Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Jika para pelabur menghitung detik terakhir penyenaraian Facebook dengan tawaran awam permulaan (IPO) terbesar kira-kira dua bulan lalu, kini mereka menunggu laporan perolehan media sosial itu dengan penuh debaran.
Sejak hari pertama diniagakan di Bursa Saham New York, Facebook menghancurluluhkan harapan para pelabur. Sebelum diniagakan, para banker membayangkan keuntungan yang berbilion dolar, tetapi akhirnya terpaksa menggunakan pelan penyelamat untuk IPO mereka sendiri.
Pada hari pertama, iaitu pada Jumaat 18 Mei lalu, saham Facebook dibuka pada harga AS$42 sesaham, AS$4 mengatasi harga tawaran, AS$38 - satu daripada jualan saham yang paling kegila-gilaan dalam sejarah. Pada hari itu, Facebook dikatakan nyaris-nyaris diaibkan kerana harga sahamnya menjunam di bawah harga tawaran, tetapi akhirnya ditutup pada harga AS$38.23, meningkat 0.61 peratus. Hari yang penuh kekecewaan untuk para pelabur.
Mark Evans yang menulis dalam Forbes pernah mengingatkan para pelabur menjauh diri mereka daripada IPO Facebook, tetapi tidak sesiapa yang mempedulilkannya. Hanya dalam beberapa hari diniagakan, para pemegang saham mengambil tindakan terhadap Facebook dan banker Wall Street berhubung dengan unjuran kewangan pra-IPO. Para pelabur menegaskan bahawa mereka dikelirukan dalam membeli saham firma rangkaian sosial itu.
Oleh sebab harga saham Facebook, kini para pelabur begitu berminat ingin mengetahui perolehan suku kedua firma ini. Saham Facebook kini diniagakan sekitar AS$27 atau AS$29, kira-kira 25 peratus di bawah IPO. Bank utamanya, iaitu Morgan Stanley melaporkan kerugian sebelum cukai AS$673 juta.
Facebook, seperti yang dilaporkan oleh The Guardian, The Telegraph, dan The Economist, mengumumkan keputusan pertama selepas IPO bahawa hasil diperoleh ialah AS$1.18 bilion untuk tiga bulan berakhir pada 30 Jun, mengatasai jangkaan para penganalisis, tetapi menanggung kerugian AS$157 juta.
No comments:
Post a Comment