SELASA, 3 September 2019
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Istilah ragam pengeluaran (modes of production) berasal
daripada karya Karl Marx, dan dan konsep ini memainkan peranan penting dalam
teori Marxis seterusnya. Wacana ragam pengeluaran memang popular dalam kalangan
Marxis, dan menurut takrif Marxisme,
ialah sebagai cara masyarakat disusun atau diatur untuk mengeluarkan barang dan
perkhidmatan. Ragam pengeluaran
mengandungi dua aspek utama, iaitu kuasa pengeluaran dan hubungan pengeluaran.
Kuasa pengeluaran termasuk semua unsur yang dibawa bersama-sama dalam pengeluaran,
seperti tanah, bahan mentah, bahan api, kemahiran manusia, buruh, jentera,
alat, dan kilang. Hubungan pengeluaran pula termasuk perhubungan dalam kalangan
orang dan perhubungan orang dengan kuasa pengeluaran yang menerusinya keputusan
dibuat tentang apakah yang akan dilakukan terhadap hasil.
Lazimnya,
wacana tentang ragam pengeluaran akan merujuk kepada Louis Althusser dan Etienne
Balibar, yang dikenali sebagai “ahli struktural
Perancis.” Balibar mentakrifkan ragam pengeluaran sebagai melibatkan kombinasi
tiga unsur, iaitu buruh, alat pengeluaran, dan beliau menambah, bukan buruh yang seperti dua unsur juga wajar disebut “faktor.” Unsur ketiga ini mengambil lebihan buruh, dan ini kapitalis. Beliau
berpendapat, semua unsur ini disertai
oleh perkaitan “harta” dan perkaitan “pengambilan sebenar” (real appropriation).
Terdapat
lima ragam pengeluaran yang berbeza: (1) komuniti ragam pengeluaran “primitif”
yang terawal daripada ragam pengeluaran; (2) ragam pengeluaran pembayaran ufti,
yang menambah kepada komuniti kampung yang masih wujud apratus sosial dan
politik untuk mengeksploitasi komuniti menerusi penuntutan ufti; ragam
pengeluaran pembayaran ufti ialah bentuk kelas prakapitalis paling tersebar luas, terdapat perbezaan antara bentuk awal dengan bentuk kemudian,
seperti bentuk pengeluaran “feudal,” yang komuniti kampung hilang dominium
eminens mereka terhadap tanah kepada pembesar feudal, dan komuniti terus
sebagai komuniti keluarga; (3) Ragam pengeluaran hamba, bentuk yang
jarang-jarang, meskipun bertaburan secara meluas; (4) ragam pengeluaran
komoditi kecil mudah, bentuk yang kerap, tetapi dari segi praktik, tidak pernah
membentuk ragam bentukan masyarakat yang dominan; dan (5) Akhir sekali, ragam
pengeluaran kapitalis. Dalam “keadaan tulen,” semua ragam pengeluaran ini
mempunyai ciri penting spesifiknya sendiri.
Syed
Farid Alatas dalam Bab 6: “Ibn Khaldun and the Ottoman Modes of Production,
bukunya Applying Ibn Khaldun: The Recovery of Lost Tradition in Sociology,
mengambil pendekatan ragam pengeluaran Samir Amin dan Eric Wolf.
Samir Amin pada mulanya mengelaskan
lima ragam pengeluaran, tetapi dalam karya berikutnya, iaitu Eurocentrism (1989/2009), beliau
mengelaskan tiga ragam pengeluaran, dengan
memberikan tumpuan pada ragam pengeluaran ufti. Hujah beliau, “Saya menyebut ufti dalam
bentuk umum semua masyarakat prakapitalis maju, dengan feudalisme hanya
merupakan spesies khusus.” Tambah beliau, dalam sejarah yang dicadangkan di
sini, wujud hanya tiga tahap sifat universal yang berturutan: tahap komuniti,
peralihan panjang daripada komunisme primitif; tahap ufti, yang mencirikan
semua masyarakat prakapitalis maju; dan kapitalisme, yang menjadi sistem dunia.
Tahap ufti ialah sejarah semua
peradaban berasaskan ciri yang berikut: (1) perkembangan signifikan kuasa
produktif, misalnya pertanian kekal atau sedentari yang dapat memastikan lebih
daripada penakatan (survival) semata-mata, lebihan yang sangat banyak
dan boleh dipercayai, kegiatan bukan pertanian (pertukangan atau artisanal)
menggunakan pengetahuan teknikal dan pelbagai alat (kecuali mesin); (2)
memajukan kegiatan bukan produktif sejajar dengan saiz lebihan ini; (3)
pembahagian kepada kelas sosial berdasarkan asas ekonomi ini; dan (4) negara
yang maju yang melampaui had kewujudan kampung.
