Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Para sarjana tempatan ada kalanya keliru dan tidak dapat membezakan antara pembentukan negara (state formation) dengan pembinaan negara (state building) dan seterusnya dicampuradukkan dengan pembinaan bangsa (nation building). Kepustakaan pembentukan negara dapat dikesan dalam karya Aristotle, Ibn Khaldun, dan yang terbaharu dalam buku Francis Fukuyama, The Origins of Political Decay. Makalah Robert L. Carneiro, teentang pembentukan negara, iaitu “A Theory of theOrigin of the State,” sering dirujuk.
Teori
Sukarela
Dalam
makalah “A Theory of the Origin of the State” yang diterbitkan dalam Science
pada tahun 1970, Robert L. Carneiro,
mencatatkan bahawa kira 4000 S.M., pembentukan negara pertama berlaku dalam
sejarah, berikutan kampung mula menjadi agregat ke dalam unit politik yang
lebih besar bukan sehingga mungkin 5000 S.M. Apabila proses pengagregatan
bermula, proses ini berterusan pada rentak yang lebih pantas secara
progresif. Beliau menjelaskan makna
negara yang beliau maksudkan, iaitu unit politik autonomi, mencakupi banyak
komuniti dalam wilayahnya dan mempunyai kerajaan berpusat dengan kuasa untuk
memungut cukai, mengerahkan orang untuk bekerja atau berperang, dan mendekrikan
dan menguatkuasakan undang-undang.
Carneiro
yang memperoleh Ph.D dalam bidang antropologi pada tahun 1957 dari University
of Michigan, dan pernah berkhidmat sebagai profesor adjung di Columbia
University, bagaimanapun, mengakui bahawa asal usul negara masih difahami
secara tidak sempurna. Sesungguhnya,
tidak satu pun teori semasa tentang kebangkitan negara memuaskan sepenuhnya,
dan pada suatu masa tertentu atau masa lain,
semua gagal. Teori eksplisit asal usul negara adalah moden secara
relatif. Beliau mengkritik penulis
klasik, seperti Aristotle, yang tidak lazim dengan bentuk lain organisasi
politik, cenderung untuk memikirkan negara sebagai “natural,” dan oleh itu,
tidak memerlukan penjelasan. Walau
bagaimanapun, zaman penerokaan, dengan menjadikan orang Eropah sedar bahawa
banyak orang di seluruh dunia tinggal, bukannya di negara, tetapi kampung atau
suku kaum bebas, menjadikan negara kelihatan kurang natural, dan oleh itu,
lebih banyak memerlukan penjelasan.
Carneiro yang menolak teori moden asal-usul negara berasaskan perkauman,
juga menolak kepercayaan bahawa negara ialah perluahan “genius” orang, atau
bahawa negara bangkit menerusi “kejadian sejarah” (“historical accident”). Pandangan sedemikian menjadikan negara
kelihatan sesuatu metafizikal atau adventitius atau secara kebetulan.
Teori
serius tentang asal-usul negara, menurut Carneiro, ialah dua jenis umum, iaitu sukarela
dan paksaan. (Huruf condong oleh
Carneiro sendiri.) Teori lain yang
beliau kemukakan ialah lingkungan persekitaran (environmental
circumscription), evolusi politik, penumpuan sumber, dan lingkungan sosial.
Teori
sukarela berpendapat bahawa pada sesetengah titik dalam sejarah mereka, orang ramai tertentu
secara spontan, rasional, dan sukarela melepaskan kedaulatan individu mereka
dan bersatu dengan komuniti lain untuk membentuk unit politik yang lebih besar
yang wajar disebut negara. Daripada teori tersebut, yang paling dikenali ialah
teori kontrak sosial lama, yang berkait secara khusus dengan nama Jean-Jacques
Rousseau. Walau bagaimanapun, Carneiro awal-awal lagi menolak kontrak sosial dengan
hujah, “kita kini tahu bahawa tidak ada kompak tersebut yang pernah dilanggan
oleh kumpulan sosial, dan teori kontrak sosial pada hari ini hanyalah
keingintahuan sejarah.”
