Pages

Saturday, March 2, 2013

Republik Pisang

SABTU, 2 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Selepas  lebih enam bulan tumbangnya  Lehman Brothers,  Simon Johnson menulis sebuah makalah yang   dipetik secara meluas,   “The Quiet Coup” dalam The Atlantic.  Bekas ketua ahli ekonomi Tabung Kewangan  Antarabangsa (IMF) itu antaranya menyebut bahawa krisis yang berlaku mendedahkan banyak kebenaran yang tidak menyenangkan tentang  Amerika Syarikat.  Satu daripada yang paling membimbangkan adalah bahawa industri kewangan secara berkesan menawan kerajaan, sesuatu  yang sangat  lazim untuk  menjelaskan keadaan pasaran sedang muncul, dan tumpuan perhatian   terhadap   banyak  krisis pasaran  sedang muncul.  Hujah beliau, “pemulihan akan menemui kegagalan, kecuali kita memecahkan oligarki kewangan yang menghalang pembaharuan penting.  Dan jika kita ingin mencegah kemelesetan sebenar,  kita sudah kesuntukan masa.”
            Antara  yang menjadi sasaran kritikan    Johnson  ialah    keunikan Amerika yang bukan sahaja sebagai negara yang paling maju di dunia dari segi   ekonomi,  ketenteraan, dan teknologi,  tetapi juga mempunyai oligarki yang paling maju.  Industri kewangan Amerika memperoleh kuasa politik dengan menghimpunkan jenis budaya modal, iaitu sistem kepercayaan: pernah berlaku, apakah yang baik untuk General Motors adalah baik untuk negara.  Sepanjang dekad lalu, wujud  sikap yang beranggapan  bahawa apakah yang baik untuk Wall Street adalah baik untuk negara.  Beliau menyebut wujud koridor di antara Wall Street dengan Washington: Satu saluran pengaruh, iaitu aliran individu tertentu. 
            Tanpa  berselindung,  Simon Johnson  mengatakan bahawa Amerika menjadi republik pisang:  krisis ekonomi dan kewangan yang lazimnya melanda pasaran sedang muncul, kini melanda  Amerika.  Sebagaimana dalam krisis pasaran sedang muncul, kelemahan sistem perbankan dengan cepat merebak ke dalam bahagian ekonomi, menyebabkan penguncupan yang ekonomi yang teruk dan kesangsaraan kepada berjuta-juta orang.
“Akan tetapi, kesamaan yang lebih dalam dan  lebih membangkitkan rasa terganggu,” tulis beliau, “kepentingan elit perniagaan, iaitu  pembiaya dalam kes Amerika Syarikat, memainkan peranan penting dalam mencetuskan krisis, menjadikan risiko semakin besar, dengan sokongan implisit  kerajaan, hingga keruntuhan tidak dapat dielakkan.”  Peluang untuk sektor kewangan yang semakin bertambah sejak 25 tahun, menjadikan sektor ini semakin berkuasa.  Kekayaan yang sangat banyak  yang dicipta dan tertumpu dalam  sektor kewangan, memberikan kekuatan politik yang sangat besar kepada para banker.
Terhumbannya Amerika ke dalam republik pisang tidak terhenti setakat  Simon Johnson, meskipun negara itu mula keluar daripada kemelesetan yang teruk.  Pada awal November lalu, Nicholas D. Kristof yang muncul dalam kolumnya The New York Times, “Our Banana Republic,”    menulis: “Ketika membuat pemberitaan, saya secara tetap bepergian ke republik pisang yang terkenal dengan ketidaksamaan.  Di sesetengah negara yang diperintah oleh hartawan ini, golongan terkaya yang terdiri satu peratus daripada jumlah penduduk menguasai dengan rakus  20 peratus kekayaan negara.”  Seterusnya,  Kristof menarik perhatian dengan berkata, “Anda tidak perlu bepergian ke negara yang jauh dan bahaya untuk memerhatikan ketidaksamaan yang serakah tersebut.  Kita boleh melihatnya di negara kita sendiri, dan akibat pilihan raya hari Selasa (Pilihan Raya Separuh Penggal 2010), keadaan mungkin semakin teruk.” 
