Pages

Wednesday, November 12, 2014

Siapakah Kita?

RABU, 12  November 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Beberapa  bulan lalu,  dilaporkan bahawa  pengenalan kaum dalam borang rasmi kerajaan  akan dimansuhkan.  Walau bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak  memaklumkan bahawa pengenalan itu kekal seadanya.  Berikutan campur tangan segera Perdana Menteri,  cadangan itu sekadar   “ribut dalam cawan,” dan berakhir di situ sahaja.
            Penulisan yang jelas datangnya daripada pemikiran yang jelas.  Demikian juga idea  yang jelas datangnya daripada minda  yang jelas.  Memang sesuatu yang mengejutkan apabila cadangan pemansuhan  pengenalan kaum dalam borang rasmi dibawa ke  peringkat Jemaah Menteri. Sepatutnya,  cadangan pemansuhan itu ditolak awal-awal lagi oleh menteri yang berkenaan.  Hal ini demikian kerana pengenalan kaum dalam borang itu bukannya satu masalah, bahkan bukannya simpton.  Langkah yang amat mudah itu tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah, dan sekali gus, bermakna tidak mampu meneruskan pembinaan bangsa yang terencat,  kalaupun tidak mahu disebut gagal. 
            Pemansuhan pengenalan kaum juga  tidak akan mewujudkan “komuniti yang dibayangkan,” suatu konsep  yang diperkenalkan oleh Benedict Anderson.  Menurut beliau,   untuk setiap warganegara mengetahui warganegara lain dan mengenali diri mereka dalam hubungan dengan warganegara lain hanya boleh muncul melalui jenis jati diri massa kolektif yang dibentuk dan diperkukuh menerusi imaginasi. 
            Komuniti yang dibayangkan, hujah Anderson adalah berbeza daripada komuniti sebenar kerana komuniti yang dibayangkan tidak (dan tidak boleh) berasaskan interaksi muka ke muka (face-to-face) setiap hari antara anggota komuniti berkenaan.  Sebaliknya, anggota tersebut menyimpan dalam minda mereka bayangan (imej mental) tentang kesamaan mereka, misalnya kenegaraan yang anda rasakan dengan anggota lain dalam bangsa (nation) anda apabila “komuniti yang dibayangkan” anda itu menyertai acara yang lebih besar, seperti Sukan Olimpik. 
            Bangsa, tegas beliau, “ialah dibayangkan kerana anggota, bahkan bangsa yang lebih kecil tidak pernah mengetahui kebanyakan anggota bangsa mereka, tidak pernah berjumpa dengan mereka, atau bahkan tidak pernah mendengar tentang mereka.  Namun begitu, dalam minda setiap anggota itu hidup imej perhubungan mereka.”
            Anderson dalam bukunya,  Imagined Communities: Reflections on the Origin and Spread of Nationalism, mentakrifkan  bangsa yang dibayangkan kedua-duanya,    iaitu sebagai memang terhad dan berdaulat. Beliau  menjelaskan, “dibayangkan kerana anggota, bahkan bangsa yang kecil  tidak akan pernah mengenali anggota  lain, berjumpa mereka, dan  bahkan tidak pernah mendengar tentang mereka, namun dalam minda setiap mereka hidup  imej  perhubungan   mereka.”  Semua komuniti, hujah beliau, lebih besar daripada kampung primordial kontak muka ke muka (dan mungkin bahkan ini) adalah dibayangkan.  Komuniti dapat dibezakan, bukannya oleh kepalsuan/ketulenan mereka, tetapi oleh gaya yang mereka dibayangkan.  Bangsa adalah dibayangkan terhad, bahkan sebesar mana pun  mereka merangkumi mungkin satu bilion orang,  mempunyai had, jika sempadan kenyal, yang di luarnya wujud bangsa lain.  Tidak ada  bangsa membayangkan diri mereka mempunyai sempadan  dengan umat manusia. Dibayangkan sebagai berdaulat kerana konsep ini lahir pada zaman ketika  Kesedaran dan Revolusi memusnahkan semua kerajaan dinasti.  Akhir sekali, dibayangkan sebagai komuniti kerana, tanpa menghiraukan ketidaksamaan sebenar dan ekspolitasi yang mungkin wujud, bangsa selalunya dianggap sebagai kesetiakawanan mengufuk, yang dalam, sehingga banyak orang rela mati demi imaginasi yang terhad itu.  (Huruf condong oleh beliau.) 
            Anderson menjelaskan budaya dan maksud budaya tentang komuniti dan bangsa sebagai ruang dibayangkan.  Justeru, nasionalisme dan jati diri nasional bukannya tidak dapat dielakkan atau kebenaran konkrit, tetapi sebaliknya imaginasi kolektif.  Beliau juga berhujah bahawa nasionalisme adalah dimaju dan dapat difahami, bukannya menerusi sistem kuasa politik, tetapi sebaliknya menerusi sistem budaya pengeluaran.  Budaya mewujudkan bangsa.
