Pages

Friday, August 3, 2012

Jumaat yang Muram untuk Obama?

JUMAAT, 3 Ogos 2012 (kemas kini pada 4 Ogos, 10.30 pagi)
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Barangkali tidak tepat untuk mengatakan bahawa laporan pekerjaan untuk bulan Julai yang diumumkan kira-kira 8.45 malam waktu Malaysia, suatu kekejaman untuk Presiden Barack Obama yang akan mempertahankan kedudukannya di Rumah Putih bagi penggal kedua.  

Sebagaimana setiap Jumaat pertama sejak dua bulan lalu, hari ini sekali lagi menunjukkan  pengangguran di Amerika Syarikat  memang degil apabila kadarnya meningkat daripada 8.2 peratus pada bulan Jun kepada 8.3 peratus pada Julai.  Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, pada Jumaat lalu, kadar pertumbuhan ekonomi negara itu untuk suku kedua tahun 2012 jatuh kepada 1.5 peratus.  Sehingga Pilihan Raya Presiden pada 6 November, Obama terpaksa bergelut dengan empat kali Jumaat lagi: tiga untuk laporan pekerjaan, dan satu lagi laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga tahun ini.

Mungkin yang melegakan sedikit Barack Obama sebagai penjawat kini bahawa pada bulan lalu, pekerjaan meningkat sebanyak 163,000 daripada 64,000 pekerjaan yang disemak semula pada bulan Jun.  Jumlah peningkatan ini melepasi 100,000 pekerjaan yang dianggarkan oleh ahli ekonomi yang ditinjau oleh Bloomberg.  Data itu dikatakan menunjukkan bahawa  ekonomi yang tumbuh tidak begitu kuat, tidak lebih baik, tetapi masih tumbuh.

Michael Hirsh yang mengulas laporan pekerjaan terbaharu sekadar menyatakan  pemenangnya diputuskan berbelah bahagi: Obama dan pencabarnya, Mitt Romney. Jumlah 163,000 pekerjaan yang diwujudkan mengatasi jangkaan, dan tertinggi  sejak Februari menunjukkan ekonomi Amerika Syarikat terus pulih daripada kemerosotan terburuk sejak Kemelesetan Besar.  Maka, berita baik untuk Obama.  Namun, kadar pengangguran yang meningkat satu peratus dari bulan Jun, memihak kepada Romney, membuktikan bahawa dalam tiga tahun, kadar pengangguran masih lebih lapan peratus.

Dengan jumlah pekerjaan itu, bahas Andrew Leonard, "tidak begitu teruk.  Pendarahan berhenti sekurang-kurangnya sementara waktu."  Pekerjaan memasuki wilayah positif untuk kali pertama sejak Mac, hujah Kevin Drum.

Tanpa merujuk laporan pekerjaan terbaharu, Derek Thompson mengemukakan tiga carta yang "membuktikan" Obama terhimpit, iaitu pertumbuhan ekonomi dan malapetaka ketenteraan, perbandingan pekerjaan yang dihasilkan oleh tempoh kepresidenan sejak Truman, dan penandaarasan prestasi Obama. 

Semuanya berita buruk.  Rekod Obama seakan-akan pihak yang kalah.  Namun, hujah tinjauan pendapat terbaharu (lebih 90 hari sebelum pilihan raya), Obama meningkat tiga titik peratusan di peringkat nasional, satu peratus di Florida, tiga peratus di Virginia, lima peratus di Ohio, dan enam peratus lebih di Wisconsin, Michigan, dan Pennsylvania.  "Ada yang carta itu beritahu dan ada yang tidak diberitahu."

Tinjuan pendapat terbaharu yang dikeluarkan oleh Pew Research Center menunjukkan bahawa Obama mendahului lawannya di peringkat nasional, iaitu 52 peratus berbanding 37 peratus, tetapi persaingan sengit di negeri berayun. Sementara imej peribadi Romney masih negatif. 

Pada amnya,  dikatakan bahawa ekonomi banyak mewarnai pilihan raya kali ini.  Namun, sementara Barack Obama ditanggapi melaksanakan dasar ekonomi yang gagal, Mitt Romney masih belum dapat mengemukakan alternatif yang meyakinkan para pengundi, misalnya agenda cukainya, yang dikritik antaranya oleh Ezra Klein, manakala rancangan pemulihannya boleh mengheret Amerika Syarikat semula ke dalam kemelesetan.   


Dalam banyak hal, beliau kelihatan sekadar "menunggu bulan jatuh ke rimba," iaitu hanya mengharapkan berita buruk tentang ekonomi, terutamanya pertumbuhan dan pekerjaan.  Satu lagi masalah kempen Romney, seperti yang dikesan oleh David Frum, "semua pedang, tidak ada perisai."


Untuk Obama pula adakah beliau dapat mengatasi angka pekerjaan kerana mana-mana penjawat kini yang ketika pilihan raya, kadar pengangguran lebih tujuh peratus berkesudahan dengan kekalahan. Maksudnya, hanya suatu keajaiban jika beliau dapat kekal untuk satu penggal lagi.  Namun, kempen Obama  sedar akan halangan ini, maka dalam pertarungan dengan Romney di medan ekonomi, mereka mengharapkan kemenangan, tetapi seri sudah memadai.


Harry J. Enten  yang cuba menganalisis setakat mana laporan pekerjaan terbaharu menjejaskan prospek  kempen Obama, mengemukakan tiga pemboleh ubah, iaitu pendapatan peribadi boleh guna, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan pertumbuhan pekerjaan.  Kesemuanya memberikan kelebihan kepada Obama, iaitu masing-masingnya 0.4 peratus titik peratusan, empat titik peratusan, dan 1.1 titik peratusan. 


Namun, Enten mengakui bahawa model peramalan berdasarkan ekonomi jauh daripada sempurna.  Model ini tidak sepatutnya digunakan sebagai pengganti data tinjauan pendapat.  Maksudnya, model tersebut menyediakan konteks untuk data ekonomi mengalir ke dalam  sfera awam. 


Tinjuan model untuk tahun ini menunjukkan kes yang menarik, jelas Enten.  "Presiden Obama akan menjadi orang yang tertekan jika partinya mengawal sepenuhnya Kongres dan Presiden sebelumnya sama parti dengan beliau."


No comments:

Post a Comment