Pages

Thursday, August 1, 2013

Mendaulatkan Bahasa: Belajar dengan Quebec

KHAMIS, 1 Ogos 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Tidak seperti wilayah-wilayah lain di Kanada, Quebec satu-satunya wilayah yang sejumlah besar penduduknya menggunakan bahasa Perancis.  Dan, Quebec bukan sekadar menggunakan bahasa Perancis, tetapi juga mendaulatkan bahasa itu tanpa sebarang tolak ansur. Daripada menu makanan kepada nama syarikat, pastikan tidak berbau bahasa lain, seperti bahasa Italy dan bahasa Inggeris.

Bahkan, Bouton, iaitu burung kakak tua yang bertutur dalam bahasa Inggeris di Montreal Biodome, Quebec, dihantar pulang ke Toronto berikutan lawatan mengejut ke zoo itu oleh wakil Office québecoise de la langue française (OQLF), badan yang dipertanggungjawabkan memastikan keagungan bahasa Perancis di Quebec. Kisah itu yang diterbitkan dalam majalah Beaverton, menjadi olok-olokan, tetapi sikap tidak tolak ansur Quebec terhadap bahasa rasmi wilayah itu memang sentiasa benar.

Selain itu, seperti yang dilaporkan dalam The Economist, permohonan Xavier Menard untuk menyenaraikan firmanya dengan pendaftar syarikat di wilayah itu, ditolak.  Alasannya, nama syarikat itu terlalu berbunyi bahasa Inggeris.  

Kesusahan yang dialami oleh Menard, menurut majalah itu, bukannya peristiwa yang terasing.  Quebec mempunyai undang-undang bahasa yang ketat, dikuatkuasakan dengan penuh berani oleh OQLF.  Satu statut  menjadikan  Perancis "bahasa normal dan setiap hari kerja, arahan, komunikasi, perdagangan, dan perniagaan."  Statut itu juga membenarkan OQLF "bertindak mengikut daya usahanya sendiri atau berikutan adanya aduan yang dikemukakan."

Jika dibandingkan dengan di Malaysia, tindakan pihak berkuasa, iaitu OQLF di Quebec dalam mendaulatkan bahasa, terlalu berbeza, boleh diibaratkan "antara langit dengan bumi."

No comments:

Post a Comment