Pages

Wednesday, October 10, 2012

Calon AS$1 Bilion Mengejar Kekalahan

RABU, 10 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH




Sehari sebelum debat pertama Presiden, yang berkesudahan dengan malapetaka terhadap Barack Obama, Matea Gold menulis dalam Los Angeles Times bahawa Obama dalam laluan untuk muncul sebagai calon AS$1 bilion pertama.  Untuk mencapai jumlah tersebut dalam pilihan raya  kali ini, Presiden perlu mengumpulkan sumbangan AS$117 juta pada bulan September dan Oktober.  Jumlah itu seakan-akan dapat dicapai:  Kempen Obama dan Demokratik bersama-sama mengumpulkan hampir AS$115 juta pada Ogos.

Tatkala Barack Obama masih terhuyung-hayang akibat dibelasah teruk oleh Mitt Romney dalam debat yang berlangsung di Denver itu, dan perbincangan tentang debat itu masih hangat, Andy Kroll menulis dalam Mother Jones,  "Barack Obama: Calon AS$1 bilion,"  merupakan calon AS$1 bilion pertama Amerika.  

Pada akhir Ogos, jelas Kroll dengan memetik Campaign Finance Institute, kempen Obama dan kumpulan yang bersekutu dengan Demokratik mengumpulkan AS$762 juta untuk usaha pemilihan semula Obama.  Kemudian, pada hari Sabtu (6 Oktober), pengurus kempen Obama, iaitu Jim Messina mengumumkan bahawa Presiden dan kumpulan yang menyokong beliau berjaya mengumpulkan wang pada bulan September sebanyak AS$181 juta, sumbangan terbesar, jauh melepasi AS$900 juta.  "Bahkan, dengan pengumpulan dana yang sederhana pada Oktober," hujah Kroll, "bermakna Obama dan Demokrat akan mencapai aras AS$1 bilion.

Sebelum ini, Andy Kroll pernah meramalkan bahawa Romney memerlukan keajaiban untuk memenangi sumbangan wang bagi Presiden, meskipun Obama kelihatan ketinggalan dari segi pendanaan jika dibandingkan dengan beliau.  Walau bagaimanapun, Kroll menjelaskan bahawa jumlah wang yang dikumpulkan tidak termasuk  super PAC dan bukan keuntungan wang gelap yang berbelanja besar pada tahun 2012.  Super PAC pro-Romney jelas lebih banyak mengumpulkan wang jika dibandingkan dengan super PAC pro-Obama. 

Dengan sumbangan yang  besar itu, pastinya  kewangan bukan lagi merupakan kekangan utama terhadap kempen Obama.  Memang  dari segi kewangan beberapa bulan sebelum ini, sehingga Ogos, mereka menghadapi kesukaran untuk menyaingi Romney  dilimpahi  oleh wang gelap dan  mendapat sokongan asing. Namun, kini Obama juga mempunyai "bulan wang besar," dengan lebih 10 juta orang penyumbang setakat ini pada tahun ini.

Namun, melihat debat pertama Presiden,  banyak orang berpendapat bahawa Barack Obama   menuju ke arah kekalahan, meskipun ada yang bersimpati dengan beliau dan wujud usaha untuk memastikan beliau dipilih semula. Bahkan, jika debat itu dijadikan ukuran ketokohan dan kewibawaannya, maka dapat dikatakan beliau tidak layak untuk menduduki Rumah Putih. Kalau dalam masyarakat Malaysia, beliau  boleh  dianggap tidak tahu hujung pangkal.  

Obama mempunyai pasukan yang kukuh dan berpengalaman, baik di Rumah Putih, mahupun di Chicago - tempat ibu pejabat kempennya, yang bekerja keras demi memastikan kemenangan calon mereka.  Disokong pula bekas Presiden Bill Clinton yang kelihatan sibuk ke sana ke mari berkempen untuk Obama dan calon Demokrat yang lain. Tidak ketinggalan  kempen yang digerakkan oleh super PAC, Priorities USA Action, yang diterajui oleh Bill Burton, dan Paul Begala sebagai penasihat. 

Malangnya, orang empunya diri, iaitu Obama sendiri seakan-akan memadamkan cahaya kemenangan yang bersinar sejak berbulan-bulan. Adakah Obama boleh diibaratkan  "kuda yang  tidak mahu berlumba?"

Jika prestasinya dalam debat pertama itu dijadikan ukuran, maka jelas bahawa Obama seakan-akan tidak mempunyai keazaman untuk menang bagi penggal kedua, seperti yang dibayangkan oleh Andrew Sullivan dalam The Daily Beast:  Obama mencampakkan seluruh pilihan raya, manakala Romney mula mendahului beliau.  Obama dikatakan mensia-siakan peluangnya untuk menang. 

"Adakah Obama mahu menang pilihan raya?" soal Michael Tomasky selepas melihat prestasi Obama yang mengaibkan dalam debat tersebut. Penguasaan Obama di negeri berayun, seperti Colorado  mula tergugat, manakala  di Ohio mula diragui, tetapi  tinjauan pendapat terbaharu oleh CNN/ORC International  menunjukkan kedudukan beliau kukuh. 

Kesannya kekalahan teruk Obama dalam debat pertama itu cukup mendalam. Demokratik panik, dan saling menuding jari.  Sementara itu,  satu demi satu tinjauan pendapat menunjukkan Romney mara, memadamkan penguasaan Obama sebelum ini, seperti yang ditunjukkan oleh Pew Research Center,   Gallup dan Reuters/Ipsos.  Pendek kata, apa yang kempen Obama bina berbulan-bulan, musnah dalam debat yang hanya berlangsung dalam masa 90 minit.  

Dari satu segi yang lain, sokongan terhadap Obama terus wujud, terutamanya dalam kalangan pengundi Latino.  Sementara di New Mexico, Obama menunjukkan penguasaannya di negeri berayun itu.   Bahkan, Obama sendiri masih bersemangat dan bertenaga untuk meneruskan perjuangan,  meskipun beliau kini kelihatan tempang.  Golongan cerdik pandai yang selama ini menyokong beliau, seperti Josh Barro, masih belum berganjak dan masih menegaskan bahawa Obama akan menang dalam perlumbaan ini.


No comments:

Post a Comment