Pages

Sunday, June 26, 2011

Islam Politik: Pertukaran Idea antara Samir Amin dengan Tariq Amin-Khan

Islam Politik:  Pertukaran Idea antara Samir Amin dengan Tariq Amin-Khan


AHAD,  26  Jun 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH 



Dalam bukunya, Eurocentrism  (edisi kedua),  Samir Amin membincangkan Islam politik secara mendalam, antaranya beliau mengatakan bahawa berbanding dengan para rasul bani Israel yang hanya menyeru kaum mereka, iaitu bani Israel, manakala Islam menyeru semua umat manusia.  Islam seperti yang disusun di Madinah tidak boleh dipecahkan kepada hanya dogma agamanya semata-mata.  Islam mengatur masyarakat di kota itu, atau sekurang-kurangnya menyertai organisasi ini.  Justeru, tegas beliau, untuk menentukan apa yang Islam lakukan dan tidak lakukan di Madinah, merupakan kepentingan muktamad.  


Dalam bab politik Islam ini, Amin juga menyentuh kehilangan secara beransur-ansur kuasa autokratik pada masa lalu dan masa sekarang, berpunca daripada ketidakmampuan untuk menangani kerosakan yang disebabkan oleh integrasi dunia Islam dan dunia Arab ke dalam sistem kapitalis dunia sebagai pinggir yang dikuasai.  Amin mengingatkan kesilapan yang membawa padah untuk mempercayai bahawa kemunculan gerakan politik Islam beridentiti sendiri yang mempunyai kemampuan menggembleng golongan massa adalah tidak dapat dielakkan akibat penyerbuan terus ke dunia orang yang mundur dari segi budaya dan politik yang tidak dapat memahami mana-mana bahasa selain amalan mengaburkan maklumat kuasi-atavistik.  


Islam politik, bahas Samir Amin lagi, menentang konsep kemodenan pembebasan dan menolak mula-mula lagi prinsip demokrasi, hak bagi masyarakat untuk membina masa depan mereka sendiri menerusi kebebasan yang memberi dengan sendiri untuk menggubal.  Islam politik menyatakan bahawa Syura merupakan bentuk Islam demokratik.  Syura hanya satu daripada banyak bentuk perundingan  yang boleh ditemui dalam semua masyarakat pramoden, iaitu prademokratik.  Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa akhirnya, Islam politik tidak lebih daripada adaptasi kepada status subaltern kapitalisme komprador.  "Dua wacana kapitalisme liberal global dan Islam politik tidak bercanggah antara satu sama lain, tetapi sebaliknya, saling lengkap melengkapi secara sempurna."


Samir Amin juga pernah menulis "Political Islam in the Service of Imperialism"  mendakwa dari segi realiti, golongan militan Islam politik tidak benar-benar berminat dalam membincangkan dogma yang membentuk agama.  Penegasan ritual keanggotaan dalam komuniti merupakan tumpuan eksklusif mereka.  Penekanan eksklusif terhadap budaya memungkinkan Islam politik membasmi dari setiap lingkungan kehidupan sosial sebenar berkonfrontasi antara kelas popular dengan sistem kapitalis diglobalisasikan yang menindas dan mengeksploitasikan mereka.  "Golongan militan Islam politik," tegas Amin, tidak benar-benar hadir di kawasan yang konflik sosial sebenar berlaku dan para pemimpin mereka tidak henti-henti menegaskan bahawa konflik tersebut adalah tidak penting.  Golongan Islamis hanya muncul di kawasan ini untuk membuka sekolah dan klinik kesihatan.


Pada muka bumi isu sosial sebenar, Islam politik bersekongkol dengan kem kapitalisme tanggungan dan imperialisme dominan.  Keadaan ini bergantung pada prinsip ciri suci harta dan mengesahkan ketidaksamaan dan semua keperluan pengeluaran kapitalis.  Tulis Amin, "sokongan oleh  Ikhwanul Muslimim (Muslim Brotherhood) di parlimen Mesir untuk undang-undang reaksionari terbaharu yang mengukuhkan haki pemilik harta sehingga menjejaskan hak petani penyewa (majoriti kaum tani kecil), hanya merupakan satu contoh dalam kalangan beratus-ratus yang lain.  Tidak satu contoh bahkan satu undang-undang reaksionari yang diusahakan untuk diluluskan di mana-mana negara Islam yang ditentang oleh gerakan Islamis.  Tambahan pula,  undang-undang tersebut diisytiharkan dengan persetujuan para pemimpin sistem imperialis."  Bagi Samir Amin, Islam politik bukannya antiimperialis, bahkan jika golongan militannya berfikir sebaliknya.  Islam politik merupakan sekutu yang sangat tinggi nilainya bagi imperialisme dan imperialisme  mengetahuinya. Memang mudah untuk memahami, maka bahawa Islam politik selalunya dihitung  kedudukannya dalam kelas pemerintah Arab Saudi dan Pakistan.  Borjuis komprador tempatan, orang kaya baru, benefisiari globalisasi imperialis semasa, dengan murah hati menyokong Islam politik.


