Pages

Thursday, December 13, 2012

"Bunga Bunga" Harum Semula?

KHAMIS, 13 Disember 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Selepas terpaksa  meletakkan jawatan Perdana Menteri Italy sejak setahun lalu, Silvio Berlusconi beberapa kali mengumumkan hasratnya untuk kembali aktif dalam politik, termasuk bertanding jawatan presiden. Kini, hasrat semakin mudah  berikutan pengumuman   Mario Monti baru-baru ini bahawa beliau ingin meletakkan jawatan Perdana Menteri yang beliau sandang menggantikan  Berlusconi. Monti - teknokrat yang ditunjukkan oleh Brussels dan Berlin terbukti gagal menyelamatkan Italy daripada terus terjebak dalam krisis zon euro

Langkah Monti yang pernah diletakkan harapan untuk menyelamatkan Eropah, dianggap satu cara untuk menyelamatkan negaranya, meskipun dikhuatiri boleh memarakkan semula ketakutan terhadap kacau-bilau Eropah yang terus bergelut dengan krisis hutang. Berlusconi dalam respons segeranya terhadap pengumuman penggantinya itu dipetik sebagai berkata, "Monti terlalu Jerman." 

Pengumuman Berlusconi untuk aktif semula dalam politik, sememangnya mempersegar memori banyak orang tentang "bunga bunga," iaitu pesta seks yang mendapat liputan luas dan   pernah diungkapkan  oleh Ariel Levy  dalam The New Yorker, "Basta Bunga Bunga."  

Tatkala Silvio Berlusconi bersiap sedia untuk kembali semula dalam politik, tulis Barbie Latza Nadeau, "Karima el-Mahroug, penari bogel yang menjadi tumpuan perbicaraan pelacuran bawah umur, telah pergi ke Mexico bersama-sama teman lelaki dan anak perempuannya dan tidak akan kembali hingga Januari ini."

Kisah "bunga-bunga" yang menarik antara Berlusconi dengan el-Mahroug, jelas Barbie, bermula pada Hari Kekasih tahun 2010, apabila gadis jelita itu baru berusia 17 tahun didakwa berjumpa dengan Berlusconi dalam parti persendirian di Villa San Martino milik Berlusconi yang terletak di Arcore, dekat Milan.  Tidak berapa lama selepas pertemuan itu, gadis keturunan Maghribi itu didakwa mula mengadakan hubungan seks untuk wang dengan Berlusconi yang ketika itu Perdana Menteri Italy.

Walaupun el-Mahroug pernah memberitahu bahawa dia berhasrat berhijrah ke Mexico untuk memulakan hidup baru, tegas Barbie, dengan kempen Berlusconi semakin hangat, mungkin terlalu lewat untuk el-Mahroug mengelakkan dirinya daripada menjadi tumpuan.

No comments:

Post a Comment