Pages

Friday, January 11, 2019

Mitos Peribumi Malas dan "Orientalism"


JUMAAT, 11 Januari 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Dalam sekian banyak buku Alatas, The Myth of the Lazy Native atau  Mitos Peribumi Malas  banyak diperkatakan, baik dalam penulisan mahupun dalam seminar atau persidangan tentang pemikiran beliau. Barangkali karya ini boleh dianggap   sebagai magnum opus. Tambahan pula, Edward Said memberikan penghargaan     terhadap karya ini, seperti yang beliau bangkitkan dalam bukunya, Culture and Imperialism (1994)  yang diterbitkan kira-kira 15 tahun selepas Orientalism (1978). Penghargaan Said dipetik secara meluas oleh para sarjana tempatan apabila mereka membahaskan pemikiran Alatas atau mereka menulis teori atau kritikan  pascakolonial atau kajian pascakolonialisme  dan  Orientalisme.  Namun begitu, Alatas  “tidak gemar menggunakan perkataan pasca, seperti pascamodenisme, dan menggunakannya secara terpaksa” (Alatas, 2005: 1 – 2; huruf condong oleh Alatas sendiri). 
            Said dikatakan,  “memberikan penghargaan yang tertinggi kepada karya Syed Hussein Alatas, The Myth of the Lazy Native, bahkan  mengaku memperoleh ilham daripadanya”  (Abdul Rahman, 2005: 53). Karya Alatas yang tersebut mendahului kritikan Said terhadap Orientalisme (Abdul Rahman, 2005: 53). Namun begitu, tidak dapat dipastikan Said memperoleh ilham ini untuk menulis dalam makalah atau  buku beliau yang mana satu.  Kalau hendak dikatakan dalam Orientalism, agak mustahil kerana karya ini diterbitkan kira-kira setahun selepas The Myth of the Lazy Native.  Dalam tempoh yang begitu singkat itu, mustahil Said dapat merujuk karya Alatas; tambahan pula waktu itu, mereka tidak pun mengenali antara satu sama lain.   Dalam karyanya itu Said langsung tidak menyebut nama Alatas atau The Myth of the Lazy Native.  Bahkan, dalam “kata hujungan” yang ditulis pada tahun 1994 yang dimuatkan dalam Orientalism dalam penerbitan seterusnya, Said tidak langsung menyebut Alatas dan karyanya dalam sekian banyak  nama, tulisan,  dan karya yang disentuh oleh Said. Dalam membezakan antara pascamodenisme dengan pascakolonalisme – yang bias Eurocentric sangat tebal dalam yang pertama, Said hanya menyebut,  “Abdel Malek, Samir Amin, dan C.L.R. James yang merupakan  pemikir terkenal yang melakukan kajian awal tentang pascakolonial” (Said, 1979: 349). Demikian juga dalam “prakata untuk edisi ulang tahun ke-25,” Said tidak langsung menyebut Alatas dan karyanya itu. Justeru, apabila Abdul Rahman Embong menyatakan, “Said mengaku memperoleh ilham daripadanya,”   sebenarnya menimbulkan persoalan dan juga mengelirukan.
            Tatkala sebilangan sarjana tempatan memberikan tafsiran berlebih-lebihan, meskipun tidak masuk akal tentang “penghargaan” Said,  Masturah Alatas memberitahu kisah sebenar. Pada musim luruh 1988, ketika itu beliau mahasiswi Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan Bandingan, beliau berjumpa dengan Edward Said di Bandar Raya New York.  Dipendekkan cerita, Said memberitahu Masturah bahawa beliau membaca  The Myth of the Lazy Native dan beliau merancang untuk menulis perihal bapa Masturah pada suatu hari kelak (Masturah, 2010: 44).   Edward Said mengotakan katanya dengan menumpukan beberapa halaman untuk membincangkan The Myth of the Lazy Native dalam bukunya, Culture and Imperalism yang diterbitkan pada tahun 1993.   Kisah kecil ini sepatutnya melenyapkan mitos bahawa Orientalism  Edward Said yang diterbitkan pada tahun 1978, walau apa cara pun dipengaruhi oleh atau terhutang dengan  The Myth of the Lazy Native yang diterbitkan pada tahun 1977 (Masturah, 2010: 44). Dua orang ini tidak mengenali antara satu lain, maka mereka tidak ada peluang untuk bertukar idea tentang karya mereka yang sedang dihasilkan. Selain itu, memang mustahil bahawa Edward Said membaca The Myth of the Lazy Native dan terfikir, “Apakah idea agung!” dan kemudian duduk untuk menulis Orientalism setebal 348 halaman dan menerbitkannya pada tahun berikut (Masturah, 2010: 44 – 45).  Edward Said mengetahui The Myth of the Lazy Native selepas membaca ulasan buku yang muncul dalam Times Literary Supplement (TLS) pada 13 Mei 1977, hanya empat bulan selepas buku ini diterbitkan (Masturah, 2010: 47).
