Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Melihat keluaran akhir tahun beberapa majalah berita, seperti Time dengan “Person of the Year” dengan kulit depan terpampang gambar Mark
Zuckerberg, dan sebelum ini dengan liputan “Special Timeframes Issue: What
Really Happened 2000-2010, dan Newsweek dengan “Special Edition-Issues
2011: The Key to Power,” sesungguhnya,
mengundang persoalan bagaimana jika masyarakat hidup tanpa majalah. Sesuatu yang
dapat dipelajari daripada keluaran
berkenaan ialah majalah
mengajak masyarakat merenung masa lalu, melihat masa kini, dan meninjau masa hadapan. Majalah terus memainkan
salah satu peranan utamanya, iaitu merangsangkan minda pembaca.
Dari segi ekonomi,
dekad pertama ini dikatakan
bermula dengan pecah dan berakhir dengan pecah yang lebih besar. Antara kedua-duanya ialah ledakan yang tidak mapan. Bank-bank terpaksa
merendah diri. Ahli ekonomi didapati
mempunyai kekurangan. Kuasa geopolitik
beranjak dari Barat ke Timur. Bagi sesetengah orang, 10
tahun yang berlalu ialah dekad yang muram, atau dekad yang hilang, atau
dekad kacau-bilau, khususnya dengan merujuk kepada keganasan dan krisis ekonomi
semasa.
Namun, banyak peristiwa tenggelam dalam arus masa
kerana manusia lazimnya mempunyai memori yang pendek. Tanpa diberitahu oleh Time mungkin banyak orang tidak menyedari betapa pantasnya masa
beredar. Jauh sekali untuk mengingati
bermacam-macam peristiwa yang berlaku dalam dekad pertama abad ke-21. Richard Stengel, Editor Urusan majalah
berkenaan melakukan pemerhatian yang tepat:
“Dalam dunia kita yang berangkai, tidak ada sesuatu yang dibiarkan berlaku
begitu sahaja, tetapi tidak ada yang kelihatan dapat bertahan lama.”
Dalam kolum “To Our Readers,” Stengel menjelaskan bahawa keluaran pertama
untuk Timeframe mengambil
pandangan yang lebih jauh. “Pada akhir
dekad yang luar biasa ini, kami meninjau
semula cerita utama dalam masa 10 tahun lalu dan kami menulis apakah perkara
yang telah kami pelajari.” Beliau
mengakui bahawa masa lalu tidak pernah
menjadi prolog yang sempurna, dan kita terus melakukan kesilapan bukan kerana
kita lupa masa lalu, tetapi kerana kita hanya manusia biasa. Hakikat ini tidak pernah berubah.
Keluaran yang merangkumi
politik, sains, budaya, dan masyarakat,
memaparkan banyak peristiwa yang
berlaku yang ingin dipersegarkan dan dicergaskan semula yang kebanyakannya terlepas pandang oleh masyarakat umum, bahkan
oleh media lain. Pastinya, yang tidak
kurang menarik ialah pemerhatian bekas
Presiden Amerika, Bill Clinton tentang
Pilihan Raya Presiden tahun 2000 yang menyaksikan negara berbelah bahagi. Clinton dalam tulisannya mengemukakan
kesimpulan tentang rakyat negaranya, yang boleh dijadikan iktibar oleh sesiapa
sahaja, termasuk masyarakat Malaysia. “Orang ramai memandang mudah bahawa tidak ada
apa-apa yang buruk berlaku yang merupakan kemewahan hidup di bumi yang benar-benar bertuah. Menjangkakan hanya perkara baik secara berlebih-lebihan. Akibat kegagalan bersiap sedia untuk
menghadapi kesusahan, rakyat Amerika kedua-duanya, iaitu menggalakkan kesusahan dan meletakkan diri
mereka dalam keadaan tidak bersedia apabila kesusahan berlaku.”
