Pages

Tuesday, August 5, 2014

Bahasa: Pencerobohan dan Perpecahan

SELASA, 5 Ogos 2014
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH





Antonio Gramsci pernah berpesan, “bahasa sebagai ideologi, melakarkan dunia; semakin sempit bahasa, maka semakin sempit dunia.” Berakhinya Perang Dingin menandakan berakhirnya pertarungan ideologi, atau seperti yang pernah dibahaskan oleh Francis Fukuyama,   “pengakhiran sejarah,”  iaitu pertarungan ideologi antara Timur dengan Barat sudah tamat, dan demokrasi liberal Barat menang. 
            Namun,  dengan berlakunya krisis di Ukraine, maka  mula dirasakan bahawa pertarungan ideologi bangkit semula, yang turut menyaksikan  bahasa muncul di tengah pentas.  Di ibu negara itu,  Kiev,     tercetus  protes yang berpanjangan sehingga mengorbankan berpuluh-puluh nyawa pada Februari lalu, dan Presiden  Viktor Yanukovych terpaksa melarikan diri.  Penggulingan presiden itu, walau bagaimanapun, tidak membuka laluan untuk menamatkan krisis.  Bahkan, keadaan menjadi semakin runcing apabila Rusia menceroboh Semenanjung Crimea yang merupakan wilayah Ukraine.  Dalam kenyataan awam pertama pada 4 Mac, iaitu sejak Ukraine mendakwa  bahawa Semenanjung Crimea diambil alih tentera Rusia, Presiden Vladimir  Putin menegaskan bahawa  Rusia mempunyai hak menggunakan semua cara untuk melindungi warganegaranya di Ukraine timur.    
            Apabila Presiden Putin menyebut “warganegaranya” demi mewajarkan tindakannya menceroboh  Semenanjung Crimea,  tidak dapat tidak, ialah rakyat Ukraine yang bertutur dalam bahasa Rusia.   Siapakah rakyat Ukraine yang bertutur dalam bahasa Rusia?  Persoalan ini cuba dijawab dan dikupas oleh  Timothy Synder yang menulis tiga makalah secara ansur-ansur dalam blog The New York Review of Books.  Dalam makalah terakhir, “Crimea:  Putin vs. Reality,” untuk menunjukkan Rusia menggunakan propaganda sembarangan,  maka hujah Synder,  bahasa, tidak menggambarkan seseorang itu warganegara Rusia. 
            “Putin dan lain-lain,” tulis Synder, “mengaburkan kategori warganegara dengan   ‘teman senegeri’  yang bertutur dalam bahasa Rusia, iaitu kategori yang tidak mempunyai status perundangan. Dengan teman senegeri, Putin maksudkan orang yang kerajaan Rusia dakwa sebagai orang Rusia, atau siapa, menurut Kremlin, kenali diri sebagai orang Rusia, dan siapa yang oleh itu,  memerlukan  perlindungan Rusia.”
            “Memang benar bahawa orang Ukraine bertutur dalam bahasa Rusia,” tulis Synder lagi,   “tetapi tidak bermakna mereka Rusia.  Isu bahasa boleh mengelirukan.  Warganegara Ukraine biasanya dwibahasa, iaitu bahasa Ukraine dan bahasa Rusia.”
            Pada 16 Mac baru-baru ini,  Crimea mengadakan pungutan suara yang berkeputusan wilayah itu  menyertai Rusia, negara asalnya.   Rusia menerima dengan tangan terbuka hasrat Crimea yang pernah menjadi  wilayahnya sebelum diserahkan kepada Ukraine untuk “rujuk semula  kepada bekas suami.”  Dengan Crimea  mengundi untuk berpisah daripada Ukraine, maka hubungan antara Rusia dengan Amerika Syarikat dan Eropah menjadi tegang.  Pemimpin Amerika dan Eropah seakan-akan dihantui oleh krisis Sudeten pada tahun 1938.  Kedua-dua peristiwa itu dianggap mempunyai persamaan.
