Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Boleh dikatakan hampir setiap waktu kita membaca berita melalui akhbar, Internet, media sosial, atau mengikutinya melalui televisyen, terutamanya televisyen kabel, yang berlaku di seluruh dunia. Misalnya, tragedi di Aurora, Colorado, yang mengorbankan 12 nyawa dan mencederakan lebih 50 orang - penonton filem Batman yang berlaku malam tadi waktu Malaysia, tersebar dengan begitu pantas, termasuk melalui Facebook dan Twitter.
Namun, di sebalik semua berita ini, bagi sesetengah orang, mereka ingin mengetahui kisah di sebalik semua peristiwa atau kejadian yang telah pun menjadi pengetahuan umum, iaitu biasanya disebut kewartawanan penyiasatan - seperti yang dapat dilihat dalam skandal Watergate - adalah antara yang terbaik. Yang terbaharu dan masih hangat, ialah skandal penggodaman telefon yang melibatkan empayar media Rupert Murdoch.
Keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat tentang "Obamacare" yang dilaporkan secara silap oleh CNN dan Fox News telah pun diketahui bukan sahaja di negara itu, bahkan di negara luar. Walau bagaimanapun, Tom Goldstein yang menulis dalam SCOTUSblog, memberitahu, "usaha pertama saya dalam kewartawanan sebenar." Beliau mendedahkan apa yang berlaku di Mahkamah Agung SCOTUSblog, CNN, Fox News, dan Rumah Putih - tempat Presiden Barack Obama dengan para penasihat dan stafnya menunggu keputusan yang amat penting itu. Masa yang beliau liputi pada hari itu - 28 Jun adalah antara10.06 pagi (apabila mahkamah menyiarkan pendapat) dengan 10.15 (apabila CNN mengubah sendiri berita yang silap itu dan melaporkan bahawa penjagaan kesihatan itu disahkan oleh mahkamah). Jelas Goldstein, "segala-galanya berasaskan wawancara dengan mereka yang terlibat secara langsung."
Selain kisah di sebalik tabir peristiwa yang telah pun diketahui umum, para penulis (dan pasukannya) menyiasat sesuatu yang belum diketahui juga dengan mengadakan dengan mereka yang terlibat, seperti yang dapat diikuti dalam tulisan Amelia Gentleman dalam The Guardian, "Too Much to Bare: Behind the Scenes at a Lap-dancing Club." Pastinya, penulisan seperti ini dapat membangkit minat orang ramai kerana kedalaman penulisan dan diolah pula dengan cukup menarik; atau dengan kata lain, bukan bersifat deskriptif.
No comments:
Post a Comment