Pages

Thursday, July 4, 2013

Dunia dalam Kemiskinan

KHAMIS, 4 Julai 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pada pertengahan Mei 2011, di Istanbul, berlangsung Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tentang least developed countries (LDCs) yang mencadangkan dikurangkan bilangan LDCs daripada 48 buah kepada 24 buah dalam 10 tahun akan datang.  Pusingan Doha yang memperluas akses bebas cukai barang dari LDCs akan mengeluarkan tiga juta orang  daripada kemiskinan.  Memastikan bahawa negara itu diintegarasikan sepenuh ke dalam  ekonomi global adalah penting untuk memacu pertumbuhan dan mengurangkan kemiskinan.  Tanpa peluang yang saksama untuk mengeksport keluaran mereka, negara berkenaan tidak dapat memenuhi potensi mereka untuk tumbuh dan mengurangkan kemiskinan. 
            Dalam pengenalan bukunya, The End of Poverty:  How We Can Make it Happen in Our Lifetime (2005), Jeffrey Sach,  menulis:  “Buku ini adalah tentang menamatkan kemiskinan pada zaman kita.  Ini bukannya ramalan.  Saya tidak meramalkan bahawa apakah yang akan berlaku, hanya menjelaskan apakah yang boleh berlaku.  Kini,  lebih lapan juta orang di seluruh dunia meninggal dunia setiap tahun kerana mereka terlalu miskin untuk meneruskan hidup.” Tulis Sach lagi, “setiap pagi akhbar kita boleh melaporkan, lebih 20,000 orang terkorban semalam kerana kemiskinan melampau.”  Beliau juga mengkritik Amerika Syarikat yang sejak 11 September 2001, melancarkan perang terhadap keganasan, tetapi mengabaikan punca yang sangat dalam ketidakstabilan global.  “AS$450 bilion yang Amerika Syarikat akan belanjakan tahun ini terhadap ketenteraan tidak akan mewujudkan keamanan. Jika Amerika Syarikat  terus berbelanja satu pertiga belas daripada jumlah itu, atau sekadar AS$15 bilion untuk membela nasib  golongan yang paling miskin  daripada golongan miskin di dunia, yang masyarakat yang dinyahstabilkan oleh kemiskinan melampau, dan dengan itu, menjadi tempat perlindungan kekacauan, keganasan, dan bahkan keganasan global.
Di tengah-tengah krisis kewangan meronta mencari mangsa di seluruh dunia, Asia tidak terkecuali, Pertubuhan Buruh Sedunia (ILO) memaklumkan kajiannya  pada Februari 2009, menganggarkan lebih 140 juta orang terjebak ke dalam  kemiskinan dan 23 juta orang hilang pekerjaan di Asia pada tahun itu.  Anggaran itu bukan sahaja tertumpu pada bilangan yang agak besar, tetapi juga mendedahkan risiko sebenar yang melibatkan anak-anak yang mungkin dipaksa berhenti bersekolah untuk bekerja dan membantu keluarga mereka.  
Kesan krisis kewangan 2008 – 2009 amat dalam, bukan sahaja terhadap perbankan dan institusi kewangan lain, bahkan juga terhadap sebilangan besar penduduk  dunia. Sesetengah orang hilang kekayaan, sesetengah yang lain hilang pekerjaan, dan tidak kurang yang mendapati diri mereka hidup dalam kemiskinan. Kini,    kebuluran dikatakan meningkat kerana harga makanan mencecah rekod tertinggi, dan seterusnya, 44 juta penduduk dunia, menurut Bank Dunia, mendapati diri mereka diturunkan  kepada keadaan kemiskinan melampau sejak pertengahan tahun lalu.  Walaupun angka itu dikatakan tidak tepat, tetapi menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB,  kira-kira satu juta orang kini hidup dalam kebuluran yang  kronik.  Merujuk perangkaan  tersebut,  Abhijit Banerjee dan Esther Duflo yang menulis dalam Foreign Policy Mei/Jun 2011, mengingatkan bahawa bagi banyak orang di Barat, kemiskinan hampir sama dengan kebuluran.
