Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Orang menjadi kaya dengan bermacam-macam cara. Ada cara lurus, ada cara menipu; ada cara baik, ada cara jahat. Tidak kurang juga yang menggunakan kedudukan dan hubungan politik. Ada menjadi pencari sewa, peniaga modal atas angin, atau modal air liur. Ada yang bersusah payah, bermula secara kecil-kecilan, yang lama-lama jadi bukit.
Dalam bidang perniagaan, usahawan yang berjaya, yang kaya-raya, menceburi perniagaan yang mungkin tidak pernah difikirkan oleh orang lain. Bagi Hamdi Ulukaya, pengasas Chobani Yogurt, beliau memilih untuk menceburi perusahaan yogurt, yang akhirnya beliau menjadi kaya-raya, menurut Bloomberg Billionaire Index. Ulukaya, imigran Turki, berusia 40 tahun, yang membesar dikelilingi oleh perniagaan keluarganya dalam penternakan biri-biri dan lembu, dan menghasilkan yogurt dan keju. Apabila beliau meninggalkan negara asalnya, Turki ke Amerika Syarikat pada tahun 1994, menurut CNN Money, beliau berhasrat untuk belajar bahasa Inggeris dan memasuki sekolah perniagaan.
Ulukaya, yang kini bergelar hartawan, cicir dalam persekolahannya, tetapi atas nasihat bapanya, memulakan fasiliti pembuatan keju kecil. Beliau masih ingat akan nasihat bapanya, "Mereka tidak mempunyai keju yang sangat baik di sini. Kamu sepatutnya membuat keju." Sanggah Ulukaya, "Apa? Saya datang ke sini begitu jauh bukan untuk membuat keju."
Yogurt gaya Greek yang dikeluarkan oleh Ulukaya memasuki kedai runcit pada tahun 2007, kini dari segi jualan runcit, bernilai AS$745.6, menurut firma penyelidikan pemasaran, SymphonyIRI Group Inc. yang dipetik oleh The Wall Street Journal.
Ulukaya membeli kilang seluas 80,000 kaki persegi, sebahagiannya dibiayai oleh pinjaman daripada Small Business Administration, dengan mengupah lima orang pekerja Kraft yang baru sahaja dibuang kerja. Kemudian mengambil pembuat yogurt, sahabat keluarganya dari Turki, dan mereka menghabiskan masa 18 bulan berikutnya untuk menentukan resipi yogurt yang sempurna.
No comments:
Post a Comment