Pages

Friday, July 25, 2014

Huyung-hayang di Pinggir Tahun 1930-an

JUMAAT, 25 Julai 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Lazimnya, tahun baru disambut dengan penuh keterujaan dan membara dengan harapan. Pengalaman pahit tahun sebelum ini jika ada, semuanya ditinggalkan dalam lipatan memori sambil melangkah  dengan penuh keazaman dan kecekalan. Tahun 2011 dijangkakan lebih baik jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya, tetapi meleset sama sekali.  Demikian juga  tahun baru 2012 yang yang dijangkakan berwajah suram dan muram.
            Tahun 2011 akan diingati sebagai tahun sidang kemuncak yang gagal, tulis Jeffrey Sachs dalam The Guardian pada pertengahan Disember lalu.  “Kerajaan membuktikan diri mereka berulang-ulang kali gagal dalam menangani krisis yang semakin membesar melanda dunia, sama ada kegagalan zon euro, perubahan cuaca, atau politik belanjawan di Amerika Syarikat dan Eropah.”  Tambah beliau yang pastinya sesuatu yang tidak seronok didengar, “Tahun hadapan (tahun 2012), kemungkinan besar teruk kerana politik pilihan raya akan menghalangkan lagi pembuatan keputusan di Amerika Syarikat, Perancis, dan beberfapa negara lain.”
            Jika diperhatikan sepanjang Disember lalu, sesungguhnya lebih banyak  berita buruk tentang ekonomi, baik di peringkat serantau mahupun di peringkat global.  Agensi penarafan kredit terus meningkatkan tekanan terhadap para pemimpin Kesatuan Eropah bahawa banyak lagi negara dalam kesatuan itu akan diturunkan gred.  Belgium diturunkan gred kepada Aa3, dan dengan penurunan itu, negara berkenaan  “sekapal”  dengan Sepanyol, Italy, Slovenia, Cyprus, dan Ireland.  Sementara Perancis yang masih kekal dengan penarafan kredit AAA, berkemungkinan menerima nasib yang sama.
Euro, dikatakan,  kini sepatutnya diiktirafkan sebagai eksperimen yang gagal.  Kegagalan ini, iaitu selepas diperkenalkan pada tahun 1999, bukannya secara kebetulan atau salah urus birokratik, tetapi akibat yang tidak dapat dielakkan mengenakan mata wang tunggal terhadap kumpulan negara yang sangat heterogen. Kesan ekonomi yang teruk euro termasuk krisis hutang di beberapa negara Eropah, keadaan lemah bank-bank Eropah utama, kadar pengangguran yang tinggi di seluruh zon euro, dan defisit perdagangan  yang besar kini melanda kebanyakan negara zon euro. Apakah yang dapat menyelamat euro? Mampu euro diselamatkan? – merupakan soalan yang sering dibangkitkan terhadap zon yang bergelut dengan krisis itu. Harapan pemulihan,  seperti yang diramalkan oleh Gerard Lyons, Ketua Ahli Ekonomi di Standard Chartered, adalah  meleset, manakala kemelesetan membimbangkan, zon euro akan menguncup sebanyak 1.5 peratus pada tahun 2012, manakala United Kingdom akan menanggung kejatuhan dalam output 1.3 peratus.
Kesatuan Eropah dari segi realiti yang keras telah gagal.  Sidang kemuncak di Brussels pada awal Disember lalu menyaksikan Britain melawan 26 buah negara Kesatuan Eropah.  Perdana Menteri British, David Cameron dikatakan mengugut negara lain dalam Kesatuan Eropah supaya memberikan perlindungan yang lebih besar Kota London, iaitu sektor perkhidmatan kewangan, tetapi ditolak.   Keengganan  Cameron menandatangani perjanjian Kesatuan Eropah yang baru menyebabkan beliau dianggap “keseorangan di sebuah pulau.”  Akibat tindakan  Cameron itu, Eropah seakan-akan meledak dengan  “perang saudara,” manakala beliau terpaksa menerima kritikan dari negaranya, termasuk daripada Timbalan  Perdana Menteri, Nick Clegg, dan dari negara anggota Kesatuan Eropah.
Robert Skidelsky yang menulis dalam Social Europe Journal, bahawa sidang kemuncak Kesatuan Eropah itu merupakan satu bencana. Kedua-duanya, iaitu Britain dan Jerman bermain permainan yang silap:  Perdana Menteri, David Cameron mengasingkan Britain dari Eropah, manakala Canselor Jerman, Angela Merkel mengasingkan zon euro daripada realiti.  Seandainya Cameron membawa agenda pertumbuhan ekonomi ke sidang kemuncak itu, beliau pastinya berjuang untuk sesuatu yang benar, dan  sekutunya tidak kurang.