Bilangan orang yang kurang pemakanan di dunia berkurangan pada tahun lalu untuk pertama kali dalam tempoh 15 tahun, tetapi tahap masih tinggi jika dibandingkan sebelum krisis makanan   tahun 2008.  Bilangan orang yang lapar jatuh kepada 925 juta orang daripada rekod tertinggi 1.02 juta orang pada tahun 2009, yang banyak kaitannya dengan pertumbuhan pendapatan di rantau Asia-Pasifik dan 40 peratus kejatuhan harga makanan  daripada yang tertinggi pada tahun 2008. Bilangan orang yang kurang pemakanan di rantau ini merosot 12 peratus daripada tahun 2009, iaitu kepad 578 orang kerana pertumbuhan ekonomi.  Tujuh negara mewakili dua pertiga orang yang lapar di dunia, iaitu China, India, Republik Demokratik Congo, Bangladesh, Indonesia, Ethiopia, dan Pakistan.  India dan China sahaja mewakili 40 peratus kelaparan di dunia.  Akan tetapi, Afrika Sub-Sahara mempunyai kadar yang tertinggi orang yang kurang pemakanan, iaitu 30 peratus penduduk rantau itu.
Presiden Bank Dunia Robert Zoellick memaklumkan pada akhir Januari 2010 bahawa berpuluh-puluh juta orang di Afrika dan di tempat-tempat lain akan diheret ke dalam kancah kemiskinan pada tahun itu, meskipun dunia sedang  pulih daripada krisis kewangan global.  Selain menjanjikan bahawa Bank Dunia akan menggunakan skim subsidi langsungnya untuk meringankan beban kemiskinan bagi mereka yang paling mudah terjejas, Zoellick juga menyatakan semula janji Bank Dunia untuk mengumpulkan komitmen kewangannya untuk golongan paling miskin di dunia dengan minimum AS$15 bilion sepanjang dua hingga tiga tahun akan datang. 
Kegawatan kewangan tahun 2008 melambatkan kemajuan yang kerajaan lakukan untuk mengurangkan orang ramai yang hidup dalam kemiskinan melampau pada 2015, seperti yang dimaklumkan oleh ketua Bank Dunia dan ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada pertengahan September 2010.  Mereka memberitahu bahawa krisis kredit di negara maju dan kenaikan harga minyak dan makanan secara tiba-tiba menimpa golongan termiskin di dunia.  Pada Ogos 2008, seperti yang dilaporkan oleh The Wall Street Journal 21 September 2010,  Bank Dunia menganggarkan bahawa 1.4 bilion orang hidup dalam kemiskinan melampau, yang ditakrifkan hidup yang bergantung pada kurang daripada AS$1.25 sehari. 
Laporan PBB itu menambah bahawa pertumbuhan yang pesat dan pengurangan yang ketara dalam kemiskinan dicatatkan di China dan India, manakala Afrika Sub-Sahara dan Asia Tenggara tertinggal di belakang. Dominique Strauss-Kahn, Pengarah Urusan IMF memberitahu pemimpin dunia semasa pembukaan sidang kemuncak pembangunan  tiga hari PBB bahawa kira-kira kurang 70 juta orang akan bebas daripada belenggu kemiskinan pada 2020. Sementara Robert Zoellick berkata  Bank Dunia menganggarkan bahawa lebih 64 juta orang hidup dalam kemiskinan melampau pada 2010, dan kira-kira 40 juta orang lagi kebuluran tahun 2009 kerana krisis makanan, bahan api, dan krisis kewangan.
Pada tahun 1981, 52 peratus orang di negara membangun hidup dalam kemiskinan melampau, tetapi pada 2005, peratusan itu dikurangkan kepada lebih separuh.  Dalam lima tahun, krisis mungkin menyebabkan lebih 1.2 juta orang kanak-kanak di bawah lima tahun mati.  Usaha oleh negara membangun membuahkan hasil hinggalah tercetusnya krisis, dengan kemiskinan jatuh dengan ketara di Asia Timur, Amerika Latin, dan Eropah Timur dan Tengah.  Namun begitu, krisis makanan, bahan api, dan  krisis kewangan sejak tahun 2008 memperlahankan dan bukan menterbalikkan kemajuan ke arah matlamat pembangunan di banyak negara di seluruh dunia. Diakui bahawa krisis kewangan yang teruk di negara kaya menyebabkan berlakunya defisit, tetapi kesannya lebih teruk terhadap negara miskin.