            Bobo Lolo yang menulis untuk Project Syndicate mengimbas semula bahawa  sebaik sahaja Jerman Nazi merampas Austria,  Adolf Hitler mengalihkan perhatiannya pada etnik Jerman yang tinggal di Sudetenland, Czechoslovakia.  Pertama, dia menuntut  penyerahan Sudetenland kepada Jerman, yang  mendapat persetujuan mudah daripada Perdana Menteri British Nevile Chamberlain dan rakan sejawatannya di Perancis, Edouard Daladier.  Kemudian, Hilter segera mengemukakan tuntutan untuk pendudukan tentera Jerman di  kawasan itu.  Menyedari bahawa sia-sia bertengkar dengan Hitler, Chamberlain dan Daladier menerima pendudukan dengan menandatangani Perjanjian Munich.
            Meskipun Lolo menegaskan bahawa Presiden Vladimir Putin bukannya Hitler dan Rusia bukannya Jerman Nazi, beliau mengakui bahawa wujud beberapa keselarian penting antara Sudeten dengan krisis Crimea.  Yang paling ketara ialah kehadiran majoriti ekspatriat di kawasan yang diduduki.  Orang Rusia terdiri hampir 60 peratus daripada dua juta penduduk Crimea, dan banyak yang lebih rapat dengan negara “ibunda” mereka berbanding dengan Ukraine.  Demikian juga, tiga juta orang Jerman Sudeten yang lebih setia pada Jerman berbanding dengan Czechoslovakia.
            “Sesungguhnya, helah  Putin untuk pendudukan dan perampasan,” tulis Lolo, “untuk melindungi penduduk tempatan adalah sama seperti yang dilakukan oleh Hilter.”
            Perlu ditambah di sini bahawa pengenalan etnik atau kaum yang digunakan oleh Hitler  dan Putin ialah bahasa, iaitu penutur  bahasa Jerman  di Sudeten dan penutur  bahasa Rusia di Crimea.  Selepas berakhirnya Perang Dingin berlaku beberapa pencerobohan terhadap negara yang berdaulat, tetapi bukannya kerana alasan bahasa.  Amerika Syarikat menggunakan alasan perang terhadap keganasan untuk menceroboh Afghanistan dan senjata pemusnah besar-besaran untuk menceroboh Iraq.  Hanya Putin  yang merujuk  “kitab lama”   untuk menceroboh Crimea dan kemungkinan sasaran beliau yang seterusnya ialah  Ukraine timur,  wilayah  yang penduduknya bertutur dalam bahasa Rusia.
            Di Ukraine, pernah berlaku anggota parlimen bergasak dalam parlimen pada tahun 2012 ketika pembentangan rang undang-undang yang akan membenarkan penggunaan bahasa Rusia sebagai bahasa rasmi di sesetengah tempat di negara itu. Pergaduhan tercetus antara puak yang setia pada Presiden Viktor Yanukovych dengan anggota parlimen daripada parti pembangkang pro-Barat, yang mahu memelihara budaya Ukraine dan kebebasan politik daripada jiran yang sangat berkuasa, iaitu Rusia.  Undang-undang yang dibahaskan itu mencadangkan penggunaan bahasa Rusia sebagai bahasa rasmi yang setaraf dengan bahasa Ukraine di sesetengah institusi sivik, seperti sekolah, hospital, dan mahkamah di wilayah yang penduduk yang bertutur dalam bahasa Rusia merupakan golongan majoriti.   
            Pergaduhan tercetus  sekali  lagi pada Mac tahun lalu,  gara-gara anggota parlimen berucap menggunakan bahasa Rusia.  Parti Wilayah diutamakan oleh rakyat Ukraine yang  bertutur dalam bahasa Rusia di timur dan selatan negara itu, manakala Parti Svoboda mendapat  sokongan  di Ukraine barat  tempat yang dikuasai oleh penutur bahasa Ukraine.
            Perpecahan sesebuah negara berpunca daripada  bahasa pernah berlaku di Belgium. Kepelbagaian bahasa mencetuskan kekecuhan untuk banyak tahun dalam arena politik negara itu.  Ketegangan antara orang Wallon dengan Flemish cukup tajam, dan terbawa-bawa    ke dalam parlimen Belgium.  Selepas pilihan raya tahun 2007,   negara itu tanpa kerajaan selama enam bulan kerana  perpecahan  dan perbelahan antara Flanders yang bertutur bahasa Belanda yang berjumlah kira-kira enam juta orang dengan Wallonia yang bertutur bahasa Perancis yang berjumlah kira-kira empat juta orang. 
