JUMAAT, 26 April 2019
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Sekali lagi fahaman
pelbagai budaya diserang. Sekali lagi, Eropah yang masih bergelut
dengan krisis ekonomi menjadi kancah perang fahaman pelbagai
budaya. Dan, sekali lagi, kaum imigran, khususnya orang Islam
di benua itu dijadikan sasaran, bahkan mangsanya.
Pada pertengahan Oktober 2010, Angela
Merkel menjadi tumpuan di Eropah dan merentas
Atlantik kerana pengumuman beliau tentang kegagalan fahaman pelbagai
budaya di Jerman. Pengumuman itu menghangatkan lagi
debat tentang bagaimana untuk berurusan dengan berjuta-juta orang
asing atau pendatang (imigran) yang menganggap sesebuah negara
itu sebagai negara mereka. Beliau
berkata, “Pendekatan pelbagai budaya ini, iaitu
kita hidup sebelah menyebelah dan hidup dengan gembira antara satu
sama lain gagal. Benar-benar gagal.”
Majalah Dewan Budaya keluaran Januari
2011, menerbitkan “Berakhirnya Fahaman
Pelbagai Budaya.” Makalah itu
bermula dengan merujuk kepada penulisan David Brooks pada
tahun 2006 dalam The New York Times, yang mengisytiharkan
kematian fahaman pelbagai budaya di Amerika Syarikat. Sebagai penulis yang
terkenal dan menulis pula dalam akhbar yang
berwibawa, pastinya beliau bukannya membuat perisytiharan sesuka
hati tanpa melakukan kerja rumah. Dalam makalah, “The Death of
Multiculturalism,” Brooks bermula dengan memetik Richard
Bernstein bahawa pada tahun 1994, fahaman pelbagai budaya
mencapai tera airnya yang tinggi. Seterusnya, beliau memetik Michael
Tomasky bahawa dua tahun kemudian, gerakan progresif dimusnahkan
oleh politik identiti pelbagai budaya.
Brooks merumuskan bahawa kemerosotan fahaman pelbagai budaya dan kelahiran
semula nasionalisme Amerika liberal merupakan peristiwa yang cukup penting lagi
bermakna. Demokrat membersihkan sisa-sisa terakhir
Kiri Baru dan kembali semula liberalisme sivik lama tahun 1950-an
dan awal 1960-an.
Sebelum perisytiharan Angela Merkel itu, fahaman kepelbagaian telah pun
menjadi perdebatan. Walaupun wujud pelbagai
kumpulan minoriti, misalnya gay, lesbian, dan penyokong gerakan
kewanitaan, tetapi yang sering menjadi tumpuan perdebatan atau
polemik fahaman pelbagai budaya ialah kaum imigran di
sesebuah negara. Dalam hubungan ini, Malise Ruthven
berjaya memerhatikan kewujudan “benua imigran” di
Eropah Barat dan masalah yang
mendasari imigran Islam, antaranya dari segi
budaya. Dalam ulasannya tentang dua buah buku,
satu ditulis oleh Christopher Caldwell dan satu lagi
oleh Tariq Ramadan, Ruthven menegaskan
bahawa berbanding dengan pelarian Yahudi dan Huguneot, jumlah
yang meningkat daripada penghijrah Muslim membahayakan
budaya peribumi Eropah, terutama kerana budaya berkenaan menjadi
mudah rosak dalam keadaan tidak tentu.
Ruthven yang menulis “The Big Muslim Problem!” dalam The New York Review of
Books, keluaran Disember
2009, berhujah bahawa ketepatan politik,
antirasisme, dan faham pelbagai budaya, lahir daripada rasa bersalah tentang
kolonialisme dan rasa malu terhadap Holocaust, menghakiskan budaya
kebangsaan, tetai gagal untuk melahirkan wawasan
koheren jati diri atau identiti Eropah bersama. Model rasa
kekitaan Kesatuan Eropah ialah “Anda ialah satu orang untuk budaya anda dan
satu lagi untuk undang-undang. Anda boleh secara rasmi
(dari segi undang-undang) menjadi orang Eropah, bahkan jika anda bukan orang
Eropah ‘sebenar’ (budaya).” Memang wujud masalah bagi sesetengah
komuniti Eropah atau bahawa fahaman pelbagai budaya mencabar sempadan
tradisional yang memisahkan warganegara daripada idea yang tertumpu pada
kesetiaan, identiti, dan taat setia. Apabila seorang imigran berkata bahawa dia
British, dia tidak berkata bahawa dia mahu menjadi orang Inggeris, Scott atau
Welsh.