Pada pertengahan Disember lalu, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde, mengeluarkan amaran bahawa dunia menghadapi risiko terjerumus ke dalam kemerosotan gaya tahun 1930-an, kecuali negara-negara menyelesaikan perbezaan mereka dan bekerja bersama-sama untuk menyelesaikan krisis hutang Eropah yang semakin teruk.  Pada hari yang menyaksikan semakin menjadi-jadinya peperangan perdagangan balas balik antara China dengan Amerika Syarikat dan pertikaian diplomatik yang semakin tegang antara Britain dengan Perancis, Christine mengeluarkan amaran keras beliau tentang keteguhan ekonomi global dan berkata jika komuniti antarabangsa gagal bekerjasama, nescaya risiko adalah “penarikan balik, peningkatan fahaman perlindungan, pengasingan.”  Tambah beliau:  “Ini benar-benar menjelaskan apa yang berlaku pada tahu 1930-an, dan apa yang diikuti adalah bukan sesuatu yang kita nanti-nantikan.”
Seruan Pengarah Urusan IMF itu datangnya  tatkala kebimbangan semakin menjadi-jadi bahawa tahun 2012 akan menyaksikan Eropah terbenam ke dalam kemelesetan curam berganda, dengan memberikan kesan yang buruk terhadap ekonomi lain di peringkat global.  “Tinjauan ekonomi dunia ketika ini tidak terutamanya cerah, benar-benar kelam,” jelas beliau.  Bercakap di Jabatan Negara di Washington, Christine menegaskan:  “Tidak ada ekonomi di dunia, sama ada negara pendapatan rendah, pasaran sedang muncul, negara pendapatan sederhana, atau ekonomi yang lebih maju, yang akan kebal daripada krisis yang kita lihat bukan hanya berkembang, tetapi menjadi semakin buruk.”
Peringatan Pengarah Urusan IMF  bahawa dunia akan terjebak  semula dalam kemelesetan menimbulkan kekhuatiran dan menuntut komitmen para pemimpin dunia yang selalu terhegeh-hegeh.    Yang jelas, di banyak negara,  pemulihan lemah dan pertumbuhan  perlahan, diperburukkan lagi oleh kadar pengangguran yang tinggi serta krisis zon euro yang berpanjangan. Bahkan Nouriel Roubini dalam “The Global Economic Outlook for 2012 Isn’t Pretty” yang diedarkan oleh Project Syndicate, tidak teragak-agak untuk mengatakan kemelesetan akan berlaku semula di banyak ekonomi:  “Tinjauan ekonomi global tahun 2012 adalah jelas, tetapi tidak cantik kerana kemelesetan di  Eropah, pertumbuhan anemia paling baik di Amerika Syarikat, dan kelembapan yang ketara di China dan di kebanyakan ekonomi pasaran sedang  muncul.  Ekonomi Asia terdedah pada China.  Amerika Latin terdedah pada harga komoditi yang rendah (kerana kedua-duanya, iaitu China dan ekonomi maju perlahan).  Eropah Tengah dan Timur terdedah pada zon euro.  Dan kacau-bilau di Timur Tengah menyebabkan risiko ekonomi yang serius, kedua-duanya di sana dan tempat-tempat lain kerana risiko geopolitik masih tinggi, dan dengan itu, harga minyak yang tinggi akan mengekang pertumbuhan global.
“Setakat ini,” hujah Roubini, kemelesetan zon euro adalah pasti.  Walaupun kedalaman dan kepanjangan tidak dapat diramalkan, kerkah kredit berterusan, masalah hutang kedaulatan,  kurang daya saing, dan jimat-cermat fiskal bermaksud kemerosotan yang serius. Beliau menyudahi tulisannya dengan mengungkapkan Bette David dalam All About Eve, “Ketatkan tali pinggang anda, terpaksa menempuh tahun yang lekak-lekuk.”
Untuk Amerika Syarikat, The Economist yang muncul dalam “Special Holiday Double Issue” yang pemulihannya lemah sebahagiannya kerana  ekonomi, jika ditelitikan, kurang laju jika dibandingkan dengan kemunculan pertamanya. Akan tetapi, juga kerana ahli politik Amerika seakan-akan tidak melakukan sesuatu apa-apa jua untuk membantu pertumbuhan pada tahun 2012. Kadar pertumbuhan sekarang sebenarnya anemia yang elok, yang bermaksud tidak lebih baik untuk kembali kepada trend jangka panjang.  Selepas kejatuhan yang teruk ke dalam kemelesetan (Keluaran Dalam Negara Kasar  - KDNK jatuh sebanyak 3.5 peratus pada tahun 2009), banyak yang mengharapkan pemulihan yang lebih hebat. Akan tetapi, kerosakan yang dilakukan terhadap kunci kira-kira individu masih membebani pemulihan, iaitu kadar pengangguran yang tinggi dan permintaan tidak bergerak.