Tahap ufti ini menunjukkan aspek yang berikut: (1)
termasuk bermacam-macam bentuk besar, yang mempunyai ciri bersama, kerana
penyarian buruh lebihan selalunya
dikawal oleh dominan superstruktur dalam konteks ekonomi yang ditentukan oleh
nilai gunaan; (3) ragam fundamental ialah ragam ufti; (4) ragam feudal ialah
varian ini; (5) yang dianggap ragam perhambaan kelihatan sebagai pengecualian,
lebih kerap interstitial dan dalam kaitan dengan hubungan pasaran; (6)
kompleksiti bentukan tahap ini bermakna, melampaui hubungan pengeluaran
terdekat, hubungan dalaman, dan pertukaran luaran, yang membangkitkan persoalan
hubungan pasaran dan memerlukan konsep bentukan masyarakat; dan (7) tahap ini
bukan tergenang, tetapi sebaliknya, dicirikan oleh kemajuan besar kuasa
pengeluaran pada asas hubungan pengeluaran ufti yang beroperasi dalam bentukan
yang difahami dalam kompleksiti kuasa pengeluaran itu.
Pada tahap pertama, menurut Amin, lebihan terlalu kecil
untuk membolehkan lebih daripada permulaan kelas dan pembentukan negara.
Justeru, tidak masuk akal untuk dicampurkan bersama-sama di bawah keturunan
rubrik, suku, dan bentukan puak pada satu pihak, dan pembentukan negara pada
satu pihak yang lain. Walau bagaimanapun, inilah tesis yang ragam Asiatic cuba
lakukan bahawa peralihan kepada masyarakat kelas. Tambah beliau, pada tahap
pertama ini, tingkat lemah pembangunan
dan keturunan, suku, dan hubungan puak yang dirangkaikan tidak dapat diungkai. Sememangnya, hubungan
ini yang memungkinkan permulaan pembangunan kuasa produktif melampaui fasa
komunis primitif (pergerakan kepada pertanian kekal atau sedentari), dan pada masa yang sama,
menyekat pembangunan berterusan mereka
selepas titik tertentu. Apabila hubungan sedemikian berlaku, tingkat kuasa produktif semestinya rendah; apabila
hubungan itu tidak ditemui, tingkatnya tinggi. Bentuk harta yang ditemui pada
tahap pertama menunjukkan sifat fundamental biasa: harta komuniti yang
penggunaannya dikawalaturkan sebagai fungsi persanakan yang memerintah mutakhir
dominan (dominant instance).
Pada tahap kedua, tingkat
pembangunan kuasa produktif memungkinkan dan memerlukan negara, iaitu
melangkaui persanakan, yang dapat menyara hidup hanya apabila tertakluk kepada
kerasionalan lain. Bentuk harta pada tahap kedua ini membolehkan kelas dominan
mengawal akses kepada tanah pertanian, dan akibatnya, mengenakan ufti pada
pengeluar tani. Situasi ini dikuasai
oleh ideologi yang selalunya mengandaikan bentuk yang sama: agama negara atau
kuasi-agama.
Tahap ketiga mewakili tingkat tinggi ciri kuasa produktif
kapitalisme. Tingkat ini bermakna harta
kapitalis. Pada satu sudut, golongan
borjuis mempunyai monopoli kawalan terhadap ragam pengeluaran yang bukan lagi
terutamanya tanah, tetapi mesin, alat, dan kilang. Pada sudut yang lain, wujud buruh upah
bebas. Penyarian lebihan (di sini, nilai
lebihan) dibuat oleh alat pertukaran ekonomi, misalnya oleh jualan tenaga
buruh. Dari segi praktik, pembangunan pertanian melampaui titik tertentu mesin
dan baja yang diperlukan, misalnya industri, dan dengan itu, kapitalisme.
Kapitalisme bermula dalam pertanian peralihan, kemudian dibangunkan di
tempat-tempat lain sebelum kembali semula kepada pertanian untuk mengambil alih
bidang itu.
Jelas Amin, ini ialah
takrif yang sangat umum dan abstrak tentang tiga bentuk harta: komuniti
(tanah), ufti (tanah), dan kapitalisme (alat pengeluaran selain tanah).
Penekanan adalah terhadap kandungan harta, difahami sebagai kawalan sosial, dan
bukannya terhadap bentuk undang-undang dan ideologinya. Setiap bentuk harta
adalah sejajar dengan tahap dalam kemajuan kuasa produktif. Pada tahap pertama, organisasi pengeluaran
tidak melampaui keturunan atau kampung. Pada tahap kedua, dikawalaturkan
terutamanya pada tahap lebih atau kurang besar negara, tetapi selalunya lebih
besar daripada kampung. Peredaran lebihan mengambil kira kepentingan tukang
terkhusus, fungsi tidak produktif, negara, kota, perdagangan, dan sebagainya.
Tahap tertinggi pembangunan memerlukan
pasaran yang lebih luas, iaitu pasaran kapitalis. Pada setiap tahap abstraksi
ini, setiap tahap sejajar dengan keperluan universal.
Amin yang memberikan tumpuan pada tahap ufti, menjelaskan
bahawa ciri pertama ragam pengeluaran
yang ditunjukkan oleh tahap kedua (ufti) pembangunan kuasa produktif adalah bahawa penyarian
produk lebihan diperoleh melalui alat
bukan ekonomi, kerana pengeluar tidak dipisahkan daripada alat pengeluaran.
