Pages

Sunday, December 16, 2012

Linangan Air Mata Tidak Ada Maknanya, Obama

AHAD,  16 Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Tidak semua orang berasa simpati terhadap Presiden Barack Obama yang berlinangan air mata ketika mengeluarkan kenyataan tentang  tragedi di Newtown, Connecticut, yang mengorbankan 26 nyawa, bahkan dalam kalangan cerdik pandai yang probeliau sendiri.  Hal ini demikian kerana sebagai Presiden, beliau sepatutnya mempunyai keazaman politik untuk bertindak tegas mengawal senjata api, yang selama ini penggunaannya dibenarkan  mengikut negeri dan berleluasa di selatan Amerika Syarikat. Sejak tragedi terbaharu itu, gesaan terhadap kawalan senjata api semakin lantang.

Melalui blognya dalam The New Yorker, John Cassidy, menegaskan bahawa keaiban Amerika, kata dan air mata tidak memadai. Ahli politik daripada kedua-dua parti, iaitu Demokratik dan Republikan, termasuk Presiden Obama sendiri, menurut Cassidy, keberatan untuk bercakap tentang undang-undang senjata api.  

Meskipun tragedi seperti ini pernah  berlaku  di Aurora, Obama diperhatikan masih teragak-agak untuk bertindak.  Semasa kempen Pilihan Raya Presiden baru-baru ini, Barack Obama  "belayar sekapal" dengan pencabarnya, Mitt Romney: tidak memperlihatkan komitmen untuk mengawal senjata api.

Sementara Michael Tomasky, yang sebagaimana Cassidy, pro-Obama, mengingatkan bahawa "masa untuk memimpin, Tuan Presiden."  Bagi Tomasky, kawalan senjata api perlu menjadi isu pengundia untuk berjuta-juta orang.  Hanya seorang yang dapat memastikan perkara itu berlaku. Beliau juga memetik Robert Shrum bahawa selepas Newtown, inilah masa untuk mengawal senjata api.

Kini, bola di kaki Presiden Barack Obama untuk memastikan kawalan senjata api menjadi suatu hakikat sebelum banyak lagi nyawa yang terkorban.  Segala-galanya bergantung pada keazaman politik beliau untuk merealisasikannya dan bukan sekadar menitis air setiap kali tragedi seperti itu berlaku.  Dalam pembunuhan Osama bin Laden dan menangani Taufan Sandy, Obama memperlihatkan kedudukannya sebagai panglima besar.  Justeru, mengapa dari segi kawalan senjata api, beliau masih terhegeh-hegeh dan seakan-akan tidak ada bola!



No comments:

Post a Comment