Pages

Saturday, January 12, 2013

Orang Politik Mesti "Reti Bahasa"

SABTU, 12  Januari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Setelah membaca dua makalah dalam The Washington Post, mendorong saya  merumuskan bahawa orang politik, tidak dapat tidak, mesti pandai berbahasa. Makalah pertama, ditulis oleh Kathleen Parker  yang mewakili suara puak konservatif, mencadangkan Republikan - parti yang beliau sokong, belajar bahasa Sepanyol.  Beliau memetik pesan bapanya sejak lama dahulu, "Belajar bahasa Sepanyol.  Anda memerlukan bahasa itu untuk hidup di dunia yang akan anda warisi."

Nasihat bapa saya, akui Kathleen, adalah terus mata, walaupun agak berlebih-lebihan.  "Saya tidak memerlukan bahasa Sepanyol untuk hidup," tulis beliau, "meskipun menguasai dwibahasa adalah membantu.  Banyak membantu.  Seperti yang saya selalu beritahu khalayak di kolej, saya diambil untuk pekerjaan pertama bukan kerana saya mempunyai ijazah kewartawanan, tetapi kerana saya berturur dalam bahasa Sepanyol."

Kathleen menambah bahawa bukan secara kebetulan, Kongres Amerika Syarikat ke-113, mempunyai 31 orang anggota Hispanic, termasuk tiga orang Senator.  Daripada 28 orang Latino dalam Dewan Perwakilan, kecuali lima orang, semuanya Demokrat.  Beliau cuba memberikan jawapan mengapa kurangnya anggota Republikan itu dengan mencadangkan belajar bahasa Sepanyol.

Secara nyata, Kathleen cuba menjelaskan mengapa Barack Obama memperoleh 71 peratus undi Hispanic kerana pada bulan Jun, beliau mengambil pendirian tegas menyekat penghantaran pulang beratus-ratus ribu imigran yang merupakan pendatang haram di Amerika Syarikat. Kathleen mengingatkan bahawa masa depan memang jelas:  Hilang undi Hispanic, dan anda akan kalah.  Dan mesej untuk Republikan, jika mereka mahu hidup, perlunya bahasa Sepanyol memang jelas.

Makalah kedua ditulis oleh Frank Luntz yang juga ditujukan kepada Republikan supaya mereka  berhati-hati dengan bahasa yang digunakan mereka dalam suatu pertemuan yang akan berlangsung untuk membincangkan apa silapnya pada tahun 2012.   Daripada pilihan raya tahun lalu kepada "cenuram  fiskal," imej Republikan, tegas beliau, semakin comot. 

"Pastinya, cakap memang mudah," hujah Luntz, "tetapi bahasa yang teruk buruk akibatnya.  Walaupun majoriti Republikan dalam Dewan Perwakilan sekarang adalah kedua terbesar sejak Perang Dunia Kedua, lebih banyak orang mengundi calon Demokrat berbanding dengan Republikan.  Dalam Dewan Senat pula kelebihan Demokrat semakin besar."  Republikan, jelas beliau, terpaksa menanggung akibat bahasa yang tidak tahu berhubung pada November dan akan mengalaminya lagi sekali pada tahun 2014, seperti yang berlaku pada tahun 2006, kecuali parti itu berubah.

Untuk berubah, jelas Luntz lagi, bermula dengan pendekatan berasaskan nilai, dan bermakna bercakap dengan rakyat Amerika tentng kebertanggungjawaban, tanggungjawab peribadi, dan kebebasan, dan menghubungkan nilai tersebut dengan dasar Republikan.

Langkah seterusnya, adalah lebih empatatik.  "Para pengundi tidak akan memberi anda peluang menyelesaikan masalah mereka jika mereka fikir anda tidak memahami mereka, terutamanya tatkala rakyat Amerika merasakan bahawa tidak ada sesiapa pun yang membela nasib mereka," hujah Luntz dengan mengemukakan contoh dalam kalangan pengundi tahun 2012 yang mahukan Presiden mereka untuk "menjaga orang seperti saya," Presiden Obama menumpaskan Mitt Romney dengan 81 peratus berbanding 18 peratus. Sebahagiannya, jelas Luntz,  adalah kerana retorik Presiden Obama sentiasa mengungkapkan bahasa kesaksamaan dan keadilan.  Obama menggesa "golongan kaya dua peratus" untuk "membayar bahagian pendapatan  saksama mereka " tanpa mentakrifkan maksud "bahagian pendapatan saksama.  Obama tidak perlu menjelaskannya; para pengundi mengungkapkan takrif mereka sendiri.

Sejak pilihan raya tahun lalu, Republikan berusaha untuk muhasabah diri, tetapi dilihat seakan-akan bertarung dengan diri mereka sendiri.  Demokrat kelihatan semakin bersatu, sedangkan Republikan bercakaran sesama sendiri - memetik Ronald Brownstein, atau parti yang serba-serbi kekurangan, hujah Michael Tomasky. Anggota perundangan Republikan yang sukar menerima hakikat kemenangan Barack Obama, kini berusaha gigih untuk mencetuskan Perang Saudara di Washington, atau menghumbankan  Washington ke dalam disfungsi, manakala puak pelampau dalam parti itu diperhatikan bahaya untuk Amerika Syarikat.


No comments:

Post a Comment