Pages

Tuesday, October 16, 2012

Debat Presiden: Adakah Obama Kena "Leceh" Lagi?

SELASA, 16 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Malam ini (17 Oktober pagi Malaysia) akan berlangsung debat dewan bandaran Presiden di Hofstra University di Hempsted, N.Y.  Ini merupakan debat kedua antara Presiden Barack Obama dengan Mitt Romney, manakala debat terakhir dijangkakan berlangsung pada minggu depan, iaitu  ketika  Hari Pilihan Raya semakin hampir.  

Setelah Obama kalah teruk dan mengaibkan dalam debat pertama, menyusul debat Naib Presiden antara Joe Biden dengan Paul Ryan, yang walaupun tidak berkeputusan siapakah  pemenang sebenar, secara keseluruhan, Biden dikatakan muncul sebagai pemenang dan  beliau memperlihatkan kehebatannya melanyak  Ryan.   

Prestasi Obama yang teruk  bukan sahaja mengejutkan banyak pihak, tetapi juga mengecewakan para penyokong beliau dan Demokrat.  Andrew Sullivan misalnya, yang masih belum pulih daripada kehampaan itu, menulis bahawa Obama menyerahkan kemenangan dalam perlumbaan ke Rumah Putih, yang sebelum debat pertama itu,  beliau  mendahului lawannya.

Biden, seperti yang dibahaskan oleh Michael Tomasky, menyekat Presiden daripada jatuh bebas.  Kini, giliran Obama untuk memulakannya semula.  Dalam debat kedua ini, Obama tidak mempunyai pilihan lain, kecuali mencipta kemenangan.  Obama, seperti yang dilaporkan membuat persiapan rapi untuk debat kedua ini, menjanjikan kehebatannya.  Beliau juga dilaporkan akan lebih agresif dan bertenaga, dan membayangkan menyerang Romney pada Bain Capital.  

Pertaruhan debat ini memang besar, hujah Michael Hirsh, tetapi bukan mudah untuk Obama. "Tekanan akan lebih terhadap Obama," tulis Chris Cilliza, tetapi beliau dianggap secara signifikan lebih jujur dan boleh dipercayai berbanding dengan Mitt Romney dalam tinjauan pendapat baru oleh The Washington Post/ABC News - suatu kelebihan bagi beliau untuk  menuju ke debat kedua, dan sekurang-kurangnya satu tinjauan yang menunjukkan Obama mendahului Romney.  Tinjauan ini juga menunjukkan bahawa daripada tujuh bidang, hanya defisit dikuasai oleh Romney, manakala yang lain, iaitu medicare, krisis, hal ehwal antarabangsa, cukai, ekonomi, dan penjagaan kesihatan memihak kepada Obama.

Debat kedua ini berlangsung ketika Hari Pilihan Raya tinggal kurang tiga minggu dan persaingan di peringkat nasional adalah sengit.  Sementara tinjauan pendapat NewsmaxZogby yang melibatkan 863 orang berkemungkinan pengundi pada hari Jumaat dan Sabtu lalu menunjukkan Barack Obama bersaing sengit dengan Mitt Romney, iaitu 47 peratus  Obama dan 44 peratus Romney, manakala sembilan peratus tidak dapat membuat keputusan. 

Walau bagaimanapun, Obama dikatakan mempunyai kelebihan di negeri yang menjadi pertempuran, tetapi  Romney mula disukai. IKelebihan Obama ini turut dibahaskan oleh Nate Silver yang dalam ramalan terbaharu, iaitu 14 Oktober, Obama memperoleh 285.6 berbanding 252.4 undi badan perwakilan pemilih untuk Romney.  Tiga negeri berkenaan, iaitu Ohio, Florida, dan Virginia mungkin  menentukan kemenangan antara kedua-dua calon itu.  Florida walaupun secara tradisinya dikuasai oleh Republikan, Demokrat, menurut Michael C. Bender, memberikan saingan yang "bukan berita baik untuk Republikan."  Para pengundi Hispanic di negeri ini lebih memilih Obama berbanding dengan Romney, iaitu 51 peratus berbanding 44 peratus.

Dalam debat kedua ini, Barack Obama perlu "balun" lawannya, Mitt Romney, atau kalau tidak, beliau akhirnya "bungkus."  Seadainya beliau masih dengan persembahan debat pertama - terpinga-pinga dan membiarkan dirinya dikerjakan dengan teruk oleh Romney, maka beliau boleh melupakan impiannya untuk penggal kedua di Rumah Putih. Seperti pertarungan antara Joe Biden dengan  Paul Ryan, Obama perlu mencari Romney.  Para penonton, terutamanya para pengundi ingin melihat  "ayam sabung" berlaga habis-habisan, dan bukannya menjadi "ayam berak kapur."  Dalam debat, Presiden perlu naik gila.

Orang ramai terlalu ghairah terhadap debat, dan dengan itu, Obama tidak boleh lagi bersikap sambil lewa seperti yang berlaku dalam debat pertama.  Mereka juga tahu bahawa Romney berdusta, tetapi mereka tidak mempedulikannya, kerana bagi mereka, debat diibaratkan perlawanan tinju: gasak dan lanyak.

Atau memetik  Robert Wright, "Obama telah tercampak ke dalam lubang, dan beliau sendiri perlu berusaha mengeluarkan dirinya." Biden telah menolongnya dalam debat Naib Presiden, dan bekas Presiden Bill Clinton juga berbuat demikian ketika Persidangan Kebangsaan Parti Demokratik awal September lalu.



No comments:

Post a Comment