Pages

Monday, April 1, 2013

BRIC, BRICS, atau BIIC?

ISNIN, 1 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China)  sekali lagi menjadi tumpuan, seperti yang dapat dilihat dalam tulisan William Pesek dan   The Editors,  kedua-duanya dalam Bloomberg.

Oleh sebab sidang kemuncak BRIC kali ini berlangsung di Durban,  timbul persoalan mengapa kota itu dijadikan pilihan, sedangkan Afrika Selatan bukan anggota empat negara pasaran sedang muncul itu.  Tanggapan umum, seakan-akan BRIC bertukar menjadi BRICS (Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan).

Dalam hubungan ini, J.P.P. yang menulis dalam The Economist cuba menjelaskan kekeliruan yang berbangkit daripada hakikat bahawa Afrika Selatan menyelinap masuk ke dalam kumpulan, yang mendakwa mewakili pasaran muncul di dunia dan bertindak sebagai menyeimbangi  G8 dan G20 yang dikuasai oleh ekonomi dunia kaya. 

Wujud hanya satu masalah dengan BRICs, tegas J.P.P., iaitu tidak ada negara Afrika yang tergolong.  Hal ini agak memalukan.  "Mengabaikan Afrika," tulis beliau, "menunjukkan benua itu tidak relevan dari segi ekonomi, hanya baik dari segi menyediakan bahan mentah untuk benua lain.  Hal ini juga menimbulkan keraguan terhadap dakwaan kumpulan itu untuk bercakap bagi dunia sedang muncul."  Dua buah negara Afrika mungkin merupakan calon, jelas beliau, iaitu Nigeria dan Afrika Selatan.  Akan tetapi, hanya sebuah yang memastikan akronim tidak berubah.  Dan oleh itu, pada tahun 2010, kelab BRICs menjadi BRICS.

Dalam pada itu, Graham Allison berhujah bahawa China tidak tergolong dalam BRICS kerana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)  China jauh lebih tinggi daripada negara lain dalam kumpulan itu.  Pada tahun 2001, KDNK China sama dengan KDNK semua RIBS (Rusia, India, Brazil, dan Afrika Selatan) yang digabungkan.  Dalam masa lima tahun sejak krisis kewangan global,  hujah Allison, hanya kenaikan pertumbuhan ekonomi China lebih besar daripada Rusia dan India yang digabungkan.  "Sesungguhnya, dalam separuh dekad sejak krisis kewangan, 40 peratus semua pertumbuhan dalam ekonomi global berlaku di China.

Tahun lalu, jelas Allison, ekonomi China berkembang sebanyak AS$1 trilion; Rusia dan India tumbuh sebanyak AS$100 bilion; Brazil dan Afrika Selatan menguncup.  Pada tahun 2001, China menduduki tangga keenam dalam kalangan ekonomi dunia.  Hari ini, negara itu menduduki tangga kedua, dan dalam laluan untuk mengatasi Amerika Syarikat dan menjadi ekonomi terbesar dunia pada dekad akan datang.

Bukan setakat BRICs menjadi BRICS, tetapi juga menjadi BIIC, iaitu memasukkan Indonesia dan menggugurkan Rusia. Kemasukan Indonesia dalam BRIC pernah dibahaskan oleh Fareed Zakaria pada tahun lalu, tetapi beliau menggugurkan India. Nampaknya, kedudukan India dan Rusia dalam BRIC dipersoalkan, manakala Indonesia pula mempunyai potensi untuk menganggotai akronim  yang diperkenalkan oleh Goldman Sachs. 



No comments:

Post a Comment