Pages

Saturday, August 11, 2012

Ciplak: Fareed Zakaria Digantung Tugas

SABTU, 11 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Ketika membuka Facebook pagi ini, tersua dengan berita yang agak memeranjatkan bahawa Fareed Zakaria, penulis/pengulas terkenal, kolumnis  Time, pernah dianggap pemikir yang dinobat berlebihan oleh The New Republic, terlibat dalam penciplakan. Fareed yang  mengakui bahawa beliau menciplak tulisan Jill Lepore dalam The New Yorker, memohon maaf,  "saya melakukan kesilapan yang teruk."

Akibat penciplakan itu, Fareed dilaporkan,   digantung tugasnya sebagai editor Time dan hos CNN.  Penciplakan bulat-bulat perenggan dalam tulisan Jill Lepore oleh Fareed, didedahkan oleh Robert  VerBruggen dalam National Journal,  dua hari lalu.  Dan, ini bukan kali pertama, Fareed didapati menciplak  ketika beliau berkhidmat dengan Newsweek beberapa tahun lalu.

Jim Sleeper yang mengulas "episod yang memalukan" dalam The Huffington Post, pergi lebih jauh lagi, iaitu kedudukan Fareed Zakaria sebagai pemegang amanah Yale University, universiti tempat Jill memperoleh ijazah Ph.D-nya.  Sleeper membangkitkan pembukaan kolej Yale University di negara kota autoritarian, iaitu Singapura.  

Kontroversi peluasan sayap universiti itu ke Singapura pernah dibangkitkan oleh Ishaan Tharoor dalam Time, dan Alex Klein dalam The Daily Beast, sebagai tidak sesuai kerana negara itu menyekat kebebasan bersuara para pelajar, sedangkan kursus yang ditawarkan dengan kerjasama Universiti Nasional Singapura itu ialah seni liberal.   Pembukaan kolej itu yang mengehadkan kebebasan pelajar pada mulannya didedah oleh The Wall Street Journal, turut disambut oleh Robert Golan-Viella dalam blog The National Interest. Namun, Fareed Zakaria, mempertahankan langkah Yale itu dengan hujah "pendidikan global untuk zaman global."  

Sleeper dalam respons terhadap tulisan itu mendakwa Fareed sebagai "kepentingan sendiri, keterukan elitis."  Dalam ulasan atau komennya terhadap penciplakan Fareed itu, Sleeper memetik semula tulisannya, di samping mendedahkan  "fiil buruk" Fareed: mengenakan bayaran standard untuk ucapannya AS$75,000

Dengan penciplakan yang dilakukan itu, maka tegas Sleeper, Fareed tidak lagi layak menduduki pemegang amanah Yale.








No comments:

Post a Comment