            Tiga tahun kemudian, konflik yang sama meruntuhkan kerajaan sekali lagi dan memakan masa yang lebih lama.  Belgium yang  sejak  13 Jun 2010 adalah     tanpa kerajaan, memecah rekod yang dicipta   oleh Iraq. Sejak pilihan raya  pada tanggal itu, Belgium  ditadbirkan oleh   kerajaan penjaga (caretaker government).   Dengan pilihan raya yang tidak membawa apa-apa keputusan yang meletakkan Belgium tanpa kerajaan adalah berpunca daripada persengketaan bahasa.  Para pemimpin politik bercakap bahasa Belanda dan bahasa Perancis bertelagah tentang darjah kuasa dan hak kenaikan cukai sepatutnya dipindahkan ke wilayah di negara yang berpecah belah  dari segi bahasa. Penutur bahasa Perancis terutamanya melihat penurunan kuasa yang selanjutnya sebagai langkah ke  arah memecahkan Belgium,  sesuatu yang mereka tentang. 
            “Dengan menyetujui pembentukan negeri baru, Telangana, India mewujudkan duluan yang bahaya tentang perpecahan etnik,”  hujah Kranti Rai dalam The Daily Beast – contoh terbaru tentang bahasa yang boleh membawa perpecahan.  Dalam makalah  “India’s Newest State Telangana is Bosnia Redux,”  Rai menegaskan bahawa pembentukan negeri baru yang dikenali sebagai Telangana, India akhirnya tunduk pada penipuan politik paling besar dalam sejarah moden negara itu. Telangana yang dijadualkan dimasukkan  (inducted)  ke dalam Kesatuan India pada Jun ini sebagai negeri ke-29, yang mengandungi 10 daripada 23 daerah Andhara Pradesh.  Seperti yang dijelaskan oleh Rai,    Andhara Pradesh adalah lebih banyak orang India bertutur dalam bahasa Telugu, iaitu kira-kira 80 juta orang.
            “Ironi,” tulis Rai, “orang Telugu, mempercepat penyusunan semula India dengan membangkitkan bahasa sebagai alat kesahan mobilisasi politik, akan kini menjadi hanya minoriti bahasa utama dalam India akan dipecahkan oleh sempadan.”  Perpecahan Andhara Pradesh, hujah beliau, menunjukkan bagaimana rapuhnya India, walaupun negara itu melaungkan bahawa projek nasional India masih kekal, dan bagaimana mudahnya, dalam ketiadaan kepimpinan yang tegas, boleh menjadikan India  terurai. 
            Kumpulan orang yang bertutur dalam bahasa yang sama, mengamalkan budaya yang sama, dan bersumpah setia pada negara yang sama, menurut Rai, diperalatkan dan dipecahbelahkan oleh ahli politik separuh celik huruf:  menjadikan orang ini  terlalu sedar secara merosakkan tentang perbezaan mereka bahawa  hanya perpecahan politik  yang jelas kepada mereka sebagai penjamin yang boleh dipercayai untuk perwakilan yang saksama.
            Melihat sesuatu yang berlaku di Ukraine dan India yang berpunca daripada bahasa, apakah hal yang sama akan berlaku di Malaysia  pada suatu masa kelak?  Tidak mustahil jika dilihat dari segi  dasar bahasa kebangsaan yang semakin longgar.  George Orwell, novelis terkenal, pernah berpesan,  “kacau-bilau politik adalah berkait dengan kemerosotan bahasa,” sesungguhnya, wajar dijadikan renungan, walaupun yang direnungkan itu menakutkan dan menjadikan kita  pesimistik tentang masa depan tentang tanah air kita. 
        (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Bahasa, Mei 2014, di bawah judul, "Bahasa Lesen Pencerobohan.")

No comments:

Post a Comment