Pages

Thursday, July 25, 2013

Geronimo Tumbang Sebelum Tumpas

KHAMIS,  25 Julai 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Jerat tidak pernah lupakan pelanduk.  Barangkali itulah mesej tersirat dalam pengumuman  Presiden Barack Obama tentang kematian Musuh Orang Ramai No.  1 menjelang tengah malam Ahad, atau menjelang tengah hari Isnin di Malaysia -  tatkala  kebanyakan rakyat negara ini menghabiskan   cuti gantian Hari Pekerja. “Untuk selama dua dekad, Bin Laden menjadi pemimpin al-Qaeda dan simbol,” kata Obama dalam kenyataan yang disiarkan di seluruh dunia. “Kematian Bin Laden menandakan pencapaian yang paling bermakna setakat ini dalam usaha negara kita untuk mengalahkan al-Qaeda.  Akan tetapi, kematiannya tidak menandakan berakhirnya usaha kita.  Tidak ragu-ragu bahawa al-Qaeda akan terus melakukan serangan terhadap kita. Kita mesti dan kita akan terus berjaga-jaga dalam negara dan di luar negara.” Selepas Obama   mengesahkan kematian Osama bin Laden, rakyat Amerika  berkumpul di New York, Washington, dan banyak bandar lagi,  bersorakan dan berteriakan seakan-akan meraikan sebuah kemenangan selepas hampir satu dekad mereka hidup dalam ketakutan.      
Perburuan Amerika Syarikat untuk mendapatkan  Osama bin Laden hidup atau mati, sesungguhnya memakan masa yang lama, iaitu 15 tahun, melibatkan tiga orang Presiden Amerika, iaitu Bill Clinton, George W. Bush, dan Barack Obama, dan memakan belanja peperangan AS$3 trilion. Selain menjadikan  Afghanistan sasaran,  Amerika juga menceroboh Iraq dan menumpaskan Saddam Hussein, rejim yang tidak terlibat dalam 11 September dan tiada hubungan dengan Osama dan al-Qaeda. Atas nama Perang terhadap Keganasan,” lebih 50,000 tentera Amerika Syarikat dan tentera bersekutu terbunuh atau cedera, dan beratus-ratus ribu orang awam Afghanistan, Iraq, dan Pakistan terkorban.  Dalam operasi yang mengambil masa 40 minit, akhirnya  Navy SEALs menyerbu dan  membunuh Osama  di kediamannya di Abbottabad, kira-kira 70 batu dari Islamabad, dan dengan itu, memetik Presiden Obama dalam pengumumannya,  “keadilan dilaksanakan.”
            Sebagaimana serangan 11 September 2001, kematian Osama bin Laden yang diberikan  nama kod Geronimo oleh CIA, mengambil sempena pejuang   peribumi Amerika, mendapat liputan media yang amat luas.  Majalah Time dalam keluaran 20 Mei muncul dengan “Special Report:  The End of Bin Laden.”   Untuk empat kali dalam sejarah kami, kami meletakkan X berwarna merah pada  muka di  kulit depan majalah kami, jelas Richard Stengel, Editor Urusan, dalam “The Story of X.”  Kali pertama menandakan kematian Adolf Hitler pada tahun 1945.  Pada tahun 2003, kami menghidupkan semula X untuk Saddam Hussein.  Tiga tahun kemudian, kami meletakkan tanda itu pada muka  Abu Mousab al-Zarqawi, orang yang ditakuti di Iraq.  “Kini, kami menggunakannya untuk menandakan kematian pengganas yang paling dahsyat di dunia, Osama bin Laden.” 
Tulis Stengel lagi, “dia mati pada waktu apabila pengaruhnya yang sedang surut.”  Dalam editorial itu, beliau mengulangi komen yang lazim kedengaran sejak  tercetusnya pemberontakan popular  bahawa rakyat Arab tidak mempedulikan Osama:   “Dalam semua konflik dan kemenangan Pemberontakan Arab yang merusuh ini, tidak seorang pun meneriakkan namanya atau membawa imejnya.”  Namun, Stengel mengakui bahawa dalam cara ingin tahu, kematiannya membawa semula dia ke hadapan dan ke tengah, jika hanya untuk seketika.  Berakhirnya era dalam sesetengah cara, tetapi tidak menamatkan perjuangan kita menentang keganasan.