            Tahun ini genap 57 tahun Malaysia merdeka, namun di sebalik pelbagai kemajuan yang dicapai, komuniti yang dibayangkan belum lagi terbentuk atau tidak akan terbentuk selama-lamanya. Demikian juga jati diri nasional yang semakin jauh daripada jangkauan, bagaikan terletak “di hujung benua.” Mungkin sebilangan rakyat negara  ini masih ingat bahawa jati diri pernah dijadikan tema Hari Kemerdekaan atau Hari Kebangsaan pada pertengahan tahun 1990-an.  Namun begitu, seperti lazim, tema tinggal tema, slogan tinggal slogan.  Semuanya  lesap  sebaik-baik sahaja sambutan berakhir.  Tidak ada usaha untuk mentakrifkan dan menterjemahkannya ke dalam pelbagai dasar nasional yang digubal. 
            Hal ini merupakan “sisi gelap”  untuk sebuah negara bangsa, kerana Bapa Pengasas, berusaha gigih, melalui pelbagai dasar nasional yang merangkumi ekonomi, pendidikan, bahasa, dan budaya yang dilaksanakan,  terutamanya  pada tahun 1970-an.   Sememangnya, Bapa Pengasas menyediakan tapak yang kukuh untuk pembentukan  komuniti yang dibayangkan dan  jati diri nasional.  Malangnya, segala usaha murni mereka itu, rosak dan musnah sejak dua atau tiga dekad lalu, dengan bermacam-macam  dasar  yang “menyakitkan mata memandang,” dan bahkan, “menjijikkan.” 
            Kerosakan bahasa kebangsaan memang ketara sehingga menimbulkan keluh-kesah dalam kalangan “suara kesepian.” Bahasa ini terpinggir daripada apa yang ditafsirkan  oleh Benedict Anderson:  “Jelas bahawa walaupun hari ini  hampir semua bangsa yang ditanggapi moden dan juga semua negara bangsa, mempunyai ‘bahasa cetak kebangsaan,’ kebanyakan mereka mempunyai bahasa ini secara bersama, dan dalam lain-lain hanya pecahan kecil penduduk ‘menggunakan’ bahasa kebangsaan dalam perbualan atau atas kertas (on paper).”
            Bahasa  dan pada takat tertentu, budaya yang diharapkan dan dijangkakan memainkan peranan sebagai tonggak jati diri nasional, dalam keadaan haru-biru.  Bahasa kebangsaan yang pada “zaman keemasan” berkembang maju dalam bidang pendidikan dan pentadbiran terutamanya, kini,  mengalami zaman surut. Akibatnya, jati diri  nasional,    memetik Anderson,  “yang dibayangkan dan dibentuk”    semakin pudar. 
            Tidak banyak orang ingin membicarakan pentingnya jati diri nasional dalam konteks penggubalan dasar nasional demi pengukuhan negara bangsa dan pembinaan bangsa.  Pemimpin politik di kedua-dua belah pihak seberapa boleh cuba  mengelakkan diri mereka daripada polemik   yang pada pandangan mereka,  tidak membawa faedah politik berbanding dengan kelangsungan politik mereka. Mungkin mereka sedar bahawa   usaha mereka untuk  membawa jati diri nasional ke tengah pentas   boleh mencetuskan perang budaya. 
            Sejak merdeka, pelbagai rancangan pembangunan lima tahun diperkenalkan, daripada Rancangan Malaya Pertama kepada Rancangan Malaysia Kesepuluh, manakala Rancangan Malaysia Kesebelas, akan menyusur.  Sementara itu, pelbagai dasar tidak terhitung banyaknya.  Namun, usaha pembentukan  jati diri nasional boleh dikatakan tersisih sama sekali daripada segala dasar dan rancangan pembangunan.
            Memang disedari bukan mudah untuk membentuk jati diri nasional kerana rangka teorinya sahaja mengundang debat dan polemik yang berpanjangan. Namun begitu, halangan ini tidak boleh dijadikan alasan kerana setiap masalah itu, sama ada kecil ataupun besar, pasti ada jalan penyelesaiannya.  Pokok pangkalnya, keazaman, atau lebih tepat, keazaman politik. 
            Jati diri yang pada mulanya dikenali sebagai kelompok status, istilah yang  yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris daripada istilah Max Weber, Stande, yang diperoleh daripada sistem feudal. Weber memperluas istilah ini kepada maksud pengelompokan sosial dalam dunia moden yang bukan berasaskan kelas (kelompok etnik, kelompok agama, dan sebagainya).  Walau bagaimanapun, pada akhir abad ke-20, “jati diri”  mula digunakan, membawa makna lebih kurang, perkara yang sama, tetapi mungkin lebih menekankan ciri subjektifnya.
