Pages

Sunday, August 4, 2019

Imigran, Rusuhan, dan Rasuah

AHAD, 4 Ogos 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Apabila pekerja Indonesia merusuh sehingga mencederakan polis dan merosakkan trak polis pada awal Januari, maka kedengaran  amaran yang keras dan tegas, "nyah dari negara ini."  Tindakan melampau pekerja Indonesia, termasuk mengibarkan bendera dan menyanyikan lagu kebangsaan mereka mencerminkan sikap angkuh dan biadab mereka bumi mana yang dipijak.

Rusuhan dan keganasan yang merupakan sebahagian hidup masyarakat Indonesia yang kini cuba dibawa oleh pekerja mereka ke Malaysia. Meskipun amalan seperti  itu bukannya amalan hidup masyarakat Malaysia, kehadiran golongan pekerja negara jiran ini akan sedikit banyak, mencorakkan masyarakat Malaysia. Jangan terperanjat sekiranya pada suatu masa kelak, bilangan rakyat yang terpengaruh dengan amalan buruk, seperti melakukan rusuhan dan keganasan.

Apabila kehadiran pekerja Indonesia berterusan serta dengan jumlah yang banyak, dan mereka akhirnya menjadi sebahagian anggota masyarakat di Malaysia, nescaya gejala rusuhan dan keganasan akan tersemai dan terus berkembang di negara ini. Mereka memperlihatkan gejala ini dan juga gejala lain yang bersifat "kasar" dari semasa ke semasa.Akibatnya, lama-kelamaan, akan terus menular dalam masyarakat Malaysia.

Sejak awal lagi, iaitu sejak tahun 1970-an, kehadiran pekerja imigran dari Indonesia menimbulkan keadaan yang tidak tenteram di negara ini, seperti rompakan, pecah rumah, dan rogol. Kehadiran mereka sering menimbulkan rasa takut dan terancam dalam kalangan penduduk tempatan, walaupun mereka banyak memberikan sumbangan dari segi keperluan tenaga buruh di Malaysia.

Kini, rompakan, pecah rumah, dan rogol berubah kepada rusuhan yang berani menentang pihak keselematan. Pastinya, gejala seperti ini jika tidak dibanteras dari peringkat permulaan boleh mengancam keselamatan negara. Lebih-lebih lagi kehadiran pekerja imigran ini dalam jumlah yang banyak dan mereka mula menguasai kawasan tertentu, baik dari segi pekerjaan mahupun kediaman. Sesungguhnya, Malaysia terpaksa menanggung pengorbanan yang besar demi pembangunan negara.

Selain rusuhan dan keganasan itu mencabar toleransi dan kesabaran pihak kerajaan, kini terdedah pula amalan rasuah dalam kalangan penguat kuasa undang-undang sehingga memudahkan pendatang tanpa izin dari Indonesia memasuki negara ini.  Menurut dakwaan pihak tertentu, pendatang ini membayar "ufti" kepada penguat kuasa berkenaan, dan oleh itu, mereka terjamin dari segi tindakan undang-undang, meskipun mereka memasuki negara ini secara haram. 

Walaupun dakwaan itu dinafikan, dalam beberapa hal, kesahihan penafian itu masih diragui. Selain dakwaan tersebut keluar dari mulut menteri dan tindak-tanduk pendatang tanpa izin yang bermaharajalela yang mengukuhkan tanggapan orang ramai tentang pembayaran ufti itu. Misalnya, pekerja tersebut "bebas" keluar masuk dan mencari pekerjaan di negara ini seolah-olah tidak kemungkinan bahawa mereka akan ditangkap dan berhadapan dengan tindakan undang-undang. Malahan, mereka bebas mendirikan tempat  kediaman bersama-sama komuniti mereka.

Oleh itu, pendatang haram melibatkan wang haram dan seterusnya, penempatan haram.  Barangkali banyak lagi perkara "haram" yang berpunca daripada haram yang belum didedahkan. Apabila berlaku  rusuhan dan keganasan sekali-sekala, barulah kisah pendatang haram dan haram lain mendapat perhatian.

Rusuhan dan keganasan semakin bahaya apabila pihak kerajaan tidak bertindak tegas dan boleh mengundang anarki sekiranya sesebuah kerajaan lemah. Maka, "nyah dari negara ini" perlu disusuli tindakan tegas tanpa sebarang tolak ansur, sebelum gejala tersebut bertukar menjadi anarki.

("Memo Ketua Editor," Dewan Budaya, Mac 2002.)

No comments:

Post a Comment