Pada takat tertentu, Ruthven
cuba berhujah bahawa fahaman pelbagai
budaya membuka ruang kepada kaum imigran untuk memperkukuh budaya
mereka: “Masalah asas Eropah terhadap Islam, dan terhadap
penghijrahan lebih umum, ialah bahawa komuniti yang lebih kuat di Eropah,
berbicara dari segi budaya, bukannya komuniti Eropah sama
sekali. Masalah ini wujud di semua negara Eropah, meskipun pelbagai
langkah yang luas diambil untuk menyelesaikannya, misalnya faham pelbagai
budaya di Belanda, laicite di Perancis, pengabaian mesra di
Britain, dan keberadaban perlembagaan di Jerman.”
Eropah yang sejak beberapa bulan lalu terpaksa bergelut dengan
krisis hutang, tiba-tiba meletup dengan penolakan fahaman pelbagai
budaya: pengusiran Roma atau orang Gipsi dari
Perancis dan sentimen antikaum imigran atas alasan politik dan
ekonomi. Dari Perancis ke Jerman, dari
Austria ke Belanda, menurut pemerhatian Slavoj
Zizek, dalam semangat baru kebanggaan terhadap
satu-satunya budaya dan identiti sejarah, parti-parti utama kini mendapati
boleh diterima untuk menekankan bahawa kaum imigran ialah tetamu yang perlu
menyesuaikan diri mereka dengan nilai budaya yang menentukan masyarakat
peribumi. Mesejnya jelas: “Ini negara kami, cintainya
atau berambus.” Merentas Eropah, bahas Zizek
dalam guardian.co.uk pada awal Oktober 2010, “politik kanan jauh (far right) mencemari kita
semua dengan keperluan untuk melaksanakan dasar antiimigresen yang ‘munasabah.’ Fahaman
pelbagai budaya liberal bertopengkan barbarisme lama dengan wajah manusia.”
Pengumuman Canselor Jerman itu memanaskan lagi perdebatan
tentang fahaman pelbagai budaya, bahkan menarik
perhatian The Economist yang muncul
dengan “Immigration in Germany:Multikulturell? Wir?” dengan memberikan mukadimah, “bagaimana debat
baru tentang fahaman pelbagai budaya di Jerman bertembung dengan negara yang
memerlukan lebih banyak kaum imigran. Tinjauan pendapat yang baru
mengesahkan perseteruan orang Jerman terhadap kaum imigran, terutamanya orang
Islam. Majalah itu dalam keluaran November 2010 juga memetik
pandangan Ruud Koopmans dari Social Science Research Centre
di Berlin yang berkata, “Bercakap dalam bahasa Jerman dan berhubung
dengan orang Jerman adalah lebih penting daripada merasakan diri mereka orang
Jerman.”
Selepas reda seketika, tiba-tiba pada awal Februari 2011, Perdana Menteri
Britain, David Cameron yang jika dibandingkan dengan Angela Merkel, dengan nada
yang lebih keras mengisytiharkan “perang beliau terhadap fahaman
pelbagai budaya” yang bukan sahaja mendapat liputan meluas akhbar negara
itu, malahan akhbar di di Amerika Syarikat. Beliau melancarkan
serangan hebat terhadap 30 tahun fahaman kepelbagaian budaya di negara itu,
dengan memberikan amaran bahawa fahaman tersebut memupuk ideologi ekstremis dan
secara langsung menyumbang terorisme Islam yang ditanam di negara
sendiri. Beliau berkata bahawa Britain mesti menerima pakai dasar
“liberalisme otot” untuk menguatkuasakan nilai kesamaan, undang-undang, dan
kebebesan bercakap yang melibatkan setiap lapisan masyarakat.