Tiga hujah utama, bagaimanapun, tegas Amin, dimajukan untuk menggalakkan gerakan sosial secara keseluruhan untuk menyertai dialog dengan gerakan politik Islam, yang dipetik di sini secara ringkas.  Pertama bahawa Islam politik menggembleng beberapa massa popular yang tidak boleh diabaikan atau dipandang rendah.  Alasan kedua dikemukakan oleh partisan "dialog" adalah bahawa Islam politik, bahkan jika reaksionari dari segi cadangan sosial ialah "antiimperialis."  Hujah ketiga yang menarik perhatian puak kiri kepada perlunya melawan Islamofobia.


"Islam politik," tulis Amin, "lebih banyak berhadapan dengan kesukaran untuk bergerak keluar dari sempadan Arab Saudi dan Pakistan tanpa sokongan yang berterusan, sangat kuat, dan tegas daripada Amerika Syarikat.  Masyarakat Arab Saudi bahkan tidak mula meninggalkan tradisi apabila petroleum ditemui di dalam perut bumi.  Perseikatan antara imperialisme dengan kelas pemerintah tradisional, termeterai serta-merta, adalah dicapai antara dua sekutu dan memberikan nafas baru kepada Islam politik Wahabi.  Sementara itu, British berjaya memecahkan perpaduan India dengan memujuk para pemimpin Islam mewujudkan negara mereka sendiri, terperangkap dalam Islam politik sejak mula-mula kelahirannya."


Beliau merumuskan bahawa daripada pemerhatian yang dibuat di sini adalah bahawa Islam politik bukannya hasil spontan penegasan agama tulen yang penuh keyakinan oleh orang ramai yang berkaitan.  Islam politik dibina oleh tindakan sistematik imperialisme, disokong pastinya, oleh kuasa reaksionari yang kabur dan kelas komprador yang menurut perintah.


Berikutan penulisan itu, Tariq Amin-Khan yang juga menulis dalam Monthly Review  memperlihatkan pertentangan pendapatnya dengan hujah Amin berhubung dengan pemahaman  politik Islam  dari perspektif materialis sejarah.  Amin yang menyentuh secara sepintas lalu terhadap beberapa isu, seperti kemodenan, sekularisme, dan imperialisme, dan pada amnya, menolak Islam politik dan secara kabur mengatakan golongan Islamis "berkhidmat untuk imperialisme."  Perkara yang membimbangkan dengan penolakan itu, tegas Tariq, adalah ketidakupayaannya untuk menyediakan pemahaman kritis tentang Islam politik sebagai fenomena ideologi, dan peranan semasa imperialisme Amerika Syarikat dalam menyasarkan Islam militan dan mengawal hasil poliltik di negara majoriti Islam.  Pandangan sedemikian juga tidak membantu puak sayap kanan kecil dan kuasa sekular di negara ini untuk membangunkan bahkan daya usaha strategik yang sederhana untuk menyaingi politik dan tuntutan Islam politik.


Tulisan Amin, hujah Tariq, tidak menangani peranan isu sosial dan ekonomi yang luas, termasuk impak globalisme kapitalis, di negara Islam majoriti.  Amin mengatakan bahawa Islam  politik adalah "berbaris di belakang kuasa dominan pada skala dunia," tetapi  berusaha sedikit sahaja untuk menjelaskan bagaimana ini muncul memandangkan Islam militan kini juga menghadapi Amerika Syarikat dan imperialisnya menduduki dan menyerbu negara Islam majoriti.  Realiti baru konfrontasi ketenteraan antara bekas sekutu bukannya menunjukkan bahawa tindakan politik Islam adalah antiimperalis."  Sebaliknya, tegas beliau, "yang menjadi keprihatinan saya di sini adalah untuk memajukan pemahaman materialis sejarah yang kritis tentang Islam politik yang sebahagiannya bersetuju, tetapi juga tidak bersetuju dengan beberapa analisis Amin."  Tambah Tariq, analisis materialis kritis yang digunakan di sini juga sedar amalan penindasan pengikut Islam politik, terutamanya yang berkaitan dengan layanan terhadap kaum wanita.


