Pages

Sunday, September 1, 2019

Golongan Kiri Melayu


AHAD, 1  September 2019
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH
Seperti yang dijejaki oleh Rustam A. Sani, akibat Kemelesetan Besar tahun 1930-an, maka lewat separuh kedua dekad 1930-an, wujud sejumlah organisasi politik berasaskan negeri, seperti di Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, dan Province Wellesley (kini, Seberang Perai). Seterusnya, daripada akar umbi yang membentuk jalur utama politik orang Melayu sebelum perang, lahir “golongan kiri Melayu” yang membentuk jalur yang berbeza, dengan penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM), yang mempunyai persekitaran politik dan sosial  1930-an (Rustam, 2011: 5 – 7).
Golongan  kiri Melayu  juga  disebut dengan berbagai-bagai istilah, seperti radikal Melayu, nasionalis radikal Melayu, nasionalis sayap kiri Melayu, dan gerakan sayap kiri Melayu.  Dengan memetik pembahagian golongan kiri Melayu kepada beberapa kelompok mereka mengikut jarak mereka daripada pihak yang berkuasa, yang diperkenalkan oleh Khoo Kay Kim, Mohamed Salleh Lamry, menyatakan kelompok pertama, ialah “kiri pelampau,” iaitu yang “paling jauh” daripada pihak yang berkuasa. Selepas kelompok kini wujud kelompok kiri komited, yang cenderung kepada sosialisme dalam pengertian yang luas atau sekurang-kurangnya ingin melihat perubahan struktur dilakukan terhadap masyarakat Melayu. Satu kelompok lain, yang paling kuat yang bersikap anti-British ialah kelompok kiri Islam.  Ada juga kelompok yang boleh digelar sebagai kiri fana, iaitu golongan yang paling mudah membuat penyesuaian, tetapi perjuangan mereka tidak berasaskan ideologi. Akkhir sekali, kelompok yang mempunyai pegangan  nasionalistik yang kuat.  Mereka ini dianggap kiri bukan dari segi ideologi, tetapi kerana mereka menentang UMNO yang mempunyai hubungan yang rapat dengan pentadbiran British dan banyak memberi konsesi kepada golongan bukan Melayu (Mohamed Salleh, 2016:  22 – 23).
Dalam mengelompokkan pemikiran radikalisme Melayu, Ishak Saat pergi lebih jauh,  yang menurut beliau, terdiri  daripada pemikiran kebangsaan Melayu, pemikiran keagamaan/Islam, pemikiran Melayu sosialis, dan pemikiran Melayu komunis (Ishak, 2007:  33 – 67).  Dua yang terakhir benar-benar bersifat ideologi.  Untuk pemikiran Melayu sosialis, beliau menyebut pemimpin kesatuan sekerja, Abdul Majid Salleh, dan pengasas parti sosialis di Tanah Melayu yang beraliran komunis, iaitu Mokhtaruddin Lasso, Arshad Ashaari, Baharuddin Tahir, Rashid Maidin, dan Abdullah C.D. ketika penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).  Mereka ini mengusulkan Parti Sosialis Malaya, tetapi digagalkan oleh Ahmad Boestamam (Ishak, 2007: 56 – 57). Sementara pemikiran Melayu komunis yang terpengaruh dengan Marxisme dan Communist International amat terhad dalam kalangan orang Melayu.  Hanya berkisar dalam kalangan mereka yang benar-benar  menjiwai falsafah perjuangan komunisme, seperti Musa Ahmad, Rashid Maidin, dan Abdullah C.D. (Ishak, 2007:  61 – 63).
Sosialisme selalunya dikaitkan dengan Karl Marx dan rakannya, Friedrich Engels yang menulis The Communist Manifesto – buku yang benar-benar mengubah dunia dan membangkitkan berjuta-juta orang untuk mencetuskan revolusi.  Dalam bab “Socialist and Communist Literature,” Marx dan Engels membahaskan sosialisme reaksionari, yang terdiri daripada sosialisme feudal, sosialisme borjuis bawahan, dan Jerman atau sosialisme “sebenar;” dan konservatif atau sosialisme borjuis (Marx and Engels, 2008: 67 – 81).  Walau bagaimanapun, Marx dan Engels, secara perbandingan ialah pendatang lewat kepada komunisme.  Engels mengisytiharkan dirinya komunis lewat pada tahun 1842, Marx berkemungkinan tidak hingga bahagian terkemudian tahun 1843, selepas menyelesaikan kisah yang lebih  berpanjangan  dan kompleks dengan liberalisme dan falsafah Hegel.  Bahkan, di Jerman, air mati politik, mereka bukannya orang pertama sosialis (Hobsbawm, 2011: 16).
Walau bagaimanapun, Rustam A. Sani mengingatkan bahawa sikap berhati-hati perlu diamalkan ketika bercakap tentang konsep seperti “golongan kiri Melayu,” supaya aspek ideologi pada konsep berkenaan tidak terlalu  ditekankan.  Maksud beliau, pembicaraan itu tidak terlalu terpengaruh dengan ideologi sayap kiri (sosialisme dan komunisme), yang sering dilihat sebagai idea tunggal dan tidak berubah, berasal daripada rumusan Marx, Engels, dan Lenin.  Rumusan itu kemudian  disampaikan tanpa perubahan kepada setiap generasi golongan kiri, dalam apa-apa juga latar belakang sosial golongan itu beroperasi (Rustam, 2014: 1).  Beliau yang bersetuju dengan R.O. Tilman bahawa sifat politik Melayu dan politk Malaysia secara keseluruhan dalam pelbagai dimensi adalah lebih “bersifat perkauman” berbanding dengan “bersifat ideologi” (Rustam, 2014: 1). Dalam pengertian sekarang, politik jati diri yang sedang bangkit di seluruh dunia.
(Dipetik daripada Bab Tujuh, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)



No comments:

Post a Comment