Pages

Friday, August 30, 2013

Kertas Terbakar, Kewartawanan Tercabar

JUMAAT, 30 Ogos 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Liputan yang sentiasa mendapat liputan dalam akhbar adalah tentang akhbar itu sendiri: tentang kemerosotan jumlah edaran dan sumbangan periklanan, tentang cabaran Internet terhadap akhbar, tentang plagiat dan penipuan editor dan wartawan,  tentang akhbar disaman oleh pihak tertentu, dan tentang penutupan sesebuah akhbar.    Akibat krisis kewangan 2008 – 2009, banyak akhbar di Amerika Syarikat yang terpaksa memfailkan kemuflisan di mahkamah, atau   beralih kepada penerbitan dalam talian. 
            Pastinya, yang paling menarik pendedahan oleh akhbar The Guardian pada awal Julai lalu tentang  penggodaman telefon yang dilakukan oleh  The News of the World   yang selepas itu mendapat liputan luas akhbar dan media lain yang seakan-akan mengheret Britain ke kancah skandal  Watergate.  Berikutan pendedahan skandal itu, empayar media Murdoch seakan-akan senasib dengan   Tembok Berlin: runtuh.  Dalam usaha mengawal tangkis kerosakan, mogul media, Rupert  Murdoch memaklumkan bahawa akhbar  berusia 168   ditutup, muncul dengan keluaran terakhir pada 10 Julai 2011, meninggalkan dua juta pembaca tanpa akhbar hari Ahad.  Keputusan penutupan itu dilihat sebagai mengorbankan akhbar semata-mata demi  menyelamatkan seorang wanita, iaitu Rebekah Brooks, Ketua Eksekutif News International, syarikat induk The News of the World.  Walau bagaimanapun, selepas 11 hari tekanan politik terhadap skandal penggodaman telefon itu,  pada 15 Julai lalu, Rebekah mengumumkan perletakan jawatannya atas alasan tidak mahu terus menerus  “menjadi sasaran debat.”  Antara respons terhadap pengumuman itu, “Rebekah pergi, tetapi persoalan masih kekal,” “dia menjadi sebahagian masalah dan bukannya penyelesaian.”  
            Segala-galanya bermula dengan pendedahan The Guardian bahawa Glenn Mulcaire, penyiasat bebas yang pernah bekerja dengan The News of The World menggodam telefon bimbit kepunyaan murid perempuan, Milly Dowler – ketika itu Rebekah mengedit akhbar itu. Milly hilang pada usia 13 tahun dalam perjalanan ke rumahnya di Walton-on-Thames pada 21 Mac 2002.  Hari-hari selepas kehilangannya, pesanan suara (voicemail messages) mula dipintas.  Pesanan lama dibuang untuk memberikan ruang kepada pesanan baru, mendorong sesetengah orang percaya bahawa gadis itu masih hidup.  Selepas itu, satu demi satu pendedahan tentang penggodaman telefon, termasuk terhadap doktor bekas Perdana Menteri, Gordon Brown, Putera Charles dan isterinya, dan Putera William.
Penggodaman telefon membawa kepada penyebaran skandal dan ledakan persoalan.  Organisasi media, dunia persuratkhabaran, dan profesionalisme kewartawanan  dihadapkan ke muka pengadilan yang amat perit yang menyaksikan pertembungan antara kebebasan dengan privasi. Atau dengan kata lain, kebebasan media mesti ditunjangi oleh hak dan tanggungjawab.  Timbalan Perdana Menteri Britain, Nick Clegg mentakrifkan prinsip  dalam bersuara  memerlukan “kebebasan, kebertanggungjawaban, dan kejamakan.”  Beliau mengesani keaiban The News of the World kepada secara fundamental, hubungan yang dirosakkan antara politik, media, dan polis.  
Bahkan, Perdana Menteri Britain, David Cameron turut “dibicarakan,” dan beliau terpaksa bersusah payah untuk menjauhkan dirinya daripada skandal penggodaman itu selepas beliau berhadapan dengan persoalan tentang keputusanya melantik Andy Coulson untuk  berkhidmat sebagai pengarah komunikasinya.  Coulson ialah  editor akhbar itu yang ketika dialah banyak penggodaman telefon berlaku, telah ditangkap oleh polis.  Cameron yang enggan memohon maaf atau mengakui kesilapan yang dilakukannya hanya mengakui, “hubungan antara ahli politik dengan media menjadi terlalu rapat.”