Dalam ulasannya terhadap peringatan Christine Lagarde tentang bahaya yang sedang menanti, Larry Elliot menulis dalam blog The Guardian bahawa meskipun tidak pasti dan  adakah Christine betul, pastinya wujud sesuatu yang membangkitkan kebimbangan tentang keadaan dunia.  Dengan membangkitkan bahawa “apa yang kita tempuhi  sejak tahun 2008 yang mengalami kemelesetan,” beliau menegaskan bahawa banyak negara, termasuk Britain, terpaksa bergelut untuk pulih daripada keruntuhan gelembung harga aset, dan kini menghadapi prospek kemelesetan curam berganda. “Apa yang teruk lagi,” tulis Elliot, “sistem kewangan masih lemah, seperti yang ditunjukkan dalam keputusan oleh Fitch, agensi penarafan kredit untuk menurunkan gred beberapa gergasi perbankan, seperti Barclays dan Goldman Sachs.  Bank pusat membenarkan bank-banks akses kepada kuantiti yang tidak terhad wang murah supaya mereka dapat memenuhi keperluan pendanaan seharian mereka.  Sesetengah bank ini, terutamanya di Eropah, berkemungkinan terhuyung-hayang di tepi pinggir, yang menyebabkan pandangan Lagarde semuanya lebih bahaya.”
Bagi Elliot, Lagarde adalah betul untuk berasa bimbang tentang Eropah dan layak untuk memberikan amaran kepada negara-negara lain di dunia akibat ketidakgiatan.  Namun, beliau menegaskan bahawa perbandingan dengan tahun 1930-an adalah disalahletakkan dan dengan memberikan tumpuan terhadap keperluan jangka pendek untuk pertumbuhan sambil mengorbankan penyelesaian masalah jangka panjang juga satu kesilapan.
“Inilah masa untuk menyebut situasi semasa sekarang kemelesetan,” tulis Paul Krugman dalam The New York Times. “Benar, tidak mengulang tayang sepenuhnya Kemelesetan Besar, tetapi tidak menolong menyedapkan hati.  Pengangguran di Amerika Syarikat dan Eropah masih tinggi yang boleh membawa bencana.  Para pemimpin dan institusi semakin diragui.  Dan nilai demokratik dikepung.”
 Khusus untuk yang berlaku di Eropah, hujah Krugman,  bukan kerana semuanya elok dengan Amerika, tetapi kerana graviti pembangunan politik Eropah tidak difahami secara meluas.  Krisis euro membunuh impian Eropah.  Mata wang yang dikongsi yang dianggap mengikat negara bersama-sama, sebaliknya mencetuskan rasa sakit hati yang pahit.  Terutamanya, desakan supaya melaksanakan jimat-cermat yang lebih garang, tanpa mengimbangi usaha untuk memupuk pertumbuhan, membawa kerosakan berganda.  Langkah itu gagal sebagai dasar ekonomi, memburukkan lagi pengangguran tanpa memulihkan keyakinan; kemelesetan yang meluas di Eropah kini kelihatan sebagai suatu kemungkinan, bahkan jika ancaman segera krisis kewangan dikekang. Jimat-cermat mencetuskan kemarahan yang sangat besar, dengan banyak orang Eropah naik berang terhadap apa yang mereka tanggapi, secara adil atau tidak adil (atau sebenarnya sedikit kedua-duanya), kerana pengunaan kuasa Jerman yang menindas.
Melalui kolumnya dalam Newsweek, Niall Ferguson menegaskan bahawa orang ramai selalunya lupa bahawa Kemelesetan Besar yang diibaratkan perlawanan bola sepak, iaitu ada dua separuh masa.  Separuh masa pertama dikuasai oleh akibat keruntuhan pasaran saham Amerika Syarikat pada tahun 1929.  Separuh masa kedua, yang menyebabkan kemelesetan benar-benar “besar,” tegas beliau, “kedua-duanya dari segi kedalaman dan peluasannya, bermula dengan krisis perbankan Eropah tahun 1931.”  Jelas Ferguson, “untuk memahami apa yang berlaku dalam sempadan kita sendiri, anda perlu tahu sejarah ini.  Akan tetapi, jarang-jarang orang yang sudi melakukannya.”
Belajar dari tahun lalu, maka jangan sekali-kali meletakkan harapan yang tinggi pada tahun 2012.  Kemelesetan global yang berlaku  pada tahun 2008, walaupun pulih,  masih belum pergi jauh, sebaliknya mengekori dunia dengan semakin rapat. 

 (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, April 2012.)

No comments:

Post a Comment