuan di Yaman dan Syria telah ditolak kerana tidak cukup,  Di Mesir, beribu-ribu penunjuk perasaan menuruni dataran awam di seluruh negara itu untuk memberikan "Jumaat amaran terakhir" kepada junta tentera yang memerintah, di tengah-tengah ketakutan bahawa revolusi yang menumbangkana Hosni Mubarak dikhianati tentera yang konservatif.


Samir Amin dalam sebuah tulisan yang cukup menarik dan analitis, yang kaya dengan perspektif sejarah tentang Pemberontakan Arab, "2011:  An Arab Springtime?"  sebelum pergi jauh mengingatkan kemungkinan yang akan berlaku.  Tahun 2011 bermula dengan siri kejutan besar, marah, dan ledakan daripada rakyat Arab. Adakah ini musim bunga permulaan "kesedaran dunia Arab" kedua?  Atau Pemberontakan ini akan menemui jalan buntu dan ternyata  terbantut, seperti yang berlaku dengan episod pertama kesedaran.  Jika hipotesis bertama disahkan, gerakan hadapan dunia Arab akan perlu menjadi sebahagian gerakan yang melampau kapitalisme imperialis pada skala dunia.  Kegagalan melakukannya akan mengekalkan dunia Arab pada status semasa sebagai pinggir peserah.


Dua bulan selepas Dataran Tahrir, majalah Time keluaran 18 April 2011, muncul dengan liputan utama "Egypt's Unfinished Revolution," memperlihatkan persaingan antara golongan demokrat dengan demagog tentang masa depan negara itu. Di dalamnya terkandung  makalah  "Democracy, Egyptian Style" oleh Abigail Hauslohner yang melahirkan kebimbangan tentang masa depan demokrasi kerana terlalu banyak kuasa adalah kini dalam tangan Majlis Tertinggi Angkatan Tentera yang diketuai oleh Mohamed Hussein Tantawi, sekutu lama Mubarak.  Banyak aduan bahawa tentera tidak berminat meninggalkan cara lama mereka, iaitu kepentingan dalam perniagaan.  Mengkritik manusia yang berpakaian seragam ini akan mengundang padah.  Dalam masa dua bulan lalu, tentera menahan beribu-ribu orang, kebanyakan mereka penunjuk perasaan yang mempersoalkan tindak-tanduk tentera.

Sementara itu, Sameh Naguib yang menulis dalam Socialist Review memerhatikan bahawa Majlis Tertinggi Angkatan Tentera merupakan sebahagian rejim lama.  Beliau mengingatkan bahawa selagi rakyat jelata masih revolusioner, dan mengharapkan esok yang lebih baik dan kehidupan yang sopan ... maka musuh revolusi tidak akan mampu memperdayakan rakyat jelata dan kuasa politik yang kini bersekongkol dengan tentera.  Phil Marfleet yang menulis dalam keluaran yang sama jurnal itu juga mengingatkan bahawa anggota Majlis Tertinggi itu merupakan sebahagian rangkaian imperialis yang mengekalkan raja, putera, dan presiden di seluruh Timur Tengah, dan yang melindungi Israel menentang rakyat Palestin dan kemarahan rakyat jelata.  Mereka tidak mempunyai apa-apa persamaan dengan rakyat Mesir yang mencetuskan Revolusi Tahrir.

Dalam wawancara dengan New Left Review, Hazem Kandil memerhatikan bahawa meskipun Mubarak tumbang, tidak seperti Revolusi Iran, tidak berlaku perpecahan dalam kalangan tentera Mesir.  Setakat ini bercakap suara yang bersatu padu merentasi perkhidmatan, merentasi pangkat.  Kandil menegaskan bahawa jika Mesir terasing dalam revolusinya, maka prospek kembali semula oleh unsur sistem lama dan alat penindasan adalah tinggi.

Pada  7  Julai, Tony Karon menulis dalam Time, "Marx, Bonarparte, and the Egyptian Revolution:  Another Friday in Tahrir Square" bahawa kewartawanan politik abad ke-19 Karl Marx memberikan banyak kebaikan berbanding dengan  teori umum beliau tentang kapitalisme, sosialisme, dan sejarah.  Sesungguhnya, bapa komunisme moden mungkin lebih baik dari segi memakukan ciri revolusi 2011 d Mesir dalam The 18th Brumaire of Louis Bonaparte.  Dan protes hari Jumaat oleh berpuluh-puluh ribu orang di Dataran Tahrir Kaherah menunjukkan bahawa banyak rakyat Mesir melihat revolusi mereka diancam oleh bahaya yang sangat sama yang Marx jelaskan peristiwa di Perancis kira-kira 159 tahun lalu.