Skandal penggodaman telefon itu  dikatakan secara radikal mengubah tanggapan awam tentang bagaimana ahli politik bekerja, bahaya kuasa  korporat tunjukkan kepada demokrasi, dan pada takat yang polis Metropolitan sanggup bertolak ansur dan melakukan rasuah yang kini terbabit begitu jauh seakan-akan mereka bekerja untuk Murdoch.  Berikutan pendedahan itu, sesetengah pihak mempersoalkan peranan,  kebebasan, dan kebertanggungjawaban  akhbar. Skandal penggodaman telefon itu juga mendedahkan bahawa   penulis, kolumnis, dan penulis blog  hanyalah khadam yang bekerja untuk tuan mereka, iaitu ahli korporat. 
Namun, diakui mustahil bahawa hanya akhbar-akhbar milik News Corporation yang menggunakan kaedah pemberitaan yang tidak berprinsip.  Penyiasatan awam yang ditubuhkan segera akan pastinya mendedahkan contoh yang tidak menyenangkan yang lain.  “Kematian The News of the World,” Eric Pfanner dalam The New York Times, menggalakkan desakan untuk beberapa cara yang merisaukan, termasuk kawalan seterusnya terhadap wartawan British.  Menggodam telefon bimbit remaja yang dibunuh, adalah antara mangsa lain, tidak wajar, tidak beretika, dan salah dari segi undang-undang.”  Akan tetapi, dalam “The State of British Journalism” itu, Pfanner mengingatkan  bahawa Britain telah mempunyai beberapa  sekatan  yang sangat ketat terhadap media berita jika dibandingkan dengan mana-mana negara Barat,  termasuk undang-undang fitnah bertulis atau libel yang menggerunkan dan kanun  privasi tidak bertulis.  British tidak memerlukan peraturan yang lebih banyak terhadap media berita.  Yang diperlukan ialah memisahkan raja akhbar yang sangat berkuasa dan ahli politik daripada berkongsi katil  yang sama.
Melalui  “Phone Hacking: British Politics Bas Been Corrupted by a Cosy Camaraderie” yang diterbitkan dalam The Telegraph, Janet  Daley mengkritik hubungan akrab yang berlebih-lebihan antara akhbar yang mencemarkan budaya politik. Kebenaran menurut beliau, adalah bahawa untuk semua kekuatan yang berseteru dan bersifat penyiasatan yang banyak, kewartawanan politik British pada asasnya, kelab yang dianggotai oleh kedua-duanya, iaitu ahli politik dan wartawan. Wujud keakraban yang  mesra antara akhbar dengan golongan pemerintah di Britain yang sahabat-sahabat wartawan Amerikanya mendapati mengejutkan  - sesuatu yang tidak berlaku di negara mereka:  “Setiap orang di Britain tahu hal orang lain.”   Sebahagian tugas wartawan adalah untuk membawa ahli politik makan tengah hari secara tetap.  Sebaliknya, agak memeranjatkan walau bagaimana sekalipun pada amnya terbuka dan mesranya masyarakat Amerika, hubungan antara wartawan dengan ahli politik jauh lebih formal dan terlalu rasmi jika dibandingkan dengan mereka di Westminster.  “Sebagaimana begitu banyak lingkungan kehidupan di negara ini, iaitu dunia seni, bidang tertentu akademia dan golongan atasan profesion perundangan merupakan contoh yang terpancul dalam minda,” tegas Janet, “adalah mustahil sama sekali untuk hidup dalam kewartawanan politik sebagai orang luar.”
Oleh sebab pengaruh media terhadap politik dan masyarakat terlalu besar, Ed Miliband, pemimpin Parti Buruh, menggesa supaya empayar Murdoch mesti dihapuskan.  Dalam wawancara eksklusif dengan akhbar The Observer, beliau mendesak diwujudkan peraturan pemilikan media yang baru dengan mengatakan ketua News Corporation mempunyai kuasa yang terlalu banyak di United Kingdom.  Bagi beliau, peraturan pemilikan media semasa sudah ketinggalan zaman, menjelaskan peraturan itu sebagai “peraturan analog untuk zaman digital” tidak mengambil kira kemunculan digital massa dan penyiaran satelit.  Miliband berkata bahawa penghentian oleh News International dalam bidanya untuk BSkyB, perletakan jawatan ketua eksekutif, Rebekah Brooks, dan  penutupan The News of the World, tidak memadai untuk memulihkan kepercayaan dan menenangkan orang awam.