Seterusnya, Carneiro mengemukakan teori sukarela moden
yang diterima secara meluas, yang beliau sebut, teori “automatik” yang
dikaitkan dengan nama ahli arkeologi British V. Gordon Childe. Menurut teori
ini, rekaan pertanian secara automatik membawa lebihan makanan, membolehkan
sesetengah individu memisahkan diri mereka daripada pengeluaran makanan dan
menjadi tukang tembikar, tukang tenun, tukang emas, tukang batu, dan
seterusnya, dan oleh itu, mewujudkan pembahagian buruh yang ekstensif. Daripada pengkhususan pekerjaan ini dimajukan
integrasi politik yang menyatukan beberapa komuniti yang sebelum ini bebas
menjadi negara.
Kesukaran
utama teori ini, hujah Carneiro, adalah bahawa pertanian tidak secara
automatik mewujudkan lebihan makanan.
(Huruf condong oleh Carneiro sendiri.)
“Kita tahu hal ini kerana banyak orang yang bertani di dunia tidak
mengeluarkan lebihan makanan,” tulis beliau dengan mengemukakan semua orang
India Amazon sebagai contoh.
Satu
lagi teori sukarela semasa tentang asal-usul negara ialah “hipotesis hidraulik”
yang diperkenalkan oleh Karl Wittfogel. Menurut Carneiro, Wittfogel melihat negara
bangkit, iaitu di kawasan gersang atau separuh gersang tertentu di dunia,
tempat petani kampung terkial-kial untuk menampung diri mereka dengan cara
pengairan skala kecil. Maka, tibalah
masanya apabila mereka melihat ada kebaikannya jika semua yang terlibat
mengetepikan autonomi individu mereka dan menggabungkan kampung mereka menjadi
unit politik besar tunggal yang mampu membawa pengairan dalam skala yang
luas. Badan rasmi yang mereka wujudkan
untuk merancang dan mentadbir kerja pengairan ekstensif tersebut membawa
kewujudan negara.
Teori
ini, hujah Carneiro, baru-baru ini menghadapi masalah. Bukti arkeologi kini jelas menunjukkan di
sekurang-kurangnya tiga kawasan yang dipetik oleh Wittfogel sebagai contoh “hipotesis
hidraulik,” iaitu Mesopotamia, China, dan Mexico, dimajukan sebagai negara
sepenuh lama sebelum pengairan skala besar. Justeru, pengairan tidak memainkan
peranan penyebab dalam kebangkitan negara yang Wittfogel kelihatan anggap
sedemikian.”
Teori Paksaan
Setelah
mengetepikan teori sukarela, Carneiro mengemukakan teori paksaan yang menurut
beliau, “penelitian rapat sejarah menunjukkan bahawa hanya teori ini dapat
menerangkan kebangkitan negara.” Paksaan (force) dan bukannya
kepentingan diri yang ditunjukkan, ialah mekanisme yang evolusi politik
membawa, langkah demi langkah, daripada kampung autonomi kepada negara. Di sini, beliau memetik Heraclitus yang
menulis 2,500 tahun lalu, “perang ialah bapa segala benda” untuk melihat
peperangan terletak pada akar umbi negara bukan sesuatu yang sama sekali
baharu. Walau bagaimanapun, beliau
mengakui bahawa kajian teliti pertama tentang peranan peperangan dalam
kebangkitan negara dilakukan kurang 100 tahun lalu, oleh Herbert Spencer dalam
bukunya, Principles of Sociology.