Salah satu ciri  republik pisang, seperti yang dibahaskan oleh Kristof,  ialah  ketidaksamaan pendapatan.  Satu  peratus golongan terkaya di Amerika kini menguasai hampir 24 peratus pendapatan, meningkat daripada hampir sembilan peratus pada tahun 1976.  Kristof memetik Timothy Noah yang menulis dalam majalah Slate yang menyatakan dalam siri keunggulan tentang ketidaksamaan, Amerika  Syarikat kini boleh dibahaskan mempunyai agihan kekayaan yang tidak seimbang berbanding dengan republiks pisang tradisional, seperti Nicaragua, Venezuela, dan Guyana.
Kristof juga memetik kertas kerja yang mempesonakan yang ditulis oleh Robert H. Frank dari Cornell University, Adam Seth Levine  dari  Vanderbilt University,  dan  Oege Dijk  dari the European University Institute yang menunjukkan bahawa ketidaksamaan boleh mendorong kepada penderitaan kewangan yang lebih teruk.  Ketiga-tiga penulis itu meneliti data banci untuk 50 buah negeri dan 100 buah wilayah yang mempunyai penduduk paling ramai di Amerika, dan mendapati bahawa tempat yang wujud ketidaksamaan yang semakin meningkat paling tinggi juga menanggung pertambahan yang besar dalam kebankrapan:  Apabila ketidaksamaan meningkat,  golongan paling kaya melonggokkan kekayaan mereka dan bahkan membeli rumah agam yang besar dan kereta mahal.  Golongan yang hidup pada takuk bawah cuba berlumba-lumba dengan mereka, dan berkesudahan dengan kemerosotan simpanan golongan berkenaan atau banyak berhutang, menyebabkan krisis kewangan satu kemungkin besar.  
Akibat lain yang diketengahkan oleh ketiga-tiga penulis itu ialah ketidaksamaan yang meningkat juga boleh membawa lebih perceraian, sebagai kesan sampingan penderitaan kewangan.  Mengakui dengan membangkitkan perceraian, beliau nampaknya  terlalu sentimental atau romantik, tetapi hujah Kristof mengingatkan bahawa ketidaksamaan bukan sekadar isu ekonomi, tetapi juga persoalan martabat dan kebahagiaan manusia. 
Memang tidak memeranjatkan  bahawa ketidaksamaan berleluasa di Amerika kerana selain mengalami kemelesetan yang teruk dan kadar pengganguran yang tinggi, kira-kira 9.6 peratus, negara itu juga dilaporkan mengalami kadar kemiskinan yang tinggi.  Pada September lalu, US Census Bureau dalam laporan terkininya memaklumkan bahawa pada tahun 2009, 50.7 juta penduduk negara itu tidak mempunyai insurans kesihatan, meningkat daripada 46.3 juta orang pada tahun 2008. Akibat kemelesetan, laporan itu menyatakan bahawa orang ramai yang hidup dalam kemiskinan pada tahun 2009 meningkat kepada hampir 43.6 juta orang, berbanding dengan 39.8 juta  orang pada tahun 2008.  Peratusan orang yang hidup dalam kemiskinan  juga meningkat, iaitu kepada 14.3 peratus pada tahun 2009, suatu kadar yang tertinggi sejak 1994.  Kemiskinan di Amerika ditakrifkan pendapatan tunai pracukai kira-kira AS$22,000 untuk keluarga yang  seramai  empat orang.  Jumlah penduduk miskin yang tinggi itu dikatakan lebih 14 peratus daripada jumlah penduduk, atau satu daripada tujuh orang penduduk  terpaksa hidup  dalam  kemiskinan.
Tulisan Kristof  itu mengundang pelbagai respons:  Benarkah Amerika Syarikat  republik pisang?  Bernardo Álvarez Herrera, Duta Besar Venezuela di Washington seakan-akan cuba memberikan mesej yang jelas kepada Kristof:  “Anda bebas mengatakan apa-apa sahaja tentang negara anda, tetapi jangan libatkan negara kami.”   Seperti dalam suratnya kepada The New York Times,   selain masalah menggunakan istilah yang menjatuhkan maruah, tegas Herrera, makalah  itu tidak menyebut republik pisang ialah satu yang rapat dengan imperialisme asing, dan oleh itu, Venezuela tidak layak disebut  begitu.  Duta besar itu berkata republik pisang, “dicipta untuk merujuk kepada negara kecil yang terlalu bergantung pada barang pertanian, diperintah oleh elit yang kecil dan tidak bertanggungjawab dan biasanya, memperhambakan diri kepada kepentingan korporat Amerika.”  Sedangkan, Venezuela lebih banyak bergantung  pada minyak berbanding dengan barang pertanian, dan negara itu merupakan demokrasi bersemangat dan bertenaga, tidak seperti  banyak negara “republik pisang” tradisional yang mungkin difikirkan oleh Kristof.
