Pages

Friday, October 19, 2012

Berakhinya Majalah seperti yang Kita Kenali

JUMAAT, 19 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Setelah beredar dalam pasaran selama 80 tahun, akhirnya diumumkan bahawa Newsweek, akan diterbitkan dalam bentuk digital mulai awal tahun depan, dan edisi bercetak terakhir di Amerika Syarikat pada 31 Disember 2012.  Pengumuman itu mendapat liputan meluas di sebelah menyebelah Atlantik.

Empat tahun lalu, penerbit melancarkan The Daily Beast, dan dua tahun kemudian, penerbit menggabungkan edisi dalam talian itu dengan Newsweek yang dijual oleh The Washington Post Company kepada Dr. Sidney Harman.  Sejak penggabungan itu, kedua-duanya, iaitu The Daily Beast dan Newsweek terus menyiarkan dan penerbitkan kewartawanan yang tersendiri dan menunjukkan pertumbuhan dalam talian yang meledak dalam proses.  The Daily Beast kini menarik lebih 15 juta pelawat yang unik setiap bulan, dengan 70 peratus meningkat pada tahun  lalu sahaja. 

Apabila Newsweek digabungkan dengan The Daily Beast, sebenarnya wujud keraguan tentang kelangsungannya, yang akhirnya menjadi kenyataan.  Apabila majalah ini dilancarkan semula, editornya, Tina Brown berjanji  dari segi kehematan dan teladan.

Seperti Time, Newsweek merupakan majalah berita mingguan, tetapi antara kedua-duanya wujud kelainan.  Penulisan dalam Newsweek lebih mendalam dan analitis jika dibandingkan dengan Time. Selain itu, majalah  ini   Edisi khas akhir/awal tahun, dengan makalahnya disumbangkan oleh antaranya ahli ekonomi dan penganalisis dasar luar yang terkenal.  Fareed Zakaria dan Michael Hirsh pernah berkhidmat dengan majalah tersebut, tetapi kini masing-masing berhijrah ke Time dan National Journal.

Sebelum Newsweek diumumkan "mati," pihak penerbit sejak beberapa bulan lalu cuba mencetuskan kontroversi dan memberikan sensasi pada kulit depan atau rencana utama, seperti yang pernah disentuh dalam blog ini.

Siapakah yang benar-benar dipersalahkan kerana kematian Newsweek? tanya Derek Thompson dalam The Atlantic.  Banyak orang seakan-akan berkata bahawa kematian majalah ini merupakan hukuman moral terhadap kulit  yang semakin terdesak bagi Tina Brown. Akan tetapi, hujah Thompson, Newsweek tenggelam sebelum Brown menemuinya.  Untuk mengatakan bahawa majalah ini mati akibat sensasionalisme seakan-akan mengatakan penumpang Titanic mati akibat berteriak terlalu kuat.  Beliau juga merujuk tulisan James Fallows lebih dua tahun lalu yang meragui masa depan Newsweek yang pengedarannya semakin merosot bersama-sama dua majalah lain, iaitu Time dan US News.  


Derek Thompson turut memetik Ryan Chittum bahawa pada tahun 2010, Newsweek membelanjakan AS$222 juta setahun, termasuk AS$42 juta untuk lebih 300 orang pekerja (satu pertiga wartawan0.  Perbelanjaan terbesar setakat ini untuk majalah bercetak.  Khidmat langganan, pengedaran, dan pengeluaran majalah fizikal adalah sebanyak AS$102 juta.  Akan tetapi, percetakan juga sumber lebih 90 peratus hasil.  Keseluruhannya, majalah ini menanggung kerugian hampir AS$30 juta. 

Satu demi satu penerbitan bercetak terpaksa beralih kepada digital, daripada akhbar kepada majalah kepada ensiklopedia.  Yang terbaharu, akhbar The Guardian dijangkakan mengikut jejak Newsweek.  Beberapa hari lalu, wujud spekulasi bahawa akhbar itu akan diterbitkan dalam edisi digital sepenuhnya, tetapi pihak penerbit menafikan bahawa mereka akan meninggalkan penerbitan bercetak.  


No comments:

Post a Comment