Pages

Thursday, August 16, 2012

Keajaiban Pertumbuhan Berakhir?

KHAMIS, 16 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Malaysia, seperti yang dilaporkan,  mencatatkan 5.4 peratus  pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK untuk suku kedua tahun 2012, berbanding dengan 4.9 peratus (disemak semula daripada 4.7 peratus) pada suku  pertama. Pertumbuhan  ini mengatasi jangkaan ahli ekonomi yang menjangkakan 4.6 peratus, adalah hasil  peningkatan pelaburan dan penggunaan, yang mampu mengimbangi eksport yang lemah. 

Penggunaan swasta meningkat 8.8 peratus dari tahun lalu, manakala penggunaan awam meningkat 9.4 peratus.  Kedua-duanya, iaitu pelaburan awam dan swasta meningkat dalam suku kedua, iaitu masing-masingnya 28.9 peratus dan 24.6 peratus.

Pastinya, kadar pertumbuhan Malaysia yang terbaharu ini memberangsangkan kerana dicapai ketika pertumbuhan global masih lemah dan sebilangan besar negara terjebak dalam kemelesetan.  Zon euro dan Kesatuan Eropah, seperti yang dinyatakan sebelum ini, merosot 0.2 peratus untuk suku kedua tahun ini.  Jerman hanya mencatatkan pertumbuhan 0.3 peratus, manakala Amerika Syarikat 1.5 peratus.   Sementara China yang kadar pertumbuhannya mula perlahan, mencatatkan 7.6 peratus, manakala United Kingdom, merosot 0.7 peratus untuk suku kedua tahun 2012. Dalam tempoh yang sama, Jepun salah sebuah ekonomi terbesar dunia mencatatkan 0.3 peratus.


Tatkala dunia masih bergelut dengan pemulihan  ekonomi yang lemah dan krisis zon euro berlarutan lebih dua tahun,  maka harapan diberikan terhadap pasaran sedang muncul yang diterajui oleh China untuk memacu pertumbuhan global. Selain itu, perhatian diberikan terhadap Brazil dan negara lain  Amerika Latin yang dilaporkan mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik.

Namun,  R.A. yang menulis dalam  The Economist seakan-akan membayangkan zaman keajaiban pertumbuhan  di pasaran sedang muncul sampai ke penghujungnya, meskipun Tabung Kewangan Antarabangsa masih meletakkan harapan untuk beberapa tahun akan datang.  R.A. juga merujuk tulisan Dani Rodrik yang menegaskan bahawa "tidak ada lagi keajaiban pertumbuhan"  untuk mencetuskan polemik. 


No comments:

Post a Comment