Dalam dasar baru yang digariskan dalam
ucapannya sempena persidangan keselamatan antarabangsa di Munich, Cameron
memberikan amaran bahawa kumpulan Muslim bahawa jika mereka gagal menyokong hak
kaum wanita dan gagal menggalakkan integrasi, mereka akan kehilangan semua
pendanaan kerajaan. “Semua kaum imigran di Britain mesti bercakap
bahasa Inggeris dan sekolah akan dijangkakan mengajar budaya bersama negara
itu. Beliau menyalahkan doktrin “fahaman pelbagai budaya negara”
yang menggalakkan budaya yang berbeza menjalani kehidupan yang
berasingan. Bagi beliau, fahaman pelbagai budaya ini mendorong kegagalan
sesetengah pihak untuk menghadapi perasaan gerun kahwin paksa, dan tambah
beliau, “juga membiakkan keradikalan yang mendorong
terorisme. Daripada mengabaikan ideologi ekstremis ini, tegas
Cameron, “kita sebagai kerajaan dan masyarakat mesti sanggup menghadapinya. Daripada
menggalakkan orang ramai hidup berasingan, kita memerlukan maksud yang jelas
tentang identiti nasional yang dikongsi, yang terbuka untuk setiap orang.”
Berikutan ucapan itu, Cameron dikatakan “biru lebam” kerana diserang oleh
kumpulan Muslim dan anggota Parlimen daripada Parti
Buruh. Setiausaha Keadilan bayangan, Sadiq Khan menuduh Cameron
“menulis propaganda untuk English Defence League,” manakala kumpulan Muslim
berkata beliau cuba untuk “mengoyak-robekkan komuniti Islam.” Mohammed
Shafiq, Ketua Eksekutif Ramadhan Foundation, menuduh Perdana Menteri cuba
“mencari modal politik murahan.” Kepelbagaian dikatakan tidak
membiakkan pengganas, tetapi politik yang menggalakkannya.
Paul Vallely, “How Monocultural Does the
Prime Minister Want Us to Be?” dalam The
Independent pada 5 Februari 2011, mengakui bahawa selama ini fahaman pelbagai
budaya tidak pernah disenangi oleh puak kanan, tetapi kini turut diserang oleh
puak kiri liberal. “Idea bahawa kumpulan etnik yang berbeza,” tulis
Vallely, “sepatutnya dipupuk dan diraikan, sebagai asas untuk keharmonian
sosial, menjadi tonggak sikap Britain terhadap komuniti minoriti sejak lebih
dekad.” Vallely juga mengakui bahawa beberapa langkah praktikal
Cameron itu tidak akan mencetuskan kontroversi dalam kalangan kumpulan
minoriti, seperti keperluan bahawa kaum imigran sepatutnya
mempelajari bahasa Inggeris atau kurikulum sekolah sepatutnya meraikan “budaya
bersama” jika itu adalah satu kelaziman. Akan tetapi, amaran Perdana Menteri
Cameron bahawa “Eropah perlu sedar apakah yang berlaku terhadap masyarakat
kita” mencetuskan kemarahan organisasi Muslim yang tidak menyumbang kepada
nilai tertentu tentang “integrasi atau pengasingan.”
Analisis David Cameron adalah cacat, tulis Madeleine Bunting dalam guardian.co.uk, “individualisme dan globalisasi yang melemahkan
identiti nasional yang kuat” dan “memeranjatkan bahawa Cameron mahu
bersekongkol dengan debat di Jerman yang diserang histeria dan terlalu tidak
menyenangkan.” Beliau juga menegaskan bahawa salahkan
kapitalisme pengguna dan bukannya fahaman pelbagai budaya. Madeleine cuba
membahaskan komuniti yang dibayangkan dengan memetik wawasan sejarawan,
Benedict Anderson tentang bangsa ialah “produk imaginasi dan cerita yang kita
pilih untuk memberitahu kita tentang masa lalu dan masa kini kita.”
Mesej David
Cameron memang jelas bahawa sebagaimana di Jerman dan
Perancis, orang Islam tidak dikehendaki di
Britain. Dengan memilih Munich untuk
memberitahu orang Islam, beliau “belayar sekapal” dengan
Angela Merkel. Tindakan ini mudah untuk difahami kerana kedua-dua
negara sarat dengan rasisme, dan di kedua-dua negara, kaum peribumi berpegang
teguh pada bahasa dan budaya mereka.
Di sini saya mengulangi apa yang saya sudahi dalam makalah saya itu
bahawa kini, David Brooks tidak
lagi berseorangan mengisytiharkan kematian fahaman pelbagai budaya:
Merkel dan Cameron turut menyertainya. Tindakan
dunia yang mula menutup pintu
kepada berjuta-juta juta kaum imigran dan dengan
kebangkitan fahaman keperibumian (nativisme) seperti yang berlaku di Eropah,
memperlihatkan fahaman
pelbagai budaya kini di ambang kematian.
No comments:
Post a Comment