Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Meskipun skandal foto separuh bogel Kate Middleton yang didedahkan ketika pasangan diraja ini berada di Kuala Lumpur, semakin hangat, program lawatan mereka berlangsung seperti yang dirancang. Selepas berada di ibu negara, Putera Wiliam dan Kate, seperti yang dijadualkan, melawat Sabah. Ketika di Negeri di Bawah Bayu, yang mendapat liputan yang luas, "Kate Middleton dan Putera William memastikan kepala mereka tinggi," lapor New York Daily News.
Di samping pendedahan foto yang di luar jangka, wujud faktor lain yang memungkinkan pasangan diraja itu membatalkan lawatan mereka ke Sabah. Sebelum pasangan diraja itu menjejakkan kaki mereka di Malaysia, golongan tertentu, seperti yang dilaporkan oleh The Guardian dan Daily Mail, mendesak Duke dan Duchess dari Cambridge membatalkan lawatan ke negeri itu.
Namun, Putera William dan Kate tidak tunduk terhadap segala desakan; pasangan diraja tetap meneruskan lawatan ke Sabah, dan nampaknya mereka gembira ketika melawat Lembah Danum, iaitu kawasan hutan hujan yang dipelihara dengan baik.
Golongan yang terlibat mengemukakan desakan dan alasan mereka tidak akan disentuh di sini, tetapi yang menarik perhatian saya ialah Clare Rewcastle Brown yang menegaskan: "The level and area of protection claimed by Sabah state are false. How can they be seen praising Sabah forestry when the man who has been in control of it since the early 90s, Musa Aman, now stands accused of laundering over $90m in timber licence kickbacks?"
Perhatikan, adakah benar Musa Aman menguasai Sabah sejak awal tahun 1990-an? Musa, seperti yang diketahui, menjadi Ketua Menteri Sabah pada awal tahun 2000-an, dan sebelum itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Yayasan Sabah, di samping Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun). Sejak awal 1990-an, banyak Ketua Menteri negeri itu yang silih berganti: Pairin Kitingan, Sakaran Dandai, Yong Teck Lee, Bernard Dompok, Osu Sukam, dan Musa Aman.
Kalau kita ingin mengatakan sesuatu, lebih-lebih lagi tentang keburukan seseorang, pastikan setiap fakta betul, tidak ada cacat celanya. Kalau tidak, orang lain akan menuduh kita melakukannya secara sembarangan. Lakukan kerja rumah, jalankan penyelidikan, semak fakta!
No comments:
Post a Comment