Ciri khusus ragam pengeluaran berasaskan kelas pertama ini adalah berbeza
dengan ragam komuniti yang mendahului ragam ufti. Dalam ragam pengeluaran ufti,
kelas yang mengeksploitasi tidak
mengambil produk lebihan. Sebaliknya,
amalan ini dipusatkan oleh kumpulan pemerintah untuk kegunaan kolektif atau
diagihkan semula menurut keperluan pengeluaran semula. “Penyarian produk
lebihan, adalah dengan itu, seperti ufti
yang dibayar kepada kelas yang mengeksploitasi. Itu secara tepat mengapa
saya mencadangkan untuk menyebutnya ragam ufti.”
Ciri kedua ragam ufti adalah bahawa organisasi
pengeluaran penting berasaskan nilai gunaan dan bukannya berasaskan nilai
pertukaran. Produk masih disimpan oleh
pengeluar adalah secara langsung nilai gunaan yang bertujuan untuk penggunaan,
kebanyakannya untuk penggunaan sendiri. Akan tetapi, produk yang disarikan oleh
kelas yang mengeksploitasi adalah untuk dirinya juga secara langsung nilai
gunaan. Justeru, inti pati ragam ufti
adalah untuk membentuk ekonomi semula jadi, tanpa pertukaran, meskipun bukan
tanpa perpindahan (ufti adalah satu) dan pengagihan semula.
Ciri ketiga ragam ufti ialah penjelmaan kestabilan, dan
bahkan berkekalan, bukan sekurang-kurangnya terbatas, pastinya kepada Asia.
Dari segi realiti, ini penjelmaan yang mengelirukan berlaku kerana berbeza
dengan kapitalisme. Berdasarkan nilai
gunaan, hukum fundamental yang terdapat pada kapitalisme terletak pada tingkat
asas ekonomi. Persaingan dengan kapitalis membangkitkan perlunya pengumpulan,
misalnya merevolusikan kuasa produktif
yang tidak putus-putus. Ragam pengeluaran, berasaskan nilai gunaan tidak
mempunyai kendalian yang sama yang diperlukan pada tingkat asas ekonomi. Walau
bagaimanapun, masyarakat ufti bukan tidak berubah. Mereka mencapai kemajuan
yang luar biasa dalam pembangunan kuasa produktif mereka antaranya di Mesir,
China, Jepun, India dan Asia Selatan, Arab dan Timur Parsi. Perjuangan kelas
antara pengeluar tani dengan kelas mengeksploitasi ufti berlaku dalam seluruh
sejarah bentukan ufti di Asia, Afrika, dan Amerika Latin, di samping di
Eropah. Walau bagaimanapun, wujud
perbezaan yang penting antara perjuangan ini dan perjuangan antara proletariat
dengan borjuis dalam kapitalisme. Perjuangan kelas dalam bentukan ufti tidak
pernah berkesudahan dengan kemenangan kaum tani.
Amin juga menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju
dengan teori Marxisme yang diterima
lazim yang membezakan tiga tahap peradaban yang berbeza dari segi kualiti:
perhambaan, feudalisme, dan kapitalisme.
Sebaliknya, beliau mengemukakan teori menurut: (1) bentuk umum
masyarakat kelas yang menggantikan bentukan komunal sebelum ini, iaitu
masyarakat ufti; (2) bentuk feudal bukannya peraturan umum, tetapi hanya bentuk
pinggir jenis ufti; (3) pelbagai keadaan yang menentukan bentuk spesifik setiap
masyarakat ufti (kasta, estet era feudal dalam maksud Eropah – Stande;
komuniti tani tertakluk kepada birokrasi negara, dan sebagainya); (4)
perhambaan bukan keperluan umum – bentuk ini hilang daripada kebanyakan
peristiwa penting sejarah (Mesir, India, China); perhambaan tidak mungkin
menjalani mana-mana pembangunan penting,
melainkan bentuk ini dikaitkan dengan ekonomi komersial, dan dengan itu,
perhambaan ditemui pada zaman yang sangat berbeza dari sudut pandangan pembangunan kuasa produktif.
Walau bagaimanapun, bukannya Amin, sebaliknya Marxis
Jepun, Jiro Hayakawa, dikatakan yang
mula-mula memperkenalkan konsep ragam pengeluaran ufti, tetapi beliau tidak
menerbitkan teks dalam bahasa Barat, maka ideanya masih tidak diketahui di
Barat. Sebaliknya, Amin mempopularkan
konsep itu di sana. Hayakawa menulis pada pertengahan 1930-an,
menyamakan ragam pengeluaran ufti dengan ragam pengeluaran Asiatic. Ion Banu,
sejarawan falsafah di University of Bucharest, pula mengenal pasti
persamaan Asiatic dengan bentukan
masyarakat ufti. Selain Amin, terdapat beberapa kajian lain, antaranya oleh
John Haldon yang mengkaji ragam pengeluaran ufti.
No comments:
Post a Comment