Pages

Monday, August 13, 2012

Paul Ryan: Penjenamaan Semula dan Pengubah Permainan?

ISNIN, 13 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Setelah menjadi spekulasi berbulan-bulan dan menimbulkan keluh-kesah dalam Republikan, akhirnya pada pagi Sabtu (waktu Malaysia) Mitt Romney memaklumkan  bahawa beliau akan memaklumkan  calon Naib Presiden pada malam itu juga.  Setelah beberapa tinjauan pendapat menunjukkan bahawa Presiden Barack Obama semakin jauh meninggalkan beliau dan ternyata beliau terhuyung-hayang digasak oleh Obama dan kempennya sehingga membangkit rasa cemas dalam kalangan Republikan, akhirnya Romney mengumumkan nama regunya untuk Pilihan Raya Presiden tahun 2012.  

Sebaik-baik sahaja Romney memaklumkan perkara itu, nama Paul Ryan disebut-sebut sebagai pilihan beliau, meskipun beliau dikatakan menyimpan nama  pilihannya dengan begitu rahsia. Bahkan, Ryan Lizza begitu yakin bahawa Romney memilih Ryan.  Sebelum ini, beberapa nama lain turut dikaitkan, termasuk calon wanita, antaranya bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice turut disebut-disebut.  Namun, Sarah Palin didapati masih menghantui  Republikan, dan walaupun Sarah masih ke hulu ke hilir menjaja kepopularannya, Romney diperhatikan keberatan untuk memilih calon wanita: tidak mahu mengulangi kesilapan John McCain dalam pilihan raya lalu.

Tindakan Romney memilih Paul Ryan dikatakan merupakan suatu keberanian yang penuh berisiko, namun dapat memuaskan hati puak konservatif, seperti bekas Naib Presiden, Dick Cheney, Bill Kristol, dan pastinya  Rupert Murdoch yang sebelum ini menggasak Romney.    Sebenarnya, puak konservatif, menurut David Weigel, menyayangi Ryan.

Timbul tanda tanya adakah pemilihan Ryan akan mengubah medan pertempuran yang tempoh pilihan raya kurang dari tiga bulan? Jelas bahawa "kad panggilan" Romney, iaitu   Bain Capital dikoyakrabakkan oleh  Obama dan kempennya; demikian juga gagasan "pungutan suara" untuk Obama yang Romney perkenalkan tidak mudah dilanggani oleh para pengundi.  

Sebaliknya, tempoh pemegangan jawatan Romney di firma ekuiti swasta itu, penyumberluaran pekerjaan, penyata cukai beliau mempengaruhi pendapat awam.  Tentang penyata cukai yang Romney nampaknya berkeras, iaitu beliau hanya ingin mendedahkan untuk tahun 2010 dan kemudian 2011, menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan Republikan sendiri, manakala Demokrat terus menyerang beliau.

Nyata bahawa personaliti negatif Romney  yang disebarkan oleh kempen Obama melalui iklan cukup berkesan.  Begitu juga langkah Obama dan kempennya yang begitu cepat mentakrifkan Romney mengikut acuan mereka sungguh menjadi sehingga akhirnya didedahkan bahawa Romney ingin mengadakan "genjatan senjata" dengan kempen Obama: mengetepikan rekod perniagaannya daripada perbincangan.

Ryan, seperti yang dibahaskan oleh John Dickerson, dapat menyuntik semula semangat untuk melancarkan semula jenama Romney dan "adalah penjenamaan semula yang paling konsisten dengan pendekatan Romney."  Dengan memilih Paul Ryan sebagai calon Naib Presiden, Romney menganjak strategi dan memastikan Idea Besar didebatkan tentang hutang dan hak kelayakan: pengubah permainan. 

Namun, William Saletan memberikan tafsiran yang kelihatan berbelah bahagi tentang Ryan:  "Fiskal konservatif beliau bagus untuk negara sekurang-kurangnya untuk masa depan,  tetapi beliau tidak dapat menjamin kemenangan untuk Romney." Setelah menghadapi situasi yang serba tidak kena, termasuk kebodohannya di luar negara dan kempen beliau kelihatan hilang kekuatan, seperti yang dibukti oleh beberapa tinjauan pendapat, Romney memilih Ryan untuk berubah kepada  permainan Obama.

Sebelum pun sempat Ryan menyerlahkan kewibawaannya, pemilihan Romney itu, menurut Michael Tomasky, merupakan pilihan yang teruk:  "Romney memberikan isyarat bahawa beliau melancarkan kempen ultrakonservatif,"  meskipun ada yang menganggap sebagai anjakan ke arah isu yang besar.  Bahkan, oleh sebab yang Ryan pernah memperkenalkan pelan induk belanjawan yang menjejaskan golongan tua, maka bahas Ronald Brownstein, "kemenangan Romney semakin sukar."  

Belanjawan yang diperkenalkan itu dianggap sebagai liabiliti terhadap Romney, membayangkan beliau akan memansuhkan negara sosial. Romney nampaknya menyedari masalah yang akan menghantuinya hingga November ini, cuba menjauhkan dirinya daripada belanjawan yang diperkenalkan oleh Ryan itu.  "Belanjawan ini," bahas Derek Thompson, "menjadi sasaran kempen.  Justeru, Ryan bukannya pengubah permainan."

Selain itu, Ryan dikatakan menyanjung Ayn Rand, ahli falsafah dan penulis yang kontroversi yang berhijrah ke Amerika Syarikat.  "Ayn Rand menyertai pertandingan," tegas Jane Mayer.

Belum pun sempat bermalam, kempen Obama telah melancarkan "Get to know Paul Ryan."  Mereka begitu cepat berusaha mentakrifkan Ryan mengikut acuan mereka, sebagaimana yang mereka lakukan terhadap Romney yang terbukti berkesan.  Sesetengah pemerhati dan pengulas, menganggap pemilihan Ryan itu sebagai hadiah untuk Obama dan Demokrat.  "Romney memilih Naib Presiden," ulas David Corn, "yang Obama mahukan."  Demokrat dilaporkan menunjukkan kesepakatan mereka untuk menyerang Ryan yang dianggap pemimpin "ideologi."  Justeru,  dengan memilih Ryan, Romney  dapat menyatukan puak konservatif, sedangkan Demokrat dengan pemilihan itu, mereka bersatu di setiap peringkat.  Ryan  bukan sahaja mereka jadikan "tebusan" untuk Pilihan Raya Presiden, tetapi juga untuk pilihan raya Senat dan Dewan Perwakilan.

Apakah Romney sepanjang kempen ini, Romney terpaksa menggalas dua bagasi, iaitu Bain Capital dan belanjawan Ryan?  Seandainya terbukti bahawa belanjawan regunya itu merupakan liabiliti, Romney bagaikan memikul biawak hidup, tidak ada beban batu digalas, semata-mata ingin mengambil hati puak konservatif yang beria-ia benar mahukan Ryan.


No comments:

Post a Comment