“Person of the
Year” majalah Time menjadi daya tarikan bukan sekadar kerana menampilkan Mark Zuckerberg pengasas Facebook, Tea
Party, Julian Assange pengasas WikiLeaks, Presiden Hamid Karzai, dan 33 orang pelombong Chile yang
terperangkap hampir tiga bulan dan akhir selamat, tetapi
juga kerana pandangan dunia Fareed Zakaria yang mengisytiharkan Tahun
Mikroterorisme. Teknologi yang
mencetuskan anjakan kuasa yang berbahaya.
Dan, banyak yang lagi akan muncul.
Walaupun kebanyakan orang sedar bahawa
bermacam-macam ancaman di
sekeliling mereka, namun tidak banyak yang dapat mengungkapkannya secara
berkesan, bahkan mungkin tidak banyak menganggapnya secara serius.
Fareed yang berpindah dari Newsweek,
melahirkan pemerhatiannya untuk tahun 2010:
“Ini merupakan tahun yang diwarnai oleh ekonomi, iaitu pemulihan yang
lembap, krisis di Eropah, pakej rangsangan, potongan cukai, dan debat
belanjawan. Dasar luar dijadikan kurang
berita.” Justeru, beliau sedar bahawa
mungkin kedengaran aneh untuk menyebut tahun ini ialah tahun keganasan. Akan tetapi, inilah hakikatnya.”
Pendemokrasian teknologi, akses, maklumat, dan semua
perkara baik, Fareed mengingatkan, juga
tidak boleh disekat membawa kepada pendemokrasian keganasan. Tanpa peringatan seperti itu mungkin tidak
banyak orang sedar bahaya mikroterorisme
yang menunggangi kuasa yang sangat kuat yang sedang melanda dunia, iaitu
pendemokrasian teknologi. “Di mana-mana
sahaja kita lihat,” tulis beliau, “kuasa beranjak daripada institusi besar kepada individu yang
bermotivasi.”
Fareed Zakaria
sebenarnya memperkukuhkan lagi jangkaan yang wujud sebelum ini bahawa bahagian pertama abad ke-21, jauh lebih sukar,
lebih goyah, tetapi lebih terbuka jika dibandingkan dengan apa-apa yang
diketahui pada abad ke-20. Dunia sedang
menghadapi zaman peralihan, dan tidak
dapat dipastikan, sama ada peralihan ini
untuk lebih baik ataupun lebih teruk.
Seperti
setiap akhir tahun, Newsweek kali ini
muncul dengan “Special Edition-Issues 2011,” dengan
tiga tumpuan utama, iaitu negara, syarikat dan pasaran, dan pengguna, mengemukakan “persoalan kritikal untuk tahun
akan datang ialah mampukah anda menangani hutang anda.” Sebagaimana lazim, keluaran kali ini turut membariskan penyumbang
yang terkenal, seperti Jacques Attali, Mohamed El-Erian, Arminio Fraga, Joseph
Fuller, Kishore Mahbubani, Shayne McGuire, Stephen Roach, dan Joseph Stiglitz, mendedahkan sesuatu yang menakutkan yang boleh
menjadikan sesiapa sahaja, termasuk negara
jatuh muflis, iaitu beban
hutang. Membaca halaman demi halaman majalah ini, seperti membaca sebuah buku yang terserlah dengan analitis serta kedalaman penulisan. Dari
halaman pertama “Issues 2011: To Our Readers” yang ditulis oleh Sidney Harman
dan Klaus Schwab ke halaman akhir, “The West and the Tyranny of Public Debt”
oleh Jacques Attali, para pembaca dapat merasakan kepaduan antara makalah, dan
mereka bagaikan berpaut pada satu rantaian yang bertaut kukuh lagi padu. Di
sini memperlihatkan betapa pentingnya konsep yang jelas bukan sahaja untuk
sesebuah majalah, tetapi untuk sesuatu keluaran, lebih-lebih lagi untuk edisi
khas.
