Pages

Tuesday, October 21, 2014

Bahasa: Orde Baru Dunia

SELASA, 21  Oktober 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Selepas berakhirnya Perang Dingin, jika  Amerika perlu mempunyai strategi besar baru, pertama-tamanya Amerika perlu muncul dengan peta baru dunia. Intelektual Amerika, seperti yang dibahaskan oleh Charles A. Kupchan dalam The End of the American Era, setakat ini,  mengemukakan lima alternatif peta dunia.  Mereka ialah Francis Fukuyama, John Mearsheimer, Samuel Huntington, Paul Kennedy, Robert Kaplan, dan Thomas Friedman, yang terpaksa berfikir keras, bergelut dengan isu besar hari ini dalam usaha membantu Amerika menyesuaikan dirinya dalam era baru dan tidak pasti.  Akan tetapi, peta dunia mereka mengelirukan,  atau sekurang-kurangnya mempunyai hayat yang terlalu pendek untuk dapat dipertahan.  
            Kupchan memang betul apabila beliau menegaskan, “meskipun setiap intelektual itu  menggarap unsur penting dalam sistem antarabangsa, kesemuanya tidak menepati sasaran dalam mengenal pasti punca kesalahan utama tentang masa depan.”   Walau bagaimanapun, sebagaimana intelektual itu, beliau juga tidak mengesan kemungkinan kebangkitan semula Rusia yang atas nama Kesatuan Soviet tewas dalam pertarungan ideologi. Beliau juga terlepas pandang tentang kemungkinan  Rusia  membentuk Orde Baru Dunia pasca-Perang Dingin. Beliau hanya membayangkan bahawa cabaran seterusnya terhadap Amerika bukannya daripada  Islam atau China, tetapi datangnya daripada Eropah yang bergabung:  Kesatuan Eropah.      
            Dalam Dewan Bahasa keluaran Mei lalu, di bawah tajuk “Bahasa Lesen Pencerobohan?” saya menulis pencerobohan Rusia  terhadap  Ukraine.  Alasannya adalah untuk    melindungi  rakyat di negara itu yang bertutur dalam bahasa Rusia. Sesungguhnya, pengilhakan (annexation) Semenanjung Crimea oleh Rusia itu bukan sahaja dari segi geopolitik membimbangkan Barat,   tetapi juga alasan untuk mewajarkan tindakan, iaitu bahasa turut mendapat perhatian.
            Pada akhir Februari, hanya dua hari selepas Presiden Viktor Yanukovych yang pro-Rusia lari meninggalkan Kiev, lapor The Moscow Times, parlimen Ukraine memansuhkan undang-undang yang menyemadikan hak orang penutus bahasa Rusia menggunakan bahasa pertama mereka.  Penutur bahasa Rusia di Ukraine, tertumpu di timur dan selatan, tempat undang-undang itu dikuatkuaskan, menganggap tindakan itu sebagai membalas dendam.  Di Moscow, pemimpin Rusia melihat sebagai peluang.  Kerajaan baru Ukraine hanya mengambil masa lima hari untuk mengubah keputusan parlimen itu,  membenarkan semula penggunaan bahasa Rusia di sesetengah sekolah, mahkamah, dan institusi negara lain.
            Kerajaan baru Ukraine dikatakan membuat kesilapan yang disengajakan dengan memansuhkan undang-undang tahun 2012 yang membenarkan  bahasa Rusia menjadi bahasa rasmi negara itu bersama-sama bahasa Ukraine di wilayah-wilayah yang penutur bahasa Rusia adalah lebih banyak.   Keputusan itu dianggap  tergesa-gesa dan tidak perlu, walau bagaimanapun,  Oleksandr Turchynov,  pemangku Presiden Ukraine, memvetokan penurunan taraf bahasa Rusia  selepas  Rada meluluskannya.  Beliau dipetik sebagai berkata, “Meskipun undang-undang bahasa tahun 2012 tidak seimbang, saya tidak akan menandatangani keputusan parlimen untuk memansuhkannya sehingga rang undang-undang baru untuk melindungi semua bahasa dilindungi.” 
            Akan tetapi, lima hari itu sudah cukup untuk Presiden Vladimir Putin menggerakkan rantai peristiwa yang melemahkan kerajaan pro-Barat di Kiev dan melakarkan kawasan besar negara itu kembali semula ke  dalam orbit Rusia. Keputusan terges-gesa tentang undang-undang bahasa  yang dibuat oleh Rada, parlimen Ukraine, memberikan kewajaran kepada Presiden  Putin menceroboh negara itu.  Seperti yang dicatatkan oleh R.L.G., memberikan  hujah  propaganda yang selesa kepada Putin: puak fasis berusaha sedaya-upaya untuk menghapuskan semua kesan orang Rusia, bahasa dan budaya dari Ukaine.  R.L.G. yang menulis dalam The Economist, “Johnson:  Different Tongues, Common Homes,”    bahawa tokok tambah yang  memeranjatkan ini lebih berkesan kerana adanya bibit kepercayaan terhadapnya.  “Perkara seterusnya yang Ukraine tahu,” tulis beliau,  “Rusia menceroboh dengan alasan untuk melindungi rakan Rusia.  Crimea yang bertutur dalam bahasa Rusia kini dalam tangan Rusia, dan semua mata tertumpu ke Ukraine timur, yang orang Rusia juga lebih banyak.”
            Krisis Ukraine terus  meruncing, dengan  wilayah timur   juga mengadakan pungutan suara untuk “kembali semula” ke Rusia.  Tanpa perlu menghantar sebuah kereta perisai menyeberangi sempadan, tetapi hanya memadai dengan Rusia  mengapi-apikan pemberontakan bersenjata, Ukraine Timur juga  terlepas daripada kawalan Kiev. 