Nicholas D. Kristof yang membuat liputan sidang kemuncak PBB itu menulis dalam kolumnya dalam The New York Times tentang Matlamat Pembangunan Milenium (Millennium Development Goals). Kerja antikemiskinan menyelamatkan nyawa kira-kira 32,000 orang kanak-kanak setiap hari.  Perhitungan beliau berasaskan bilangan kanak-kanak yang pada tahun 1960 (kira-kira 20 juta orang) dan bilangan yang hampir mati sekarang (kira-kira lapan juta orang setahun).  Kristof mencadangkan antaranya tumpuan bukan sahaja terhadap bantuan kemiskinan, tetapi juga terhadap penciptaan kekayaan.  “Cara terbaik untuk mengatasi kemiskinan adalah bukan amal jariah, tetapi pertumbuhan ekonomi, perdagangan dan berbanding dengan bantuan.  Itulah sebabnya Asia Timur meningkatkan taraf hidup  begitu tinggi.”
Pada tahun 2000, para pemimpin negara kaya dan miskin berikrar untuk membina dunia yang lebih baik pada tahun 2015 yang dikenali  Matlamat Pembangunan Milenium.  Antara matlamat utamanya mengurangkan separuh kemiskinan melampau dan kebuluran daripada tahap tahun 1990, mengurangkan sebanyak dua pertiga kadar kematian kanak-kanak dan mengurangkan kematian ibu yang bersalin sebanyak tiga suku, dan mencapai pendidikan rendah universal.  Namun, banyak yang menjangkakan matlamat itu mungkin tidak dicapai, antaranya kerana kemelesetan global menjejaskan usaha banyak negara, manakala negara kaya, termasuk  Amerika Syarikat tidak menyumbangkan wang yang diperlukan untuk menjadikannya realiti.  Pada tahun 2002, negara penderma  kaya bersetuju menghulurkan sumbangan 0.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang dari segi politik sekurang-kurangnya,  boleh laksana.  Namun, setakat tahun lalu, hanya Denmark, Sweden, Norway, Luxembourg, dan Belanda mencapai matlamat sumbangan ini.  Sementara Amerika Syarikat pada tahun 2009, menyalurkan 0.2 peratus KDNK untuk bantuan.  Pada tahun itu juga, secara purata, dianggarkan bantuan pembangunan berjumlah hanya 0.31 peratus KDNK negara maju.
Kegagalan Matlamat Pembangunan Milenium  PBB dalam  membasmikan kemiskinan membangkitkan persoalan kebertanggungjawaban. Pernah dibahaskan bahawa jika gagal sekalipun, siapa yang akan menghukum PBB.  Sesetengah pihak mendakwa bahawa ketiadaan pelan tindakan sebenar, manakala yang lain menyalahkan kerajan negara kaya dan Pentadbiran Obama khususnya, yang hanya berpura-pura terhadap matlamat itu tanpa membelanjakan wang yang diperlukan. 
Meskipun wujud kemajuan dalam pembasmian kemiskinan,  tetapi  tumpuan matlamat terhadap purata global mengabai-abaikan hakikat pencapaian yang tidak seimbang antara negara.  Berita gembira itu banyak diwarnai oleh China yang kepesatan ekonominya  berjaya mengeluarkan berjuta-juta rakyat daripada kemiskinan sejak tahun 1990. Namun, seperti yang pernah dibahaskan jika diteliti setiap negara secara berasingan, gambarannya lebih rumit.  Misalnya, di Nigeria, yang penduduknya hidup pada pendapatan kurang AS$1.25 sehari meningkat kepada 77 peratus penduduk pada tahun 2008 daripada 49 peatus pada tahun 1990, manakala Ethiopia berjaya mengurangkannya kepada 16 peratus daripada 60 peratus. Demikian Ghana mengurangkan kebuluran sebanyak 75 peratus pada tahun 2004, tetapi masalah lebih daripada berlipat ganda di Republik Demokratik Congo pada tempoh yang sama.
Rick Rowden yang menulis dalam guardian.co.uk pada bulan Januari tahun ini cuba melihat persoalan  kemiskinan dalam konteks yang lebih luas dengan mengingatkan kecacatan  pendapat awal tentang pembangunan ekonomi digantikan dengan memenuhi Matlamat Pembangunan Milenium. Akan tetapi,  pengurangan kemiskinan bukan pembangunan.  Bagi Rowden, wacana “pengurangan kemiskinan” adalah mengelirukan; wacana itu  lupa untuk bertanya bagaimana negara boleh dianggap maju tanpa perindustrian. 