Simon Jenkins yang menulis  dalam guardian.co.uk sebaik-sebaik skandal itu terbongkar, “How News of the World Editors Lost Self-control – and All Respect for the Law,”  mengingatkan kesukaran dalam dunia persuratkhabaran sekarang.  “Mengedit akhar pada permulaan abad ke-21 merupakan tugas yang berat.  Konsep pengantaraan peristiwa dunia kepada kumpulan pembaca terpilih berkecai ke dalam dekad.  Pemberita, penulis, editor, dan pencetak berkelana ke sana ke mari, seperti mangsa letupan bom, diselubungi dalam gumpalan debu digital.  Profesion kewartawanan terhuyung-hayang ke sana sani, menyendal udara.  Tiada siapa yang benar-benar tahu apakah yang berlaku.”  Tambah beliau, pendedahan berterusan tentang amalan pemberitaan The News of the World menunjukkan bom itu adalah bunuh diri.  Para editor di akhbar yang sesuatu yang perlu ialah keazaman manusia kelihatan hilang semua hormat terhadap undang-undang, apatah lagi kawalan kendiri.  Menggodam telefon Milly Dowler merupakan sebahagian budaya gangguan yang dianggap untuk mengetahui tiada batasan.
Bagi Simon Jenkins, dunia persuratkhabaran kini dalam situasi yang cukup mencabar dan terancam  akibat kemaraan Internet dan media sosial,  seperti blog, Facebook, dan Twitter.  Berkembangnya rangkaian sosial meletakkan pencerobohan ini hampir-hampir tanpa batasan, tetapi juga mengambilnya melampaui skop akhbar yang banyak duit.  Keadaan ini menjadikan privasi peribadi, kerahsiaan kerajaan, dan kebijaksanaan umum terlalu rapuh yang kegasangan sebaik sahaja dibeli untuk harga akhbar boleh dipuaskan dengan percuma, dengan hanya mengklikkan tetikus.  Selera orang awam untuk perkara-perkara yang remeh tentang peribadi terbukti tidak akan kering-kering. Sementara itu, blog, Facebook, dan Twitter pada hakikatnya mustahil untuk menggunakan kawalan undang-undang, apatah lagi mengawas cita rasa atau etika. Beliau mengingatkan bahawa tekanan terhadap editor dan pemilik akhbar bukan hanya “kurang intelektual atau kurang canggih,” tetapi juga untuk meninggalkan semua rasa bersalah dan menahan diri yang mendalam. 
Penyebaran web menyebabkan media konvensional menjadi panik, tulis Jenkins.  “Bagi semua akhbar, skandal penggodaman telefon The News of the World  menjadi detik kebenaran.  Skandal ini menunjukkan bagaimana tekanan komersial daripada web dan dari dalam perbadanan besar memutarbelitkan etika.  Kewartawanan selalunya menguji sempadan pencerobohan penyiasatan, tetapi tidak boleh melanggar atau mencampuri proses undang-undang.”
Akhbar British dikatakan mewakili  yang paling baik dan yang teruk dalam kewartawanan penyiasatan, tidak dibimbangi oleh pihak berkuasa, nekad untuk mendapatkan kebenaran, tetapi mudah untuk mengelirukan keunggulan atau ideal pemberitaan dalam kepentingan awam dengan melaporkan segala-gala yang mungkin menjadi minat orang awam.  Kekeliruan itu bukan sahaja  merebak dalam media pasaran massa, tetapi juga mencemari kewartawanan terbitan lebar sehelai kerana akhbar bercetak terpaksa bertungkus-lumus kerana kemerosotan hasil periklanan berikutan kebangkitan revolusi digital.