            Etnik Rusia yang bertaburan, seperti yang ditunjukkan dalam peta Time keluaran 19 Mei, kini menjadi perhatian.  Ukraine sendiri tanpa Semenanjung Crimea mempunyai 15 peratus etnik Rusia daripada jumlah penduduknya, manakala yang tinggi ialah di  Latvia (26 peratus) dan Estonia (25 peratus), dan  Kazakhstan   (24 peratus).  Sebuah lagi negara yang boleh dikatakan tinggi jumlah etnik Rusia ialah Kyrgyzstan, iaitu 13 peratus.  Jika melindungi penutur bahasa Rusia dijadikan alasan,    Rusia berkemungkinan melebarkan sayapnya dari Asia Tengah ke Baltic. 
            Walaupun bukan kali pertama pengilhakan berlaku kerana melindungi penutur sesuatu bahasa,  sebelum ini, Jerman Nazi   pernah melakukannya di Sudetenlad, Czechoslovakia,  Putin  dengan berani menunjukkan cara melakarkan semula peta dunia berdasarkan bahasa.
            Putin dianggap menghidupkan semula “imperialisme linguistik,”  yang mendorong The Economist  muncul  dengan  “The World According to Putin dalam keluaran 10 Mei.  Apabila  beliau  mewajarkan pengilhakannya terhadap Crimea, dan alasan bahawa beliau berikrar untuk melindungi penutur bahasa Rusia di mana-mana sahaja,  majalah ini (The Economist menganggapnya akhbar) tidak berkenan dengan hujah Putih itu,  menegaskan oleh sebab sempadan linguistik tidak memadankan mana-mana negara, maka ini akan membawa kacau-bilau.  Majalah tersebut melakar semula sempadan dunia menurut prinsip Putin, yang mungkin para pembaca bersetuju bahawa peta yang dihasilkan itu mempunyai daya tarikan yang sangat besar.
            Lakaran itu, jika kita kembangkan, katakan   untuk  Asia Tenggara, maka hasilnya,  bahasa Inggeris: Brunei, Malaysia, Myanmar dan Singapura;  bahasa Belanda:  Indonesia; bahasa Perancis: Indo-China;  bahasa  Sepanyol:  Filipina.  Atau kerana bahasa,  Malaysia, Indonesia, dan Brunei bercantum.    Sesuatu yang tidak pernah difikirkan sama sekali, walaupun ketika Internet mula menjelajah dunia, dijangkakan wujud hegemoni bahasa Inggeris sambil mengorbankan bahasa lain, termasuk bahasa Melayu.
            “Pembahagian Putin  memandang tinggi kuasa kolonial lama. Portugal akan menuntut semula Brazil, Sepanyol kebanyakan  Amerika Tengah dan Amerika Selatan, dan Perancis kebanyakan Afrika Barat, yang mungkin dialu-alukan oleh penduduk tempatan kerana banyak kerajaan semasa mereka tidak banyak berfungsi.” Tulis The Economist,  “kerajaan Scandinavia yang kuat akan muncul, termasuk Finland, meskipun Finnish sangat berbeza daripada bahasa orang Scandnavia.  Oleh sebab Swedish ialah bahasa kedua Finland, maka orang Viking mempunyai alasan yang kuat untuk mewujudkan sejenis percantuman aman berasaskan nilai budaya yang dikongsi yang mereka memang terkenal.”
            Sementara Arab yang bersatu, menurut majalah itu, akan terbentang dari Lautan Atlantik ke Lautan Hindi.  Di situ mungkin berlaku pergaduhan kecil antara orang Sunah, Syiah,  orang Kristian, dan penyokong pandangan purbakala tentang bangsa; tetapi bersatu melalui bahasa bersama, orang Arab akan pasti dapat bersama-sama, terutamanya jika mereka bersatu menyerang penutur bahasa Parsi yang mendiami bahagian lain Teluk Paris. Dua Korea akan menjadi satu, yang mungkin satu perkara baik atau tidak, bergantung pada sistem yang dikekalkan.
            Berdasarkan bahasa, peta dunia yang baru mungkin terlakar, misalnya bahasa Hindi dan Urdu, yang menurut The Economist, oleh sebab  kedua-duanya campuran Sanskrit dan Parsi saling dapat difahami, maka India boleh menuntut Pakistan atau sebaliknya.  “Yang paling baik, Britain akan mendapat semula empayarnya, termasuk Amerika Syarikat, kerana Britain yang mula-mula bertutur dalam bahasa Inggeris,” tulis majalah itu sambil mengingatkan, penyatuan dapat dilemahkan oleh gerakan kemerdekaan linguistik:  di China  berbelas-belas  bahasa akan tertanggal daripada Mandarin; Mayaland akan menuntut autonomi di Amerika Tengah; Swahililand akan menuntut kemerdekaan di Afrika.

            Putin mungkin membuat pertaruhan yang silap  kerana di  dunia dengan tujuh bilion penduduk, wujud  lebih 7000 bahasa, bahkan di Rusia sahaja ada lebih 100 bahasa.  Namun, setakat ini, tanpa menggunakan kuasa  ketenteraan dan kuasa ekonomi daripada hasil minyak yang lumayan, beliau  membentuk Orde Baru Dunia bertonggakkan  bahasa.  Atau memetik istilah yang diperkenalkan oleh Joseph Schumpeter, beliau melakukan “pemusnahan kreatif,” dalam erti kata, meninggalkan yang lama, mencuba yang baru dalam usahanya menobatkan dirinya sebagai tsar dan pada masa yang sama, mengembalikan semula kegemilangan Rusia (atau Kesatuan Soviet) yang telah lenyap.
           (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Bahasa, Julai 2014.)

No comments:

Post a Comment