Pages

Thursday, May 2, 2013

Pertumbuhan Global: Gembira Berbaur Muram

KHAMIS, 2 Mei 2013
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH



Beberapa buah negara ekonomi utama dunia melaporkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama tahun 2013.  China mencatatkan pertumbuhan KDNK 7.7 peratus, kehilangan rentak tanpa dijangkakan, manakala United Kingdom berjaya mengelakkan kemelesetan ganda tiga apabila mencatatkan pertumbuhan 0.3 peratus untuk Januari - Mac tahun ini,  sesuatu yang tidak dijangkakan. Yang terbaharu, Amerika Syarikat, mencatatkan pertumbuhan ekonomi 2.5 peratus, di bawah jangkaan, iaitu tiga peratus, diselamatkan oleh penggunaan peribadi terhadap kereta dan barang-barang lain, yang dianggap suatu berita baik.

Sementara United Kingdom dapat menarik lega sedikit, meskipun data terbaharu itu dipersoalkan, manakala Eropah berdarah, dan Amerika Syarikat dan  China menimbulkan kebimbangan, memberikan isyarat yang tidak menyenangkan.  Bahkan, kejatuhan harga minyak dikaitkan dengan data pembuatan yang lemah di kedua-dua buah negara itu.  Secara keseluruhannya, dunia bergelut dengan  berita ekonomi yang cabuk.

Ekonomi Amerika Syarikat, yang menyaksikan kejatuhan sentimen pengguna pada bulan April,  hujah Neil Irwin, dalam kebekuan yang teruk.  Dengan kadar pertumbuhan 2.5 peratus itu, seperti yang dibahaskan oleh Jared Bernstein, maka jelas kelihatan kelemahan yang mendasarinya. Angka pertumbuhan Amerika Syarikat itu bukan sahaja mengecewakan, bahkan membayangkan kesengsaraan yang seterusnya.

Sementara China, meskipun masih mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang agak tinggi secara relatifnya, angka KDNK-nya merupakan masalah yang membingungkan, memetik Yueran Zhang dalam The Atlantic.  Memang wujud alasan kukuh untuk berasa bimbang terhadap kelembapan ekonomi negara  itu, hujah Michael Schuman.  Apabila China mencatatkan pertumbuhan di bawah jangkaan, nescaya dunia dirasuk kebimbangan kemungkinan terjebak dalam kemelesetan curam berganda.  

Tatkala ekonomi China mula lembap, harapan diletakkan pada India untuk mencatatkan pertumbuhan yang tinggi semula, hampir 10 peratus setahun pada 2010 - 2011.  Namun, dengan kadar pertumbuhan lima peratus sekarang, mampukah India melakukan keajaiban?


No comments:

Post a Comment