Pages

Saturday, November 22, 2014

Penemuan Baharu dalam Pembelajaran Bahasa

SABTU,  22  November 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Di  Malaysia, sebarang usaha untuk mempertingkat penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar selalunya  melalui dasar.  Maka, pada tahun 2003, kerajaan memperkenalkan Pengajaran dan Pembelanjaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris  (PPSMI).  Dolak-dalih Kementerian Pelajaran ketika itu untuk memansuhkan dasar itu disambut oleh protes jalanan pada tahun 2009, suatu tindakan yang  mengejutkan kerajaan.
            Kira-kira satu dekad pelaksanaan, nyata dasar tersebut merupakan langkah langkah mundur dalam sistem pendidikan negara: yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran.  Walaupun beberapa tahun lalu kerajaan mengumumkan PPSMI dimansuhkan dengan “pendaratan lembut,”  desakan supaya dasar ini dikekalkan masih kedengaran di sana sini.   Antara alasan yang diketengahkan golongan pendesak ini ialah bahawa kita hidup pada zaman Internet yang menandakan bahawa warga global perlu menguasai bahasa Inggeris, dan Malaysia tidak terkecuali.  Mereka lupa bahawa Internet  dan media sosial sebenarnya memudahkan orang untuk belajar dan seterusnya menguasai bahasa asing tanpa perlu kerajaan memperkenalkan dasar atau program baharu.
            Di negara asing, pelajar muda sering membuka televisyen Amerika untuk menambahbaikkan kemahiran bahasa Inggeris mereka. Sementara itu,  sekolah bahasa CAN di Liberdade, Brazil,  menemui cara yang tidak dijangkakan untuk remaja Brazil  belajar bahasa.  Seperti yang dilaporkan pada Mei tahun ini, menerusi program yang disebut “Pertukaran Pertuturan,”  CAN dan agensi FCB Brazil menghubungkan remaja menerusi sembang Web dengan orang Amerika yang tua di Komuniti Persaraan Windsor Park, Chicago.  Pelajar merakamkan perbualan mereka dengan orang tua itu, supayaa guru dapat menilai kemajuan mereka. 
            Remaja Brazil mahu belajar bagaimana  bertutur dalam bahasa Inggeris, manakala orang tua Amerika mahukan teman untuk berbual. “Apa yang pelajar kami benar-benar mahukan adalah untuk bertutur dalam bahasa Inggeris dengan fasih,” kata Vanessa Valenca, penyelaras program, yang tahu bahawa banyak pelajar tidak mampu menanggung kos untuk pergi ke Amerika Syarikat untuk belajar bahasa Inggeris.
            Daya usaha remaja Brazil itu boleh diibaratkan, “di mana ada kemahuan di situ ada jalan.” Program yang dilaksanakan di negara itu pastinya menjimatkan kos kerana   remaja berkenaan  tidak perlu ke Amerika Syarikat, atau  “pakar” bahasa tidak perlu dibawa ke Brazil.       
            Sememangnya  mudah untuk mempelajari bahasa asing, seperti yang dilaporkan dalam akhbar The Independent akhir Jun, “anda dapat belajar bahasa asing ketika anda tidur,” yang memetik ahli psikologi Switzerland.   Penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal Cerebral Cortex oleh  Swiss National Science Foundation, mengatakan bahawa mendengar perbendaharaan kata asing yang baharu dipelajari ketika tidur dapat membantu memantapkan memori perkataan itu.  Dalam kajian yang diketuai oleh ahli biopsikologi, Bjorn Rasch, 60 puluh orang pelajar yang bertutur dalam bahasa Jerman yang diminta belajar beberapa perkataan Belanda yang mereka tidak pernah lihat sebelum jam 10.00 malam.  Separuh pelajar daripada kumpulan kemudian dibenarkan pergi tidur, dengan perkataan dimainkan balik untuk mereka, manakala separuh lagi dibiarkan berjaga untuk mendengar perkataan itu.
            Kumpulan pertama kemudian bangun daripada tidur jam 2.00  pagi dan kesemua 60 orang pelajar diuji tentang perkataan baru.  Ahli sains mendapati bahawa pelajar yang mendengar perkataan Belanda ketika tidur jauh lebih baik dalam mengingat perkataan baru.  Kajian itu juga mempertimbangkan hakikat bahawa kumpulan yang dibiarkan berjaga itu berprestasi teruk kerana mereka dinafikan untuk tidur, menggunakan pengukuran EEG  pelajar yang tidur untuk menunjukkan aktiviti yang meningkat dalam lobus parietal, iaitu bahagian penting otak dalam memproses bahasa.
