Pages

Wednesday, April 3, 2019

Alam Sekitar: Keuntungan dan Krisis Kapitalisme


RABU, 3 April 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



ROBOHNYA Tembok Berlin pada tahun 1989 dan disusuli dengan keruntuhan  Kesatuan Soviet disambut   sebagai kemenangan kapitalisme. Kepesatan globalisasi sa dan kemakmuran  yang melimpah ke seluruh pelosok dunia  pada tahun 1990-an semakin menguatkan keyakinan terhadap kemenangan  kapitalisme. Bersama-sama globalisasi dan kemakmuran itu, wang panas dan  wang haram menjelajah dunia sehingga  mengukuhkan ketaasuban terhadap pasaran bebas. Pada dekad tersebut juga, neoliberalisme ekonomi dan kewangan  bermaharajalela. Di seluruh dunia, tapak pengumpulan modal dibina dan diperkukuh  sebagai dukungan kepada globalisasi dan neoliberalisme. 
            Namun begitu, krisis kewangan yang  melanda Asia Timur pada tahun 1997-1998  dan merebak ke Rusia dan Amerika Latin membuktikan bahawa kapitalisme tidak sekukuh seperti  yang digembar-gemburkan. Peristiwa 11 September  2001 bukan sekadar menunjukkan bahawa Amerika Syarikat terdedah pada serangan, tetapi juga menggugat  keutuhan kapitalisme. Sejak akhir abad ke-20,  kapitalisme mengalami krisis silih  berganti, dan kemerosotan atau  krisis sekitar merupakan satu lagi contoh krisis kapitalisme.
             Kapitalisme yang sentiasa lapar akan keuntungan cenderung mencetuskan krisis ekonomi. “Walaupun genangan  dan keruntuhan ekonomi, di samping kemerosotan alam sekitar berlaku  sebelum kewujudan kapitalisme,  kapitalisme  mempunyai keinginan tidak berhenti-henti untuk melabur dan mengumpulkan kekayaan menyebabkan berlaku krisis ekonomi dan alam sekitar yang berterusan” tegas  Fred Magdoff dalam Monthly Review  keluaran September 2002. Kapitalisme menyebabkan kemerosotan alam sekitar, seperti pembasmian hutan, kekurangan tanah pertanian, dan kekurangan air. Pembalakan yang berleluasa merupakan kerakusan kapitalisme yang ingin mengaut keuntungan. Kepesatan perindustrian dan  pembandaran mengorbankan tanah pertanian, dan akibatnya berlaku krisis makanan. Kapitalisme mengeksploitasi alam sekitar hingga ke peringkat pulangan sifar, iaitu tidak ada lagi keuntungan yang dapat dihasilkan. Pada masa yang sama, penduduk yang bergantung pada tanah pertanian akan kehilangan sumber pendapatan mereka.
            Bagi kapitalisme,  perlu wujud keseimbangan antara kemerosotan alam sekitar dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK). Maksudnya, pada tahap tertentu,  alam sekitar perlu dikorbankan demi mencapai pembangunan ekonomi. Namun begitu, dalam pengorbanan ini lazimnya berlaku  ketidakadilan sosial, iaitu segelintir kapitalis mengaut keuntungan sambil memiskinkan sebilangan besar penduduk. Dalam kerancakan pengumpulan modal, golongan miskin tidak mempunyai suara atau hak untuk memulihara alam sekitar. Keadaan semakin rumit kerana bagi badan antarabangsa, seperti Organisasi  Perdagangan Sedunia (WTO), perdagangan mengatasi segala-galanya, termasuk mengorbankan alam sekitar. Menurut senarai WTO, air ialah barang, manakala  Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) menganggap air ialah barang dan pelaburan. Dengan itu, air boleh dijual beli, dijadikan komoditi yang boleh diperdagangkan, dan seterusnya peranan pemerintah untuk menyediakan bekalan air kepada rakyat jelata diambil alih oleh pihak swasta.
            Ahli ekonomi berpendapat bahawa kemiskinan dan kemerosotan alam sekitar saling berkait antara satu sama lain. Kemiskinan menyebabkan kemerosotan alam sekitar dan kemerosotan alam sekitar menyebabkan kemiskinan. Penduduk di negara miskin terpaksa bergantung pada alam sekitar untuk kehidupan mereka sehari-harian, seperti menebang pokok-pokok. Amalan ini akan menyebabkan berlaku pembasmian hutan dan seterusnya hakisan tanah, dan akibatnya mereka terus hidup dalam kemiskinan. Di sesetengah negara di Afrika, pembasmian hutan dan kewujudan kawasan gurun dikaitkan dengan jumlah penduduk yang berlebihan. Lantaran itu, penduduk desa terpaksa berhijrah ke bandar. Malangnya, bandar tidak mampu menyediakan pekerjaan kepada golongan penghijrah ini, dan akibatnya mereka terperangkap dalam kemelaratan dan kemiskinan bandar.         
