Pages

Thursday, January 31, 2013

Orang Sakit Eropah

KHAMIS,  31 Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Krisis ekonomi semasa, seperti yang sering diperkatakan ialah buatan  Amerika Syarikat, tetapi Eropah merupakan  rantau yang tidak henti-henti terpaksa bergelut dengan krisis ini.   Eropah   seakan-akan menjadi medan serangan  wabak penyakit yang sukar dibendung. Ada yang merasakan diri mereka  dirasuk oleh pesimisme Eropah dan zon euro dalam bahaya maut. Euro untuk awal abad ke-21, bagi sesetengah penganalisis “adalah seperti Liga Bangsa-Bangsa untuk awal abad ke-20, iaitu idea yang amat bagus, tetapi akhirnya berkubur.”  Jika euro gagal, nescaya Eropah gagal – demikian bayang-bayang mengerikan sedang  menghantui benua itu.
Sepanjang tahun lalu,  Eropah  terkenal  dengan akronim yang  jijik:    PIGS (Portugal, Italy, Greece, dan Sepanyol); PIIGS  yang merujuk lima negara zon euro yang dianggap lemah dari segi ekonomi berikutan krisis kewangan (Portugal, Italy, Ireland, Greece, dan Sepanyol); dan    bagi orang yang suka melawak di Britain, muncul pula  STUPID (lima daripadanya ialah negara Eropah, iaitu Sepanyol, Turki, United Kingdom, Portugal, dan  Italy, manakala    sebuah lagi   Dubai). 
Tidak memadai dengan semua akronomi tersebut, beberapa negara Eropah  yang dikenali   dengan    panggilan yang digunakan untuk menggambarkan   kesukaran ekonomi atau kemiskinan: orang sakit Eropah.   Dari segi sejarah,  Turki mendahului senarai, kemudian disusuli oleh negara lain, seperti    Greece, Jerman, Ireland, Italy, Perancis, Portugal,  United Kingdom,  Rusia, dan beberapa buah  negara Eropah Timur. Akibat  krisis ekonomi  semasa, orang sakit  Eropah dalam  senarai yang panjang,  antaranya Greece,  Italy, dan Britain.
Selepas berdekad-dekad mengatasi ekonomi benua Eropah,   Britain   tidak dapat mengelakkan dirinya daripada menjadi orang sakit Eropah.  Lebih setahun lalu,  negara    menderita pada kedudukan  bawah dalam jadual liga pertumbuhan Eropah.  Daripada lima ekonomi terbesar di Eropah, hanya Britain dan Sepanyol pada masa itu  yang masih bergelut dengan kemelesetan.
Pada April tahun 2010,    Latvia diisytiharkan “daripada Harimau Baltic kepada orang sakit Eropah.”   Selepas melepaskan diri daripada belenggu Soviet kira-kira dua dekad, Latvia mengalami ledakan ekonomi yang luar biasa, tetapi  telah berakhir.   Dengan  pengangguran  mencecah 23 peratus,  maka dikatakan  babi kapitalis  (capitalist pig) kembali semula.  Latvia yang memohon pakej penyelamat daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kesatuan Eropah bernilai 7.5 bilion euro dijangkakan akan jatuh muflis jika tanpa bantuan itu.
 Seterusnya, pada akhir tahun lalu, giliran   Ireland: Harimau Celtic menjadi orang sakit Eropah.  Hanya beberapa tahun lalu, Ireland merupakan salah sebuah negara yang memiliki kisah  kejayaan ekonomi yang paling nyata hingga menyebabkan rasa iri hati Eropah.  Apabila Ireland menggayakan dirinya Harimau Celtic, negara itu melakukannya dengan penuh kebanggaan.  Akan tetapi, kisah kejayaan itu tiada lagi untuk dikongsikan, digantikan pula oleh kedukaan  yang cukup dalam.  Masa depan ekonomi pada umumnya kelihatan tidak selamat lagi.  Tahun indah telah  berlalu, dan kemewahan dijangkakan  memerlukan masa yang lama untuk kembali semula ke Ireland.  Negara itu  dikatakan kini di ambang maut.
Ireland yang bertindak lebih awal selari dengan kehendak Kesatuan Eropah,  dan mempunyai kadar pertukaran tetap, kini menempah bahaya, ekonominya menguncup. Ireland kini memasuki tahun ketiga jimat cermat, tetapi keyakinan terus pudar. Sebaliknya, para pelabur menyedari bahawa semua langkah jimat cermat adalah menekan ekonomi negara itu. Sementara warga biasa Ireland bukan sahaja terpaksa menanggung hutang yang besar akibat kegagalan bank, bahkan juga mereka terpaksa menanggung penderitaan  akibat kejatuhan pendapatan dan pengangguran yang tinggi.  Krisis hutang negara itu yang memerlukan pelan penyelamat AS$100 bilion, memaksa runtuhnya kerajaan.    