Peter Bergen yang pernah menemui Osama di bahagian timur Afghanistan pada tahun 1997, turut menulis dalam laporan khas Time   itu, “A Long Time Going” mengisytiharkan bahawa lelaki ini boleh jadi dibunuh pada 5/1, tetapi ideologinya yang membahayakan mula mati pada 9/11.  “Mayat Osama boleh jadi kebumikan di laut pada 2 Mei,” tulis Bergen yang kini berkhidmat sebagai Pengarah Program Pengajian Keselamatan Negara di New American Foundation, “pengebumian bin Ladenisme adalah satu dekad dalam pembikinan.  Sesungguhnya, pengebumian itu bermula betul-betul pada hari kemenangan besar Osama, iaitu  serangan terhadap Washington dan New York City, tetapi   tidak mencapai matlamat strategik utama:  pengunduran Amerika Syarikat dari Timur Tengah, yang dia bayangkan akan membawa keruntuhan semua rejim autoritarian yang disokong Amerika di rantau itu.  Sebaliknya, tegas Bergen Amerika menceroboh dan menduduki pertama Afghanistan dan kemudian Iraq.
Mengakui bahawa bahaya masih wujud, Fareed Zakaria yang juga menulis dalam majalah itu berkata, tetapi Pemberontakan Arab dan kematian Osama bin Laden sepatutnya menamatkan al-Qaeda.  Dalam “When Terror Loses its Grip” Fareed yang dari satu segi mengakui banyak perbezaan antara Osama dengan Hitler, namun tetap mengakui kedua-duanya ada persamaan yang besar.  Kematian Hitler menandakan berakhirnya cabaran Nazi dari Jerman.  Dan kematian Osama akan menandakan berakhirnya ancaman global daripada al-Qaeda. Organisasi ini percaya bahawa hanya cara untuk menggulingkan kediktatoran di dunia Arab adalah melalui keganasan.  Namun, bahas Fareed, “sejak beberapa bulan lalu, berjuta-juta penduduk Arab menggulingkan rejim dengan cara aman secara relatif, dan apa yang mereka carikan bukannya khalifah, bukannya teokrasi, tetapi demokrasi moden.”  Bahkan, rakyat Arab Saudi, bahas beliau lagi, sedar bahawa mereka tidak mahu pulang ke abad ketujuh, dan mereka tidak banyak menyukai orang yang dikehendaki untuk mengebomkan mereka balik ke sana.”
Sebaik-baik sahaja Presiden Obama “mengeluarkan sijil kematian”  untuk Osama bin Laden (dua tiga hari sebelum itu,  Obama mengeluarkan sijil kerakyatannya untuk membuktikan dirinya rakyat Amerika, lahir di Hawaii), wujud  kecenderungan dan keghairahan dalam kalangan cerdik pandai untuk mengisytiharkan bahawa al-Qaeda turut terkubur.  Selain itu,  mereka menegaskan bahawa Pemberontakan Arab dari Tunisia ke Mesir dan mara ke beberapa negara lain, seperti Libya, Yaman, dan Bahrain, bukan sahaja untuk menggulingkan rejim,  tetapi juga penolakan terhadap perjuangan Osama bin Laden. 
Seperti yang dibahaskan oleh Robert Fisk dalam akhbar The Independent akan detik-detik kesunyian Osama:  “Revolusi massa di dunia Arab sejak empat bulan lalu bermakna bahawa al-Qaeda telah pun mati dari segi politik.  Osama memberitahu dunia, sesungguhnya, dia memberitahu saya secara peribadi, bahawa dia mahu memusnahkan rejim pro-Barat di dunia Arab, iaitu kediktatoran Mubarak dan Ben Ali.  Dia mewujudkan Khalifah Islam baru. Akan tetapi, beberapa bulan ini, berjuta-juta Muslim Arab bangkit demi kesyahidan mereka sendiri, bukan untuk Islam, tetapi untuk kebebasan dan hak kebebasan (liberty) dan demokrasi.  Osama gagal menghapuskan penzalim.  Rakyat melakukannya. Dan mereka tidak mahu khalifah.”