Akan tetapi, protes hari Jumaat di Dataran Tahrir, menurut pemerhatian Karon, upacara amal  "revolusi" yang ditujukan kini kepada mereka yang mendakwa memerintah atas namanya, mengingatkan konsep Marx tentang "Bonapartisme" yang kelihatan sesuai mentakrifkan rejim yang menggantikan Presiden Hosni Mubarak yang digulingkan.  Bonapartisme merujuk situasi yang gerakan revolusioner yang mencetuskan krisis, tetapi gagal menuntut kuasa untuk dirinya sendiri, sebaliknya melihat pegawai tentera revolusioner balas yang merampas kawalan, bercakap bahasa revolusi, bahkan seperti mereka bercita-cita meredakan, menyuraikan, dan menumpaskan revolusi.

"Protes hari Jumaat itu," tulis Karon, "pada asalnya memberikan tumpuan terhadap desakan untuk perlembagaan baru sebelum pilihan raya, iaitu soal membahagikan beberapa kawasan pengundian revolusioner utama, yang golongan liberal bersetuju, tetapi golongan Islamis menentang.  Sebaliknya, tercertus pernyataan meluas kemarahan orang ramai terhadap kegagalan kepimpinan tentera sementara untuk menunaikan janji revolusi Mesir yang belum selesai."

Sememangnya, tentera, tonggak rejim yang  sebelum Mubarak yang memaksa presiden tunduk kepada tuntutan jalanan dan meletakkan jawatan.  Institusi berdedikasi untuk kestabilan mengakui bahawa ini tidak mungkin sementara Mubarak masih berkuasa.  Sebaliknya, kepimpinan tentera sendiri masuk campur untuk menggantikan beliau, meletakkan kuasa eksekutif dalam tengan Majlis Tertinggi Angkatan Tentera dan berjanji menunaikan tuntutan jalanan,  bahkan seperti menahan mana-mana perubahan revolusioner yang lebih dalam.






Selain Majlis Tertinggi Angkatan  Tentera yang dianggap oleh banyak pihak menawan revolusi Tahrir itu,  Mesir selepas Mubarak meletakkan jawatan pada 11 Februari,  menyaksikan pada Mei lalu, persengketaan agama  antara Islam dengan minoriti Kristian Coptic.  Yasmin El Rashidi  yang menulis dalam The New York Review of Books, memerhatikan bahawa kemenagan puak Islam tidak menjamin kestabilan, dan beliau menyalahkan tentera yang bukan sahaja gagal bertindak, tetapi seolah-olahnya membiarkan persengketaan  seperti itu terus berlaku.

Selepas Zine el-Abidine Ben Ali digulingkan,  bekas Presiden Iran, Abolhassan Bani-Sadr menulis sebuah makalah yang  diterbitkan dalam The Huffington Post dan The New York Times, yang merupakan nasihat agar kesilapan dalam Revolusi Iran tidak berulang lagi.  "Seperti yang saya sangat ketahui daripada pengalaman peribadi, masa depan yang terbuka termasuk bukan hanya kemungkinan demokrasi, tetapi kemungkinan kebangkitan semula kediktatoran."  Pertamanya, tegas beliau, gerakan mesti menjauhkan dirinya daripada rejim lama dan elitnya.  Revolusioner hanya berlaku apabila sistem dirobohkan secara menyeluruh dan dibina yang baru.  Elit rejim lama   jangan sekali-sekali dibiarkan berkuasa. Kurangnya pengalaman dalam kalangan orang ramai tidak sepatutnya membiarkan gerakan diterajui oleh elit daripada bekas rejim.  Kekosongan mesti dipenuhi segera; jika tidak, elit rejim purba akan menyusun semula kuasa mereka.  Orang ramai di jalanan tidak sepatutnya fikir bahawa kerja mereka telah selesai, dan mereka boleh meninggalkan yang selebihnya kepada organisasi politik.  Sebaliknya, mereka mesti menjadikan kehadiran mereka dirasai di setiap penjuru negara dan pada setiap lapisan kerajaan, mungkin menerusi pembentukan majlis revolusioner tempatan.

Kini, Dataran Tahrir menjadi tumpuan semula.  Apakah api revolusi  terus menyala atau sebaliknya?  Yang pasti,  elit rejim purba bukan sahaja masih berkuasa, tetapi juga menguatkan cengkaman mereka. Bonapartisme bukan sahaja memberitahu rakyat Mesir, bahkan dunia bahawa mereka menguasai Dataran Tahrir, sekurang-kurangnya setakat ini.  Daripada pemerhatian Karl Marx kepada pengalaman Abolhassan Bani-Sadr banyak memberikan pengajaran bahawa revolusi banyak halangan dan rintangannya.  

























No comments:

Post a Comment