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)  dan Kesatuan Eropah pada bulan Mei lalu,  fikir mereka telah menyelesaikan kesusahan kewangan Eropah.  Mereka dengan teliti menyediakan pelan penyelamat AS$150 bilion untuk Greece, sebahagian AS$1 trilion dana penyelamat untuk negara yang mudah terdedah pada bahaya yang menggunakan mata wang euro.  Tulis editorial The New York Times, “Greece, Ireland, and Then?” seakan-akan mengeluh panjang terhadap satu demi satu krisis melanda Eropah.   “Enam bulan kemudian, Greece masih terhuyung-hayang, dan krisis kewangan Ireland menunjukkan bahawa langkah pencegahan mereka tidak meyakinkan dan tidak berkesan seperti yang mereka fikirkan.” 
 Krisis Greece  membarah dan merebak.  Apabila pihak berkuasa akhirnya bertindak bersama-sama, mereka terpaksa menawarkan pakej  penyelamat yang lebih besar daripada yang diperlukan jika mereka bertindak lebih awal.  Sementara itu, krisis merebak ke negara defisit lain, dan dalam usaha untuk menenteramkan pasaran, pihak berkuasa berasa berkewajipan untuk sama-sama menyediakan 750 bilion euro dalam Dana Penstabilan Kewangan Eropah, dengan 500 bilion euro daripada negara anggota dan 250 bilion euro daripada IMF.  Namun begitu, menurut pemerhatian,  “pasaran tidak reda kerana lembaran terma, misalnya syarat yang dana itu beroperasi, adalah ditentukan oleh Jerman.” 
“Euro dalam situasi  ‘serius yang luar biasa’.”  Kata Canselor  Angela Merkel ketika  Ireland perlu diselamatkan, manakala beberapa buah negara mungkin dalam senarai, antaranya Sepanyol dan Portugal.  “Saya tidak melukis gambar yang dramatik, tetapi hanya mahu berkata bahawa setahun lalu kita tidak boleh membayangkan debat yang kita perlu bangkitkan dan langkah yang kita perlu ambil terhadap Greece.”   Baru-baru ini,  dalam usaha untuk menenangkan pasaran dan meyakinkan masa hadapan kesatuan monetari 16 buah negara,  beliau berkata, “Tiada sebuah negara pun di Eropah akan dibiarkan keseorangan,  tiada sebuah  negara pun di Eropah akan ditinggalkan.”
Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, Joseph Stiglitz dilaporkan memberikan amaran pada awal Oktober lalu bahawa masa hadapan euro “kelihatan suram” dan pemulihan ekonomi Eropah yang rapuh boleh membawa kerosakan yang tidak boleh dibaiki lagi oleh “gelombang jimat cermat” yang melanda seluruh benua itu.    Beliau juga melahirkan ketakutan bahawa kerajaan di seluruh dunia akan mencuba untuk memotong defisit terlalu cepat dan risiko kemelesetan curam berganda. 
Sementara   Nouriel Roubini, Profesor dari New York University, dalam wawancara dengan akhbar Diario Economico,   menjangkakan kemungkinan besar Portugal perlu diselamatkan.  Beliau tidak teragak-agak mencadangkan negara itu memohon bantuan kewangan daripada IMF.  Walau bagaimanapun, beliau mempertahankan pelaksanaan langkah jimat cermat  di Eropah kerana tanpanya benua itu akan ditimpa bencana. 
Selepas Greece dan Ireland, Portugal dilihat sebagai sebuah ekonomi yang lemah dalam zon euro, dilumpuhkan oleh daya saing rendah dan defisit belanjawan yang besar.  Untuk meredakan kebimbangan pasaran, parlimen Portugal baru-baru ini meluluskan pakej jimat cermat kedua yang disediakan untuk mewujudkan simpanan tambahan pada tahun 2011 kira-kira AS$6.85 bilion, dengan campuran pemotongan upah sektor awam, menaikkan cukai, dan membekukan kadar pencen. 
Banyak kesukaran  dikatakan   bermula di negara pinggir zon euro, iaitu Greece, Sepanyol, Portugal, dan Ireland yang kesemuanya terjebak dalam kemelesetan pada tahun 2008 – 2009 akibat krisis global.  Meskipun  hampir-hampir dapat mengelakkan daripada  bencana, tetapi sebelum negara berkenaan pulih sepenuhnya, Greece, Sepanyol, dan Portugal dipaksa oleh Kesatuan Eropah supaya memotong perbelanjaan awam, mengurangkan guna tenaga awam, dan melakukan liberalisasi pasaran yang seterusnya.