Herrera dalam menafikan negaranya republik pisang, menjelaskan bahawa tentang isu ketidaksamaan, Venezuela boleh membuktikan sebagai contoh kepada Amerika Syarikat.  Sepanjang dekad lalu, program sosial yang dimulakan oleh Presiden Hugo Chavez  memperkenalkan perkhidmatan yang diperlukan, seperti pendidikan dan kesihatan kepada sektor penduduk yang terabai. Melampaui kejatuhan dramatik dalam kemiskinan daripada 49 peratus kepada 27 peratus dari tahun 1999 ke 2008,  Venezuela juga, tegas Herrera, “kelihatan membasmi ketidaksamaan, tertinggi dari segi pengurangan ketidaksamaan dalam kalangan 12 buah negara jiran di rantau itu.”
Oleh sebab Nicholas Kristof merujuk kepada  Timothy Noah untuk menunjukkan  Amerika kini menjadi  republik  pisang, maka wajar  jika   kita juga meneliti makalah berkenaan.  Noah yang menulis dalam majalah Slate September lalu, “The Great Divergence”  menyatakan tujuannya adalah untuk melihat sama ada kaum, gender, atau keruntuhan keluarga asas mempengaruhi ketidaksamaan pendapatan.  Kemudian, beliau mengkaji penghijarahan, ledakan teknologi, dasar  kerajaan persekutuan, kemerosotan kesatuan sekerja, perdagangan antarabangsa, sama ada kekayaan keterlaluan dipersalahkan, dan apakah peranan yang dimainkan oleh kemerosotan pendidikan K-12.  Dalam kesimpulannya, Noah menjelaskan mengapa Amerika tidak boleh mengabaikan ketidaksamaan pendapatan.
Noah memulakan penulisannya dengan merujuk The Wealth and Income of the People of the United States yang ditulis oleh Willford I. King pada tahun 1915, sebuah kajian paling tuntas tentang persoalan itu hingga kini.  Amerika Syarikat ketika itu menggantikan Great Britain sebagai negara terkaya di dunia,  King benar-benar susah hati  menemui satu peratus penduduk negara itu memiliki kira-kira 15 pendapatan negara. Kini, satu  peratus golongan terkaya menguasai 24 peratus pendapatan negara.  Selepas “Great Compression” yang bermula pada pertengahan abad ke-20 berakhir pada tahun 1970-an, upah menjadi beku, inflasi marak, dan pada akhir dekad berkenaan, ketidaksamaan pendapatan mula meningkat.  Ketidaksamaan pendapatan meningkat sepanjang 1980-an, reda sekejap pada akhir 1990-an, dan kemudilan, meningkat semula dengan membalas dendam apa-apa sahaja. 
Noah memaklumkan  bahawa Paul Krugman, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi pernah memberitahu beliau meskipun pada amnya difahami bahawa Amerika hidup pada masa ketidaksamaan pendapatan yang sedang meningkat, tetapi “orang biasa tidak benar-benar menyedari  betapa besarnya masalah ini.”  Ketika akhir tahun 1980-an dan akhir 1990-an, Amerika Syarikat mengalami dua tempoh panjang yang tidak pernah berlaku dari segi pertumbuhan ekonomi mampan.  Namun begitu, dari 1980 hingga 2005, lebih 80 peratus jumlah peningkatan dalam pendapatan Amerika dikuasai oleh golongan satu peratus teratas.