Bagi Robert Fisk,  dalam makalah yang berikutnya, pemimpin al-Qaeda itu tahu bahawa dia gagal.  Kini, Amerika Syarikat mengubah nasibnya mati syahid.  “Kematiannya tanpa senjata,” tulis beliau, “mengubahnya menjadi mati syahid yang hebat jika dibandingkan jika dia mati dalam ‘padam kebakaran’ yang pada mulanya dikatakan oleh Obama – amat silap menyebabkan kematiannya.  Lelaki yang mengaggap pencapaiannya sendiri sebagai pencipta al-Qaeda hidup cukup lama untuk menyedari bahawa organisasi itu   sama sekali gagal dalam objektifnya.”
Kematian Osama, seperti yang cuba dibahaskan oleh Ali H. Soufan yang menulis dalam akhbar The New York Times,  berakhirnya impian jihadis kerana bagi anggota al-Qaeda yang pernah beliau soal siasat di Teluk Guantánamo dan tempat-tempat lain selepas Peristiwa 11 September, Osama bin Laden tidak pernah hanya sebagai pengasas kumpulan itu, tetapi juga idea.  Dia mewujudkan kepercayaan bahawa versi Islam mereka adalah betul, bahawa keganasaan ialah senjata yang betul, dan mereka akhirnya muncul sebagai pemenang.  “Kematian Osama,” tulis Soufan, “tidak mematikan idea itu, tetapi memberikan tamparan maut.”
Reaksi segera anggota al-Qaeda terhadap kematian Osama, menurut jangkaan Soufan, adalah dalam bentuk merayakan kematian syahidnya.  Ideologi kumpulan menjadi jaguh kematian untuk mati cara itu: Lagu digubah, video dirakamkan, dan kem latihan sebagai penghormatan dinamakan sempena nama para pejuang yang mati. Timbalan-timbalan  Osama akan cuba menyuntikkan semangat orang ramai dengan menjadikan dia tokoh  seperti Che Guevara bagi al-Qaeda, alat  propaganda yang lebih berkesan untuk yang telah mati jika dibandingkan dengan masih hidup. Namun, Soufan mengingatkan bahawa tidak mengambil masa yang lama untuk al-Qaeda untuk mula mengucapkan Osama bin Laden tidak mati. Dia bukan hanya jelmaan ideologi al-Qaeda, tetapi juga adalah utama untuk kumpulan berjaya mengumpulkan dana mengambil anggota baru.  Tanpa Osama, al-Qaeda akan mendapati dirinya kekurangan wang dan anggota.
Kematian Osama, dipercayai tepat dengan masanya, iaitu tatkala berlakunya Pemberontakan Arab yang nyata memperlihatkan dirinya tidak relevan sama sekali. Hanya laman Web jihadis dikatakan meratapi dan berkabung dengan kematian pemimpin mereka, sedangkan “jalan Arab” yang selalunya mencerminkan pendapat awam dunia Arab, seakan-akan tidak mempedulikannya.  Seandainya Amerika Syarikat tidak  mengebumikan Osama di Laut Arab Utara,  yang bercanggah dengan Islam,  pastinya  tidak ada simpati terhadap kematiannya.  Selain itu, seandainya Osama bin Laden dibunuh ketika Presiden George W. Bush menjadi Presiden, dia mungkin menjadi orang yang mati syahid yang dikenang bagi gerakan anti-Barat di seluruh dunia Islam. Hari-hari indah itu telah berlalu.
Sejak bertahun-tahun, Obama cuba meniupkan semangat kebangkitan dalam rakyat Arab untuk menentang dan seterusnya, menggulingkan rejim mereka.  Sebaliknya, Muhammad Bouazizi, siswazah  mampu melakukannya dalam sekelip mata tanpa perlu mengapi-apikan perasaan anti-Barat, khususnya Amerika. Sebaliknya, siswazah menganggur ini yang mencari rezeki dengan menjual buah, bertindak nekad membakar dirinya pada 17 Disember lalu  di Sidi Bouzid, sebuah pekan   di Tunisia yang akhirnya mencetuskan Revolusi Melati yang kemekaran dan keharumannya merebak ke seluruh dunia Arab.  Secara perbandingan, Bouazizi berjaya melakukannya, Osama gagal akhirnya. Ideologi dan  karismanya yang gagal  memarakkan Pemberontakan Arab dijangkakan berkubur bersama-samanya di Laut Arab.  