            Kajian ini memperkukuhkan lagi kajian sebelum ini bahawa manusia dapat mempelajari maklumat baharu ketika tidur. Kajian yang diterbitkan dalam Nature Neuroscience yang menunjukkan ketika tidur, manusia dapat memperkukuh memori yang diperoleh sebelum ini, tetapi sama ada mereka dapat memperoleh maklumat baru keseluruhan masih tidak diketahui.
            Wujud beberapa penemuan  yang dapat membantu seseorang mempelajari bahasa asing.  Selain teknologi, seperti yang dimanfaatkan oleh remaja Brazil dan teknik mudah, iaitu sewaktu tidur,  penemuan terbaru  menunjukkan betapa mudahnya mempelajari bahasa,  seperti telan  pil. Pada masa akan datang, menurut Nicholas Negroponte:  “Kita banyak melakukan penggunaan maklumat seluruh mata kita. Cara itu mungkin saluran yang sangat tidak cekap. Ramalan saya adalah bahawa kita akan makan maklumat.  Anda akan telan pil dan tahu bahasa Inggeris.  Anda akan telan pil dan tahu Shakespeare.”  Pengasas MIT Media Lab itu berkata bahawa manusia mampu mempelajari seluruh bahasa dengan makan pil.
            Negroponte yang dipetik oleh antaranya oleh The Huffington Post dan The Daily Mail awal Julai, berkata bahawa pil yang beliau bayangkan akan mengikuti aliran darah ke otak, tempat pil itu akan menyimpan cebisan maklumat di tempat yang betul.
            Beberapa tahun lalu para penyelidik di Microsoft membina program yang menggunakan perisian  pengenalan pertuturan untuk menterjemahkan apakah yang seseorang itu katakan ke dalam bahas lain menggunakan versi yang diubah suai suara individu itu sendiri.  Menurut Technology Review,  perisian itu dapat menterjemahkan mana-mana kombinasi 26 bahasa yang berbeza. 
            Selain itu,  dengan menggunakan  Pimsleur Approach, seseorang dapat  mempelajari bahasa baharu hanya dalam masa 10 hari.   Pimsleur Approach  membantu seseorang mempelajari bahasa baharu dengan cepat, bahkan FBI dan Agensi Keselamatan Negara Amerika Syarikat membeli program  yang diperkenalkan oleh Dr. Pimsleur, pakar dalam bidang linguistik terapan. Beliau mengenal pasti menerusi penyelidikan yang meluas bahawa komunikasi berkesan dalam mana-mana bahasa bergantung pada penguasaan bilangan terhad perkataan secara relatif dan bukannya mencuba mempelajari banyak perkataan pada peringkat permulaan.
            Walau bagaimanapun, penilaian  terhadap   Pimsleur Approach mendapati program ini  membosankan, tetapi berkesan.  Walau membosankan, seseorang akan selalu belajar sesuatu. Program yang terpantas yang dapat diperoleh untuk kebanyakan bahasa popular. Alasan yang paling penting program bahasa Pimsleur berkesan adalah bahawa Pimsleur menggunakan sesuatu yang disebut “pengulangan terjarak”  (spaced repetition).  Selain itu, Pilmsleur dikatakan selalu membuat dakwaan pemasaran yang memang tidak realistik, seperti yang dapat pada iklannya, “Belajar Bahasa Sepanyol dalam Sepuluh Hari.”  Memang seseorang dapat belajar banyak bahasa Sepanyol dalam masa sepuluh hari, tetapi tidak ada orang akan berkata dengan serius bahawa orang itu bertutur dalam bahasa Sepanyol selepas sepuluh hari belajar dengan Pimsleur.

            Tidak dinafikan bahawa teknologi dan penemuan terbaru banyak memberikan manfaat kepada manusia,  tetapi bergantung pada manusia untuk memanfaatkannya, misalnya dari segi mempelajari dan seterusnya menguasai bahasa asing. Namun begitu, yang sering berlaku, perubahan budaya tidak bergerak seiringan dengan perubahan teknologi yang  begitu pesat. 
           (Nota:   Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Pelita Bahasa, September 2014.)

No comments:

Post a Comment