Sepanjang hidup saya, saya dengar Amerika Latin disebut sebagai masyarakat yang gagal (atau kumpulan masyarakat yang gagal) kerana agihan kekayaan yang terlalu tidak seimbang. Petani menyelongkar beg untuk mencari makanan di luar pagar tinggi vila mewah, dan sebagainya. Kata Noah.  “Namun begitu,  menurut Central Intelligence Agency (CIA), agihan pendapatan di Amerika Syarikat lebih tidak seimbang daripada Guyana, Nicaragua, dan Venezuela, dan kira-kira setara dengan Uruguay, Argentina, dan Ecuador.” Beliau meneruskannya:  “Ketidaksamaan pendapatan sebenarnya merosot di Amerika Latin, sedangkan di Amerika Syarikat, ketidaksamaan pendapatan terus melebar.  Bercakap dari segi ekonomi, negara terkaya di dunia mula menyamai republik pisang.  Perbezaan utama adalah bahawa   Amerika Syarikat cukup kuat untuk mengekalkan jarak geografi antara penghuni vila dengan pengemis.”  
Pada penghujung  makalah itu, Timothy Noah meluahkan perasaannya:  “Saya tidak berhasrat hidup di republik pisang.  Wujud alasan mengapa, dalam tahun-tahun yang sudah berlalu, Amerika mencemuh masyarakat yang dibahagikan secara ketara ke dalam masyarakat yang mempunyai hak  istimewa dan masyarakat papa kedana.”
Memang  tidak tepat untuk mengatakan bahawa Nicholas Kristof dan Timothy Noah mempelopori  penggunaan  ketidaksamaan pendapatan  sebagai ciri  republik pisang kerana pada tahun 2002, Gregory A. Petsko menulis “Banana Republic” dalam Genome Biology.   “Apa yang anda sebut negara yang 13,000 keluarga terkaya menguasai pendapatan setanding 20 juta keluarga termiskin?  Satu daripadanya apabila  13,000 keluarga terkaya yang sama mempunyai pendapatan 300 kali pendapatan keluarga purata?  Dan apabila satu peratus keluarga terkaya menerima 16 peratus daripada jumlah pracukai dalam negara, iaitu peratusan seperti yang diterima oleh keseluruhan 40 peratus  golongan  bawahan penduduk?”  Petsko mengemukakan pertanyaan secara provokatif dan menjawabnya: “Sesetengahnya mungkin menyebut negara itu republik pisang.  Saya menyebutnya Amerika Syarikat.” 
Sebagaimana Noah, Petsko juga merujuk kepada Paul Krugman yang membahaskan bahawa ketika 20 - 30 tahun lalu, jurang pendapatan antara golongan kaya dengan golongan lain dalam masyarakat di  Amerika Syarikat begitu lebar kerana dasar ekonomi kini semakin memenuhi keperluan kepentingan golongan elit, manakala perkhidmatan awam, seperti pendidikan awam untuk golongan lain kehausan sumber.  Di  bandar-bandar besar di negara itu masyarakat terbahagi kepada dua golongan, yang sangat kaya dan yang miskin.  Di pusat bandar,  golongan kelas menengah lenyap sebagaimana kelas menengah itu sendiri.  Amerika Syarikat terkenal dengan masyarakat kelas menengah, namun ketidaksetaraan pendapatan yang meningkat terlalu tinggi dalam dekad baru-baru ini bahawa kini kedua-dua sistem ekonomi dan politik dipacu bukan oleh keperluan kelas menengah, tetapi oleh keperluan  golongan kaya.
Petsko juga memetik amaran Krugman bahawa “Amerika  ‘mungkin menjadi negara yang ganjaran besar diperuntukkan bagi golongan yang mempunyai hubungan yang betul; yang orang biasa melihat sedikit harapan untuk maju; yang penglibatan politik tidak berguna, kerana akhirnya kepentingan golongan elit selalunya dilayan dan diutamakan.’  Ringkasnya, republik pisang.” 
Tidak bersetuju dengan  takrif  umum tentang republik pisang, iaitu “negara kecil, khususnya di Amerika Tengah, yang tidak stabil dari segi politik dan ekonominya dikuasai oleh kepentingan asing, biasanya bergantung pada satu eksport, seperti pisang,”   Petsko  membahaskan  “republik pisang, dalam kata lain, negara yang peratusan yang paling kecil daripada jumlah penduduk mempunyai bahagian yang besar kekayaan dan kuasa.”