Jangan
lupa juga akan “Special Issue” Fortune
pada setiap akhir tahun yang sentiasa
dinanti-nantikan oleh para pelabur, iaitu bimbingan pelabur. Majalah ini muncul dengan “Investor’s Guide
2011” yang memberikan tumpuan pada 10
saham terbaik untuk 2011, sesi strategi, demam emas, minda mega Miami, bahaya
bon, dan saham untuk planet yang bersih.
Pada
halaman awal majalah ini, pastinya para
pembaca akan tertarik dengan iklan Magazines: The Power of Print yang dengan bangga menyatakan kelebihan
majalah yang mudah dibawa ke mana-mana
sahaja. “Mungkin itu menjelaskan mengapa
pembaca majalah sebenarnya bertambah jika dibandingkan dengan lima tahun
lalu. Dua puluh lima majalah teratas
terus-menerus menjangkau khalayak yang luas jika dibandingkan dengan 25
pertunjukan televisyen waktu
perdana. Dan meskipun berlaku perang
yang semakin sengit untuk bola mata pengguna, para pembaca menghabiskan secara
purata 43 minit untuk setiap keluaran majalah.”
Iklan ini juga menjelaskan mengapa majalah terus-menerus menjadi daya
tarikan dan mengapa sembilan daripada 10 orang dewasa Amerika memilih untuk
menghabiskan banyak masa dengan medium analog tanpa berasa malu dan segan: “Orang ramai pada setiap peringkat umur,
mencintai pengalaman membaca majalah, meskipun apabila kandungan yang sama
dapat diperoleh dalam talian.”
Sejak
dua tahun kebelakangan ini, terutamanya akibat krisis ekonomi, penerbitan akhbar kelihatan muram. Di Amerika, banyak akhbar jatuh muflis,
terpaksa ditutup, atau beralih daripada
percetakan kepada Internet. Majalah juga
mengalami nasib yang sama kerana sebahagian pendapatan bergantung pada iklan
yang bergantung pada pasang surut ekonomi.
Pada akhir Ogos 2009, syarikat
induk Reader’s Digest, iaitu The
Reader’s Digest Association, Inc. (RDA), mengumumkan bahawa mereka memfailkan kebangkrapan
di mahkamah supaya dapat terus beroperasi dan menyusun semula hutang bernilai
AS$2.2 bilion.
Kira-kira
empat bulan sebelum itu, Portfolio
Magazine yang bercita-cita tinggi, teguh pendanaan, majalah perniagaan yang
dilancarkan pada tahun 2007, terpaksa ditutup menandakan satu lagi malapetaka
industri percetakan, dan majalah juga
bernasib malang. Maka, diisytiharkan bahawa dalam ekonomi baru, periklanan
merosot, percetakan adalah “berakhir,” dan penulis blog bebas mampu
mengeluarkan bahan bacaan dengan lebih pantas dan lebih cekap berbanding dengan
laman web besar majalah.
Berikutan
penutupan itu, Jeff Jarvis, pengasas
majalah Entertainment Weekly yang menelan kos
yang memeranjatkan, iaitu AS$200 juta
sebelum menghasilkan keuntungan, menulis dalam The Guardian bahawa tidak
ada orang yang ingin melabur wang
sejumlah itu lagi untuk menerbitkan majalah.
Masalahnya, tegas beliau, “meskipun majalah merupakan kumpulan
orang ramai yang meminati perkara yang
sama, iaitu sebagai platform komuniti, tetapi majalah tidak boleh berhenti
daripada memikirkan dirinya sebagai kandungan. Majalah bukan komuniti.” Walaupun Jarvis tidak mengatakan bahawa majalah mula mengalami
nasib seperti akhbar, tetapi banyak majalah bersedia untuk mati. Tidak ada orang yang ingin majalah baru. Apabila
majalah lemah mati, tidak ada
majalah baru yang menggantikannya.