Meskipun pada peringkat awal, Tariq  seakan-akan tidak sabar lagi untuk menggasak Amin, tiba-tiba beliau  mengakui bahawa tidak boleh wujud pertikaian dengan pandangan bahawa Islam politik dari segi sejarah, bekerjasama dengan imperialisme Amerika Syarikat sepanjang tempoh Perang Dingin.  Ini bermula terlalu awal, pada tahun 1950-an dengan sokongan Ikhwanul Muslimim dan berakhir dengan mujahideen Afghan yang merasakan mereka ditinggalkan dalam kesusahan dengan penutupan bantuan senjata Amerika Syarikat, sokongan kewangan Arab Saudi, dan latihan serta bantuan ketenteraan Pakistan berikutan pengunduran tentera Soviet dari Afghanistan.  Namun, sebaik-baik sahaja kerjasama berakhir, sekitar awal 1990-an, persetanan Islam dan tesis pertembungan peradaban dimaju oleh Bernard Lewis (kemudian diambil lle Samuel Huntington), yang mencerminkan anjakan Perang Dingin dasar luar Amerika Syarikat, yang rangka kerja tidak lagi memerlukan sokongan politik Islam.


Tariq juga bersetuju dengan Amin bahawa fahaman budaya perlu ditentang, tetapi beliau menarik perhatian dengan membangkitkan soalan yang cukup besar, siapa yang akan menggemblengkan orang ramai menentang fahaman budaya Islam mililtan di negara Islam majoriti?  Wujud kesinambungan yang bermakna, menurut pemerhatian Tariq antara sasaran terhadap Marxis dan puak sayap kiri dengan serangan terhadap Islam politik/militian ialah Amerika Syarikat masih bergantung pada fahaman budaya untuk menaikkan penguasaan imperialnya.  "Faham budaya Islam politik ini menyembunyikan kecacatan sosial dan ekonomi yang disebabkan oleh globalisme kapitalis dan melencongkan persoalan politik terhadap  muka bumi budaya." 


Selain itu, Tariq bersetuju dengan Samir Amin bahawa jika puak kiri adalah berdaya  maju semula dalam masyarakat pascakolonial, mereka hanya tidak boleh mendapatkan kebolehpercayaan melalui persekongkolan dengan Islam politik dan Islam militan.  Persekongkolan tersebut merupakan tidak produktif dan akan merosakkan kuasa progresif dalam jangka panjang.  "Dalam konteks ini, Amin mengatakan bahawa Islam politik bergantung pada hubungan harta dan persekongkolannya dengan kem kapitalisme tanggungan dan imperialisme."   Namun, Tariq menjelaskan bahawa beliau tidak bersetuju dengan cakupan dakwaan Amin itu.  "Tanpa ragu-ragu," tulis Tariq, "Islam politik bukannya antikapitalis dan bukan juga menentang hubungan harta, tetapi dalam gabungan semasa, Islam politik juga bukannya 'sekutu yang sangat tinggi nilainya' bagi imperialisme, meskipun kedua-dua saling menyuap antara satu sama lain."


Untuk memperlihatkan perbezaan pendapatnya dengan Samir Amin, Tariq Amin-Khan menjelaskan secara terperinci bidang keprihatinan dalam analisis materialis sejarah Amin, bermula dengan kemodenan dan sekularisme.  Dakwaan Amin bahaw kemodenan dan sekularisme "mungkin bahkan demokrasi"  mungkin perlu "diadaptasikan dengan kehadiran kuat Islam," tegas Tariq, pandangan seperti itu betul-betul tersebar luas dalam arus perdana Barat dan bahkan dalam kalangan puak kiri yang mempercayai bahawa Islam politik merupakan manifestasi moden, sungguhpun sebagai kemodenan tidak berasaskan prinsip Enlightenment.  


Samir Amin, seperti yang dibahaskan oleh Tariq, tidak memasukkan dalam renungannya aspek penting materialisme sejarah yang merupakan perhatian penuh yang tajam kepada sejarah.  Misalnya, Amin menganggap Islam politik terutamanya sebagai pembangunan pascakolonial.  Pandangan tersebut mengabaikan kecenderungn dominan semasa Islam politik Wahabi/Salafi/Deobandi.  