Pada 20 Oktober 2002,  Paul Krugman menulis dalam  The New York Times Magazine,   “For Richer: How the Permissive Capitalism  of the Boom Destroyed American Equality."   Makalah yang dipetik dengan meluas itu merangkumi kelenyapan kelas menengah, Zaman Kaya Raya baru, punca kemusnahan New Deal, harga ketidaksamaan, ketidaksamaan dan politik, dan pemerintahan hartawan atau plutokrasi.  Krugman menulis dengan penuh nostalgik tentang kewujudan kelas menengah pada zaman remaja beliau yang  kini menjadi milik negara lain.  Amerika pada tahun 1950-an dan 1960-an ialah masyarakat kelas menengah.  Tulis Krugman.  “Kedua-duanya, iaitu dari segi realiti dan dirasai.  Ketidaksamaan pendapatan dan kekayaan yang besar pada Zaman Kaya Raya telah lenyap.” Tambah beliau, “Kita kini hidup dalam zaman Kaya Raya baru, berpesta-pestaan seperti dahulu.”
Bagi Krugman, seseorang itu tidak dapat memahami apakah yang berlaku di Amerika hari tanpa memahami takat, sebab dan akibat peningkatan yang besar dalam ketidaksamaan yang berlaku sejak tiga dekad lalu, dan secara khusus, penumpuan pendapatan dan kekayaan yang menghairankan dalam hanya  sebilangan  tangan.  Sejak tahun 1970-an, jurang pendapatan melebar dengan pesat.  Tulis beliau, “pemenang terbesar ialah golongan yang sangat, sangat kaya.”  Walau bagaimanpun, Krugman dalam makalahnya itu tidak menyebut republik pisang, meskipun beliau mendedahkan betapa  buruknya ketidaksamaan agihan pendapatan yang pada hakikatnya sukar dibendung lagi.
Setelah mengikuti  bagaimana  Amerika Syarikat terhumban ke dalam republik pisang, pastinya pertanyaan yang terbayang ialah bagaimana pula dengan negara lain, termasuk   negara kita, Malaysia? Jika kekayaan terus dibolot oleh segelintir golongan dan  ketidaksamaan  pendapatan  terus melebar,  jawapannya jelas, iaitu mengalami nasib seperti Amerika. 
Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang bertemakan “Rancangan Kemakmuran Ekonomi dan Keadilan Sosial,”  sesungguhnya, dapat membendung negara ini daripada terhumban ke dalam republik pisang. Dalam pembentangan (RMK-10) itu, Perdana Menteri,  Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak memaklumkan pelaksanaan program pembasmian kemiskinan untuk golongan sasar pula telah berjaya mengurangkan kadarnya kepada 3.8 peratus tahun 2009, berbanding 5.7 peratus tahun 2005. Peratusan miskin tegar juga telah menurun daripada 1.2 peratus kepada 0.7 peratus dalam tempoh yang sama.
“Teras Strategik Ketiga: Pembangunan Sosioekonomi Secara Inklusif” menyatakan  keterangkuman merupakan prasyarat bagi memastikan setiap rakyat dapat menikmati kemakmuran hasil pembangunan negara. Pendekatan ini akan menjamin keadilan sosial kepada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan dan tidak akan ada sesiapa pun yang berasa terpinggir.
Kerajaan juga  menyedari tanggungjawab dan komitmen daripada  kuasa politik yang diberikan oleh rakyat terhadap matlamat keadilan sosial. Kerajaan bertekad akan memperhebat dasar yang mengutamakan keadilan sosial. RMK-10  ini juga akan memberi fokus kepada usaha meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah dengan  bumiputera merupakan bilangan terbesar, iaitu 73 peratus daripada 2.4 juta isi rumah dalam kumpulan ini.  Fokus khusus akan diberi kepada golongan terpinggir yang tinggal di kawasan pedalaman, terutamanya yang mendiami di rumah panjang di Sabah dan Sarawak, serta Orang Asli dan pekerja di estet di Semenanjung Malaysia.
Negara yang terkaya di dunia, kini terjebak dalam republik pisang.  Adakah negara yang bercita-cita mencapai taraf negara maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2020  mampu mengelak?
        (Nota:  Tulisa asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Januari 2011.)




No comments:

Post a Comment