Pages

Wednesday, June 27, 2012

Zon Euro: Masa Makin Suntuk

RABU, 27 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Oleh sebab krisis semakin membesar, maka ahli politik semakin mengecil - memetik Jonathan Freedland, pilihan raya di Greece dan Mesir tidak akan menentukan nasib mereka.  Kuasa beranjak ke pasaran, Brussels dan jauh lagi. 

Para pemimpin Eropah diperhatikan terus keliru dan bukannya menangani secara betul krisis hutang.  Kini, krisis tersebut mengancam mula-mula lagi tonggak Kesatuan Eropah dan mampu memusnahkan gaya hidup yang berjuta-juta orang Eropah anggap remeh.  Akan tetapi, harapan yang menggunung untuk sidang kemuncak Kesatuan Eropah yang berlangsung minggu  akan berkesudahan dengan kekecewaan. 

Krisis zon  euro  dapat dijejaki daripada idea kewujudannya, yang menurut  Greg Palast, euro bukannya tentang mengubah Eropah menjadi unit ekonomi yang bersatu padu dan berkuasa.  Euro adalah tentang Reagan dan Thatcher. 

Krisis zon euro semakin dalam apabila Cyprus merupakan negara kelima terpaksa memohon pelan penyelamat dan Moody's Investor Service menurunkan gred 28 buah bank Sepanyol.    Kawasan euro, tegas Simon Johnson dalam Bloomberg bergelut dengan krisis ekonomi yang utama.

Sekali lagi, mungkin sudah berpuluh-puluh kali, Jerman diletakkan harapan untuk menyelesaikan krisis zon euro, tetapi negara sentiasa bersikap "acuh tidak acuh," termasuk terhadap Greece. Canselor Angela Merkel, dilaporkan semakin degil apabila pemimpin negara lain bersatu menentang beliau, seperti kritikan baru-baru ini oleh  Presiden Francois Hollande dan Perdana Menteri Mario Monti. 

George Soros dalam wawancara dengan Spiegel International Online sekali menggesa Jerman menyelesaikan krisis zon euro dengan segera sambil mengingatkan bahawa jika euro berkecai, nescaya Jerman yang menanggung kerugian paling besar. 

Jika sebelum ini, Soros mengingatkan bahawa Jerman mempunyai masa tiga bulan untuk menyelamatkan euro, yang terbaharu, beliau menegaskan hanya tiga hari, iaitu  melalui kesatuan fiskal.  Dalam The Financial Times, beliau menulis bagaimana untuk menggerakan Jerman keluar daripada ragam "tidak boleh." 


No comments:

Post a Comment