Pages

Wednesday, October 17, 2012

Barack Bangkit

RABU, 17 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Setelah tumbang dalam debat pertama Presiden di Denver, dua minggu lalu, yang masih diperkatakan,  akhirnya Presiden Barack  berjaya menebus kekalahannya dalam debat kedua yang berlangsung di  Hempstead, New York, pagi tadi waktu Malaysia. 

Sesungguhnya, para penonton  siaran langsung debat tersebut, baik yang tinggal di Amerika Syarikat mahupun di luar negara, tanpa perlu menunggu tinjauan pendapat untuk mengatakan bahawa Barack Obama  bangkit semula dan menguasai permainan, dengan prestasi yang jauh lebih baik jika dibandingkan dengan debat pertama. 

Obama yang dibelasah teruk dalam debat pertama, seperti yang dijangkakan, bangkit melawan semula, bukan sahaja mempertahankan rekodnya sebagai Presiden, tetapi juga dengan berani memasuki wilayah Romney, mengubah keadaan dan seterusnya menuntut kemenangan. "Malam yang sangat baik untuk Obama," tulis Jonathan Cohn, "dengan empat detik penting."

Andrew Sullivan yang hampa dan mengeluh memanjang sejak debat pertama, tanpa berlengah lagi,  meraikan kehebatan Obama dalam menentang lawannya, Mitt Romney.  Demikian juga rakannya, Howard Kurtz yang juga menulis dalam The Daily Beast yang lebih awal mengisytiharkan kemenangan Obama, manakala Michael Tomasky, menegaskan "Obama kembali semula."

Dua tinjauan pendapat yang diumumkan tidak berapa lama selepas debat kedua selesai, menunjukkan Barack Obama muncul sebagai pemenang.   Pertama oleh CBS News yang melibatkan 525 orang pengundi yang tidak dapat membuat keputusan, 37 peratus mengatakan Obama menang, 30 peratus menyebelahi Romney, 33 peratus terikat, dengan margin ralat empat titik peratus.  Sementara CNN pula yang melibatkan 457 orang pengundi berdaftar, sebanyak 46 peratus memilih Obama berbanding 39 peratus untuk Romney, dengan  margin ralat campur atu tolak 4.5 titik peratusan.

Sebelum debat kedua berlangsung, Adam Serwer yang menulis dalam Mother Jones, membayangkan kemungkinan Obama tewas sekali lagi kerana format perdebatan: dewan bandaran.  Sementara Brett O'Donnel yang menulis dalam The Daily Beast, mengingatkan Romney akan bahaya debat seperti itu yang berkemungkinan tidak memihak kepada beliau, di samping mengingatkan Obama akan "perangkap penjawat kini."

Nate Cohn yang kelihatan resah dengan kebanyakan tinjauan pendapat, kecuali antaranya YouGov,  yang memperlihatkan Obama merosot sejak debat pertama, dalam ulasan tentang debat terbaharu itu, menegaskan bahawa kemungkinan tidak banyak mengubah tinjauan pendapat.  Sementara Nate Silver dalam FiveThirtyEight, mengulas tinjauan pendapat segera yang keseluruhannya memberikan kelebihan kepada Obama, masih meramalkan bahawa Obama memenangi perlumbaan ke Rumah Putih, dengan 287.0 berbanding 251.0 undi badan perwakilan pemilih.  Peluang Obama menang ialah 64.8 peratus berbanding 35.2 peratus untuk Romney.

Mungkin debat tidak mengubah permainan, tetapi "misi utama Obama," hujah Robert Wright,  "ialah memadamkan  keraguan terhadap dirinya yang wujud semasa debat pertama." Beliau sekurang-kurangnya berjaya memenuhi harapan para penyokong Demokrat dan para pengundi. Dalam debat, mereka mengharapkan Obama melawan dan menyerang lawan, berlagak seperti "ayam sabung," dan bukannya "ayam berak kapur." 

Obama membuktikan kepada Amerika khususnya dan dunia amnya, bahawa beliau mampu berdiri di atas kaki sendiri - tidak bergantung pada bekas Bekas Presiden Bill Clinton dan Naib Presiden Joe Biden semata-mata,  mampu bangkit semula dalam keadaan benar-benar tertekan.   

Seandainya beliau tewas dalam debat terbaharu, nescaya keterukannya tidak dapat dibaiki lagi.  Bahkan,  beliau dan keluarga boleh bersiap, mengemaskan barang milik peribadi untuk meninggalkan Rumah Putih pada Januari tahun depan.

Bagi Romney yang mula "terbang tinggi" sejak debat pertama, malam tadi (waktu Amerika)  mimpi indah mungkin mula meninggalkan beliau, mengingatkannya supaya "berpijak di bumi."


No comments:

Post a Comment