Sebagai peringatan secara tidak langsung pada Samir Amin, dalam kesimpulan, Tariq menulis:  Pokoknya adalah bahawa jika puak kiri sentiasa ingin menjadi serius dalam mencabar Islam militan/politik, mereka perlu bergerak pantas dan mencampakkan bagasi berat Eurocentrism dan kecuaian analisis tentang Islam politk.  "Benar bahawa Islam militan tidak dikongsi oleh majoriti besar orang Islam di Afghanistan, Mesir, Indonesia, Pakistan, dan bahkan India."  Tambah beliau, "Akan tetapi, di sini masalahnya, Islam militan juga disokong oleh orang ramai di wilayah ini bukan, seperti yang dinyatakan sebelum ini, kerana wawasan 'negara kebajikan' Islam,' sebaliknya kerana Amerika Syarikat dilihat sebagai kejam, penakluk imperial anti-Islam.  Di samping itu, orang ramai di negara ini juga sangat letih dengan taktik golongan Islamis, terutamanya kerana mereka mengganas  dan menyasarkan orang ramai yang tidak bersenjata dan yang tidak terlibat."


Dalam respons terhadap komen Tariq itu,  Samir Amin menyatakan bahawa beliau tidak terperanjat dan cuba memberikan penjelasan  untuk membetulkan  kejahilan Tariq.  Beliau menyedari bahawa percanggahan pendapat ini adalah keprihatinan  cadangan mereka untuk strategi berkesan untuk menewaskan Islam politik, dan di sebalik itu jelas bahawa, keprihatinan beberapa konsep teoritis fundamental yang berkenaan dengan kemodenan, Eurocentrism, dan pembentukan budaya politik pelbagai orang ramai.  Tariq, tegas Amin, tidak biasa dengan bukunya,  Eurocentrism  


Amin juga melahirkan rasa terkejutnya bahawa Tariq boleh percaya bahawa beliau tidak tahu apa-apa tentang keadaan objektif oran ramai yang sengsara di pinggir (termasuk negara Islam) disebabkan oleh kapitalisme, yang merupakan alasan untuk kejayaan Islam politik sezaman, sedangkan beliau bukan sahaja banyak menulis buku tentang polirasi, tetapi juga yang berkait rapat dengan respons Islam politik terhadap kesan pemusnahan kapitalisme terhadap seluruh orang ramai.  Amin juga mengingatkan bahawa beliau tidak pernah mengasimilasikan Islam politik dunia moden dengan Islam "tradisional," "prakolonial," dan "pramoden."


Menegaskan bahawa Islam politik merupakan fenomena moden, Amin mendakwa bahawa Tariq tidak melihat hal ini dalam tesisnya.  "Semua ideologi, politik, dan gerakan sosial dunia 'moden' adalah moden kerana tidak dapat dipisahkan daripada kapitalisme." 


Tanpa berselindung, Amin mengakui dirinya Marxis dan pembela potensi kreatif Marxisme.  "Saya fikir alat materialisme sejarah dan alat itu sahaja, membolehkan kita memahami cabaran sebenar yang mendepani para pekerja dan mangsa lain kapitalisme dan kemodenannya." 


Samir Amin juga menjelaskan bahawa beliau mati-matian menolak fahaman budaya yang diketengahkan oleh Tariq, dan menolak dakwaan Tariq bahawa dirinya tidak pernah tidak peka terhadap Islamofobia.  Akan tetapi, beliau menjelaskan bahawa Islamofobia bukan sekadar ketakutan  yang pihak autoriti galakkan dalam pendapat Barat.


Sekali lagi Amin menegaskan bahawa Islam politik bukannya gerakan untuk pembaharuan agama, tetapi sekadar  gerakan politik yang menggembleng keanggotaan agama  dalam empatinya, lebih berbentuk  ritual, pengakur, dan reaksionari.  Kejayaan Islam politik tidak pergi jauh dengan ciri ini.  Dalam keadaan ini, Islam politik boleh hanya menyeleweng dalam  arah perisytiharan pengakuan fanatik, mendorong Sunah dan Syiah saling benci membenci antara satu sama lain.


Dengan menegaskan bahawa beliau menolak cadangan "kononnya liberalisme politik demokratik" yang "demokrasi (di negara Islam) patut menyesuaikan dirinya untuk menerima kehadiran sosial Islam yang kuat," beliau mendakwa bahawa "Tariq melakukan kesilapan dalam  pentafsiran apabila beliau menganggap saya mana-mana sokongan untuk cadangan tersebut.  Saya mengutuk cadangan ini dan natijahnya, meninggalkan sekularisme."


Perdebatan antara Samir Amin, intelektual Marxis dengan Tariq Amin-Khan, ahli akademik dari Pakistan tentang Islam politik mampu meningkatkan kefahaman kita tentang topik menarik perhatian sejak kebangkitan semula Islam.  Mungkin ada yang tidak bersetuju salah seorang dengan mereka atau kedua-dua mereka, tetapi sumbangan pemikiran mereka tentang Islam politik boleh dikatakan sesuatu yang amat berharga.  

No comments:

Post a Comment