Merosotnya kerelevanan al-Qaeda dan kesahan autoritarian, tulis Gilles Kepel dalam The New York Times, “Bin Laden Was Dead Already,” membuka ruang politik untuk Revolusi Melati di Tunis dan pemberontakan Dataran  Tahrir di Mesir.  “Golongan Islamis dan orang bersimpati dengan mereka terlibat dalam gerakan antikerajaan.  Sesetengahnya terpikat dengan mitologi al-Qaeda, tetapi kebanyakannya cuba untuk mengadunkan demokrasi dan pluralisme dengan rukun peradaban Islam.  Turki sebagai contoh negara sekular dengan perisa Islam lebih dibahaskan dalam media Arab berbanding dengan visi jihadis al-Qaeda.”
Untuk terus memerangi al-Qaeda, Washington dikatakan memerlukan kerjasama negara Arab dan negara Islam.  Seperti revolusi bersejarah Pemberontakan Arab tunjukkan, al-Qaeda secara terang-terangan tewas dalam pertarungan idea di sana.  Jalan-jalan di Mesirm Syria, Bahrain, Yaman, dan negara lain dahagakan bukannya pertembungan peradaban, tulis editorial majalah The Nation, tetapi demi demokrasi, pembangunan, dan berurusan dengan dunia.  “Hanya dengan menganjak dasar luar kita daripada melihat Islam sebagai musuh kepada menyokong pemberontakan tanpa keganasan yang melanda dunia Arab kita dapat mengambil peluang ini untuk mencapai keamanan.”
Disedari  secara meluas bahawa Taliban menjauhkan diri mereka daripada al-Qaeda dan Osama dalam usaha mereka untuk kembali berkuasa semula di Afghanistan. Taliban, seperti yang diketahui kehilangan kuasa akibat pencerobohan  dan penaklukan  Amerika ke atas negara itu sebagai tindak balas terhadap serangan 11 September 2001.  Seandainya Osama tidak melancarkan  serangan ke atas  bumi Amerika, barangkali Taliban kekal seadanya.  Kematian Osama, menurut pemerhatian Immanuel Wallerstein dalam laman Webnya, hanya boleh memperkukuh kedudukan mereka dalam Afghanistan, dan mempercepat proses yang Amerika Syarikat diasak keluar, sesuatu yang membuatkan tentera Amerika Syarikat pada dasar berasa gembira. “Sesetengah orang di Amerika Syarikat akan berkata bahawa ‘kemenangan’ ini membolehkan mereka mengadakan rundingan politik dengan Taliban.  Dan sesetengahnya pula yang menentang Amerika Syarikat campur tangan pada mulanya lagi akan berkata bahawa ini membuktikan tidak wujud lagi ancaman yang munasabah yang mewajarkan Amerika terus kekal di negara itu.”
Untuk seketika dengan kematian Osama bin Laden tumpuan diberikan terhadap al-Qaeda, iaitu tentang kelangsungan dan masa hadapannya.  Namun, perhatian yang sebenar  adalah terhadap Pemberontakan Arab yang berjaya  menumbangkan seorang demi seorang rejim, manakala beberapa yang lain menunggu giliran.  Pemberontakan yang melanda dunia Arab sejak beberapa bulan lalu memperlihatkan kebangkitan rakyat yang sebenar yang nyata merupakan detik-detik kesunyian dan keterasingan Osama dan organisasinya, al-Qaeda.  Meskipun dunia diberitahu bahawa Navy SEALs yang menamatkan riwayat Osama, tetapi  penamatan yang  hakiki dilakukan oleh rakyat Arab sendiri. 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Julai 2011.)


No comments:

Post a Comment