Pages

Friday, October 5, 2012

Pekerjaan: Obama Dapat Menarik Nafas Lega

JUMAAT,  5 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Setelah menamatkan debat pertama Presiden dengan amat mengecewakan dan mengaibkan, kerana  dibelasah teruk oleh lawannya, Mitt Romney, Presiden Barack Obama yang "menyengat seperti kupu-kupu," - mengambil risiko rope-a-dope, dijangkakan terus dirundung malang.  

Seperti lazim, Jumaat pertama setiap bulan, Biro Perangkaan Buruh   Amerika Syarikat akan mengumumkan jumlah pekerjaan yang diwujudkan dan kadar pengangguran yang meletakkan Barack Obama dalam keadaan resah,  dan kali ini, "sudah jatuh ditimpa tangga." Jika data pengangguran pada bulan September meningkat lebih 8.1 peratus,  yang dicatatkan pada Ogos, pastinya ini, "kemenangan" berganda untuk Romney dalam masa duaa hari.

Walau bagaimanapun, data untuk September,  yang dimaklumkan  kira-kira pukul 8.30 malam (waktu Malaysia), menurut Bloomberg, The Huffington Post, The Guardian, dan The Daily Beast, di samping diulas oleh Jared Bernstein, menunjukkan kadar pengangguran turun daripada 8.1 peratus  Ogos kepada 7.8 peratus September.  Pada bulan lalu juga, sebanyak 114,000 pekerjaan baru dapat diwujudkan.   Kadar penganguran  ini kekal pada lapan peratus atau tinggi sejak Februari 2009, satu tempoh yang lama sejak angka pengangguran bulan kali pertama disusun pada tahun 1948.  Kadar 7.8 peratus setanding dengan angka Januari 2009, ketika Barack Obama mula memegang jawatan Presiden Amerika Syarikat.

"Sememangnya, ini berita baik untuk Obama," kata Alan Aramowitz, ahli sains politik di Emory University, seperti yang dipetik oleh Bloomberg.  Mencapai kadar pengangguran lapan peratus, "memberi Obama isi perbualan positif untuk digunakan beberapa minggu akan datang"  - sebelum Hari Pilihan Raya yang tinggal hanya 32 hari lagi. "Presiden Obama," bahas Chris Cillizza, "sangat-sangat memerlukan berita baik tentang pekerjaan."

Walaupun dari segi sejarah, data terbaharu ini tidak menaikkan Obama, sekurang-kurangnya beliau dapat menghindari salah satu "kejutan Oktober" yang diketengahkan oleh Craig Unger.  Dengan pengangguran 7.8 peratus ini merupakan hadiah kempen untuk Obama, dalam erti kata bahawa kempen Romney tidak boleh lagi mengharapkan "bulan jatuh ke riba" setiap bulan dan dengan sewenang-wenangnya mendakwa kegagalan dasar ekonomi Obama. "Angka pengangguran terbaharu," ulas Jim Kuhnhenn, "mempunyai keertian politik."  Puak sayap kanan yang tidak  mempercayai data terbaharu ini, mendakwa "konspirasi" yang dipersoalkan oleh Alex Seitz-Wald, dan  disanggah oleh Ezra Klein dan John Cassidy.

Dengan pengurangan kadar pengangguran ini mengesahkan pandangan pekerja dan ahli ekonomi bahawa Presiden Barack Obama mempunyai rancangan ekonomi yang lebih baik, seperti yang dimaklumkan oleh kajian The Economist. Bagi Obama pula, beliau pastinya tidak dihantui oleh angka pengangguran yang menggerunkan setiap bulan tatkala beliau sedang bertarung untuk penggal kedua.


No comments:

Post a Comment