Pages

Tuesday, August 19, 2014

Jimat-cermat Lawan Pertumbuhan

SELASA, 19  Ogos 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Ahli ekonomi, Nouriel Roubini seakan-akan memberikan kata dua bahawa zon euro yang dilanda krisis hutang  memerlukan pertumbuhan dan bukan lagi jimat-cermat. Sejak November tahun lalu, Bank Pusat Eropah (ECB) di bawah kepimpinan Presiden baru, Mario Draghi mengurangkan kadar dasarnya dan melaksanakan dua suntikan lebih satu trilion euro kecairan ke dalam sistem perbankan zon euro.  Langkah ini, bahas Roubini   dalam The Guardian pada pertengahan April lalu, membawa pengurangan sementara waktu  beban kewangan yang ditanggung oleh negara di pinggir zon, iaitu Greece, Sepanyol, Portugal, Italy, dan Ireland, mengurangkan risiko kecairan dengan ketara yang menyerap dalam sistem perbankan zon euro, dan memotong kos pembiayaan untuk Italy dan Sepanyol daripada tahap tidak mapan mereka pada musim gugur lalu.  Pada masa yang sama, kemungkiran teknikal oleh Greece dapat dielakkan, dan negara itu berjaya melaksanakan jika memaksa, penyusunan semula hutang awamnya.
            Namun begitu, tegas Nouriel “Dr. Doom” Roubini, “bulan madu berikutnya untuk pasaran berlaku hanya sekejap.  Penyebaran kadar faedah untuk Italy dan Sepanyol meluas semula, manakala kos peminjaman untuk Portugal dan Greece terus-menerus tinggi.  Dan, yang pasti, kemelesetan di pinggir zon euro semakin dalama dan bergerak ke negara teras, iaitu Perancis dan Jerman.  Sesungguhnya, kemelesetan akan menjadi teruk pada tahun ini kerana beberapa alasan.  Pertama, jelas beliau, jimat-cermat fiskal sarat di hadapan (austerity fiscal front-loaded), meskipun perlu, mempercepat penguncupan kerana cukai yang tinggi dan perbelanjaan kerajaan yang rendah dan bayaran pindahan mengurangkan pendapatan boleh guna dan permintaan agregat.
            “Masalanya adalah zon euro mempunyai strategi, tetapi tidak mempunyai strategi pertumbuhan,” jelas Roubini.  “Dan, tanpa strategi tersebut, semua zon itu ada ialah strategi kemelesetan yang menjadikan jimat-cermat dan pembaharuan gagal dengan sendirinya, kerana sekiranya output terus menguncup, nescaya defisit dan nisbah hutang akan terus meningkat kepada tahap tidak mapan.  Tambahan pula, tindak balas sosial dan politik yang hebat akhirnya akan semakin menjadi-jadi.”
            Pada akhir Januari tahun ini, para pemimpin Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, dan Organisasi Perdagangan Sedunia (WTO) memberikan amaran tentang risiko ekonomi dan sosial program jimat-cermat dalam “gesaan untuk bertindak” direka untuk merangsang pertumbuhan dan melawan fahaman perlindungan. Melahirkan rasa prihatin tentang kelemahan aktiviti ekonomi dan pengangguran yang meningkat, Christine Lagarde daripada IMF, Robert Zoellick daripada Bank Dunia, dan Pascal Lamy daripada WTO, menyertai ketua lapan institusi multilateral dan serantau lain menyeru dasar untuk mewujudkan pekerjaan, menangani ketidaksamaan, dan menyuburkan ekonomi global. Mencerminkan keprihatinan IMF tentang program pengurangan defisit yang terlalu agresif, kenyataan bersama itu menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya “mengurus penyatuan fiskal untuk menggalakkan dan bukannya untuk mengurangkan prospek pertumbuhan dan guna tenaga.  Penyatuan fiskal itu sepatutnya dilaksanakan secara bertanggungjawab dari segi sosial.”
            Jika tahun 2008 ialah kejutan dan 2009 ialah krisis, maka perkataan tahun 2010 ialah jimat-cermat. Jimat cermat merupakan perkataan yang menarik: lapang dan jelas, petah dan tajam.  Apabila cahaya pemulihan  mula kelihatan di hujung terowong atau dengan kata lain, “pucuk hijau” mula bertunas, maka sejak pertengahan tahun 2010, banyak negara, terutamanya di Eropah, berlumba-lumba melaksanakan langkah jimat-cermat tanpa mengambil kira bahawa pemulihan masih lemah dan pertumbuhan perlahan, manakala pengangguran masih tinggi:  “Mendengar guruh di langit air di tempayan dicurahkan.”