Carneiro
nampaknya akur bahawa perang memainkan peranan muktamad dalam kebangkitan
negara, meskipun teori paksaan tertentu
mempunyai kekurangan. Bukti sejarah dan arkeologi tentang perang ditemui pada
tahap awal pembentukan negara Mesopotamia, Mesir, India, China, Jepun, Greece,
Rom, utara Eropah, tengah Afrika, Amerika Tengah, dan Colombia, antara contoh
yang paling ketara. Namun begitu, beliau mengakui bahawa peperangan
bukannya hanya faktor, meskipun peperangan jelas merupakan penggerak utama
dalam asal usul negara. Lagipun, perang berlaku di banyak tempat di dunia yang
negara tidak pernah wujud. “Justeru,
meskipun peperangan mungkin merupakan syarat perlu untuk kebangkitan negara,
peperangan bukannya sesuatu yang lengkap,” tulis Carneiro sambil menambah, “dengan kata lain,
meskipun kita dapat mengenal pasti perang sebagai mekanisme pembentukan negara,
kita juga perlu menetapkan syarat yang membangkitkan negara.”
Teori Lingkungan Persekitaran
Apabila
menyentuh teori lingkungan persekitaran, Carneiro begitu yakin bahawa wujud
faktor lazim bagi kawasan di dunia yang negara muncul secara semula jadi, di
kawasan, seperti Nil, Tigris-Euphrates, Lembah Indus di Dunia Lama dan Lembah
Mexico dan gunung dan lembah pantai Peru di Dunia Baru. “Meskipun kawasan ini berbeza antara satu
sama lain dalam banyak cara, dari segi altitud, suhu, hujan, jenis tanah, pola
pengairan, dan banyak ciri lain lagi,” hujah beliau, “kawasan tersebut
mempunyai satu perkara yang sama, iaitu merupakan semua kawasan tanah pertanian
yang dilingkungi. Setiap kawasan itu diserlahkan oleh gunung, laut, atau gurun,
dan ciri persekitaran ini dengan jelas membatasi kawasan yang orang berladang
yang mudah dapat menduduki dan bercucuk tanam.”
Pentingnya
tanah pertanian yang dilingkungi untuk asal usul negara, menurut Carneiro,
dapat difahami dengan baik dengan membandingkan pembangunan politik di dua
wilayah di dunia yang mempunyai ekologi yang berbeza, iaitu satu wilayah dengan
tanah pertanian dilingkungi dan satu lagi wilayah yang wujud tanah ekstensif
dan tidak terhad, antara lembah pantai Peru dengan lembangan Amazon. Walaupun
komuniti Amazonia menjalankan pertanian pindah yang memerlukan tanah yang
banyak, mereka masih dapat memperoleh tanah hutan yang diperlukan untuk
berkebun. Di Amazonia secara
keseluruhan, kepadatan penduduk rendah dan tekanan sara diri terhadap tanah
masih kecil. Peperangan pastinya kerap berlaku di Amazonia, tetapi dilancarkan
kerana alasan dendam, membawa lari wanita, mendapat martabat peribadi, dan
motif yang seumpama itu. Oleh sebab
tidak wujud kekurangan tanah, maka tegas Carneiro, tidak berlaku peperangan
kerana berebut tanah. Puak yang tewas dalam peperangan, jelas beliau, tidak diusir dari tanah mereka. Puak yang menang
pula tidak mengambil apa-apa usaha untuk menguasai puak yang tewas, atau
memungut ufti daripada mereka. Lagipun,
puak yang menang tidak mempunyai cara berkesan untuk mencegah puak yang tewas
melarikan diri ke dalam hutan yang berhampiran.
Di
balik lembah pantai Peru, kampung-kampung
yang sempit ada gunung di belakang, ada laut di hadapan, dan ada gurun yang
kering di kiri kanan. Akibatnya, lembah
pertanian dilingkungi dengan lebih teruk jika dibandingkan dengan tempat-tempat
lain. “Sebagai komuniti neolitik,” jelas
Carneiro, “kampung-kampung lembah pantai Peru cenderung berkembang dari segi
saiz. Kampung-kampung cenderung
bertambah dari segi bilangan lebih cepat berbanding dengan kampung-kampung
berkembang dari segi saiz.”