            Dalam Culture and Imperialism, Edward Said mengalu-alukan serta menghormati Syed Hussein Alatas sebagai seorang pelopor dan perintis yang mendahului Said sendiri dalam usahanya memperlihatkan serta menjelaskan beberapa hubungan yang erat, tetapi sulit dan tersembunyi antara sistem pemerintahan kolonial dengan penyebaran budaya kolonial (Kessler, 2009: 15). Memang Edward Said memberikan  penghargaan    terhadap The Myth of the Lazy Native dalam  bukunya itu, tetapi  dalam “pengenalan” yang agak tebal itu, kira-kira  18 halaman, beliau tidak menyebut nama Alatas dan/atau karyanya (Said, 1994: xi – xxviii).  Hanya pada halaman 42, nama Alatas dan The Myth of the Lazy Native muncul bersama-sama Peter Gran, Judith Tucker, dan Hanna Batatu (Said, 1994: 42).  Seterusnya, Said menyatakan bahawa A Rule of Property for Bengal (1963) oleh Ranajit Guha dan The Myth of the Lazy Native (1977) oleh Alatas, ialah pascakolonial dan pakar, menumpukan perhatian terhadap khalayak yang lebih kecil tentang isu yang lebih spesifik.  Kedua-dua buku ini, yang pertama oleh ahli ekonomi politik Bengal, yang kedua oleh sejarawan dan ahli teori sosial Islam Malaysia, menunjukkan penyelidikan arkib yang tekun pengarang buku ini dan dokumentasi, hujah, dan generalisasi yang terkini secara teliti (Said, 1994: 245). Buku Alatas, sebagai karya asli yang mengejutkan dari segi caranya sendiri seperti buku Guha, juga memperincikan bagaimana kolonial Eropah mencipta objek, dan dalam kes ini, peribumi malas, yang menjalankan fungsi penting dalam pengedaran dan pembelaan apa yang Alatas sebut kapitalisme kolonial (Said, 1994: 245 – 246).
            Said juga  membandingkan karya Alatas dan Guha pada satu pihak dengan karya The Black Jacobins (1938) oleh C.L.R. James dan The Arab Awakening (1938) oleh George Antonius pada satu pihak yang lain. “Perbezaan antara James dan Antonius dengan Guha dan Alatas bukan hanya bahawa penulis awal itu lebih segera terlibat dalam politik sezaman, manakala dua orang penulis yang kemudian itu banyak mengambil berat tentang pertikaian akademik di India dan Malaysia pascakolonial, tetapi juga bahawa sejarah pascakolonial sendirinya mengubah istilah, sememangnya  sangat alamiah hujahnya” (Said, 1994: 246).  Hujah Said, tidak wujud sekena harmoni antara Barat dengan koloni seberang lautnya diperhatikan dalam karya Guha dan Alatas (Said, 1994: 249). Kritikan tajam Alatas adalah terhadap orang Malaysia, iaitu orang Melayu autonomi baharu yang terus menerus mengeluarkan semula dalam pemikiran mereka tentang ideologi kolonial yang mewujudkan dan mengekalkan idea “peribumi malas.” Parti pemerintahan Melayu yang mencapai kemerdekaan tanpa perjuangan ideologi masih berpaut dengan pemikiran ideologi British (Said, 1994: 249).
            Guha dan rakan-rakannya  menerbitkan sembilan ciri Subaltern Studies dari tahun 1982 – 1997, memperincikan pengalaman kolonialisme golongan bawahan dan mereka yang terpinggir di India dalam puluhan kajian kes.  Mereka berjaya menulis sekali gus merakamkan history from below (Shamsul Amri, 2005: 63; rujuk juga Said, 1994: 251). Terasasnya dan berkembangnya mazhab Subaltern Studies di India yang dipelopori oleh Guha dan rakan-rakannya diilhamkan oleh E.P. Thompson, tetapi dengan memperkembangkan konsep subaltern, bermakna memperkembangkan golongan bawahan, yang diperkenalkan dan dihuraikan oleh Antonio Gramsci berasaskan pengalaman kelas pekerja di Itali (Shamsul Amri, 2005: 63).  Daripada wacana Subaltern Studies ini muncul perbincangan yang mendalam tentang nasionalisme, pembentukan negara bangsa, dan identiti (jati diri)  pada zaman kolonial dan era pasckolonial (Shamsul Amri, 2005: 63).
            Said juga membandingkan  karya Guha dengan karya Alatas. Menurut beliau, karya Guha merangsang perusahaan koperasi penting, iaitu Subaltern Studies yang seterusnya membawa Guha dan rakan-rakannya ke dalam penyelidikan seterusnya yang unggul tentang masalah kuasa, historiografi, dan sejarah orang ramai.  Karya Alatas mempunyai dua matlamat, iaitu mewujudkan asas untuk metodologi atau pengkaedahan pascakolonial sejarah dan masyarakat Asia Selatan [sic  – mungkin Asia Tenggara], dan untuk melanjutkan demystifying dan  deconstructive karya yang dicadangkan dalam The Myth of The Lazy Native (Said, 1994: 255).

No comments:

Post a Comment