Pages

Friday, August 16, 2013

Baik Buruk Facebook

JUMAAT,  16 Ogos 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pada akhir tahun lalu, Facebook dilaporkan  mempunyai akaun yang mencecah satu bilion, tidak termasuk akaun palsu.  Hal ini memnbayangkan bahawa mempunyai akaun media sosial itu suatu kemestian dan penggunaannya menjadi sebahagian budaya masyarakat.  Tidak kurang juga para pengguna yang seakan-akan ketagih dengan Facebook.  Kebaikan dan keburukan Facebook turut dibincangkan, yang ada kalanya berdasarkan kajian.

Melalui makalahnya dalam The Atlantic, James Hamblin, berhujah bahawa Facebook bukan sekadar kegembiraan dan meragui bahawa media sosial ini menyebabkan penggunanya berasa kesepian, atau kurang gembira.  Beliau mengingatkan bahawa seseorang itu menggunakan media sosial bukan untuk mencari kegembiraan, tetapi untuk berhubung antara satu sama lain.

Dalam pada itu, daripada kajian yang dipetik oleh The Economist, rangkaian sosial, termasuk Facebook, menjadikan orang lebih sengsara.  Sebelum ini, kajian mendapati bahawa penggunaan Facebook berkait dengan rasa cemburu, ketegangan sosial, pengasingan, dan kemurungan. Kajian terbaharu pula menunjukkan bahawa pengguna Facebook berasa kurang puas hati dengan kehidupan mereka.  

Kajian yang turut dipetik oleh The Independentmendapati bahawa meskipun pengguna Facebook saling berhubung antara satu sama lain, tidak bermakna bahawa mereka berasa gembira.  Penggunaan secara tetap rangkaian sosial ini dijangkakan membawa kemerosotan dari segi kesejahteraan pengguna. 

Kajian itu juga mendapati bahawa Facebook mempunyai kesan psikologi negatif dalam erti kata penggunanya berasa bimbang dan kesepian. Kajian yang turut dipetik oleh Time, mendapati bahawa Facebook mempunyai dua wajah:  Kita menggemarinya, tetapi tidak menjadikan  kita berasa gembira. 

Sebagai pengguna Facebook, pastinya anda mempunyai pengalaman dan jawapan yang tersendiri!  

No comments:

Post a Comment