            Selama berabad-abad, pengurangan kawasan hutan tidak menghalang kemajuan manusia. Malahan, penebangan pokok-pokok untuk melipatgandakan pengeluaran makanan dan pengambilan hasil hutan merupakan aspek pembangunan ekonomi dan sosial yang penting. Namun begitu, penebangan pokok-pokok secara berleluasa meninggalkan kesan terhadap ekonomi dan kesejahteraan alam sekitar di kebanyakan negara, terutamanya Dunia Ketiga sejak kebelakangan ini,” kata Sandra Postel dan Lori Heise dalam buku Dunia Terancam. Penebangan pokok-pokok oleh penduduk desa untuk keperluan ekonomi dan sosial tidak membawa kemusnahan yang teruk kepada alam sekitar. Pokok-pokok merupakan sumber penting dari  segi ekonomi dan kelangsungan hidup atau penakatan penduduk desa. Beratus-ratus juta penduduk bergantung hidup pada cara mengutip kayu untuk memasak, memanaskan rumah mereka, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, peluang ini semakin berkurangan akibat pembasmian hutan secara berleluasa untuk tujuan komersial para kapitalis yang kadangkala bersekongkol dengan pemerintah di sesebuah negara.
            Selain penduduk desa, para kapitalis dan konco-konco mereka juga mengeksploitasi alam sekitar, bahkan mereka membawa kemusnahan alam sekitar dengan lebih pesat demi mengaut keuntungan. Eksploitasi yang sedemikian juga menyebabkan sumber asli, seperti air semakin berkurangan. Apabila air semakin berkurangan, sedangkan permintaan terhadap sumber ini semakin meningkat, maka dalam keadaan seperti ini, kapitalis berpeluang untuk mengaut keuntungan. Meskipun secara logik, peningkatan kos bahan mentah dan kos lain yang berkaitan dengan kekurangan sumber asli dapat mengurangkan keuntungan dan mencetuskan krisis ekonomi, namun seperti yang disebut oleh James O’Connor, kapitalisme masih mampu
meningkatkan kadar eksploitasi, dan oleh itu, meningkatkan keuntungan.
            Satu kecenderungan sekarang ini ialah air dikomersialkan, dikomoditikan, atau diswastakan yang memberikan manfaat kepada kapitalis. Menurut majalah Fortune, kini, keuntungan tahunan industri air berjumlah 40 peratus daripada sektor minyak dan lebih tinggi daripada sektor farmasi, iaitu hampir AS$1 trilion (RM3.8 trilion). Para kapitalis menghasilkan keuntungan yang lumayan daripada krisis air kerana wujud monopoli dalam industri ini. Misalnya, di Amerika Syarikat, syarikat besar yang menceburi industri air disenaraikan di bursa saham.
            “Oleh sebab keuntungan merupakan matlamat yang mengatasi segala-galanya, maka kesan buruk terhadap alam sekitar sudah tentu tidak dapat dielakkan. Pencemaran air, udara, dan tanah merupakan kesan sampingan daripada pengeluaran sistem yang diatur atau ditentukan oleh hanya satu matlamat, iaitu menghasilkan keuntungan. Menurut logik pengeluaran dan pertukaran kapitalis, tidak wujud mekanisme untuk menggalakkan atau memaksa industri mencari kaedah yang dapat meminimumkan kesan terhadap alam sekitar,” kata Magdoff.
            Walau bagaimanapun, kapitalisme amat licik dari segi penghasilan keuntungan atau pengumpulan modal dalam setiap situasi. Para kapitalis berpeluang mengaut keuntungan, baik semasa sumber berlebihan mahupun semasa sumber ini berkurangan. “Kita tidak sepatutnya memperlekeh keupayaan kapitalisme untuk mengumpulkan kekayaan di tengah-tengah kemusnahan ekologi yang ketara, untuk mengaut keuntungan daripada kemerosotan alam sekitar,  misalnya melalui pertumbuhan industri  pengurusan bahan buangan, dan untuk terus-menerus merosakkan bumi in hingga ke tahap tidak ada lagi manfaat  kepada masyarakat manusia dan spesies yang hidup di dunia ini,” kata John Bellamy Foster semasa Persidangan Sosialisme tahun 2002 di Chicago pada 15 Julai. Atau seperti kata German Greens,  kapitalisme akan mengakui bahawa wang tidak boleh digunakan, kecuali apabila pokok terakhir ditebang, dan bukan sebelumnya.
            Memang benar bahawa penduduk kampung di kawasan yang gersang d Senegal mengetahui bahawa bumi mereka semakin gersang, pupus, dan terancam dan memang benar bahawa penduduk d dalam hutan belantara di tengah-tengah Lembah Amazon mengetahui bahawa tanah air mereka sedang musnah, namun  mereka kurang berupaya untuk menghalang pengumpulan modal. Seperti yang berlaku di tempat-tempat lain, penduduk  desa terpaksa tunduk pada penguasa modal, meskipun keadaan alam sekitar  mereka terjejas, tergadai atau musnah  sama sekali. Baik dalam keadaan kerakusan kapitalis mahupun krisis kapitalisme, penduduk desa terpaksa akur bahawa alam sekitar di sekeliling mereka  bukannya milik mereka, tetapi milik pemerintah atau pemodal. Mereka juga  terpaksa akur bahawa pada suatu kelak, tidak ada lagi sumber, seperti air dan kayu yang boleh dinikmati secara percuma. Kini,  mereka menyaksikan alam  sekitar merosot, sumber asli pupus, bumi berubah menjadi gurun bukan akibat daripada bencana alam, tetapi angkara “tangan kotor.” Seperti imperialisme, kata John Bellamy Foster,  “kemerosotan ekologi merupakan asas kepada kapitalisme untuk mencari keuntungan.”

(Dewan Budaya, Januari 2003.)
















No comments:

Post a Comment