            Di Eropah, dari Greece ke Sepanyol,  nyata bahawa jimat-cermat gagal. Dengan merujuk kes Sepanyol, jimat-cermat di Eropah diisytiharkan gagal.  Dalam persekitaran ekonomi yang menguncup (unjuran terbaharu -1.7 peratus), data terbaharu, iaitu Februari tahun ini, pengangguran 23.6 peratus, pengangguran belia 50.5 peratus), dan krisis sosial yang amat mendalam, kerajaan Sepanyol  menghasilkan pakej penyatuan yang terlalu keras dalam sejarah negara itu.  Sepanyol dijangkakan akan sekali lagi menjadi model peranan Eropah untuk dasar fiskal, tetapi kali ini untuk kegagalan jimat-cermat Eropah.
            Pakej jimat-cermat kedua diluluskan dalam tempoh 100 hari pertama kerajaan baru pimpinan Perdana Menteri Mariano Rajoy, dengan nilainya 27.3 bilion euro, iaitu 2.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).  Para menteri terpaksa memotong perbelanjaan mereka sebanyak 17 peratus secara purata, dengan tumpuan terhadap pelaburan awam, dasar pasaran buruh yang ketat, dan penyelidikan dan pembangunan (P&P).  Meskipun kadar pengangguran dijangkakan meningkat kepada 24.3 peratus tahun ini (kira-kira 600,000 orang), bahas Georg Feigl dalam Social Europe Journal, “perbelanjaan untuk faedah pengangguran dikatakan merosot, menandakan langkah terhadap pengangguran juga dipotong.  Seseorang sepatutnya fikir bahawa Comunidades Autónomas  perlu memotong defisit mereka sebanyak 1.4 peratus KDNK lagi, dengan itu, 27.3 bilion euro hanya bahagian paling jelas untuk usaha penyatuan keseluruhan.”
            Bahas Feigl lagi, “kegagalan akan gagal.  Kemungkinan besar bahawa langkah ini akan merosakkan guna tenaga dan ekonomi dengan lebih teruk.  Jelas bahawa kerajaan tidak mengambil kira kesan berganda langkah yang diambil itu, yang sepatutnya signifikan.  Untuk Sepanyol, anggaran staf IMF menunjukkan 0.6 peratus kejatuhan KDNK untuk satu peratus penyatuan fiscal KDNK. 
            Yang berlaku di Sepanyol itu, memetik editorial The Guardian pada 29 Mac 2012, “Jimat-cermat membawa kesakitan di Sepanyol.”  Tidak memeranjatkan kesatuan sekerja negara itu melancarkan mogok dan tidak memeranjatkan bahawa Parti Popular Perdana Menteri Mariano Rajoy yang baharu sahaja berkuasa, tewas dalam pilihan raya wilayah di Andalucia.
Data muram tentang Eropah menunjukkan zon euro terhumban semula ke dalam  kemelesetan.  Pengangguran di zon ini meningkat kepada tahap tertinggi sejak tahun 1997, dengan 17 juta orang tanpa pekerjaan pada Februari, iaitu pada kadar 10.8 peratus, menyerlahkan kos yang membimbangkan krisis hutang yang berpanjangan. Pembuatan di zon euro jatuh selama lapan bulan berturut-turut kerana masalah di Greece dan Sepanyol merebak ke Perancis dan Jerman. Pasaran buruh di zon euro dijangkakan terus sukar pada tahun 2012.  Permintaan domestik terjejas akibat pasaran buruh yang sukar dan langkah jimat-cermat yang ketat.  Suku pertama dan kedua tahun 2012 akan menunjukkan penguncupan diikuti oleh sedikit pemulihan. 
Ekonomi Eropah terbenam dalam krisis fiskal lebih dua tahun, memaksa syarikat memotong pekerjaan dan mengasak ekonomi dari Sepanyol ke Ireland  terhumban ke dalam kemelesetan. Jimat-cermat yang dilaksanakan oleh Sepanyol tidak akan menyelesaikan krisis hutang.    Meskipun para pemimpin Eropah membantu Greece dengan pakej penyelamat kedua yang diluluskan pada Februari lalu, sentimen ekonomi secara tidak dijangkakan jatuh pada Mac.
“Jika zon euro ingin terus wujud,” editorial The Observer pada 8 April lalu mengingatkan, “kempen jimat-cermat Brussels mesti dihentikan,” sambil menambah, “Sepanyol tidak perlu menjadi Greece yang berikutnya, tetapi hanya jika para pemimpin kewangan kita menunjukkan bahawa mereka mempelajari pengajaran yang berlaku baru-baru ini.”  Kesatuan Eropah diperhatikan mengulangi pola yang sama, tanpa menyedari sedikit pun bahawa versinya itu lebih keras daripada IMF.  Sama ada di Greece atau Portugal, resipi secara keseluruhannya adalah sama, iaitu negara kebajikan yang semakin mengecil, pemotongan gaji dan pemberhentian penjawat awam, penswastaan aset negara, persaingan pasaran yang meningkat menerusi pembatalan kawal selia dan kesatuan sekerja yang dilemahkan.