Peperangan
yang berlaku di lembah pantai Peru berkemungkinan banyak sama jenis dengan yang
berlaku di Amazonia, tetapi ketika itu tanah pertanian masih sedikit
bilangannya dan bekalan tanah masih bagus.
Walau bagaimanapun, jelas Carneiro, dengan tekanan penduduk manusia
semakin bertambah terhadap tanah, insentif utama untuk perang berubah daripada
keinginan membalas dendam kepada keperluan untuk memperoleh tanah. Dan, oleh sebab punca peperangan adalah
terutamanya ekonomi, maka kekerapan, keamatan atau intensiti, dan pentingnya
perang meningkat.
Di
sini, Carneiro menunjukkan perbezaan
akibat peperangan antara di lembah pantai Peru dengan Amazonia. Apabila tahap ini dicapai, penduduk kampung
Peru yang kalah perang tidak mempunyai alternatif. Gunung, gurun, dan laut
menghalang mereka dari segenap penjuru
untuk melarikan diri ke kampung berjiran. Penduduk kampung yang kalah dalam peperangan
dibenarkan tinggal di tanah mereka, tetapi ada harga yang perlu dibayar: penguasaan politik kepada pemenang. Penguasaan ini pada amnya, diperlukan
sekurang-kurangnya bayaran ufti atau cukai dalam bentuk benda, dengan kampung
yang kalah itu boleh hanya menyediakan dengan mengeluarkan lebih banyak makanan
jika dibandingkan dengan sebelum ini.
Akan tetapi, jelas Carneiro, penguasaan ada kalanya melibatkan kehilangan
autonomi seterusnya pada pihak kampung yang kalah, iaitu digabungkan ke dalam
unit politik yang dikuasai oleh pemenang.
“Menerusi
berulang-ulangnya peperangan jenis ini,” rumus Carneiro, “kita menyaksikan
pertambahan unit wilayah bersepadu di pantai Peru menjangkaui kampung dari segi
sain dan darjah organisasi. Evolusi politik mencapai tahap kerajaan (chiefdom).”
Tambah beliau, “oleh sebab kekurangan berterusan dan menjadi bahkan lebih
teruk, maka demikian juga peperangan.
Walau bagaimanapun, kini, unit yang bersaing bukan lagi kampung-kampung
kecil, tetapi, kerap melibatkan kerajaan besar.
Menerusi penaklukan kerajaan oleh kerajaan, saiz unit politik meningkat
secara progresif pada kadar yang pesat.
Semula jadinya, oleh sebab saiz unit politik meningkat dari saiz, maka
unit itu berkurangan dari segi bilangan, dengan akibat bahawa seluruh lembah
akhirnya disatukan di bawah payung kerajaan yang lebih kuat. Justeru, unit politik yang dibentuk tanpa
diragui cukup berpusat dan kompleks untuk mewajarkan disebut negara.”
Lanjutan
daripada lingkungan persekitaran, Carneiro seterusnya menyentuh evolusi
politik, yang menurut beliau, walaupun pengagretan kampung menjadi kerajaan,
dan kerajaan menjadi negara beraja (kingdom), berlaku melalui perolehan
luaran, struktur unit politik yang lebih besar semakin meningkat ini dijelaskan
oleh evolusi dalaman. Perubahan dalaman ini, pastinya berkait rapat dengan
peristiwa luaran. Pengembangan negara
yang berjaya ini membawa orang dan wilayah yang ditawan dalam sempadan mereka
yang perlu ditadbirkan. Beliau percaya
bahawa proses evolusi politik bukan hanya berlaku di lembah pantai Peru, tetapi juga
di kawasan pertanian yang dilingkungi di tempat lain di dunia, seperti
Lembah Mexico, Mesopotamia, Lembah Nil, dan Lembah Indus, yang menyaksikan
proses berlaku banyak dalam cara yang sama dan kerana pada hakikatnya, alasan
yang sama. Di kawasan ini juga menurut
beliau, kampung neolitik yang autonomi digantikan oleh kerajaan, kerajaan oleh
negara beraja, dan negara beraja oleh
empayar.