Terperangkap dalam zon euro. Demikian pandangan  tentang  Ireland, Greece, Portugal, dan Sepanyol, yang kemungkiran terhadap hutang mereka tidak lagi mustahil.  Hanya orang yang benar-benar berani akan bersikap optimistik tentang masa hadapan zon euro.  Jimat cermat dikatakan tersebar luas dan wujud risiko kebekuan jangka panjang dengan kadar pengangguran yang tinggi merentas Eropah. Selain itu, ketegangan sosial menjadi-jadi dan perpecahan dalam kalangan negara anggota kemungkinan semakin melebar.  Pada awal Oktober lalu menyaksikan perarakan dan mogok yang dianjurkan oleh kesatuan sekerja merentas benua itu. 
Hingga pertengahan Disember,  krisis kewangan Eropah terus membara, dengan rusuhan tercetus di Greece sebagai protes terhadap langkah jimat cermat, isyarat baru kesukaran di Sepanyol, dan tidak banyak petunjuk bahawa para pemimpin Eropah bergerak sederap untuk mencapai persetujuan tentang pendekatan sistematik untuk kestabilan jangka panjang.  Italy  berhadapan dengan krisis keyakinan, meskipun Perdana Menteri  Silvio Berlusconi  berjaya melepasi undi tidak percaya di parlimen.  Sementara  agensi penarafan Standard & Poor’s mengeluarkan amaran bahawa agensi itu boleh mengurangkan tinjauan terhadap penarafan kredit  Belgium  kerana ketidakpastian politik di negara yang dibebani oleh hutang yang berat.
Meskipun Moody’s Investors Service  tidak menjangkakan Sepanyol mengikuti jejak Greece dan Ireland untuk memohon  pelan penyelamat daripada rakan-rakannya di Eropah, tetapi negara itu menunjukkan kos peminjaman meningkat kerana defisit belanjawan yang tinggi, bank-bank yang goyah, dan ekonomi yang lemah.   Ireland, Greece, dan Portugal dipercayai tidak banyak membawa kerosakan terhadap prospek Eropah, sebaliknya kebimbangan lebih tertumpu pada Sepanyol.  “Gajah besar dalam bilik,” kata Nouriel Roubini,  “bukannya Portugal, tetapi pastinya Sepanyol.  Tidak cukup wang rasmi untuk menyelamatkan Sepanyol jika negara itu dalam kesusahan.”
Yang jelas tentang Sepanyol dari perspektif Amerika, tulis Paul  Krugman dalam The New York Times pada akhir November,  banyak cerita ekonomi negara itu menyerupai Amerika:   gelembung hartanah yang amat besar, disusuli oleh peningkatan yang amat besar dalam hutang sektor swasta.  Seperti Amerika, Sepanyol terjebak dalam kemelesetan apabila gelembung meledak, dan mengalami peningkatan dalam pengangguran.  “Akan tetapi, tidak seperti Amerika,” Krugman mengingatkan, “Sepanyol adalah di  tubir  krisis hutang.  Negara itu  dilihat kos peminjaman meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, mencerminkan ketakutan yang menjadi-jadi kemungkinan berlakunya kemungkiran pada masa hadapan.”  Punca segala masalah Sepanyol,  menurut  pemerhatian  Krugman, ialah euro.  Jika negara itu mempunyai mata wangnya sendiri, seperti Amerika atau Britain, Sepanyol boleh membiarkan nilai mata wangnya jatuh, menjadikan industri berdaya saing semula.  “Oleh itu, Sepanyol dalam  hubungan  ini banduan euro, terumbang-ambing tanpa opsyen yang baik.”   
Zon euro dikatakan    dikuasai oleh hanya beberapa negara teras, iaitu Jerman, Perancis, Belanda, dan Belgium. Keempat-empat negara berkenaan mengenakan pakatan kestabilan yang menetapkan had sembarangan tiga peratus terhadap defisit awam.  Mereka juga  menggalakkan perlumbaan ke bawah dalam pasaran buruh.  Dasar neoliberal ini dikatakan, “menyokong euro dan menggalakkan  kegiatan global bank dan perbadanan besar negara teras.”  Akibatnya, negara pinggir menerima bencana.  Negara tersebut  kehilangan daya saing kerana Jerman memerah para pekerja sendiri dan memastikan upah dibekukan untuk beberapa tahun.  Hasilnya,  Jerman mencatatkan lebihan akaun semasa yang besar, terutamanya dalam Kesatuan Eropah, manakala negara pinggir itu menanggung defisit yang besar. 