            Selain Benedict Anderson, ada sebilangan sarjana yang pemikiran mereka tentang jati diri nasional dijadikan rujukan, antaranya Eric Hobsbawm dan  Samuel Huntington,   di namun  di sini,  hanya pemikiran Anthony  D. Smith diketengahkan.  Jati diri nasional, menurut Smith dalam bukunya, National Identity, melibatkan beberapa maksud komuniti politik, sejarah, wilayah, patria, kewarganegeraan, nilai bersama, dan tradisi.  Beliau menegaskan bahawa “bangsa mesti mempunyai ukuran budaya bersama dan ideologi sivik, set kefahaman bersama dan aspirasi, sentimen dan idea, yang menyatukan penduduk bersama-sama di tanah air mereka.”  Selain itu, menurut beliau, agensi sosialisasi popular, terutamanya sistem pendidikan awam dan media massa diberikan tugas untuk menjayakan budaya massa awam bersama.  Smith menganggap jati diri nasional sebagai multidimensi dengan mengemukakan lima sifat asas: wilayah sejarah atau tanah air, mitos bersama dan memori sejarah, budaya awam massa bersama, hak undang-undang dan tugas bersama untuk semua anggota, dan ekonomi bersama dengan mobiliti wilayah untuk anggota.
            Walau bagaimanapun, takrif  jati diri yang diperkenalkan oleh Smith, yang kelihatan “unggul,” dipersoalkan oleh Montserrat Guibernau, yang cuba mengemukakan alternatif dengan memasukkan renungan bagaimana jati diri nasional dibentuk pada era global.  Guibernau dalam makalahnya yang diterbitkan dalam Nations and Nationalism keluaran tahun 2004, menegaskan bahawa jati diri nasional merupakan fenomena moden sifat cecair dan dinamik, dalam erti kata, komuniti berkongsi set ciri tertentu yang membawa kepada kepercayaan subjektif yang anggotanya berkait dari segi nenek moyang.  Kepercayaan dari segi perkongsian budaya, sejarah, tradisi, simbol, persanakan, bahasa, agama, wilayah, detik pengasas, dan takdir yang dirayu, dengan membezakan keamatan pada masa dan di tempat yang berbeza, oleh orang yang mendakwa mereka berkongsi jati diri nasional tertentu.
            “Secara amnya, jati diri nasional diterapkan untuk warga sesebuah negara bangsa,” tulis Guibernau. “Pada pandangan saya, jati diri nasional mempunyai lima dimensi: psikologi, budaya, wilayah, sejarah, dan politik.”  Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa dalam kes lain, jati diri nasional dikongsi dalam kalangan individu yang menganggotai sesuatu bangsa tanpa negara mereka sendiri.
            “Memori sejarah tidak wujud lagi (the historical memory was no longer alive),” memetik pesanan  sejarawan    terkenal, Eric Hobsbawn, yang juga   benar-benar berlaku di Malaysia.  Perjalanan sejarah negara dari zaman prakolonial, kolonial, dan pascakolonial, boleh dikatakan terputus. Dari segi sejarah ekonomi misalnya, sebilangan orang  gemar berbicara tentang perkembangan kapitalisme dalam sektor perlombongan dan perladangan, yang menurut mereka, buruh Cina dan India memberikan sumbangan yang besar. Justeru, sumbangan kedua-dua kaum perlu diambil kira dalam penulisan sejarah dan “penyatuan nasional.”  Walau bagaimanapun, mereka lupa atau pura-pura lupa tentang sumbangan besar kaum peribumi dalam sistem ufti dunia sebelum sistem ini digantikan dengan sistem kapitalis yang diglobalisasikan. 
            Sementara itu, tonggak   pembentukan Malaysia ialah  kesinambungan kenegaraan (polity) Melayu, iaitu  Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, agama Islam, dan adat istiadat Melayu,  yang    diperkukuhkan pula dengan sistem politik moden, iaitu demokrasi berparlimen, kelihatan  semakin goyang dan diasak dari segenap penjuru:  demokrasi, liberalisasi,  kebebasan.
            Lebih parah lagi, sejak Pilihan Raya Umum 2008, Malaysia mula terjebak dalam apa yang dikatakan “bangsa yang berpecah-belah,” yang bagi sebilangan orang, amat membimbangkan.  Namun begitu, hal ini sebenarnya, pengorbanan yang perlu ditanggung atau harga yang perlu dibayar untuk demokrasi.  Di banyak negara, bahkan di Amerika Syarikat sendiri, hakikatnya, demokrasi membawa perpecahan dalam kalangan penduduk yang mempunyai fahaman politik yang berbeza.  Sementara itu,  ketidaksamaan yang melebar antara penduduk Malaysia, yang lazimnya dilihat dari sudut kaum, iaitu antara bumiputera dengan bukan bumiputera,  menambahkan lagi keparahan perpecahan.

       Dalam sorak-sorai   menyambut ulang tahun detik bersejarah ini, sewajarnya juga diajukan pertanyaan, “siapakah kita?”  Mungkin kita perlu akur bahawa kita sekadar “generasi yang hilang”  dalam perjalanan negara bangsa, dan kehilangan itu sukar ditebus kembali.
          (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Budaya, Ogos 2014.)
        

No comments:

Post a Comment