Lazimnya, kemiskinan merupakan fenomena negara membangun atau negara Dunia Ketiga, tetapi fenomena ini telah berubah. Pada pertengahan Mei lalu, Polly Toynbee yang menulis dalam guardian.co.uk mengingatkan bahawa ketidakadilan sosial dasar kerajaan David Cameron di Britain akan menyebabkan 300,000 orang lagi kanak-kanak hidup  dalam kemiskinan. Bagi Toynbee ramalan  Institute for Fiscal Studies (IFS) itu tidak memeranjatkan.  Pengangguran akan menyebabkan lebih banyak kemiskinan, kemudian pertimbangkan kesan potongan yang menimpa keluarga yang sama satu demi satu, dengan inflasi lima peratus, potongan kredit cukai kanak-kanak dan pembekuan faedah kanak-kanak.
Sebelum ini, iaitu pada akhir tahun lalu, IFS  meramalkan bahawa dalam tiga tahun,  pendapatan purata akan beku dan ini, bersama-sama dengan potongan yang banyak dalam perbelanjaan  kebajikan, akan berlaku kenaikan kemiskinan relatif untuk kanak-kanak dan orang dewasa dalam usia bekerja sebanyak 800,000 orang dan peningkatan kemiskinan mutlak bagi kumpulan yang sama sebanyak 900,000 orang.
Bob Herbert dalam kolumnya dalam The New York Times pada awal Januari tahun ini mengkritik Pentadbiran Obama yang yang terlalu mesra dengan perniagan besr dan bank mega, yang boleh dikatakan kaya, yang sentiasa yang terus berkembang tidak kira apa yang berlaku terhadap ekonomi Amerika Syarikat. Sebaliknya, boleh dikatakan golongan miskin di negara itu tidak dipedulikan.  “Ahli politik dan media,” tulis Herbert, “berkelakuan seolah-olahnya golongan miskin tidak wujud.  Akan tetapi, dengan pekerjaan tidak munasabah masih kurang dan kemerosotan golongan kelas menengah, golongan miskin menjadi lebih signifikan dan merupakan segmen penduduk terdesak  yang meningkat.” Beliau cuba menarik perhatian akan kesukaran yang dihadapi oleh keluarga seramai empat orang dengan pendapatan tahan AS11,000 atau kurang. 
Beliau juga memaklumkan perbualannya dengan Peter Edelman, profesor  di Georgetown University Law Center dan pakar yang begitu lama tentang isu yang berkaitan dengan kemiskinan, yang menyatakan bahawa bilangan orang dalam kategori teruk secara tragik meningkat lebih 17 juta orang.  Mereka terdiri daripada golongan yang cuba hidup pada pendapatan separuh di bawah garis kemiskinan rasmi, iaitu AS$22,000 tahunan untuk keluarga seramai empat orang.  Profesor Edelman membahagikan golongan miskin kepada dua kategori: miskin baru, iaitu mereka yang hilang pekerjaan dan rumah dan  yang juga ditimpa bencana kemelesetan; dan miskin lama, iaitu mereka yang dalam banyak keadaan bekerja sebelum ini, kadangkala sekali-sekala atau kerja sementara yang pekerjaan yang upahnya tidak banyak.  
Di negara itu, hampir 44 juta orang yang dalam kemiskinan pada tahun 2009, iaitu lebih 14 peratus penduduk Amerika dan meningkat empat juta daripada tahun sebelumnya. “Sesiapa sahaja yang fikir keadaan lebih baik sekarang,” tegas Herbert, “adalah meracau.”  Lebih 15 juta orang kanak-kanak adalah miskin, iaitu seorang daripada lima orang kanak-kanak di Amerika Syarikat.  Lebih satu perempat adalah semua kulit hitam dan peratusan yang sama Hispanic adalah miskin.”

Boleh dikatakan bahawa kemiskinan merupakan fenomena global.  Krisis kewangan dan krisis ekonomi yang berlaku baru-baru ini mengheret sebilangan besar penduduk dalam kancah kemiskinan.  Memandangkan pertumbuhan yang dialami oleh negara kaya, seperti Amerika Syarikat masih lemah dan pengangguran yang masih tinggi di peringkat global, manakala Eropah pula masih bergelut dengan krisis hutang dan dunia Arab terus bergolak, maka  tidak mengejutkan bahawa kemiskinan terus  berleluasa.  Sebagaimana harapan yang tidak memberangsangkan terhadap pemulihan dan pertumbuhan serta peluang pekerjaan, demikian juga dengan usaha pengurangan kemiskinan.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Julai 2011.)


No comments:

Post a Comment