ISNIN, 20 Mei 2019
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Mulai penghujung abad
ke-20, dunia menghadapi kejutan masa depan, dunia tanpa sempadan, limpahan
teknologi maklumat, masyarakat pascakapitalis, dan masyarakat berilmu.
Sementara abad ke-21 menanti dengan penuh cabaran dan perlu dihadapi dengan
persediaan yang rapi. Dalam konteks Malaysia, Wawasan 2020 mengajak seluruh
rakyat memikirkan realiti negara maju bukan sahaja dari segi ekonomi, bahkan
dari segi pembangunan masyarakat dan budaya bangsa.
Tidak ada tempat bagi pendekatan pesta yang menjadikan Wawasan 2020 sebagai
slogan dan dendangan semata-mata. Begitu juga, tidak ada tempat bagi pendekatan
anti-establishment yang menentang
Wawasan 2020 kerana Wawasan ini merupakan anjuran dan gagasan kerajaan.
Pendekatan pasif yang melihat kesan dan implikasi Wawasan terhadap masyarakat
Islam pun perlu dijauhi. Begitulah penegasan Nik Azis Nik Pa dalam Penghayatan Wawasan Pembangunan Negara
(Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1994, RM25.00).
Menurut beliau, satu-satunya
pendekatan yang boleh diamalkan dan dihayati oleh masyarakat ialah pendekatan
konstruktif. Melalui pendekatan ini, masyarakat perlu memberikan tumpuan yang
beranalisis dan kritis terhadap peranan utama dari segi memahami, mengisi, dan
mencorakkan Wawasan 2020.
Masyarakat bertamadun tinggi yang diidam-idamkan oleh Wawasan 2020 tidak
akan menjadi kenyataan tanpa didukung oleh budaya kerja yang baik dan canggih.
Budaya kerja ini menjadi tunjang kepada pencapaian Wawasan melibatkan tiga
kedinamikan, iaitu kedinamikan perubahan, kedinamikan perancangan, dan
kedinamikan motivasi.
Menurut Nik Azis Nik Pa, budaya kerja yang perlu menjadi pegangan,
khususnya oleh masyarakat Islam ialah penilaian yang tinggi terhadap penguasaan
ilmu dan teknologi, dan menyanjung tabiat tekun belajar serta gigih bekerja.
Pemilikan budaya kerja seperti ini akan melahirkan masyarakat Islam yang maju.
Sesungguhnya, Wawasan 2020 merupakan cabaran yang hebat kepada masyarakat
Islam. Bahkan, berdasarkan perubahan dan cabaran yang sedang menunggu pada abad
ke-21, Wawasan 2020 akan menentukan jatuh bangun, maju mundur masyarakat Islam
di Malaysia. Tugas mereka semakin mencabar lebih-lebih lagi memandangkan tiada
negara Islam di dunia ini yang boleh dijadikan contoh atau model. Mesir, Iran,
Iraq, dan sebagainya sedang menghadapi kemelut masing-masing.
Untuk menyahut cabaran tersebut, umat Islam perlu mempunyai kekuatan
akidah, ilmu, jihad, dan ijtihad. Tanpa kekuatan tersebut, umat Islam akan
tersisih daripada Wawasan 2020 dan tidak dapat membebaskan diri daripada
belenggu kemunduran dan kedaifan.
Sesungguhnya juga, tidak ada mudah untuk mencapai Wawasan 2020. Dari segi
realiti, pelaksanaan Wawasan 2020 perlu didukung oleh pemikiran yang
kritis. Satu pemikiran yang dapat
melihat situasi yang jelas, mengenal pasti
masalah, dan mencari penyelesaian yang sesuai.
Penulis turut menekankan peri
pentingnya sumber manusia yang berkualiti dalam usaha menjadikan
Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian maju, seperti yang diidam-idamkan
oleh Wawasan 2020. Sehubungan dengan itu, masyarakat Malaysia perlu berjiwa
besar, berfikiran besar, gigih berusaha, berdedikasi, berdaya kreatif,
berdisiplin tinggi, mementingkan kualiti, cekap menyesuaikan diri dengan
perubahan pesat yang melanda dunia perniagaan.
Memang tidak dapat dinatikan penulis telah menjalankan kajian yang tuntas
dalam usahanya menghasilkan buku yang boleh dianggap cemerlang seperti ini.
Keupayaan penulis menggabungkan beberapa perspektif, misalnya perspektif
pengurusan Barat (walaupun kadangkala dikritik) dan perspetif Islam patut dihargai. Penulis juga berjaya melontarkan ideanya dengan bernas dan kritis. Sebenarnya, banyak pihak menjadi
sasaran kritikan beliau. Sesungguhnya, idea seperti ini amat penting untuk
mencapai Wawasan 2020.
Namun begitu, Nik Azis telah melakukan kesilapan fakta dalam halaman 138
apabila beliau menyebut “Wawasan 2020 merupakan satu cita-cita tegas untuk
menjadikan Malaysia sebuah negara maju tiga abad dari sekarang.” Sepatutnya,
beliau menyebut tiga dekad (30 tahun)
dan bukannya tiga abad (300 tahun).
Bagi sesiapa sahaja yang tidak mahu tersisih daripada arus Wawasan
2020, buku ini perlu dibaca dan
dihayati. Bagi sesiapa yang mengkritik Wawasan 2020 dengan lantang, buku ini
pun patut dibaca. Setidak-tidaknya, dengan membaca buku ini mereka menjadi
lebih kritis, kreatif, dan inovasi.
(Dewan Ekonomi, September 1994.)
No comments:
Post a Comment