Eropah diperhatikan beralih dengan begitu cepat ke arah jimat-cermat, membahayakan peluang benua itu untuk pertumbuhan. Seperti yang pernah dibahaskan, jimat-cermat adalah untuk zaman melambung dan bukannya zaman meleset. Ahli ekonomi, Tim Congdon dikatakan pernah menolak debat antara jimat-cermat dengan pertumbuhan sebagai “karut.” Buktinya, tegas beliau memang jelas, iaitu negara dengan defisit kerajaan yang lebih kecil tumbuh lebih pantas berbanding dengan negara dengan defisit kerajaan yang lebih besar. Namun begitu, pandangan beliau itu dianggap tidak betul kerana menurut IMF, Amerika Syarikat yang hutang kerajaan berbanding dengan nisbah KDNK ialah 105 peratus dan defisit ialah 7.9 peratus KDNK, diramalkan tumbuh sebanyak 1.8 peratus pada tahun ini,  manakala Britain, dengan nisbah hutang 81 peratus dan defisit 7.0 peratus KDNK, dijangkakan tumbuh hanya 0.8 peratus. Ernst & Young Item Club meramalkan pertumbuhan KDNK Britain pada tahun ini adalah “muram,” iaitu  hanya 0.4 peratus, meskipun negara itu dapat mengelakkan kemelesetan curam berganda.
Robert Shiller yang menulis dalam The Guardian pada Januari tahun ini, cuba membangkitkan persoalan:  Mampukah jimat-cermat merangsang pertumbuhan ekonomi?  Untuk menjawab persoalan tersebut, beliau merujuk  Bernard Mandeville, Fable of the Bees: or Private Vices, Public Beneficts bahawa masyarakat makmur (lebah) tiba-tiba memilih untuk membuat kebijakan jimat-cer,at, menggugurkan semua perbelanjaan berlebihan dan penggunaan boros.  Karya klasik Mandeville itu, jelas Shiller, mencetuskan kontroversi yang mendalam yang berterusan hingga hari ini.  “Rancangan jimat-cermat yang diterima pakai oleh kerajaan di banyak negara Eropah dan tempat-tempat lain di dunia, di samping  pengurangan perbelanjaan penggunaan oleh individu, mengancam untuk mencetuskan kemelesetan global.”
Daripada kisah lebah, Shiller pergi kepada kajian terbaharu oleh ahli ekonomi Harvard, Alberto Alesina, yang merumuskan keterangan yang berkait, sama ada pengurangan defisit kerajaan, iaitu pemotongan perbelanjaan dan/atau peningkatan cukai, selalunya menghasilkan kesan negatif sedemikian.  “Jawapan untuk soalan ini” seperti yang dipetik oleh Shiller, “adalah memang jelas tidak.”  Ada kalanya, bahkan selalunya, ekonomi menjadi maju, berjaya dengan elok selepas defisit kerajaan dikurangkan dengan ketara. Ada kalanya, hanya mungkin, program jimat-cermat menggalakkan keyakinan semikian rupa untuk mencetuskan pemulihan.
Beliau juga memetik kajian terbaharu oleh Jaime Guajardo, Daniel Leigh, dan, Andrea Pescatori daripada  IMF tentang rancangan jimat-cermat yang dilaksanakan oleh kerajaan di 17 buah negara sejak 30 tahun lalu.  Analisis mereka mendapati wujud kecenderungan yang jelas untuk program jimat-cermat untuk mengurangkan perbelanjaan penggunaan dan melemahkan ekonomi.  “Kesimpulan itu,” hujah Shiller, “jika sahih, memperlihatkan amaran yang keras terhadap para penggubal dasar sekarang.”
Pada penghujung tulisannya itu Shiller mengesyorkan supaya kita belajar daripada analisis sejarah, seperti yang pernah dibangkitkan dalam oleh Mandeville dan beberapa orang penggantinya, termasuk John Maynard Keynes yang mengajar bahawa wujud alasan untuk menjangkakan bahawa jimat-cermat akan mewujudkan kemelesetan.  “Oleh sebab tidak wujud teori abstrak yang dapat meramalkan bagaimana orang ramai akan bertindak balas terhadap program jimat-cermat,” hujah beliau, “maka kita tidak mempunyai alternatif, kecuali melihat keterangan sejarah.  Dan keterangan Guarjado dan rakan-rakannya membuktikan bahawa keputusan kerajaan dengan sengaja untuk menerima pakai program jimat-cermat cenderung disusuli oleh masa yang sukar.”  Hujah Shiller lagi dengan nada amaran, “para penggubal dasar tidak boleh menunggu berdekad-dekad untuk ahli ekonomi memberikan jawapan yang muktamad, yang tidak dapat ditemui sama sekali.  Akan tetapi, berdasarkan keterangan program jimat-cermat yang kita ada di Eropah dan tempat-tempat lain jelas menghasilkan keputusan yang mendukacitakan.”
Di Eropah, pendapat rasmi semakin mula mengakui jimat-cermat tidak berkesan.  IMF dan anehnya agensi penarafan Standard and Poor’s (S&P) mengeluarkan amaran bahayaa pemotongan yang teruk yang dilaksanakan belum tiba masanya.  Kesatuan Eropah pula memberikan perhatian terhadap pekerjaan dan pertumbuhan – sesuatu yang pastinya tidak mampu diwujudkan melalui jimat-cermat.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Jun 2012.)


No comments:

Post a Comment