Carneiro
yang meragui penumpuan sumber untuk
menjelaskan pembentukan negara menulis, “kita dapat dengan selamat menambah
penumpuan sumber kepada lingkungan persekitaran sebagai faktor yang membawa
kepada peperangan untuk berebut tanah, dan oleh itu, kepada integrasi politik
melampaui tahap kampung.”
Beliau
juga menyentuh konsep “lingkungan sosial” yang diperkenalkan oleh Napoleon A.
Chagnon yang berurusan dengan teori lingkungan persekitaran ketika
membincangkan orang India Yanomamö Venezuela. Dengan
lingkungan sosial, Chagnon bermaksud bahawa kepadatan penduduk yang tinggi di
kawasan itu dapat mewujudkan kesan terhadp orang yang tinggal dekat pusat
kawasan berkenaan yang adalah sama dengan kesan yang dihasilkan oleh lingkungan
persekitaran. “Pendapat ini, bagi saya,
merupakan tambahan penting kepada teori kita,” tulis Carneiro sambil menjelaskan: “Pertama, berlaku pengurangan
saiz tanah wilayah setiap kampung. Kemudian,
oleh sebab tekanan penduduk menjadi semakin teruk, peperangan kerana berebut
tanah menyusul. Akan tetapi, sebab tanah
bersebelahan untuk berbatu-batu sekitar telah pun menjadi harta kampung lain,
maka penduduk kampung yang kalah tidak mempunyai tempat untuk lari. Akibatnya, peperangan untuk kampung itu, dan
untuk evolusi politik secara umum, pada hakikatnya, seperti yang saya jelaskan
perkara ini untuk situasi lingkungan persekitaran.”
Pendirian
Carneiro ialah teori lingkungan dalam bentuknya yang dihuraikan pergi jauh ke
hadapan menjelaskan asal-usul negara. Teori ini menjelaskan mengapa negara
bangkit di sesebuah tempat, dan mengapa negara gagal bangkit di tempat
lain. Teori ini menunjukkan negara
merupakan respons yang dapat diramalkan terhadap keadaan budaya, demografi, dan
ekologi khusus tertentu. Justeru, teori
lingkungan membantu menerangkan apa yang tidak diragui lagi langkah tunggal
paling penting yang pernah diambil dalam evolusi politik manusia.
Walau
bagaimanapun, dalam kalangan ahli antropologi, menurut Kathryn W. Kemp, teori
lingkungan tidak diterima tanpa persoalan. Lingkungan tidak semestinya fizikal,
tetapi juga sosial. Sesungguhnya,
kehadiran negara jiran yang berkuasa mungkin mendesak kumpulan budaya yang
lebih kecil ke dalam pembentukan negara sebagai soal pertahanan diri. Lagipun, kesan lingkungan mungkin tidak
memerlukan sempadan fizikal mutlak yang jelas, seperti gurun. Tidak orang menunggu sehingga mereka mencapai
eksploitasi maksimum aset mereka sendiri sebelum mereka bergerak menentang
jiran yang lemah. Akhir sekali,
pembentukan negara mengambil masa. Dalam
pada itu, Kemp menjelaskan bahawa dalam komuniti antropologi, bahkan yang
menolak teori lingkungan sebagai penjelasan mutlak untuk mekanisme pembentukan
negara mendapati teori ini sekurang-kuangnya berguna sebahagiannya; mereka
cenderung bersetuju bahawa peperangan, dalam mana-mana kes, memainkan bahagian
penting dalam pewujudan negara.
No comments:
Post a Comment