Pada tahun lalu, Newsweek yang pada tahun 2009 menanggung kerugian AS$30 juta, berpindah tangan daripada Washington Post Company kepada Sidney Harman, dengan harga AS$1. Sejak
penjualan itu, majalah yang berusia 77 tahun itu ditinggalkan beramai-ramai oleh editor dan
pemberita. Harman kemudiannya bergabung dengan majalah dalam
talian, The Daily Beast, milik Tina Brown, dan sekali lagi menarik perhatian pelbagai pihak yang terlibat dalam
dunia media atau permajalahan.
David Brooks yang muncul
dengan “Weekness and Endurance” dalam kolumnya dalam akhbar The New York Times pada pertengahan November, mengkritik beberapa komen
pesimistik tentang
penggabungan itu. Bagi beliau, komen tersebut memandang rendah bagaimana banyak budaya
Amerika mengalami perubahan sekarang dan
bagaimana perubahan ini akan membuka peluang baru untuk Newsweek dan majalah bercetak lain yang serupa dengannya yang telah lama memaparkan minat umum. “Majalah-majalah ini,” tulis Brooks, “tidak
berkembang maju dalam banyak dekad tanpa sebarang sebab. Majalah berkenaan mencungkil sedalam-dalamnya
budaya Amerika.” Beliau meninjau
perkembangan majalah di Amerika dengan begitu jauh dengan membahaskan bahawa
untuk melawan materialisme comot dalam budaya Amerika, maka adalah perlu untuk
mengetahui benar-benar falsafah, teologi, dan peristiwa politik besar dunia
yang lebih luas.
Etos ini, bahas Brooks, membentuk media berita
Amerika lebih satu abad. Keluarga miskin
bersusah payah mengeluarkan bersama-sama wang mereka untuk membeli ensiklopedia, untuk
menyertai Book of the Month Club, untuk membeli siri Civilization Will
dan Ariel Durant atau Buku Agung Robert
Maynard Hutchins. Majalah, seperti Harper’s,
Saturday Review, Time, dan Newsweek, tambah Brooks “muncul untuk
memuaskan arus aspirasi ini. Untuk
beberapa dekad, Time dan Newsweek memperuntukkan banyak ruang untuk opera dan
seni dan teologi berbanding dengan Hollywood atau kesihatan.” Beliau menegaskan bahawa majalah berkenaan
menyediakan pengetahuan dan membangkitkan sejuta imaginasi, tetapi mengingatkan bahawa “sebagaimana dalam
politik, dalam perniagaan media, adalah penting untuk mengetahui apakah tahunnya
yang sebenar. Tahun 2010, bukan 1998
atau 1986. Wujud keseriusan yang
mencemaskan yang sedang bergelora, menunggu saluran keluar.”
Banyak perkara yang diperkatakan tentang majalah,
dan sebagaimana akhbar, majalah juga terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran demi
memastikan kelangsungannya. Majalah datang dan pergi, muncul dan
menghilang. Tidak kurang pula yang mampu
bertahan berdekad-dekad, bahkan menjangkau abad. Bagi
perniagaan majalah, tahun 2011 perlu diperhatikan kerana antaranya untuk
menjawab persoalan yang berpanjangan tentang keteguhan kewangan industri ini.
Pastinya, seseorang akan merasakan detik-detik
kesunyiaan sekiranya tanpa majalah yang mudah dibawa ke pantai, ke kafe, atau
ke atas katil. Sukar untuk dibayangkan bagaimana pendapat
awam dibentuk, dasar nasional digubal, budaya dimekarkan, dan peradaban dibina
sekiranya majalah dalam paras wajah yang
kita kenali kini akhirnya tidak
kelihatan lagi. Sekiranya majalah
akhirnya hilang, bukan sahaja para
pembaca yang merasai kehilangannya, bahkan
buku akan kehilangan “pasangannya.”
Keluaran akhir tahun beberapa majalah, sesungguhnya
menyuntik kesegaran terhadap dunia permajalahan. Tentang masa hadapannya.
Tentang kelangsungannya. Tentang suara yang sentiasa kedengaran.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Februari 2011.)
No comments:
Post a Comment