Pages

Thursday, July 5, 2012

Kerana Bahasa Negara Binasa

KHAMIS, 5 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Ingin mengelakkan penuaan?  Belajar bahasa baru, demikian petua yang diberikan oleh Annie Murphy Paul dalam Time,  tidak perlu melakukan pembedahan plastik ataupun mengambil pelbagai vitamin atau ubat-ubatan. 

Dari satu segi yang lain, pertikaian bahasa boleh merebak kepada pelbagai isu.  Belgium bertahun-tahun tanpa kerajaan kerana pertikaian bahasa antara bahasa Belanda dengan bahasa Perancis.  

Umat Palestin dikatakan tidak wujud, seperti yang pernah dipolemikkan oleh Newt Gingrich, bekas salah seorang calon Presiden daripada Republikan, adalah kerana tidak wujud bahasa dan budaya Palestin, yang wujud ialah bahasa dan budaya Arab. Orang India kaum peribumi Amerika Syarikat perlu memperkenalkan jati diri mereka melalui bahasa.

Lebih sebulan lalu, tercetus pergaduhan dalam Parlimen Ukraine yang berpunca daripada pengenalan rang undang-undang yang membenarkan penggunaan bahasa Rusia dalam mahkamah, hospital, dan institusi lain di wilayah yang bertutur bahasa tersebut di negara itu.

Pergaduhan di Parlimen itu, seperti yang dilaporkan oleh The Independent,  merebak ke jalanan apabila orang ramai melancarkan tunjuk perasaan dan "bertempur" dengan polis di Kiev, menentang  rang undang-undang tersebut.  Rang undang-undang yang dicadangkan oleh Parti Wilayah Presiden Viktor Yanukovych kini hanya memerlukan tandatangan beliau untuk dikuatkuasakan.  Akan tetapi, isu membuka semula luka yang dalam di negara itu, yang berpecah antara Timur  yang bertutur dalam bahasa Rusia  dengan Barat yang bertutur bahasa Ukrainian.

Ukraini dibahagikan hampir separuh apabila dilihat dari segi berapa banyak orang bertutur, terutamanya bahasa Ukrainian dan berapa banyak penutur kebanyakan bahasa Rusia. Volodymyr Kulyk dari Institute of Political and Ethnic Studies di Kiev, dipetik sebagai berkata, "Meskipun hampir setiap orang memahami bahasa Ukrainian, dan bahasa ini hanya bahasa rasmi negara, hampir tidak kedengaran  bahasa ini dituturkan di kota timur, seperti Donetsk, atau wilayah selatan Crimea." 

Bahasa rasmi ini, jelas Kulyk, "kini hanya ruang yang banyak orang berhubung dengan bahasas Ukrainian, dan jika kita mengambilnya keluar, maka bahasa dalam kesusahan. Kelangsungan bahasa, dan bahkan negara ini boleh menjadi pertaruhan."

Peringatan beliau yang seterusnya, yang patut dijadikan pengajaran, terutamanya para pemimpin dan ahli politik Malaysia, juga golongan tertentu, "Melihat tekanan terhadap Ukraine dari Moscow untuk integrasi, jika kita hilang bahasa dan jati diri kita, tidak berapa lama, tidak mustahil negara ini berpecah dunia."

Walau bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Boris Kolesnikov, memberitahu The Independent bahawa cadangan itu" selari dengan semua norma Eropah dan hanya perkara menambahbaikkan demokrasi."  Namun, para penentang menegaskan cadangan itu boleh menandakan berakhirnya bahaas Ukrainian kerana orang ramai mengambil jalan mudah dengan bertutur dalam bahasa Rusia.

Tabik kita kepada ahli politik dan rakyat Ukraine yang menentang penggunaan bahasa Rusia sebagai bahasa rasmi negara itu.  Berapa banyak ahli politik Melayu di negara kita senekad dan secekal ahli politik Ukraine?  Maaf cakap, masuk bab bahasa, saya tidak mempercayai ahli politik  ini sama sekali!


Adakah ahli politik Melayu di negara ini tahu, atau sekurang-kurangnya maksud kuasa bahasa? Maaf sekali lagi, saya tidak fikir mereka tahu. Kuasa politik mereka tidak tahu, apatah lagi kuasa bahasa! 


No comments:

Post a Comment