Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Persidangan Kebangsaan Republikan di Tampa, Florida, terpaksa ditangguhkan sekurang-kurangnya ke hari Selasa kerana ancaman Taufan Isaac. Dengan penangguhan itu, maka satu lagi halangan untuk Mitt Romney.
Namun, bagi Joe Redner, Raja Kelab Tarian Bogel, penangguhan persidangan itu tidak mematahkan semangatnya untuk "meraikan" perwakilan Republikan yang datang dari seluruh Amerika Syarikat. Kesibukan bersidang demi memastikan calon mereka menang dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2012, dan kepenatan, tentunya tidak menghalang mereka untuk berkunjung ke Mons Venus.
Tatkala semua perhatian tertumpu pada Persidangan Kebangsaan Republikan itu dan ancaman taufan tropika yang merentas Atlantik, Lloyd Grove yang menulis dalam The Daily Beast, masih sempat memberikan liputan pada Redner, yang "setaraf Thomas Edison dan Wright bersaudara," merancang untuk menghiburkan para perwakilan Republikan.
Redner yang kini menghidap kanser paru-paru, ketika minggu persidangan ini, perniagaannya meningkat sebanyak 60 peratus, berjumlah AS$100,000 dalam bentuk bayaran masuk dan minuman ringan. Dia menjangkakan lebih daripada itu. Namun, dia tidak mahu teruja kerana kemudian putus asa. "Saya tahu bahawa perwakilan dan calon diberikan amaran supaya tidak datang ke sini."
Dari segi politik, pengusaha kelab tarian bogel ini penentang kuat Republikan. Dalam pilihan raya tahun 2008, dia mengundi Barack Obama, dan bercadang melakukannya sekali lagi tahun ini. "Ya, saya akan mengundi beliau. Saya beri beliau wang," kata Redner, yang menegaskan bahawa Presiden Obama tidak mendapat pujian yang cukup untuk pencapaian beliau.
Tidak memeranjatkan jika terutamanya perwakilan Republikan berkunjung ke Mons Venus, meskipun mereka diberikan amaran, kerana secara diam-diam, menurut CNN, sebilangan Republikan bersahabat dengan komuniti gay.
No comments:
Post a Comment