Akhbar milik Murdoch, seperti yang diperhatikan  menjangkiti wacana awam.  Akhbar pesaing  terpaksa bersaing untuk tajuk berita yang penuh sensasi, untuk skandal palsu, untuk gosip selebriti yang direka-reka.  “Akan tetapi,” tulis Margaret Drabble dalam akhbar The Independent, “pastinya, orang awam berminat.  Orang awam, atau sesetengah orang awam, akan berduyun-duyun menghadiri upacara penggantungan, seperti yang mereka lakukan di Iran seandainya mereka mempunyai sedikit peluang.”  Akibatnya, tegas beliau, kewartawanan yang buruk menyingkirkan kewartawanan yang baik, dan orang awam dipaksa menyaksikan akhbar yang mulia secara tidak jujur mengelakkan daripada penafisan orang ramai yang berminda tinggi dengan melakukan ringkasan tentang cerita yang lebih memalukan daripada akhbar lain.
Tuduh menuduh berlaku dalam kalangan media sendiri. Akhbar The Guardian yang beria-ria benar mendedahkan skandal penggodaman telefon itu dilihat sebagai satu usaha untuk membangkitkan kebencian orang ramai terhadap Rupert Murdoch.  Selain akhbar berkenaan, saluran berita kabel,  BBC turut dianggap mengambil kesempatan  untuk membalas dendam terhadap empayar  Murdoch.  Seperti yang diketahui, Murdoch juga memiliki  Fox News yang tidak dapat tidak, merupakan   pesaing BBC.  Kuasa BBC dan kebencian dari segi sejarah terhadap empayar Murdoch, dikatakan adalah hanya satu aspek peperangan yang lebih besar yang kini melangkaui Atlantik, yang sasarannya bukan akhbar yang boleh secara sah, didakwa melakukan perbuatan yang tidak berhati perut, tetapi adalah terhadap Fox News.
Namun,  ada juga  yang menyanjung peranan  akhbar  kerana melalui akhbarlah penggodaman itu akhirnya diketahui umum.  Dalam hubungan ini, The Guardian sekali lagi mencipta nama dalam dunia kewartawanan kerana pada tahun lalu, akhbar itu bersama-sama beberapa akhbar lain, antaranya The New York Times,  bekerjasama dengan  WikiLeaks Julian Assange,   mendedahkan kabel diplomatik kedutaan Amerika Syarikat. Kini, The Guardian sekali lagi menjadi tumpuan cerita berita yang sangat penting, kedua-duanya dari segi isi dan bagaimana fungsi kewartawanan.  Tulis  Peter Osnosdan Clive Priddle dalam theatlantic.com, “How Britain’s Guardian is Making Journalism History,”  akhbar ini menerajui usaha untuk mendedahkan perbuatan membuka telefon dan skandal penggodaman data telefon.  Usaha itu berkemungkinan memberikan ancaman yang paling serius terhadap masa hadapan News International milik Rupert Murdoch dalam beberapa dekad kebangkitannya sebagai perusahaan berita yang paling berkuasa di Britain (di samping BBC), dan menjadi semakin jelas, sumber rasuah jenayah.

Akhbar datang, akhbar pergi, akhbar muncul, akhbar menghilang, tetapi para wartawan tetap memainkan peranan penting untuk mendedahkan sesuatu yang mungkin tidak diketahui oleh orang awam, atau mereka tidak mampu mendedahkannya sendiri.   Para wartawan sentiasa memberikan kesegaran terhadap dunia persuratkhabaran, meskipun ada kalanya tindakan mereka itu  melanggar undang-undang atau tidak beretika.  Apa yang berlaku dalam The News of the World yang kemudiannya  terbongkar atas daya usaha The Guardian bukan sekadar memperlihatkan betapa kuatnya kuasa akhbar, tetapi juga mempamerkan warna-warni dalam dunia persuratkhabaran.  Sebagaimana dalam kehidupan manusia, akhbar juga mempunyai asam garamnya yang kadangkala mengerikan, kadangkala menghiburkan, kadangkala menakutkan, kadangkala menyeronokkan.  Justeru,  hanya manusia yang dangkal dan jahil yang tergamak memboikot atau mengadakan upacara pembakaran akhbar, seperti yang berlaku di negara kita.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Ogos 2011.)

No comments:

Post a Comment