Pages

Tuesday, October 2, 2012

"Keberangan Orang Islam adalah Tentang Politik dan Bukannya Agama"

SELASA, 2 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Keberangan orang Islam terhadap Innocence of Muslims boleh dikatakan semakin reda, tetapi berita dan ulasan  tentang peristiwa itu masih berterusan, seperti tulisan Krista Mahr dalam Time, yang membezakan keberangan orang Islam di India dengan Timur Tengah. 

Hussain Haqqani yang menulis dalam Newsweek menegaskan bahawa keberangan orang Islam adalah tentang politik dan bukannya agama dengan merujuk protes di Pakistan.  Protes yang berlaku, menurut tafsiran beliau, manipulasi yang diatur dengan baik tentang sentimen yang berakar umbi pada anggapan bahawa protes digerakkan merupakan peluahan spontan tentang keberangan orang Islam. Sebagaimana para pengikut agama lain, jelas Haqqani, orang Islam tidak suka akan keaiban terhadap kepercayaan dan Rasul mereka. 

Akan tetapi, hujah beliau, "protes yang mendapat liputan merupakan fungsi politik, bukannya agama" yang menyaksikan penglibatan kerajaan yang menyebelahi penunjuk perasaan dengan mengisytiharkan cuti umum dan menyebutnya "Cintai Hari Rasul."  Walaupun 95 peratus daripada 190 juta penduduk Pakistan ialah Islam, hanya dianggarkan 45,000 orang sebenarnya mengambil bahagian dalam demonstrasi hari Jumaat di seluruh negara menentang Innocence of Muslims.

Menurut Haqqani, fenomena kemarahan terhadap perbuatan mengaibkan Islam dan Rasul terakhir merupakan fungsi politik era moden.  Fenomena ini bermula ketika pemerintahan kolonial Barat, dengan ahli politik Islam mencari isu untuk menggembleng sokongan para pengundi mereka.  Para pemimpin sekular tertumpu pada usaha menentang penguasaan asing, dan puak Islam muncul untuk menuntut bahawa Islam bukan hanya agama, tetapi juga ideologi politik.

No comments:

Post a Comment