Pages

Sunday, October 21, 2012

"Newsweek" Bunuh Diri?

AHAD, 21 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Reaksi atau respons terhadap pengumuman  Tina Brown, pengasas The Daily Beast dan editor Newsweek  bahawa mulai awal tahun depan, majalah yang  berusia 80 tahun itu tidak lagi diterbitkan dalam edisi bercetak, sebaliknya diterbitkan dalam edisi digital, masih belum reda seakan-akan meratapi suatu kematian.   

Jonathan Alter menulis dalam Foreign Policy, mengenang detik indah majalah yang beliau  pernah ceburi sebagai pengkritik media dan kemudian sebagai kolumnis.  Jelas Alter bahawa beliau pernah mewawancara dan menulis tentang lima orang Presiden Amerika dan menulis lebih 50 cerita, kebanyakannya hal ehwal dalam negara.  Alter yang tidak pernah ditempatkan di luar negara, memberitahu bahawa ketika zaman kegemilangannya, jumlah pembaca Newsweek mencecah 15 juta orang. 

Ketika berhujah dapatkah Newsweek diselamatkan,  Robert Wright yang menulis dalam The Atlantic, memetik sumber bahawa "Newsweek tidak mati, Newsweek bunuh diri." Wright memetik Ryan Nakashima daripada Associated Press bahawa perniagaan majalah tidak teruk secara keseluruhannya.  Untuk tempoh sembilan tahun ini, 181 majalah baru dilancarkan, manakala satu pertiga sahaja, atau 61 majalah ditutup.

Menurut pelbagai sumber, hasil iklan majalah ini di Amerika meningkat 2.6 peratus pada ini, kepada AS$18.3 bilion. Peningkatan ketiga dalam tiga tahun, dipacu terutamanya oleh perolehan dalam jualan iklan digital, meskipun iklan percetakan dijangkakan mendatar.  Langgangan majalah berbayar meningkat 1.1 peratus dalam tepoh pertama tahun ini, manakalah naskhah yang dijual di gerai surat khabar merosot sebanyak 9.6 peratus, pengedaran keseluruhan, yang sebilangan besar dalam edisi bercetak, adalah stabil jika dibandingkan setahun lalu.  Keputusan untuk menghentikan percetakan majalah ini menjejaskan kira-kira 1.4 juta orang pelanggan.

Wright juga memetik Mickey Kaus yang ditempatkan semula daripada Newsweek beberapa kali, untuk beberapa tempat, yang menegaskan bahawa Tina Brown tidak membunuh Newsweek, tetapi majalah ini hampir mati.  Walau bagaimanapun, Noreen Malone, mempunyai pandangan yang berbeza terhadap Tina Brown yang menurut beliau, "perniagaan berubah, tetapi Tina Brown tidak berubah."



No comments:

Post a Comment