Kesalahan banyak dilontarkan terhadap  Jerman, meskipun orang  Jerman melihat diri mereka sebagai ketua penyelamat  “mana-mana sahaja berlaku kebakaran di zon euro,”   dan  mereka berasa geram kerana seolah-olahnya mereka terpaksa menyelamatkan seluruh Eropah.      “Jika zon euro berkecai,” tulis  Garton Ash, sejarawan British,  “ini adalah kerana Jerman tidak bersungguh-sungguh untuk menyelamatkannya.  Jika zon euro selamat, maka ucapan terima kasih untuk Jerman.”   Beliau yang menulis dalam guardian.co.uk pada akhir November, iaitu ketika Ireland bergelut dengan krisis,  mengingatkan cabaran yang paling besar terhadap tataurus negara Jerman sejak negara itu bergabung secara aman 20 tahun lalu.  . 
Jerman ialah “protagonis utama” dalam krisis euro dan risiko mengakibatkan deflasi terhadap Kesatuan Eropah kerana negara itu mendesak pelaksanaan jimat cermat belanjawan.  Kata Soros semasa berucap di   Humboldt University  di Berlin akhir Jun lalu, “sebagai negara yang paling kuat dan paling mempunyai kepercayaan kredit, Jerman ialah pengemudi.  Malangnya, Jerman tidak sedar apakah yang dilakukannya.  Negara ini tidak mempunyai keinginan untuk mengenakan keazamannya terhadap Eropah.”  Tanpa berselidung, beliau berkata Jerman hanya mahu melakukan sesuatu untuk mengekalkan daya saingnya dan mengelakkan daripada  menjadi “saku dalam” untuk negara-negara lain di Eropah.
Krisis euro juga  menarik perhatian  George Soros apabila beliau muncul dengan  “The Crisis & the Euro”   yang percaya bahawa tanggapan salah memainkan peranan penting dalam membentuk sejarah, dan krisis euro merupakan bukti yang jelas. Dengan merujuk bank-bank Eropah yang memegang hampir satu trilion euro hutang Sepanyol, dengan separuh daripadanya dipegang oleh bank-bank Jerman dan Perancis, beliau menegaskan, “jelas bahawa krisis hutang kedaulatan Eropah adalah saling berkait secara rumit dengan krisis bank Eropah.”  Dalam makalah itu yang diterbitkan dalam  The New York Review of Books,   hartawan ini mengulangi kritikannya terhadap Jerman:  dengan mendesak dasar prokitaran, Jerman membahayakan Kesatuan Eropah. Walau  bagaimanapun, Soros mengingatkan bahawa Jerman tidak boleh dipersalahkan kerana mahukan mata wang yang kukuh dan belanjawan berimbang. Akan tetapi, sambil  membawa kisah Procrustes,   Jerman boleh dipersalahkan kerana mengenakan kegemaran atau kecenderungannya terhadap negara lain yang mempunyai keperluan dan keutamaan yang berbeza.  Macam Procrustes yang memaksa orang lain berbaring di atas katilnya dan membaringkan  mereka atau memotong kaki mereka untuk menjadikan mereka sihat. 
Selain Jerman,  para pemimpin  Eropah turut dipersalahkan bukan sahaja kerana gagal bertindak bersama-sama, bahkan sarat dengan penafian, meskipun selepas Greece dan Ireland, dijangkakan Portugal dan Sepanyol menunggu giliran. Selain terpaksa menanggung defisit fiskal, menurut pemerhatian, Eropah  berhadapan dengan defisit  kepimpinan.   Para pemimpin Eropah dikatakan  masih gagal untuk menghadapi, atau bahkan untuk mengakui sepenuhnya skala dan perlunya tindakan segera terhadap krisis kewangan Eropah.
Penyelesaian sedikit demi sedikit  untuk krisis Eropah, bahas Alistair Darling, bekas  Chancellor of the Exchequer   dalam The New York Times,   berkesudahan dengan kegagalan.  Dalam menyelesaikan krisis ekonomi, sebagaimana krisis dalam sektor perbankan, sesungguhnya, tidak memadai dengan negara zon euro menyelamatkan setiap ekonomi apabila ekonomi itu jatuh ke dalam krisis. Sebaliknya, para penggubal dasar mesti menangani akar umbi masalah benua itu.  Masalah zon euro  sekarang mendedahkan kelemahan kesatuan monetari apabila zon euro berkongsi mata wang yang sama, tetapi tidak ditunjangi oleh kesatuan politik dan ekonomi..
Tatkala dunia dilanda krisis kewangan  dan terjebak dalam kemelesetan yang teruk sejak Kemelesetan Besar 1930-an,  John Maynard Keynes “bangkit dari kuburannya”  untuk menyelamatkan dunia. Apakah  Winston Churchill  juga akan berbuat  demikian  sambil membacakan puisi   “darah, keringat dan air mata” untuk membangunkan Eropah yang masih tidur nyenyak?
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Februari 2011.)


No comments:

Post a Comment